Wednesday, March 5, 2014

PUISI SEORANG LELAKI



PUISI SEORANG LELAKI
(ingatan kepada A. Latiff Mohidin)


Kugemakan teriakku
pada hilir muaramu
kerana rencam nuraniku
dan jiwa kepenyairanku
berkolek ke hulu syahdumu.


Derasmu Mekong
limpah mencurah di tebing maruah
bah sekaki tiada terarah
kerikil batuan gunung terbongkah
landai sekebun tanah serendah
ratap dipincing walang berdarah.


Rahsiamu tercermin
dalam sajak Latiff Mohidin
tentang rusuh perang dingin
haloba soldadu menjaring angin
menisan marga tanpa ditalkin
hingga yang tinggal hanyalah kepingin.


Hingga nanti,
kukirimkan puisi seorang lelaki
di perkebunan gersang jiwa insani
meski esok hari
dadamu mendesah dibasahi
hujan panas demokrasi
dan tebingmu akan terpecah
sekali lagi.

ZULFAZLAN JUMRAH
Siem Reap,
Kemboja


Monday, March 26, 2012

KOMSAS (HARGA REMAJA - TINGKATAN 4)

Sajak Harga Remaja (Rahman Shaari) Tingkatan 4

Maksud

Rangkap 1

Pengajak menerangkan tentang kepentingan usia remaja yang tinggi nilainya dalam meniti kehidupan.

Rangkap 2

Penyajak mencetuskan persoalan tentang pengisian kehidupan remaja sama ada dipenuhi kelalaian atau digunakan untuk menuntut ilmu.

Rangkap 3

Usia remaja amat bernilai dan tidak boleh dibeli dengan perjanjian. Remaja perlu teguh pendirian, berani menghadapi cabaran dan gigih menuntut ilmu.

Rangkap 4

Remaja perlu mempunyai matlamat hidup untuk menjadi insan yang berguna.


Tema

Ketinggian nilai usia remaja berdasarkan pengisian usia muda.Zaman remaja ialah zaman paling berharga dan para remaja mesti mengisinya dengan sesuatu yang baik remaja juga mesti berani berpendirian dan berilmu pengetahuan serta mempunyai hala tuju.

Persoalan

1. Persoalan tentang kehidupan remaja yang penuh dengan cabaran dan dugaan.

2. Persoalan jati diri remaja.

3. Persoalan keberanian remaja dalam menempuh liku-liku kehidupan.Tanpa keberanian, remaja susah menghadapi zaman remaja yang penuh masalah dan pengaruh.

4. Persoalan hala tuju hidup dalam diri remaja.
Zaman remaja dapat diisi dengan sebaik-baiknya dengan adanya hala tuju dan matlamat hidup.


Bentuk

1. Terdiri daripada empat rangkap
2. Bilangan barisnya tidak sama. Rangkap pertama, kedua dan ketiga terdiri daripada enam baris, manakala rangkap keempat terdiri daripada dua baris.
3. Mengandungi antara satu hingga empat patah kata sebaris.
4. Rima akhirnya bebas abaccd,abcdcd, abcdce dan aa.
5. Sajak ini berbentuk bebas.

Nada

Sinis


Gaya Bahasa

1. Ayatnya pendek-pendek.
Contoh: pendirian (rangkap 3, baris 5)

2. Diksinya mudah difahami.
Contoh: dengan apakah akan kaupenuhi (rangkap 2, baris 1)

3. Aliterasi :pengulangan konsonan m
Contoh : remaja amat mahal (rangkap 3, baris 1)

4. Pengulangan konsonan t
Contoh : dengan ketentuan tuju (rangkap 4, baris 2)

5. Asonansi :pengulangan vokal a
Contoh :dengan apakah akan kaupenuhi (rangkap 2, baris 1)
Pengulangan vokal i
Contoh : di pinggir perjalanan ini? (rangkap 1, baris 6)

