Sunday, August 14, 2011

GAYA BAHASA, NADA, RIMA DAN BENTUK DALAM SAJAK

GAYA BAHASA

1. Anafora -Pengulangan kata pada awal baris
Terbang kenanga terbang pohon
Terbang burung sering dipohon

2. Responsi -Pengulangan kata pada tengah-tengah baris
Sayang indah pergi Johor
Dia yang kupinta pergi datang

3. Epifora -Pengulangan kata pada akhir baris
Sayang Salmah hatinya pedih
Teruja sakitnya hati pedih

4. Repitasi / Repitisi -Pengulangan kata pada baris yang sama
Pergilah sayang pergi jauh
Hati ini hati yang dilukai

5. Simplok -Pengulangan kata pada awal dan akhir baris yang sama
Sayang seribu kali sayang
Hanya aku yang kau kenali

6. Sinkof / Sinkope -Penggunaan singkatan kata
Ku, mu, mau, tak, nak, mak

7. Metafora -Perbandingan secara tidak langsung atau kiasan atau perbandingan yang mempunyai dua kata yang berisi konkrit dan abstrak.
Bukit-bukit harapan
*Bukit ( unsur konkrit)
*harapan ( unsur abstrak)

Hatinya mengalir sungai duka
*sungai (unsur konkrit)
*duka (unsur abstrak)

8. Simile -Perbandingan atau kiasan secara langsung yang bersendi laksana, seperti, bak, umpama, bagaikan dan sebagainya
Seperti kolek terdampar di pasir
Bagai buih kecil di air

9. Personifikasi -Penggunaan unsur kemanusiaan terhadap unsur bukan manusia
Kebosanan menggigit pangkal rasa
*kebosanan bukan manusia, kebosanan tidak boleh menggigit.

10. Hiperbola -Penggunaan unsur yang melampau
Cinta kepadanya cinta jutaan bunga-bungaan
*manusia tak mungkin dapat cinta akan berjuta-juta bunga

Sekarang Kumpulkan tenaga raksasa
*manusia tak mungkin dapat mengumpulkan tenaga seperti raksasa

Seribu tahun kembali juga
*manusia tak mungkin berjumpa selepas seribu tahun

11. Hybrid-Penyatuan dua kata menjadi satu kata
Bertanggungjawab
*Tanggung + jawab

Ketidakpastian
*Tidak + pasti

12. Inversi- Pembalikan kata
Aduhai adinda berpesan adik
*Sepatutnya ditulis Aduhai adinda adik berpesan

13. Paradoks -Penggunaan unsur positif dan negatif dalam satu baris puisi
Menangis dalam kegembiraan
*Menangis – unsur negatif
*Kegembiraan – unsur positif

14. Asonansi -Pengulangan bunyi vokal
Aduhai malang Pak Kaduk
*pengulangan huruf vokal "a"

15. Aliterasi- Pengulangan bunyi konsonan
Ayamnya menang kampung tergadai
*Pengulangan huruf konsonan "m"

16. Imejan -Penggunaan unsur alam
Sungai, laut, bukit, tasik

NADA DALAM SAJAK

Melankolik -sedih
Patriotisme -Cinta akan negara
Sinis -Mengejek / menyindir
Romantis/Romantik -Kegembiraan / kebahagiaan
Protes -Membangkang
Ironi -Keadaan yang menunjukkan penentangan
Ode / Oda -Memuji atau menyanjung

RIMA AKHIR
Sajak -Bebas
Syair -a,a,a,a
Pantun -a,b,a,b

BENTUK DALAM SAJAK
Distikhon -----Dua baris setiap rangkap
Terzina -----Tiga baris setiap rangkap
Kuatren -----Empat baris setiap rangkap
Kuantren -----Lima baris setiap rangkap
Sestet -----Enam baris setiap rangkap
Septet -----Tujuh baris setiap rangkap
Oktaf -----Lapan baris setiap rangkap
Soneta -----Empat belas baris setiap rangkap

* Semoga nota ini bermanfaat.

Sunday, June 12, 2011

MENGENANG T.ALIAS TAIB 2



Cuti persekolahan selama dua minggu saya manfaatkan semahunya. Seminggu saya penuhi dengan memenuhi undangan walimatul urus teman-teman yang sudah menamatkan zaman bujang (ramai yang tanya, saya bila lagi), di sekitar Perak, Kelantan, dan Terengganu, manakala seminggu lagi saya ripuh menyiapkan tuntutan tugasan sekolah dan mengurung diri untuk menulis.

Ketika di Terengganu, kebetulan walimatul urus teman akrab saya diadakan di sebuah kampung di Seberang Takir. Entah mengap, menjejaki tempat ini, saya dihurung perasaan gundah berbaur tenang, rindu pada sesuatu yang telah hilang, dan teruja bercampur riang.

