Thursday, December 17, 2009

SAYAP HIJRAH IV



SAYAP HIJRAH IV

Akulah sang sandera
yang terpasung di jeriji penjara
saat angin hijrah menerpa
menyelinap di dinding jiwa.

Anugerahkan aku sayap, Rabb
meski aku belum tahu terbang
walau menderu taufan nan terjang
berpuing dan menghilang
di benteng taubatku yang panjang
tanpa segesit imani yang terang.

Sayap hijrah ini
meski kudambakan setiap hari
laksana bias jalur pelangi
ia datang dan selalunya pergi
tanpa mampu aku miliki
sepasang pun
di jemala diri ini.

ZULFAZLAN JUMRAH
Bandar Tun Razak,
Kuala Lumpur.

Tuesday, December 15, 2009

MAJLIS PERHIMPUNAN ALUMNI MPR

ATUCARA MAJLIS PERHIMPUNAN ALUMNI MPR



08:00 : KETIBAAN TETAMU JEMPUTAN, MANTAN MPR & KELUARGA

09:00 : UCAPAN ALU-ALUAN PENGARAH PROGRAM

09:05 : FORUM : MPR SELEPAS DUA DEKAT

· Moderator : Nimoiz T.Y
· Ahli Panel :
o Lily Haslina Nasir (mantan MPR 1986)
o Raihani Mohd Saaid (mantan MPR 1997)
o Khairul Nizam Abd Raub (mantan MPR 2000)

SESI TAYANGAN VIDEO

SLOT “MEMORI MPR”

11:30 : PERASMIAN PENUTUP

· Ucapan oleh YBhg. Dato’ Haji Termuzi bin Haji Abdul Aziz, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka

· Ucapan oleh YBhg. Datuk Johan Jaaffar, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP

· Majlis pelancaran buku/antologi Alumni MPR

13:30 : MAKAN TENGAH HARI DAN BERSURAI

Jualan Buku dan bersurai

BISIKKU PADA MALAM


BISIKKU PADA MALAM

Bisikku pada malam
terangilah hatiku yang kelam
meski bulan bersinar suram
saat kurindukan dia
yang jauh di mata.

Hanya di malam ini
kuciptakan sebuah puisi
menjadi peneman di hati
buatmu yang kurindui
setiap detik waktu yang berlari.

Akulah kekasihmu yang setia di sisi
peneman di siang hari
bertandang dalam sepotong mimpi
saat kita kian mengerti
ada kasih dalam dua hati ini.

ZULFAZLAN JUMRAH
Bandar Tun Razak.

Wednesday, December 9, 2009

THE NATION'S CAPTAIN



Semalam, sewaktu saya santai memeriksa kiriman masuk di peti emel saya, saya tersenyum apabila kiriman emel daripada seorang rakan saya, Johan yang menuntut di University of Birmingham membuat kejutan kepada saya. Dalam emelnya, beliau mengirimkan satu sajak saya yang telah diterjemahkan ke Bahasa Inggeris olehnya. Meski usaha ini hanya "suka-suka" dan tidak secara rasmi pun, tetapi pada saya ia sudah memadai dan cukup untuk menerbitkan rasa bangga di dalam diri. Bukan mudah untuk melihat karya kita diterjemahkan ke dalam bahasa asing, walaupun ia adalah bahasa Inggeris yang merupakan bahasa kedua di negara kita.

Saya melihat perkara ini sebagai satu usaha kecil yang cukup bermakna. Entah mengapa, setelah 23 tahun hidup di muka bumi ini, saya semakin belajar untuk menghargai perkara-perkara kecil yang mampir dalam hidup saya. Barangkali ia merupakan rentetan dan perjalanan pengalaman. Barangkali ia mengajar saya untuk dewasa dan semakin memahami kehidupan. Apa yang saya gantungkan atas nama kepercayaan.

Di entri ini, saya perturunkan sepenuhnya sajak tersebut (disiarkan di Mingguan Malaysia) dalam versi Bahasa Melayu dan Inggeris. Buat Johan, terima kasih kerana sudi menterjemahkan karya kecil saya ini. Namun saya agak terkilan kerana saudara menolak sebarang bayaran penghargaan daripada saya.