6. Anafora – pengulangan perkataan pada awal baris
Contoh : bagai kehijauan daun
bagai kesegaran pohon (rangkap 1, baris 4-5)


7. Metafora
Contoh : piala remajamu (rangkap 2, baris 2)
cuka kesangsian (rangkap 2, baris 3)
madu ajaran (rangkap 2, baris 5)
8. Simile
Contoh : bagai kehijauan daun (rangkap 1, baris 4)

9. Sinkope
Contoh : Penuhilah remajamu
Dengan apakah akan kau penuhi



Nilai

1. Nilai keberanian. Remaja perlu berani untuk menegakkan kebenaran.
2. Nilai kegigihan. Remaja mestilah berusaha untuk menuntut ilmu.
3. Nilai kebijaksanaan. Remaja perlu bijak menentukan hala tuju diri dalam hidup mereka.


Pengajaran

1. Kita hendaklah mengisi masa remaja dengan perkara-perkara yang bermanfaat.
2. Kita mestilah rajin berusaha dan menuntut ilmu demi masa depan yang cerah.
3. Kita hendaklah berani menempuh dugaan hidup.Remaja mestilah mempunyai keberanian kerana tanpa keberanian, remaja susah menghadapi zaman remaja yang penuh masalah dan pengaruh.
4. Kita perlu mempunyai pendirian yang tetap dan yakin akan diri sendiri.








Latihan

Soalan

1. Nyatakan dua nilai yang terdapat dalam sajak Harga Remaja.

2. Nyatakan dua pengajaran yang diperoleh daripada sajak Harga Remaja.

Sunday, August 14, 2011

GAYA BAHASA, NADA, RIMA DAN BENTUK DALAM SAJAK

GAYA BAHASA

1. Anafora -Pengulangan kata pada awal baris
Terbang kenanga terbang pohon
Terbang burung sering dipohon

2. Responsi -Pengulangan kata pada tengah-tengah baris
Sayang indah pergi Johor
Dia yang kupinta pergi datang

3. Epifora -Pengulangan kata pada akhir baris
Sayang Salmah hatinya pedih
Teruja sakitnya hati pedih

4. Repitasi / Repitisi -Pengulangan kata pada baris yang sama
Pergilah sayang pergi jauh
Hati ini hati yang dilukai

5. Simplok -Pengulangan kata pada awal dan akhir baris yang sama
Sayang seribu kali sayang
Hanya aku yang kau kenali

6. Sinkof / Sinkope -Penggunaan singkatan kata
Ku, mu, mau, tak, nak, mak

7. Metafora -Perbandingan secara tidak langsung atau kiasan atau perbandingan yang mempunyai dua kata yang berisi konkrit dan abstrak.
Bukit-bukit harapan
*Bukit ( unsur konkrit)
*harapan ( unsur abstrak)

Hatinya mengalir sungai duka
*sungai (unsur konkrit)
*duka (unsur abstrak)

8. Simile -Perbandingan atau kiasan secara langsung yang bersendi laksana, seperti, bak, umpama, bagaikan dan sebagainya
Seperti kolek terdampar di pasir
Bagai buih kecil di air

9. Personifikasi -Penggunaan unsur kemanusiaan terhadap unsur bukan manusia
Kebosanan menggigit pangkal rasa
*kebosanan bukan manusia, kebosanan tidak boleh menggigit.

