Sunday, January 3, 2010

MENULIS HAIKU: PEMPROSESAN ILHAM YANG BERCEMPERA SERIBU




Amat jarang sekali saya membuat ulasan dan hebahan di blog apabila karya saya tersiar di media. Hal ini kerana, saya memegang satu prinsip bahawa apabila karya kita "diserahkan" kepada umum, maka karya itu sudah menjadi milik masyarakat. Masyarakatlah yang akan menilai karya itu, sama ada untuk mengiktibarkannya, mengabaikannya, mengkritiknya, menyimpannya, mempopularkannya atau boleh jadi juga menyembunyikannya.



Namun, karya saya bertajuk "Haiku Anak Bangsa" yang tersiar di Berita Minggu semalam, benar-benar membuatkan saya teruja untuk mengulas serba sedikit tentangnya kerana ia merupakan sejenis puisi yang amat jarang sekali dicipta oleh penyair-penyair di Malaysia. Mengenang perkara ini, saya teringat kembali peristiwa 2 bulan yang lalu. Dua bulan yang lalu, tidur lena saya dikejutkan oleh suara Ahmad Fedtri Yahya yang mengacarakan rancangan MHI di televisyen. Saya yang ketika itu masih terlayang, antara sedar dengan tidak, lantas membuka mata seluas-luasnya, meski kantuk masih memberat di birai mata usai solat Subuh tadi.



Saya terjaga kerana ketika itu Ahmad Fedtri Yahya sedang membicarakan tentang Haiku, sejenis puisi klasik Jepun yang saya cuba untuk memesrainya setelah saya menganalisis soneta melalui karya-karya Shakespeare, Ghulam Sarwar Yousuf, Henry Howards dan Edna St. Vincent Millay.Haiku adalah puisi pendek yang mempunyai beberapa peraturan. Puisi ini terdiri dari 17 suku kata dalam kombinasi 5-7-5, iaitu :

5 suku kata pada baris pertama
7 suku kata pada baris kedua
5 suku kata pada bari ketiga.

Benar, mencipta Haiku bukanlah sesuatu yang mudah, kerana kita akan menemui pelbagai kesulitan terutamanya dalam usaha membentu suku kata pada setiap baris, pada masa yang sama maksud yang kita cuba sampaikan itu jelas dan nyata.

Selain kombinasi suku kata 5-7-5 ini, kombinasi 5-5-5, 5-6-5, 5-7-4, dan 5-8-5 juga boleh dikategorikan sebagai Haiku. Mencipta Haiku bukanlah satu kerja mudah. Saya, malah menyimpan dua belas draf Haiku Anak Bangsa ini di telefon bimbit saya (tidak lagi menggunakan kertas, saya memanfaatkan aplikasi "notes" di telefon bimbit saya). Saya mengeditnya berpuluh-puluh kali sekiranya ada waktu terluang, dengan tekun sejak dua bulan yang lalu. Sejak dua bulan yang lalu, inilah yang saya kerjakan. Ada perkataan yang dipilih, dibuang, dimasukkan semula, pembinaan draf baru, pemilihan danpertukaran tajuk, pemilihan diksi dan perkataan, kesamaan rima dan yang lebih rumit apabila terpaksa kembali ke peringkat akar umbi, untuk melihat falsafah sajak ini secara keseluruhan. Sungguh, menulis Haiku adalah satu proses memerah dan memeram ilham yang bercempera seribu. dalam berbilion perkataan dalam Bahasa Melayu, hanya beberapa perkataan dipilih dan ia akan diterjemahkan dalam susunan suku kata yang terikat serta kesinambungan rima yang sama tanpa meminggirkan aspek falsafah dan mesej yang cuba disampaikan.

Di sini, saya perturunkan sepenuhnya Haiku tersebut, semoga ia bermanfaat kepada sesiapa sahaja yang mahu mengkaji kuasa kata-kata dan mencintai apa yang dinamakan permainan bahasa dan aksara.

HAIKU ANAK BANGSA

A/nak /bang/sa/ku,
pa/dam /ba/ra /ha/ti/mu,
se/di/ngin /sal/ju.

A/nak /bang/sa/ku,
si/ra/mi/lah /bu/di/mu,
su/bur /se/la/lu.

A/nak /bang/sa/ku,
te/ra/ngi/lah /da/da/mu,
i/man /di /kal/bu.

A/nak /per/ti/wi,
hi/dup /bi/ar /mem/be/ri,
a/ma/lan /di/ri.

Me/ne/ri/ma/lah,
se/ga/la /ra/sa /pa/yah,
ti/a/da /gun/dah.

A/nak /bang/sa/ku,
yang /per/lu /eng/kau /ta/hu,
u/sul /di/ri/mu.

ZULFAZLAN JUMRAH
Kuala Lumpur.