Seberang Takir - tempat lahirnya seorang penyair yang boleh saya sifatkan sebagai idola saya iaitu Allahyarham Tengku Alias Taib (T. Alias Taib, atau saya lebih gemar menggelarnya Pak Engku)di mana sejujurnya saya menjadi 'kuat' untuk menulis kerana karya-karyanya.



Syukur, pada hari ini, puisi yang saya nukilkan setelah terkesan dan mendapat 'roh' daripada proses bernostalgia di Seberang Takir selama beberapa hari disiarkan di akhbar Mingguan Malaysia.

Saya sangat mengagumi Pak Engku. Meski tidak pernah bersua muka dengannya, saya mengenalinya melalui himpunan karya yang segar, kritis, ekstrem dan jujur. Sejujurnya, saya tidak malu untuk mengakui bahawa saya menjadi sebak apakala membaca tulisan-tulisannya sama ada dalam bentuk puisi, cerpen atau rencana.Saya menghabiskan masa selamat tiga tahun sedaya upaya mencari koleksi himpunan rencananya 'Di sisi Pelita Minyak Tanah' sehinggalah berjaya membelinya melalui mudah.my daripada seorang wanita.

Seorang penulis mempunyai pasang-surut semangat untuk menulis. Perkara itulah juga yang terjadi kepada saya. Apabila saya hilang semangat untuk menulis, saya akan membelek-belek kumpulan puisi beliau untuk mencari kekuatan dan semangat untuk menulis. Alhamdulilah, entah mengapa semangat itu akan hadir apabila saya meratah kumpulan puisi beliau.

Rencana beliau yang paling saya gemari sudah semestinya 'Di Sisi Pelita Minyak Tanah' yang pernah disiarkan di Dewan Sastera, sebelum dibukukan dalam himpunan rencana yang menggunakan judul yang sama.Membaca rencana jujur itu, saya menjadi sebak. Betapa penyair agung ini mempunyai kerendahan diri dan hati yang tiada tolok bandingnya. Segala pengucapannya bersifat sederhana, jujur, ikhlas dan tidak nampak unsur-unsur kemegahannya meski telah merangkul berbondong anugerah di persada kesusasteraan tanah air.

Beliau tidak malu berkisah tentang zaman kanak-kanaknya. Seorang anak miskin yang sarapan paginya hanyalah beberapa ketul ubi rebus, menaiki basikal Robin Hood ke sekolah, sambil dihantar oleh ibunya yang melihat di jenang pintu dengan linangan air mata.

Saya mengagumi semangat menulisnya. Kesungguhannya terpamer apabila beliau pernah menyatakan bahawa proses menulis puisi pada beliau bukanlah perkara remeh. Antara ayatnya lebih kurang begini:
' Bukan tidak pernah, saya duduk di meja tulis selama 8 jam dan meninggalkan meja tulis dengan kertas yang masih kosong'.

Dalam mengagumi beliau, saya masih berasa ralat kerana saya masih tercari-cari kumpulan puisinya 'Petang Condong' dan 'Laut Tak Biru di Seberang Takir' yang masih belum saya temui. Saya pohon, jika ada yang mempunyai kumpulan puisi ini, bolehlah maklumkan kepada saya. Saya sanggup beli walau berapa pun harganya.

Di sini, saya perturunkan puisi saya yang disiarkan di Mingguan Malaysia sepenuhnya. Buat Pak Engku, Al-Fatihah.

KALA SEBERANG TAKIR DIJABAT SUBUH
(Mengenang T.Alias Taib)

Kala Seberang Takir dijabat subuh
pawana dingin merangkul tubuh
tika pantai Ketapang berombak gaduh
dan laut perasaanku beriak keruh.

Mengenangmu, tuan
pada bayang waktu silih bergantian
aku sang pemudik tanpa dayung di tangan
ingin sekali berenang ke tepian
menziarahi tanjung puisimu, tuan
tulus pendedahan sarat pengalaman
jujur menunjuk sinis mengajuk
serimba hutan kata-kata
adalah setaman inderaloka
menyebar fikir buat yang alpa
mendacing pertimbangan fana
hati bersalut lumpur di muara.

Di sisi pelita minyak tanah
kala Seberang Takir dijabat subuh
aku menggagau mencarimu tuan
di Petang Condong di Pasar Pengalaman
di astaka Opera lelucon mengasyikkan.

Dengan Seberkas Kunci di tangan
juga pendakian Piramid di puncak persaingan
telah bertahun ralit kusuburkan
benih mahakaryamu di perbatasan zaman
berbaur rencah pengertian persoalan.

ZULFAZLAN JUMRAH
Seberang Takir,
Terengganu.

Thursday, April 7, 2011

BERHENTI MENULIS



Sudah terlalu lama rasanya saya tidak meletakkan apa-apa entri di blog saya ini. Bersesuaian dengan kegilaan manusia pada hari ini dengan satu 'penyihir' bernama facebook, maka saya kira blog sudah kian terpinggir (barangkali ada yang tidak bersetuju dengan pendapat saya ini).