10. Hiperbola -Penggunaan unsur yang melampau
Cinta kepadanya cinta jutaan bunga-bungaan
*manusia tak mungkin dapat cinta akan berjuta-juta bunga

Sekarang Kumpulkan tenaga raksasa
*manusia tak mungkin dapat mengumpulkan tenaga seperti raksasa

Seribu tahun kembali juga
*manusia tak mungkin berjumpa selepas seribu tahun

11. Hybrid-Penyatuan dua kata menjadi satu kata
Bertanggungjawab
*Tanggung + jawab

Ketidakpastian
*Tidak + pasti

12. Inversi- Pembalikan kata
Aduhai adinda berpesan adik
*Sepatutnya ditulis Aduhai adinda adik berpesan

13. Paradoks -Penggunaan unsur positif dan negatif dalam satu baris puisi
Menangis dalam kegembiraan
*Menangis – unsur negatif
*Kegembiraan – unsur positif

14. Asonansi -Pengulangan bunyi vokal
Aduhai malang Pak Kaduk
*pengulangan huruf vokal "a"

15. Aliterasi- Pengulangan bunyi konsonan
Ayamnya menang kampung tergadai
*Pengulangan huruf konsonan "m"

16. Imejan -Penggunaan unsur alam
Sungai, laut, bukit, tasik

NADA DALAM SAJAK

Melankolik -sedih
Patriotisme -Cinta akan negara
Sinis -Mengejek / menyindir
Romantis/Romantik -Kegembiraan / kebahagiaan
Protes -Membangkang
Ironi -Keadaan yang menunjukkan penentangan
Ode / Oda -Memuji atau menyanjung

RIMA AKHIR
Sajak -Bebas
Syair -a,a,a,a
Pantun -a,b,a,b

BENTUK DALAM SAJAK
Distikhon -----Dua baris setiap rangkap
Terzina -----Tiga baris setiap rangkap
Kuatren -----Empat baris setiap rangkap
Kuantren -----Lima baris setiap rangkap
Sestet -----Enam baris setiap rangkap
Septet -----Tujuh baris setiap rangkap
Oktaf -----Lapan baris setiap rangkap
Soneta -----Empat belas baris setiap rangkap

* Semoga nota ini bermanfaat.

Sunday, June 12, 2011

MENGENANG T.ALIAS TAIB 2



Cuti persekolahan selama dua minggu saya manfaatkan semahunya. Seminggu saya penuhi dengan memenuhi undangan walimatul urus teman-teman yang sudah menamatkan zaman bujang (ramai yang tanya, saya bila lagi), di sekitar Perak, Kelantan, dan Terengganu, manakala seminggu lagi saya ripuh menyiapkan tuntutan tugasan sekolah dan mengurung diri untuk menulis.

Ketika di Terengganu, kebetulan walimatul urus teman akrab saya diadakan di sebuah kampung di Seberang Takir. Entah mengap, menjejaki tempat ini, saya dihurung perasaan gundah berbaur tenang, rindu pada sesuatu yang telah hilang, dan teruja bercampur riang.

Seberang Takir - tempat lahirnya seorang penyair yang boleh saya sifatkan sebagai idola saya iaitu Allahyarham Tengku Alias Taib (T. Alias Taib, atau saya lebih gemar menggelarnya Pak Engku)di mana sejujurnya saya menjadi 'kuat' untuk menulis kerana karya-karyanya.



Syukur, pada hari ini, puisi yang saya nukilkan setelah terkesan dan mendapat 'roh' daripada proses bernostalgia di Seberang Takir selama beberapa hari disiarkan di akhbar Mingguan Malaysia.

Saya sangat mengagumi Pak Engku. Meski tidak pernah bersua muka dengannya, saya mengenalinya melalui himpunan karya yang segar, kritis, ekstrem dan jujur. Sejujurnya, saya tidak malu untuk mengakui bahawa saya menjadi sebak apakala membaca tulisan-tulisannya sama ada dalam bentuk puisi, cerpen atau rencana.Saya menghabiskan masa selamat tiga tahun sedaya upaya mencari koleksi himpunan rencananya 'Di sisi Pelita Minyak Tanah' sehinggalah berjaya membelinya melalui mudah.my daripada seorang wanita.

