Sunday, September 16, 2007

MUNTAH, ANJING DAN WAJAH CINTA

Salam Ramadan Al-Mubarak.
Pada entri kali ini, aku akan berceloteh tentang beberapa buah buku yang sedang aku uliti. Ia adalah buku ANJING,MUNTAH (kedua-duanya karya SN Shahnon Ahmad) dan antologi puisi WAJAH CINTA karya seorang penyair Indonesia, Dr. Fridolin Ukur. Buku ANJING dan MUNTAH aku peroleh sebagai satu hadiah daripada pensyarah merangkap mentorku ketika MPR 2006 iaitu Tn. Hj. Shamsudin Othman (panggilan formal ketika di kelas, tapi di luar kelas aku memanggilnya 'Abang Din ' saja). Terima kasih Abang Din.
Anjing mematkan 7 buah gagasan idea (aku lebih gemar mengatakan ia adalah satu luahan hati seorang seniman sebenarnya) yang merangkumi pelbagai catatan Shahnon tentang kepekaannya dalam isu sosial, terutamanya dalam konteks pentadbiran sebuah negara yang dicanangkan sebagai demokrasi.
Tentunya tulisan yang bertajuk Ikan Kecil Yang Tak Tergamak Dijamah paling mencuri tumpuanku kerana memuatkan satu fiksyen berani yang mengisahkan ketololan seorang pemimpin sesebuah negara (mungkin bukan Malaysia agaknya, kerana pemimpin kita semuanya 'terlalu bagus') yang merogol gadis bawah umur. Catatan Anjing pula memberikan kesan yang sangat meruntun hati apabila secara terang-terangan memaparkan nasib sesuatu bangsa yang tidak lagi berpijak di bumi yang nyata.
Persoalan kata-kata keramat " Takkan Melayu Hilang di Dunia" membawa aku memikirkan kembali kekeramatan kata-kata tersebut, kerana pada pandangan peribadiku, Melayu kian "lenyap" di dunia, tidak kira dari apa juga aspek meliputi bahasa, sastera, kebudayaan dan moraliti bangsa!Ungkapan itu nyata tidak lagi relevan dalam konteks pembinaan jati diri bangsa yang kian diperkosa maruah dan ketuanan peribadinya.
Reformasi pula pada pendapatku, lebih bersikap menyebelahi seorang tokoh pemimpin negara suatu ketika dahulu apabila polemik politik negara menggelegak di persada keadilan tanahair. Kes Anwar Ibrahim yang melatari catatan ini ternyata satu tumpahan pengalaman sebenar Shahnon yang merasai betapa polemik itu terkesan bagi seniman-seniman yang memperjuangkan keadilan sepertinya (walaupun dalam catatan ini, beliau digelar Sasterawan Tua). Catatan ini juga memaparkan pencabulan amanah yang diberikan oleh rakyat kepada pemimpin yang mabuk dengan kuasa yang berada di genggaman. (juga barangkali bukan di Malaysia, kerana pemimpin di Malaysia sangat 'telus dalam kepimpinannya')
Muntah juga memuatkan 7 catatan peribadi yang lahir daripada kesepontanan dalam kreativiti karya sastera yang mengangkat Shahnon sebagai seorang SN yang disegani. Antara tajuk yang menarik untuk dibaca adalah seperti Juak & Pakpacak, Muntah dan Cacamerba. Namun, aku belum meratah karya ini kerana kesuntukan masa cukup mengekang aktiviti pembacaanku.


Satu lagi buku yang menjadi ulitanku ialah Antologi Puisi Wajah Cinta karya Dr. Fridolin Ukur terbitan PT BPK Gunung Mulia, yang telah dihadiahkan rakanku, seorang bakal arkitek yang baru pulang melawat Jakarta pada minggu lepas.