NAKHODA BANGSA

i
Telah disuratkan pengembaraan ini
membelah berlapis petala derita
yang kejap menggari pedoman diri
dan memesong haluan yang pasti.

ii
Akulah nakhoda bangsa
yang menjadi pembaca peta perjalanan
di hamparan samudera gelora
berlabuh di pelabuhan kesengsaraan
namun berundur setapak takkan sesekali kulakukan!

iii
Aku bukannya cendekiawan
yang bijak membaris aksara kata
- hanya kerdil munajat manusia
yang terpilih untuk menjadi nakhoda bangsa
buat memulih laku wargaku
yang kian diulit mimpi yang lena
lupa pada usul umbi bangsa
terjerat antara dua adat berbeza
di lautan kehidupan sarat pancaroba serba.

ZULFAZLAN JUMRAH
Kuala Lumpur



THE NATION’S CAPTAIN

i
this journey is fated
cleaving precipitate of suffers
being strangle strongly on our faith
and lead us astray

ii
I am the nation’s captain
who reads a map of the journey
on the waving seas
anchor at the port of suffering
but I will never ever make one step back!


iii
I am not an intellectual
great in writing tales or stories
- only a humble human
chosen to be a nation’s captain
to re-educate my nation’s attitude
who is still in dreams
forgot their roots
torn between two different customs
in the sea full of challenges of life.

ZULFAZLAN JUMRAH
Kuala Lumpur

Thursday, December 3, 2009

SEJARAH BANGSA YANG DIHILANGKAN?

Dalam keripuhan dan ketergesaan saya menyiapkan entri sains-Islam di tempat kerja, kadangkala saya melayari blog-blog tertentu untuk menghilangkan keletihan dengan waktu jeda yang ada. Lalu, satu entri dalam satu blog http://www.ustazamin.com/2009/03/universiti-kehidupan-51-takkan-melayu.html cukup mengujakan saya. Ia mengingatkan kepada satu cerpen saya bertajuk Holograf Klasik Dari Nagasaki yang pernah tersiar di Mingguan Malaysia sedikit masa dahulu. Sungguh, sewaktu membaca entri Ustaz Amin ini, saya sangat teruja kerana kisah benar yang dinyatakan olehnya cukup menarik untuk kita renungi. Saya menggemari apa sahaja yang berkaitan dengan sejarah bangsa Melayu. Apa sahaja, meski kesahihannya masih belum teruji. Lewat catatan Ustaz Amin yang mengembara ke Russia, beliau menemukan kita satu bukti yang boleh diperdebatkan kesahihannya, namun cukup menguja rasa. Saya perturunkan sepenuhnya entri itu untuk tatapan pengunjung blog NAKHODA BANGSA:

Perjalanan saya ke Saint Petersburg mempunyai satu misi. Saya ingin bertemu dengan Prof. Dr. Alexander K. Ogloblin, pengkaji Nusantara peringkat dunia dari University of St. Petersburg. Seminggu sebelum itu saya telah membuat temujanjinya melalui Dr. Tatiana di Moscow.

Satu hari sebelum bertolak, saya dimaklumkan oleh Dr. Tatiana bahawa beliau tidak ada di St. Petersburg.Saya merasa agak hampa kerana tujuan asal saya ke St. Petersburg ialah untuk bertemu dengannya

27 Mac 09 jam 11 malam, saya, Helmi, Afiq dan Azam bertolak ke St. Petersburg dengan menaiki kereta api. Perjalanan ke St. Petersburg mengambil masa 8 jam. Kereta api yang kami naiki mempunyai gerabak yang ada katil untuk tidur. Perjalanan melalui kampung-kampung, rumah-rumah kayu tradisional dan pokok-pokok pine yang diselubungi dengan salji

Kami merentasi gunung dan kawasan berbukit. Susana di luar sangat sejuk tetapi di dalam gerabak suhunya ialah 22 darjah celcius. Tidak berapa lama kemudian, datang pelayan kereta api bertanyakan keperluan kami. Kami tidak mempunyai apa-apa keperluan cuma, minta dibuatkan air teh. Dia membawakan kami air teh bercampur limau.

Pelayan yang memakai baju seragam berwarna biru tua melimparkan senyuman kepada kami. Teh di dalam kereta api ini berharga 20 Rubel bersamaan kurang lebih dua ringgit. Kami sampai ke Saint Petersburg pada pukul 7.10 pagi.