Seorang penulis mempunyai pasang-surut semangat untuk menulis. Perkara itulah juga yang terjadi kepada saya. Apabila saya hilang semangat untuk menulis, saya akan membelek-belek kumpulan puisi beliau untuk mencari kekuatan dan semangat untuk menulis. Alhamdulilah, entah mengapa semangat itu akan hadir apabila saya meratah kumpulan puisi beliau.

Rencana beliau yang paling saya gemari sudah semestinya 'Di Sisi Pelita Minyak Tanah' yang pernah disiarkan di Dewan Sastera, sebelum dibukukan dalam himpunan rencana yang menggunakan judul yang sama.Membaca rencana jujur itu, saya menjadi sebak. Betapa penyair agung ini mempunyai kerendahan diri dan hati yang tiada tolok bandingnya. Segala pengucapannya bersifat sederhana, jujur, ikhlas dan tidak nampak unsur-unsur kemegahannya meski telah merangkul berbondong anugerah di persada kesusasteraan tanah air.

Beliau tidak malu berkisah tentang zaman kanak-kanaknya. Seorang anak miskin yang sarapan paginya hanyalah beberapa ketul ubi rebus, menaiki basikal Robin Hood ke sekolah, sambil dihantar oleh ibunya yang melihat di jenang pintu dengan linangan air mata.

Saya mengagumi semangat menulisnya. Kesungguhannya terpamer apabila beliau pernah menyatakan bahawa proses menulis puisi pada beliau bukanlah perkara remeh. Antara ayatnya lebih kurang begini:
' Bukan tidak pernah, saya duduk di meja tulis selama 8 jam dan meninggalkan meja tulis dengan kertas yang masih kosong'.

Dalam mengagumi beliau, saya masih berasa ralat kerana saya masih tercari-cari kumpulan puisinya 'Petang Condong' dan 'Laut Tak Biru di Seberang Takir' yang masih belum saya temui. Saya pohon, jika ada yang mempunyai kumpulan puisi ini, bolehlah maklumkan kepada saya. Saya sanggup beli walau berapa pun harganya.

Di sini, saya perturunkan puisi saya yang disiarkan di Mingguan Malaysia sepenuhnya. Buat Pak Engku, Al-Fatihah.

KALA SEBERANG TAKIR DIJABAT SUBUH
(Mengenang T.Alias Taib)

Kala Seberang Takir dijabat subuh
pawana dingin merangkul tubuh
tika pantai Ketapang berombak gaduh
dan laut perasaanku beriak keruh.

Mengenangmu, tuan
pada bayang waktu silih bergantian
aku sang pemudik tanpa dayung di tangan
ingin sekali berenang ke tepian
menziarahi tanjung puisimu, tuan
tulus pendedahan sarat pengalaman
jujur menunjuk sinis mengajuk
serimba hutan kata-kata
adalah setaman inderaloka
menyebar fikir buat yang alpa
mendacing pertimbangan fana
hati bersalut lumpur di muara.

Di sisi pelita minyak tanah
kala Seberang Takir dijabat subuh
aku menggagau mencarimu tuan
di Petang Condong di Pasar Pengalaman
di astaka Opera lelucon mengasyikkan.

Dengan Seberkas Kunci di tangan
juga pendakian Piramid di puncak persaingan
telah bertahun ralit kusuburkan
benih mahakaryamu di perbatasan zaman
berbaur rencah pengertian persoalan.

ZULFAZLAN JUMRAH
Seberang Takir,
Terengganu.

Thursday, April 7, 2011

BERHENTI MENULIS



Sudah terlalu lama rasanya saya tidak meletakkan apa-apa entri di blog saya ini. Bersesuaian dengan kegilaan manusia pada hari ini dengan satu 'penyihir' bernama facebook, maka saya kira blog sudah kian terpinggir (barangkali ada yang tidak bersetuju dengan pendapat saya ini).