Antologi puisi Dr Fridolin Ukur ini mengingatkan aku kepada koleksi antologi puisi penyair idolaku, Almarhum T.Alias Taib. Membaca Wajah Cinta seperti meratah Antologi T.Alias seperti Piramid, Opera, Pemburu Kota, Seberkas Kunci, Petang Condong dan Pasar Pengalaman. Trend kepenyairan Dr. Fridolin agak sama dengan Almarhum kerana mereka sama-sama membiarkan kretiviti mereka mengalir dalam lewat karya mereka seperti sungai yang mengalir. Pengalman dijadikan teras utama pencioptaan sajak-sajak tersebut.
Terbahagi kepada 3 bahagian iaitu Kepak Waktu (Sajak-sajak Perbatasan Usia) yang memuatkan sajak-sajak yang terhasil ketika lewat jengukan hari tuanya. Contohnya, sajak Kepak Waktu yang dicipta khas sempena ulangtahun isterinya yang ke-66, cukup mengesankan di mana 2 baris terakhir pada fragmen I berbunyi:
karena kasih adalah purnama kita
karena cinta adalah mentari kita.
Selain Kepak Waktu, sajak-sajak seperti Kembara Kita Berdua, Lalu Katamu, dan Sebuah Lukisan (dihasilkan sempena ulangtahun sahabatnya;Soritua Cilandak, 24 Mei 1976) juga cukup enak untuk diteliti beberapa kali.
Bahagia Kedua pula memuatkan sajak bertemakan Duka Itu Pun Menjadi Putih iaitu Sajak-sajak Perpisahan Akhir yang banyak berceritakan tentang kematian daripada sebuah kehidupan. Contohnya, sajak Antara Dua Kekekalan (mengenang ibunya), Duka Itu Pun Menjadi Putih dan sajak tragis Tine (sempena pemergian Ibu Augistine Leonora Frans) juga boleh disifatkan sebagai sesuatu karya yang melankolik, tetapi tetap mendewasakan pembaca.
Bahagian Ketiga agak sensitif untuk diperkatakan di sini, kerana Fragmen ketiga yang bertemakan Cinta yang Merah ini merupakan sajak-sajak natal, Paskah dan kenaikan, merangkumi 47 buah sajak yang berkaitan dengan hari natal dan lebih bersifat Kristianisme, namun masih terselit beberapa unsur didaktik yang relevan dan tidak terlalu kompleks.
Itulah antara buku-buku yang sedang aku ratah dalam aktiviti pembacaanku. cukup 'menderita' membaca ketiga-tiganya dalam senggang waktu yang sama, kerana perasaanku akan berbaur dengan estetika puisi dan rintihan hati yang meratapi kerenah kebobrokan manusia.























Tuesday, September 11, 2007

SESUATU YANG SENGAJA DISEMBUNYIKAN

Salam Ukhwah... Minggu ini, ada sedikit rasa ralat yang bertinggung di tangkai benakku, apabila satu pendapatku (sebenarnya lebih kepada satu luahan rasa) telah 'disembunyikan dalam ruangan 'surat pembaca' di satu akhbar popular tempatan. Ternyata, perkara ini sengaja 'disembunyikan' oleh juak-juak yang boleh aku sifatkan sebagai pembunuh bahasa ibunda sendiri. Aku tidak pernah berkira dengan tempoh tiga jam duduk menelaah beberapa buku rujukan dan menyusun ayat untuk menghantar tulisan tersebut, tetapi apa yang terkesan ialah apabila hasil tulisanku itu 'disembunyikan' oleh pengelola atau kolumnis yang tidak mahu memaparkam satu kejujuran tentang bahasa ibunda sendiri. Berikut merupakan hasil tulisan asal yang langsung tidak diubah oleh aku. Malangnya, tulisan itu tidak dipaparkan kerana barangkali ia terlalu bersifat liberalisme dalam konteks sebuah media yang dikuasai oleh juak-juak yang berkepentingan:
Tulisan ini bertarikh 4 September 2007
TIDAK BERMARUAH JIKA PERLEKEH BAHASA IBUNDA


Merujuk Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan yang harus diterimapakai oleh semua pihak. Hal ini merupakan satu rang yang eksplisit dan tidak boleh diubah kerana enakmen ini juga terkandung dalam Kontrak Sosial yang sudah diwujudkan sekian lama. Jadi, tidak perlu timbul sebarang pertikaian mengenai martabat dan fungsinya kerana perkara ini sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sejak sekian lama.

Individu yang berani memperlekeh atau mempersoalkan fungsi bahasa ibunda ini sama ada secara terang-terangan atau dengan niat mengagungkan bahasa lain melebihi bahasa ibunda ini boleh dianggap sebagai 'penderhaka' atau warganegara yang tidak bermaruah. Memperlekeh bahasa ibunda sendiri samalah juga seperti memperlekehkan bangsa, negara, tradisi nenek moyang, dan seperti mahu mencabar Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan 183 Perkara yang terbahagi kepada 15 Bahagian yang selama ini menjadi pegangan sebuah negara harmoni bernama Malaysia.

Betapa tidak bermaruahnya individu itu sekiranya memperlekehkan bangsa sendiri, apatah lagi sekiranya tindakan itu dihujankan ke atas bangsa yang sama warna kulit, pertuturan dan budaya dengannya. Adilkah tindakan mengangkat bahasa lain sebagai 'agung' dan mempersenda bahasa ibunda sendiri ketika negara menyambut ulangtahun kemerdekaan yang ke-50?