Sesampainya di sini, kami di sambut oleh dua pelajar kejuruteraan kapal iaitu Nasir dan Amin. Mereka membawa kami dirumahnya. Hari pertama kami hanya berjalan sekitar bandar. Kami mencari pusat pengajian Nusantara tetapi pada hari ini pusat ini telah tutup.

Malam ini, saya sempat berkuliah bersama pelajar-pelajar kejuruteraan kapal di sini. Malam ini setelah kuliah, saya menghubungi Dr. Tatiana. Setelah bertanya khabar lebih kurang, saya menyatakan hajat saya untuk berusaha menghubungi Prof. Dr. Goblin. Perbualan kami terputus.

Tidak lama selepas itu, Dr. Tatiana menghatar mesej kepada saya.

“Tadi x dengar. Untk ape nak nbr fone dr Alexander? I dah cakap dn die sehari lalu, katanya sdng sibuk susun kamus x ade masa unk kerja lain”

Saya berbisik di hati saya,

“aik..! semalam kata tak ada, hari ini kata tak nak jumpa pula. Mmm.. jangan jangan memang tidak sudi jumpa kot..”

Selang beberapa ketika, Dr.Tatiana menghantar sebuah mesej lagi,

“Handphone Alexander - **** **** ***, boleh hubungi dia unk dapat tahu ttng manuskrip melayu kuno”

* no saya tidak nyatakan atas tujuan menjaga hak peribadinya

Keesokkannya harinya, Ahad 29 Mac, saya cuba menghubungi Dr Alexander. Dia mengangkat telifon saya. Saya terus memperkenalkan diri dalam bahasa Melayu dan terus menyatakan hajat saya. Dr. Alexander diam seketika. Kemdian dia bertanya,

“kamu sekarang di mana ni?”

Saya menyatakan bahawa saya berada di penempatan pelajar Malaysia di St. Petersburg.
Kemudian dia berkata,

“baiklah, bolehkah bertemu saya di….”

Cepat-cepat saya memberi telifon kepada salah seorang pelajar Melayu di sini.

“Okey Ustaz, saya tahu tempatnya,” Kata Zack pada saya.

Jam menunjukkan pukul 10.30, kami mula bertolak ke tempat yang diberitahu. 45 minit selepas itu kami sampai. Saya menghubungi Dr Alexander dan tidak lama selepas itu dia datang dan menjemput saya ke rumahnya.

Ketika melangkah masuk, Dr. Alexandra mengambilkan baju sejuk saya dan menyangkutkannya. Gayanya seperti ayah-ayah. Beliau mempersilakan kami masuk ke bilik kajiannya. Suasana biliknya penuh dengan buku. Ada yang tersusun rapi di almari dan ada yang bersepah di meja bacaan. Kebanyakkan bukunya mengenai Nusantara.

Beliau menunjukkan saya kajian-kajiannya dan sekarang memang beliau sedang sibuk menyiapakan kamus Bahasa Indonesia – Rusia. Di dalam biliknya penuh dengan buku dan kitab dari Nusantara. Kamus bahasa Jawa- Inggeris pun ada.

Kami memulakan perbualan mengenai bahasa Melayu. Dr Alexandra menyatakan mengenai keindahan bahasa Melayu yang tinggi maknanya.

Saya teringat mengenai kisah seorang sahabat yang dipesan oleh datuknya. Jika hendak merantau maka jagalah pisang sesikat dan jarum di dalam diri kamu. Sahabat ini pening kepada memikirkan apakah yang cuba disampaikan oleh datuk ini.

Setelah cuti semester pertama, maka dia bertanya pada datuknya, apakah makna pisang sesikat dan apakah makna jarum dalam diri. Datuk ini memberi tahu bahawa pisang sesikat ialah cantuman kedua belah tangan seolah-olah bersalaman. Ia memberi makna, kemana sahaja kamu pergi, hormatilah orang lain.

Jarum dalam diri ialah lidah kerana lidah sebenararnya lebih tajam dari jarum. Di tempat orang, hendaklah sentiasa menjaga lidah. Bahasa kiasan seperti ini banyak di dalam bahasa Melayu. Ini cantik dan indahnya bahasa Melayu.