Pada hari ini, saya kembali menulis di blog NAKHODA BANGSA ini lantaran terasa sangat terpanggil dan kebetulan saya mempunyai sedikit jeda senggang untuk membuka blog saya ini (rupa-rupanya saya hampir terlupa password blog sendiri).

Sejak 4 bulan yang lalu, saya telah memasuki dunia pekerjaan baharu. Ya, dunia pekerjaan baharu sebagai seorang pendidik anak bangsa ternyata seperti sudah ditakdirkan buat saya. Dunia inilah yang selama ini hanya saya perhatikan dari luar, dunia yang melalui pembacaan saya di media massa kononnya sarat pancaroba serba,dikhabarkan orang penuh politik jumudnya, atau boleh jadi juga sebuah entiti yang melahirkan pejuang dan perosak bangsa dan negara.

Saya ditakdirkan mengajar di sebuah sekolah di Kuala Lumpur yang 98% pelajarnya berbangsa Cina. Firasat awal saya, saya perlu berbangga kerana saya kira di sinilah peluang untuk saya mendidik anak bangsa lain agar mencintai Bahasa Melayu yang kian dianaktirikan di negara sendiri.

Saya kira, inilah peluang yang perlu saya buka seluas-luasnya agar saya mampu mengajar mereka keindahan metafora dan simile kata, atau sesekali berpantun seloka sambil mengisahkan kepada mereka tentang semenanjung emas yang kita diami bersama.

Saya sering mengharapkan, agar saya bisa membawa mereka menerokai dunia perdebatan dengan petah bicara, memerah fikiran mencipta pantun dengan menyusun rima,atau berpuisi di teduhan pohon ketapang di pinggir kelas sampil menikmati terpaan pawana.

NAMUN, SAYA TERLEWAT!

Tanpa sedar, rupa-rupanya mereka sudah lama membunuh minat mereka terhadap bahasa melayu. Ada antara pelajar saya yang sudah berada di tingkatan 4 masih merangkak membaca petikan yang ditulis di dalam bahasa Melayu. Ada juga antara mereka tanpa silu dan segan menyatakan guru-guru Melayu bukan pilihan. Ada antara mereka mengatakan kami hanyalah tempelan. Ada antara mereka yang tanpa bersalah mengatakan mereka terpaksa belajar Bahasa Melayu dengan semput dan lelah.

Apa yang saya rasa?
Boleh saja saya mendiamkan diri, tidak mempedulikan kata-kata mereka dan mengajar sambil lewa lalu setiap bulan menghabiskan wang gaji dengan berlibur di ibu kota.
Boleh saja saya masuk ke kelas sepuluh minit sebelum masa tamat, bersembang perkara-perkara lagha sambil mencuci mata, sebelum bersiul meninggalkan kelas yang marba.

Boleh saja saya mengambil cuti kecemasan, lalu bergoyang kaki di rumah menonton filem kegemaran tanpa pernah keadaan pelajar-pelajar di sekolah saya fikirkan.

Tetapi jiwa saya tidak membenarkan. Saya tidak mahu menjadi seorang guru, tetapi saya mahu menjadi seorang pendidik. Pendidik yang mengajar pelajar tentang betapa tingginya martabat ilmu yang perlu digali dengan sabar, tentang betapa payahnya cabaran yang mendatang andai kita tak bersedia mengharung gelombang, betapa sakitnya hidup tanpa ilmu andai kita hanya termangu..

Saya juga mahu berkongsi dengan mereka tentang sekelumit pengalaman yang berharga, atau sedikit kenakalan kelak dibayar padahnya, atau berhati-hati menyulam jerat cinta remaja yang selalunya menghancurkan mahkota teruna dan dara.

Namun, semua itu tidak dapat saya kongsikan dengan mereka. Di kelas, mereka bercakap bahasa ibunda mereka tanpa mempedulikan saya di depan yang kering tekak menyusun bicara dan pedoman kata. Buku diberi percuma tidak pernah dibawa apatah menyelesaikan kerja yang saya kira tidak sebanyak dan sesusah mana.

