Thursday, April 7, 2011

BERHENTI MENULIS



Sudah terlalu lama rasanya saya tidak meletakkan apa-apa entri di blog saya ini. Bersesuaian dengan kegilaan manusia pada hari ini dengan satu 'penyihir' bernama facebook, maka saya kira blog sudah kian terpinggir (barangkali ada yang tidak bersetuju dengan pendapat saya ini).

Pada hari ini, saya kembali menulis di blog NAKHODA BANGSA ini lantaran terasa sangat terpanggil dan kebetulan saya mempunyai sedikit jeda senggang untuk membuka blog saya ini (rupa-rupanya saya hampir terlupa password blog sendiri).

Sejak 4 bulan yang lalu, saya telah memasuki dunia pekerjaan baharu. Ya, dunia pekerjaan baharu sebagai seorang pendidik anak bangsa ternyata seperti sudah ditakdirkan buat saya. Dunia inilah yang selama ini hanya saya perhatikan dari luar, dunia yang melalui pembacaan saya di media massa kononnya sarat pancaroba serba,dikhabarkan orang penuh politik jumudnya, atau boleh jadi juga sebuah entiti yang melahirkan pejuang dan perosak bangsa dan negara.

Saya ditakdirkan mengajar di sebuah sekolah di Kuala Lumpur yang 98% pelajarnya berbangsa Cina. Firasat awal saya, saya perlu berbangga kerana saya kira di sinilah peluang untuk saya mendidik anak bangsa lain agar mencintai Bahasa Melayu yang kian dianaktirikan di negara sendiri.

Saya kira, inilah peluang yang perlu saya buka seluas-luasnya agar saya mampu mengajar mereka keindahan metafora dan simile kata, atau sesekali berpantun seloka sambil mengisahkan kepada mereka tentang semenanjung emas yang kita diami bersama.

Saya sering mengharapkan, agar saya bisa membawa mereka menerokai dunia perdebatan dengan petah bicara, memerah fikiran mencipta pantun dengan menyusun rima,atau berpuisi di teduhan pohon ketapang di pinggir kelas sampil menikmati terpaan pawana.

NAMUN, SAYA TERLEWAT!

Tanpa sedar, rupa-rupanya mereka sudah lama membunuh minat mereka terhadap bahasa melayu. Ada antara pelajar saya yang sudah berada di tingkatan 4 masih merangkak membaca petikan yang ditulis di dalam bahasa Melayu. Ada juga antara mereka tanpa silu dan segan menyatakan guru-guru Melayu bukan pilihan. Ada antara mereka mengatakan kami hanyalah tempelan. Ada antara mereka yang tanpa bersalah mengatakan mereka terpaksa belajar Bahasa Melayu dengan semput dan lelah.

Apa yang saya rasa?
Boleh saja saya mendiamkan diri, tidak mempedulikan kata-kata mereka dan mengajar sambil lewa lalu setiap bulan menghabiskan wang gaji dengan berlibur di ibu kota.
Boleh saja saya masuk ke kelas sepuluh minit sebelum masa tamat, bersembang perkara-perkara lagha sambil mencuci mata, sebelum bersiul meninggalkan kelas yang marba.

Boleh saja saya mengambil cuti kecemasan, lalu bergoyang kaki di rumah menonton filem kegemaran tanpa pernah keadaan pelajar-pelajar di sekolah saya fikirkan.

Tetapi jiwa saya tidak membenarkan. Saya tidak mahu menjadi seorang guru, tetapi saya mahu menjadi seorang pendidik. Pendidik yang mengajar pelajar tentang betapa tingginya martabat ilmu yang perlu digali dengan sabar, tentang betapa payahnya cabaran yang mendatang andai kita tak bersedia mengharung gelombang, betapa sakitnya hidup tanpa ilmu andai kita hanya termangu..

Saya juga mahu berkongsi dengan mereka tentang sekelumit pengalaman yang berharga, atau sedikit kenakalan kelak dibayar padahnya, atau berhati-hati menyulam jerat cinta remaja yang selalunya menghancurkan mahkota teruna dan dara.

Namun, semua itu tidak dapat saya kongsikan dengan mereka. Di kelas, mereka bercakap bahasa ibunda mereka tanpa mempedulikan saya di depan yang kering tekak menyusun bicara dan pedoman kata. Buku diberi percuma tidak pernah dibawa apatah menyelesaikan kerja yang saya kira tidak sebanyak dan sesusah mana.

Perkara inilah yang menjadi tekanan buat saya. Saya sedih apabila setelah saya bermatian mengajar mereka dengan harapan menjadikan mereka manusia yang berguna, imbalannya tidak semulia yang saya sangka. Pada mereka, itu semua tidak berharga. Berikan saya pelajar yang kurang pandai, tetapi mempunyai motivasi yang tinggi untuk berjaya. nescaya dengan seikhlas hati saya akan mendidik mereka untuk mencapai kejayaan yang bermakna.

PErkara inilah yang menjadikan saya, tanpa sedar sudah 4 bulan tidak menulis walau satu sebaris puisi pun. Tanyalah kepada para penilis mapan, betapa seksanya jiwa jika kita tidak berada di dalam kondisi yang baik untuk menulis. Bakat saya seolah-olah sudah hampir terbunuh di sini! Adakah ini petandanya riwayat pena saya akan terhenti, atau barangkali hanya kesementaraan yang belum pasti?