Ustaz Amin dan rakannya menemui Dr. Alexandra

Dr Alexandra berbual dengan saya mengenai sejarah dan kebudayaan di Nusantara.
Dia menunjukan kitab Sulalatus Salatin yang telah diterjemahkan dan diterbitkan di dalam bahasa Rusia. Mereka mempunyai manuskrip asal kitab ini.

Saya berbual dengannya dan dia memberitahu saya mengenai tulisan Aksara, tulisan Melayu kuno sebelum wujudnya tulisan jawi. Ia penemuan lama, sudah lebih sepuluh tahun.


Dr. Alexandra, sarjana Russia yang mengkaji kebudayaan dan peradaban bangsa Melayu

Dia menerangkan kepada saya mengenai penemuan barunya iaitu satu undang-undang bertulis Melayu yang baru ditemui di dalam bahasa Aksara. Ia undang-undang Melayu lama.

Jika ia dapat dikaji dengan baik, ia akan mengetepikan bahawa orang Melayu tidak menulis undang-undang. Manuskrip ini mempunyai lebih dari 100 helai.

Jika ini terdedah, maka akan berubahlah fakta sebelum ini yang mengatakan orang Melayu tidak mempunyai undang-undang bertulis. Hanya adat yang diturunkan dari generasi ke generasi. Setakat yang ditunjukkan kepada saya, undang-undang bertulis itu mirip dengan ajaran Islam.

Contohnya seperti, sesiapa yang menendang orang lain maka dia perlu membawakan makan dan minum. Ia seperti kifarah yang memberi fakir dan miskin makan.


Manuskrip Melayu terkini yang dikaji, undang-undang bertulis bangsa Melayu di dalam tulisan Aksara

Jika sesebuah bangsa telah mempunyai tulisannya sendiri, telah mempunyai undang-undangnya sendiri, bermakna, bangsa itu adalah satu bangsa yang mempunyai tamadun yang tinggi.

Tetapi kenapa kita tidak tahu semua ini? Kenapa manuskrip-manuskrip ini berada di luar Nusantara? Kenapa seolah-olah ada konspirasi menyembunyikan sejarah bangsa ini? Kenapa hindu dan budha yang pernah ditonjolkan sedangkan Melayu mempunyai jatidirinya. Kenapa Islam dikatakan lambat datang ke sini? Lambat atau sejarahnya dihilangkan? Kenapa dihilangkan? Apakah yang sangat ditakuti pada bangsa ini? Adakah benar bahawa Islam itu akan bangkit dan ia bermula dari timur jauh ini? Jika benar, adakah itu tujuan utama dihilangkan sejarah bangsa kita, agar bangsa ini dipisahkan dari Islam atau hilang jatinya?
Persoalan-persoalan itu bermain di benak pemikiran saya. Saya sudah menemui titik-titik penyambung sejarah bangsa Melayu.

Saya yakin, Islam bermula lebih awal dari apa yang diberitahu kepada kita. Dan saya yakin, jati diri bangsa ini, tidak boleh dipisahkan dari Islam.
Jika kita menerima bahawa Islam lambat ke Nusantara, maka jatidiri Islam dalam darah orang
Melayu tidak akan dipedulikan.


Kitab sejarah Melayu yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Rusia

Sesungguhnya, Islam menguatkan semua bangsa. Nilai dan jatidiri orang Melayu dibentuk dari ajaran Islam yang syumul. Orang Melayu yang menolak Islam akan menyaksikan hilangnya jatidiri dalam hatinya. Bermula dengan mempertikai, akhirnya akan memaki bangsa sendiri.

Sesungguhnya Salman al-Farisi, Abu Huzaifah al-Yamani, Saad al-Ghifari dan lain-lain para sahabat berasal dari suku dan bangsa yang berbagai. Tetapi, mereka disatukan dengan satu nama. Mereka adalah muslim, mereka menyembah Allah Yang Satu dan mereka menurut syariat yang satu.

Jika semua bangsa menjadikan Islam sebagai keutamaan, kita akan melihat lahirnya sebuah bangsa besar. Bangsa Muslim yang sentiasa mahu kebaikan dan mengcegah kemungkaran.

Perkara ini yang telah disebutkan oleh Allah di dalam al-Quran :-

Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. (Ali Imran 110)
Inilah Bangsa besar hamba Allah dari Ummat Rasullullah.