Perkara inilah yang menjadi tekanan buat saya. Saya sedih apabila setelah saya bermatian mengajar mereka dengan harapan menjadikan mereka manusia yang berguna, imbalannya tidak semulia yang saya sangka. Pada mereka, itu semua tidak berharga. Berikan saya pelajar yang kurang pandai, tetapi mempunyai motivasi yang tinggi untuk berjaya. nescaya dengan seikhlas hati saya akan mendidik mereka untuk mencapai kejayaan yang bermakna.

PErkara inilah yang menjadikan saya, tanpa sedar sudah 4 bulan tidak menulis walau satu sebaris puisi pun. Tanyalah kepada para penilis mapan, betapa seksanya jiwa jika kita tidak berada di dalam kondisi yang baik untuk menulis. Bakat saya seolah-olah sudah hampir terbunuh di sini! Adakah ini petandanya riwayat pena saya akan terhenti, atau barangkali hanya kesementaraan yang belum pasti?

Wednesday, July 7, 2010

SINIKAL SEORANG TEMAN LAMA DAN BUAH TANGAN TERBAHARU DI PTS



I

Saya kini berada di Salak Selatan, di rumah Fairus. Sebetulnya, rancangan saya mulanya ialah menemani Liza saya mendaftarkan adiknya bagi program Master di UPM. Ialah, orang Sabah, jadi mana yang sulit bagi mereka, kita di sini perlulah membantu dan meringankan mana yang patut. Selepas urusan pendaftaran selesai dan Liza selamat pulang ke KK, saya dan Fairus bercadang mahu ke Bukit Tinggi bagi menjalankan sesi brain stirming untuk projek antologi cerpen fiksyen fantasi PTS. Namun, entah di mana silapnya, si Fairus tiba-tiba demam dan sesi ini terpaksa diadakan di rumahnya ini saja. Tapi, pada saya tempat tak berapa sesuai. Rumah flatnya ini bising dan sesi ini tidak dapat berjalan dengan baik.

Pada hari Ahad lepas, saya menerima kiriman SMS daripada seorang teman lama yang berbunyi begini:
" Xde pon nama ko dalam HSKU? Kenapa karya ko xterpilih?".
Saya kemudiannya membalas kiriman SMSnya begini:" Takde ke?Hu..hu...takde rezeki la nampaknya.ala, aku tak kisah.dapat short list pun ok."
Dia kemudian dengan sinis menambah:" Hu..hu...rugi bro.kalau tak ribu-ribu gak ko dapat.boleh payung aku.tapi pelik la.ko dah bertahun menulis, tapi tak menang apa-apa pun.rugi la macam ni.baik ko kerja macam aku ni.daripada ko buang masa menulis, baik ko buat benda lain."
Saya tergelak membaca SMSnya dan mengambil keputusan untuk mengabaikannya.

Sejujurnya, saya menulis bukan mahu mendapatkan ganjaran dan imbuhan. saya menulis dengan jiwa dan fikiran saya.Kalaulah saya mahu menulis kerana wang, saya boleh saja menulis karya-karya erotik dan cintan-cintun yang laku di pasaran. Dunia Penulisan adalah dunia pemikiran. Dunia yang akan mematahkan kesombongan dan keangkuhan manusia yang tidak dilapisi walau setipis iman. Saya tidak pernah peduli dengan ganjaran. Jika ada peluang untuk mendapat penghormatan,saya sangat menghargainya dan akan menerima dengan penuh kebanggaan. Ya, saya pernah mencalonkan karya untuk HSDT, tetapi itu hanya satu platform agar karya saya dikenali dan dipeduli.Bila dipeduli, karya saya akan dibaca. Apabila orang membaca, saya secara langsung telah membina budaya membaca dan berkongsi pemikiran dengan mereka melalui transformasi idea.Pada takat ini, barulah saya rasa tugas saya sebagai seorang penulis sudah berjaya.

