Tuesday, November 18, 2008

MEMPERINGATI 2 LEGENDA YANG TELAH PERGI:KEBIJAKSANAAN USMAN AWANG DAN KEAGUNGAN SHAKESPEARE

>
10 hari lagi, genaplah 7 tahun Sasterawan Negara Datuk Usman Awang meninggalkan kita. Dan apabila memperkatakan nama Sasterawan Negara Datuk Usman Awang dalam konteks kesementaraan, nama, kejujuran dalam karya dan jasanya terhadap perkembangan sastera, curahan gagasan pemikiran yang bersifat humanistik demi membina entiti jati diri bangsa secara harmonis, dan segalanya cukup menarik untuk diperkatakan. Pemergiannya pada 29 November 2001 bukan sekadar meninggalkan nama tetapi jasa dan segudang idealisme untuk segenap anak bangsanya.

Almarhum Usman Awang

Memperkatakan tentang Datuk Usman Awang, aku terdorong untuk membandingkan almarhum dengan sasterawan agung Inggeris berstatus legenda, William Shakespeare. Dalam satu esei yang pernah saya temui dalam buku The Bedford Companion To Shakespearetulisan Russ Mc Donald yang menulis riwayat hidup Shakespeare menyatakan bahawa Shakespeare pernah membuat satu analogi tentang kehidupan yang cukup menarik. Ia umpama alunan ombak yang menuju ke gigi pantai yang setiap detik akan melemah dan seterusnya menghilang. Semuanya akan bertukar tempat dengan alunan sebelumnya. Putaran dan perjalanan ombak menuju pantai tersebut akan terus silih berganti hingga ke akhir usia dunia.


Sasterawan Agung Inggeris, William Shakespeare


Bagi Shakespeare, manusia di muka bumi adalah sebahagian daripada sebuah proses perjalanan waktu yang kesemuanya akan berakhir dengan kematian. Oleh itu, dunia hanyalah sebuah pentas opera dan makhluk-makhluknya merupakan para pelakon.


The Bedford Companion To Shakespeare karya Russ McDonald

Proses perjalanan waktu meletakkan manusia dalam satu kemustahilan. Sebagaimana ungkapan Shakespeare, kita tidak mungkin membalik waktu yang tidak hanya
berlaku untuk makhluk-makhluk hidup. Manusia itu sendiri bagi pemikir Perancis, Michel Foucault dalam tulisannya pada 1966, manusia hanyalah penemuan sementara dan akan musnah seperti wajah yang dilukiskan pada permukaan pasir.


Masyarakat Melayu melontarkan perumpamaan yang cukup berkesan tentang hakikat ini; harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Pengertian nama itu sendiri ada sebuah filosofi tentang jasa, sikap, idealisme dan apa sahaja yang dilakukan semasa hidupnya.

Kedua-dua analogi ini aku temukan dalam jiwa kedua-dua tokoh ini yang secara liskalnya memilki falsafah kesusasteraan yang sama, meski bertembung dek beza latar dan budaya.
Karya-karya sastera Datuk Usman Awang dalam genre puisi, cerpen, novel dan semestinya drama begitu padat dengan idealisme yang dalam konteks falsafahnya
memperkatakan banyak aspek bermula isu estetika hingga persoalan nasionalisme, patriotisme dan humanisme yang secara tidak langsung mencerminkan segala gugahan rasa, pemerhatian, sensitiviti serta hasrat almarhum untuk menyuluh cahaya benderang kepada anak bangsanya.

Idealisme tersebut disampaikan dengan simbol-simbol bahasa yang begitu kuat dan berani. Misalnya, dalam cerpen Rimbaku, Airmata dan Harga Hidup, Almarhum
mengkritik tentang masyarakat dan pemimpinnya secara sinis, tetapi masih mengekalkan norma-orma yang melambangkan kebijaksanaan orang Melayu dalam menyusun kata dan aksara,walau sepedih mana bicara hati sekeping tetap perlu dijaga kerana pastinya akan ada yang terasa.

Oleh itu, harapanku semoga ada usaha yang dilakukan oleh badan-badan tertentu (mungkin juga badan korporat yang biasanya mengadakan aktiviti dinner di hotel-hotel besar) supaya ,mengadakan majlis tahlil untuk almarhun Datuk Usman Awang. Usaha kecil sebegini besar rahmatnya kelak, kerana ia adalah salah satu cara untuk kita mengenang almarhum sebagai seorang sasterawan rakyat, penyair, seniman, pujangga, serta penyihir kata yang banyak melaburkan keringatnya untuk membina sebuah empayar peradaban bangsa. Al-Fatihah...

Monday, November 3, 2008

SAMEER, PUJANGGA DARI BUMI TIKRIT


(Aku dan Sameer)

Dalam beberapa puisiku, aku pernah mendedikasikan puisi itu kepada seorang kenalanku yang bernama Sameer. Dan dalam dedikasi itu, aku menyatakan, 'buat Sameer di bumi Tikrit'.

Ada beberapa orang rakanku yang mengatakan bahawa Sameer hanyalah watak rekaan dan nama yang tidak wujud dalam hidupku. Kata mereka, nama Sameer hanyalah sebagai penyedap bentuk puisi kerana dari situ akan memperlihatkan bahawa aku mempunyai rakan yang datang dari Iraq.

Namun, dalam entri kali ini, aku ingin mendedahkan, siapa dia Sameer. Sameer atau nama penuhnya Sameer Shakir Ahmed Ali merupakan seorang pelajar yang menuntut di Universiti Malaya. Perkenalan kami sudah masuk usia dua tahun, dan aku sangat gembira kerana mempunyai seorang rakan sepertinya. Sangat terbuka, meminati bidang sastera, fasih berbahasa Melayu walaupun mempunyai pemikiran yang agak liberal.

Sameer berasal dari Tikrit, Iraq, dan sudah dua tahun menetap di sini sebagai seorang pelajar di UM.


(Husna- Malaysia,Oew Saw-Vietnam, Sameer-Malaysia(rakyat Iraq),Naoo Palm-Thailand)

Baru-baru ini, kami sempat mengikuti satu program Global Peace Festival anjuran satu badan bukan kerajaan (NGO) di Kampung Kerinchi. Dan dikesempatan inilah aku merakamkan detik-detik ketika kami sedang mengecat sebuah rumah flat. Program ini turut disertai oleh beberapa pelajar dari universiti-universiti seluruh ASEAN seperti Malaysia,Thailand, Indonesia, Vietnam, Kemboja, Myanmar dan Singapura.

Sedikit yang menarik tentang Sameer,beliau sangat meminati bidang kesusasteraan dan kini beliau sedang menyiapkan sebuah novel tentang penderitaan rakyat Iraq ketika peperangan berdasarkan pengalamannya sendiri yang menjadi salah seorang mangsa peperangan di bumi Tikrit, Iraq.


SESUDAH TEDUH HUJAN PERANG, SAUDARA
(buat Sameer, di Bumi Tikrit)

Peperangan itu masih basah
meski hujan derita
kian renyai meluruh
dari sedahan malam yang rontok.

Sesudah teduh hujan perang ini, saudara
bumimu kontang ditimpa gerimis tingkah
dalam deru bayu basah
yang jatuh dari awan amanah
menderai ke hujung sebuah lembah
pengalaman jihad yang bergunung payah.

Sesudah teduh, saudara
hujan ini mungkin
akan turun sekali lagi
tanpa kita punya pohon
dan daun
untuk berteduh di gurun sengketa ini.

ZULFAZLAN JUMRAH
FBMK, Universiti Putra Malaysia.