Hakikatnya, bahasa ibunda kita tidak ada celanya. Malah, sejarah sendiri telah membuktikan bahawa bahasa ibunda kita pernah menjadi lingua franca pada zaman keagungan empayar Kesultanan Melaka suatu ketika dahulu. Pada kurun ke-15, atau sekitar tahun 1400 Masihi, bahasa ibunda kita menjadi pertuturan harian para pedagang yang berlayar dari China, India, Arab, Afrika dan Eropah. Malah, kehebatan kerajaan di Kepulauan Melayu yang dipercayai menggunakan bahasa ibunda kita pernah tercatat dalam Kitab Kathasaritsagara di India yang mengatakan bahawa terdapat sebuah kerajaan di Tanah Melayu bernama Kataha (kini Kedah), dan Pliny turut menulis mengenainya dalam Natural History yang menyatakan bahawa empayar perdagangan Melayu menjadi hebat kerana sistem lingua franca yang diwujudkan pada ketika itu. Tidak cukup dengan itu, beberapa tokoh Barat yang hebat seperti WG Shellabear dan RO Winstedt juga terdorong untuk mengkaji kehebatan bahasa dan bangsa Melayu apabila menghasilkan beberapa manuskrip yang memerihalkan kehebatan bahasa, kebudayaan dan kehidupan orang Melayu serta diterjemahkan kepada beberapa bahasa utama dunia dan kini menjadi rujukan utama ramai sarjana untuk mengetahui sejarah satu bangsa yang hebat.

Maka, bermaruahkah individu yang begitu taksub mengagungkan bahasa lain tanpa merujuk kehebatan dan keagungan sejarah perkembangan bahasa sendiri? Bermaruahkah seseorang itu jika mengeluarkan kenyataan yang dilihat seolah-olah mahu memperlekehkan Perlembagaan Persekutuan dan Kontrak Sosial yang selama ini menjadi tunjang keharmonian negara? Bukan niat mahu menolak penggunaan bahasa lain, tetapi apa yang sangat dikhuatiri jika penggunaan bahasa lain itu mendominasi kehidupan masyarakat. Apa yang ditakutkan ialah pengaruh asimilasi negatif akan menular dalam pembuluh kehidupan masyarakat kita sekiranya penggunaan bahasa tersebut terlalu berleluasa tanpa sempadannya. Pada hari ini, keruntuhan moral dan akhlak anak-anak muda dapat dikaitkan dengan penggunaan bahasa lain (terutamanya Bahasa Inggeris). Lihat sajalah kelunturan sifat budi bahasa, sopan santun dan nilai-nilai murni yang membungkus corak kehidupan anak-anak muda pada hari ini. Itu tidak termasuk gejala-gejala negatif yang dicedok terus daripada kehidupan ala Barat yang terkesan apabila terlalu banyak anasir-anasir luar yang mempengaruhi keseluruhan corak hidup ketimuran yang sopan. Pada hari ini, pengaruh sebeginilah yang telah membunuh tunas-tunas modal insan yang direncanakan menjadi teras utama untuk Malaysia menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Maka, seharusnya fungsi bahasa kedua ini perlu dipertimbangkan semula terutama dalam sistem Pengajaran dan Pembelajaran (P&P)

Bersempena ulangtahun ke-50 kemerdekaan kita, mengapa tidak kita sama-sama menyoroti susah payah dan kejerihan tokoh-tokoh yang tekal memperjuangkan nasib bahasa, bangsa dan negara. Kita mengaku bahawa kita menghargai perjuangan tokoh-tokoh hebat negara, tetapi adakah kita meneruskan tradisi dan jalur perjuangan Dato' Onn Jaafar, Harun Aminurrashid, Pak Sako dan Za'ba (sekadar menyebut beberapa nama) secara telus? Dan, setelah separuh abad kita mencatat diari kemerdekaan, fikir-fikirkanlah di mana sebenarnya maruah kita sebagai satu bangsa yang merdeka? Sudah cukup banyakkah tradisi yang telah kita pertahankan dan berapa banyak pula warisan yang telah kita pinggirkan? Sama-samalah kita memikirkannya. Akhir kata, Bahasa Jiwa Bangsa!


ZULFAZLAN JUMRAH
Jabatan Bahasa dan Kemanusiaan,
Fakulti Pengajian Pendidikan,
UPM, Serdang.