Pada hari ini, saya kembali menulis di blog NAKHODA BANGSA ini lantaran terasa sangat terpanggil dan kebetulan saya mempunyai sedikit jeda senggang untuk membuka blog saya ini (rupa-rupanya saya hampir terlupa password blog sendiri).

Sejak 4 bulan yang lalu, saya telah memasuki dunia pekerjaan baharu. Ya, dunia pekerjaan baharu sebagai seorang pendidik anak bangsa ternyata seperti sudah ditakdirkan buat saya. Dunia inilah yang selama ini hanya saya perhatikan dari luar, dunia yang melalui pembacaan saya di media massa kononnya sarat pancaroba serba,dikhabarkan orang penuh politik jumudnya, atau boleh jadi juga sebuah entiti yang melahirkan pejuang dan perosak bangsa dan negara.

Saya ditakdirkan mengajar di sebuah sekolah di Kuala Lumpur yang 98% pelajarnya berbangsa Cina. Firasat awal saya, saya perlu berbangga kerana saya kira di sinilah peluang untuk saya mendidik anak bangsa lain agar mencintai Bahasa Melayu yang kian dianaktirikan di negara sendiri.

Saya kira, inilah peluang yang perlu saya buka seluas-luasnya agar saya mampu mengajar mereka keindahan metafora dan simile kata, atau sesekali berpantun seloka sambil mengisahkan kepada mereka tentang semenanjung emas yang kita diami bersama.

Saya sering mengharapkan, agar saya bisa membawa mereka menerokai dunia perdebatan dengan petah bicara, memerah fikiran mencipta pantun dengan menyusun rima,atau berpuisi di teduhan pohon ketapang di pinggir kelas sampil menikmati terpaan pawana.

NAMUN, SAYA TERLEWAT!

Tanpa sedar, rupa-rupanya mereka sudah lama membunuh minat mereka terhadap bahasa melayu. Ada antara pelajar saya yang sudah berada di tingkatan 4 masih merangkak membaca petikan yang ditulis di dalam bahasa Melayu. Ada juga antara mereka tanpa silu dan segan menyatakan guru-guru Melayu bukan pilihan. Ada antara mereka mengatakan kami hanyalah tempelan. Ada antara mereka yang tanpa bersalah mengatakan mereka terpaksa belajar Bahasa Melayu dengan semput dan lelah.

Apa yang saya rasa?
Boleh saja saya mendiamkan diri, tidak mempedulikan kata-kata mereka dan mengajar sambil lewa lalu setiap bulan menghabiskan wang gaji dengan berlibur di ibu kota.
Boleh saja saya masuk ke kelas sepuluh minit sebelum masa tamat, bersembang perkara-perkara lagha sambil mencuci mata, sebelum bersiul meninggalkan kelas yang marba.

Boleh saja saya mengambil cuti kecemasan, lalu bergoyang kaki di rumah menonton filem kegemaran tanpa pernah keadaan pelajar-pelajar di sekolah saya fikirkan.

Tetapi jiwa saya tidak membenarkan. Saya tidak mahu menjadi seorang guru, tetapi saya mahu menjadi seorang pendidik. Pendidik yang mengajar pelajar tentang betapa tingginya martabat ilmu yang perlu digali dengan sabar, tentang betapa payahnya cabaran yang mendatang andai kita tak bersedia mengharung gelombang, betapa sakitnya hidup tanpa ilmu andai kita hanya termangu..

Saya juga mahu berkongsi dengan mereka tentang sekelumit pengalaman yang berharga, atau sedikit kenakalan kelak dibayar padahnya, atau berhati-hati menyulam jerat cinta remaja yang selalunya menghancurkan mahkota teruna dan dara.

Namun, semua itu tidak dapat saya kongsikan dengan mereka. Di kelas, mereka bercakap bahasa ibunda mereka tanpa mempedulikan saya di depan yang kering tekak menyusun bicara dan pedoman kata. Buku diberi percuma tidak pernah dibawa apatah menyelesaikan kerja yang saya kira tidak sebanyak dan sesusah mana.

Perkara inilah yang menjadi tekanan buat saya. Saya sedih apabila setelah saya bermatian mengajar mereka dengan harapan menjadikan mereka manusia yang berguna, imbalannya tidak semulia yang saya sangka. Pada mereka, itu semua tidak berharga. Berikan saya pelajar yang kurang pandai, tetapi mempunyai motivasi yang tinggi untuk berjaya. nescaya dengan seikhlas hati saya akan mendidik mereka untuk mencapai kejayaan yang bermakna.

PErkara inilah yang menjadikan saya, tanpa sedar sudah 4 bulan tidak menulis walau satu sebaris puisi pun. Tanyalah kepada para penilis mapan, betapa seksanya jiwa jika kita tidak berada di dalam kondisi yang baik untuk menulis. Bakat saya seolah-olah sudah hampir terbunuh di sini! Adakah ini petandanya riwayat pena saya akan terhenti, atau barangkali hanya kesementaraan yang belum pasti?