Friday, February 12, 2010

SEGALANYA; YANG PERNAH SAYA LADENI DI SINI




Kalaulah ditanya, zaman apakah yang paling seronok dan bermakna dalam hidup saya, saya akan mengatakan bahawa zaman akhir remaja dan awal dewasalah yang paling seronok untuk dikenang. Hari ini, merupakan hari terakhir saya menjejakkan kaki di Fakulti Pengajian Pendidika (FPP) setelah empat tahun menjadikannya sebagai rumah kedua saya selepas kolej selama saya bertualang menimba pengalaman di sini.




Beberapa jam yang lepas, kami baru saja menamatkan peperiksaan akhir kertas undang-undang keluarga Islam. Jujur, air mata saya asyik bergenang sepanjang menjawab soalan tadi. Kerana beberapa minit yang lepas, saya ada berbual dengan seorang teman yang tidak kurang akrab dengan saya. Entah mengapa, emosi kami terusik dan tanpa sedar, air mata berlinangan ke pipi.



Barangkali ada yang mengatakan saya gembeng, cengeng, sensitif dan apa saja perkataan yang seerti dengannya, tetapi katalah apa saja, kerana saya kenal siapa diri saya. Saya akrab dengan perasaan saya. Penyair memang begitu. Mempunyai tahap sensitiviti yang tinggi, sentimental dan nostalgik. Inilah perubahan yang saya alami sejak bergelumang di dunia yang satu ini.



Namun, ada sedikit rasa terkilan di hati saya. Di hari akhir saya di UPM ini, (Ahad ini saya akan pulang ke Johor, dan entah bila lagi saya akan kembali ke sini)saya tidak berpeluang mengucapkan salam perpisahan kepada dua insan yang sangat saya akrabi dan sanjungi di UPM ini. Insan tersebut tidak lain dan tidak bukan ialah pensyarah dan mentor saya iaiti Tn. Hj. Naffi Mat dan Tn. Hj. Shamsudin Othman. Saya ada menjengah ke bilik mereka kira-kira jam 11.30 pagi, namun sayangnya mereka tidak ada di bilik.



Hasrat saya cuma satu. Mahu bersalaman, bermaafan dan berpelukan dengan mereka lalu mengucapkan salam terakhir sebelum saya meninggalkan kampus hijau yang benar-benar bermakna ini. Apa boleh buat, barangkali bukan rezeki saya untuk mengucap salam perpisahan itu. Mudah-mudahan ada kesempatan untuk bertemu dengan mereka kelak.

Hari ini saya menghabiskan masa senggang dengan bernostalgia di bilik. Mengingati segala memori yang pernah terukir di sini. menyoroti derap dan langkah kaki ini. Mengenang segalanya yang pernah saya ladeni di sini. Apakah perasaan saya ketika ini? Sayu? sedih? hiba? duka? nestapa? lara? Entahlah. Saya sendiri tidak pasti. Yang saya pasti, saya hanya ada kira-kira 48 jam sebelum saya pergi membawa diri bersama-sama dengan segala kenangan yang pernah saya ciptakan di sini.



Segalanya cukup indah! Pensyarah, teman, sahabat hatta musuh sekali pun, merencami perjalanan saya sepanjang saya di sini. Di sinilah saya mengenal aneka topeng manusia, hambatan segala urusan dunia, pengajaran dari khilaf dicipta, musun dan taulan yang sukar dibeda, juga yang paling terkesan adalah seraut cinta yang luka!

Demi masa dan Tuhan yang mengaturkan segala-galanya, semua ini adalah rentetan perjalanan yang cukup indah buat saya. Bukan satu jalan penamat, tetapi selorong perjuangan yang baru saja hendak bermula! Tuhan, terima kasih di atas segala-galanya. Buat teman-teman, terima kasih kerana memberi ruang kecil dalam hidup anda untuk membenarkan saya menumpang di sudut kenangan.