Untuk apa saya menulis? Ya, saya menulis untuk dibaca. Apa guna saya menulis tulisan-tulisan berseni dan berkhutbah bagai, namun tidak ada orang yang mahu membaca? Kerana itu, saya memilih untuk menjadi sederhana. Di tengah-tengah dalam semua perkara. Pemilihan diksi dan laras bahasa.Saya mahu mengeksploitasi SENI UNTUK MASYARAKAT, bukannya SENI UNTUK SENI!

II



Dua hari lepas, saya dimaklumkan oleh adik saya bahawa salinan untuk penulis bagi novel terbaharu saya yang bertajuk CHRONICLE ALAM EPSILON terbitan PTS Fortuna Sdn Bhd telah selamat sampai di rumah. Ya, sejak mengikut abang bekerja di sana-sini saya jarang sekali balik ke rumah, lalu memustahilkan pelbagai urusan surat menyurat-menyurat kepada penerbit, teman-teman pena (ya, saya masih gemar mengutus surat dan poskad kepada rakan pena saya di Indonesia, Thailand dan UK). Saya memilih untuk menerokai pengalaman kerja baru seperti memasang wiring rumah, membantu urusan pindah rumah, kerja kontrak membancuh simen dan yang sudah pastinya kalian semua tidak percaya ialah saya mula menerokai kembali ilmu tentang kejuruteraan binaan setelah bertahun menjauhinya.

Berbalik kepada buah tangan terbaharu saya, ia merupakan satu karya kecil dan agak tergesa yang dihasilkan oleh saya. Sebuah novel fiksyen fantasi (saya kurang gemar dengan tag line super hero)yang hanya berhalaman 172 muka surat dan dijual dengan harga RM13.50. Saya mengakui, ada beberapa konsep di dalam novel ini (termasuk model kulit hadapan dan peta Epsilon yang ditiadakan)yang kurang saya setujui, namun saya masih tetap berbangga kerana ia diterbitkan oleh sebuah syarikat buku gergasi tanah air.

Inilah buah tangan terbaharu saya, selain karya di media arus perdana dan majalah.Saya berdikit-dikit menulis dan cuba memerah segala idea yang memerlukan saya berfantasi dan berimaginasi. bukan sedikit usaha saya untuk menyelami dunia ini. Saya membaca buku-buku epic masterpiece tulisan CS Lewis iaitu Narnia (menanti tayangan filem ke-3nya Disember ini yang bertajuk The Voyago of The Dawn Treader), Lord of The Ring karya JRR Tolkien, The Golden Compass karya Philip Pullman, menggeledah seluruh bandar melaka untuk mencari DVD Star wars yang diarahkan oleh George Lucas serta mengamati pertempuran hebat filem Troy yang dilakonkan oleh Brad Pitt.

Maka, barangkali novel ini terkena tempias dan aura karya-karya terbabit, meski pembaca akan mendapati bahawa teknik garapan naratif saya masih terlalu lemah (saya tidak hairan jika dikritik kerana ini adalah novel 'tergesa'). Apa yang saya harapkan kini ialah saya mampu mula menjalankan draf awal untuk bab bagi sekuelnya. Saya masih memikir-mikirkan sambungannya, namun saya tertarik untuk melanjutkan sengketa Bruno dan Martelotto dalam naskhah Epsilon kedua yang sedang saya peram di fikiran saya. Apa pun, terima kasih yang tidak terhingga kepada Pn ainon, Syafik Zulakifli,Amirul Ali, Dzulizah, Hazwan serta MF Kencana yang menjadi tunjang kekuatan novel fiksyen fantasi ini.Buat Pembaca, selamat menikmati pengembaraan Alam Epsilon dan kritiklah mana yang patut dikritik, agar hasilnya kelak akan menjadi lebih baik.