Semalam aku sempat berjalan-jalan sekitar Jalan Masjid India dan Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) untuk meninjau-ninjau gelagat warga kota bagi menyambut kedatangan Syawal yang akan tiba. Niatku memang begitu. Berjalan dari Plaza Kota Raya, melewati bangunan Maybank, sehinggalah sampai di Jalan MAsjid India dan Jalan TAR.
Sejujurnya, aku gemarkan suasana begini. Sedikit bising, mewah dengan gelagat ribuan manusia yang membeli belah, suasana tawar menawar, dan semuanya terbancuh menjadi rencaman perasaan yang berbaur.
Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.
Suasana 'urban' begini memang aku gemari. Bukan sekadar ia menggugah ilhamku yang sudah lama menghilang, tetapi aku turut terangsang untuk menulis puisi semula. Percaya atau tidak, sudah hampir sebulan aku tidak menulis walau sebaris puisi atau seperenggan draf cerpen.
Hati dan jiwaku merusuh. Perasaanku dihempap rasa yang letih meruntuh. Dan segalanya berlaga dalam bancuhan perasaan yang gaduh.
Aku sendiri tercari-cari, apakah yang mencetuskan segala rusuh! Barangkali sewaktu menatap lukisan politik tanah air yang berserabut, atau merajuk dengan keletah dan sikap sesetengah 'sasterawan' yang membuatkan aku mengeluh, atau mungkin juga aku resah menghitung detik jantung pada daun kehidupan yang kian meluruh.
Jiwaku kini merusuh, dengan aneka rasa yang sangat menggugah. Dan selalunya ia menerbitkan sejuta cemas yang resah dan gundah!
MENYERU LARA YANG RUSUH
(Farhana, yang telah memintaku memilihkan sehelai selendang sutera)
Angin ini bukan angin kota
yang menderu bertiupan sejuta
rasa rindu dan sejahtera.
Angin ini angin lara
yang merusuh dalam pakaian peribadi kita
telah kau tukarkan menjadi selendang sutera
tersalut pada dabik dada
tampangnya hingga ke bawah rasa
bertiupan liuk dalam kibar jiwa.
Aku menyeru segala rasa yang merusuh
pada segaris lukisan sejarah yang rapuh
tercampak di dasar sungai kuasa yang keruh
dan hanyut ke hujung muara yang jauh.
Jalan Masjid India,
Kuala Lumpur.
Saturday, September 20, 2008
Friday, September 12, 2008
POSKAD MELANKOLIK KE BANGKOK
Semalam aku baru sahaja mengepos tiga keping poskad ke Bangkok atas permintaan sahabat baruku, Sam yang belajar di Walailak University, Songkhla. Sam meminta aku mengirimkan tiga keping poskad itu kepada ayahnya di Bangkok yang bertugas sebagai seorang pensyarah ekonomi di sana.
Aku sangat teruja, kerana gadis manis itu tidak sudah-sudah memuji Malaysia, yang disifatkannya sebagai sebuah negara yang aman dan satu kepelikan baginya yang baru pertama kali menjejakkan kaki di Kuala Lumpur ialah apabila melihat keghairahan dan kehebatan semangat patriotik rakyat Malaysia yang memasang bendera di sana sini.
Namun, aku lekas mengatakan kepada Sam bahawa hal ini kerana Malaysia sedang berada di ambang sambutan Hari Kemerekaan yang ke-51 pada tahun ini. Maka, tidak hairanlah melihat fenomena menyepahkan bendera menjadi satu panorama hipokrit di sini.
Sam bagaimana pun menyatakan kekagumannya, kerana Thailand adalah sebuah negara yang tidak pernah mengecapi nikmat kemerdekaan kerana sejak di tingkatan 3 lagi aku sudah belajar bahawa Thailand adalah sebuah negara yang tidak pernah dijajah oleh negara luar, ketika kegemilangan dinasti Raja Chulalongkorn, yang meneruskan tradisi gemilang negara Gajah Putih ini pada era kemasyhuran Raja Mongkut.
Berbalik kisah poskad tadi, aku memang tidak memahami sepatah haram pun apa yang dituliskan oleh Sam, kerana selain tidak faham tulisan Siamnya, segala maklumat yang terkandung di dalam poskad itu dirahsiakan oleh Sam. Tetapi, aku mengambil keputusan untuk bertanya kepada rakanku Sa-ma-el dan Ing yang memahami bahasa Thai tentang isi kandungan poskad itu.
Menurut Ing, poskad pertama Sam menyatakan tentang kekagumannya terhadap Malaysia sebagai sebuah negara yg aman
(padaku ini satu tanggapan klise sejak berpuluh tahun yg lalu)
Poskad keduanya, Sam menyatakan betapa bertuahnya dia mengenali rakan sepertiku (namaku ditulis dalam tulisan Siam, jadi aku memang tak tahu!) yang begitu baik (dia yg tulis ya) dan peramah.
Poskad ketiga pula antara kandungannya ialah dia menyatakan bahawa dia sudah mulai jatuh cinta dengan bahasa Melayu dan berhasrat dapat melanjutkan pelajarannya ke sini untuk belajar bahasa Melayu.
Nah, poskad ketiga inilah yg benar-benar menggugah rasa syahduku. Betapa seorang gadis (cantik pula tu) yang tidak pernah belajar bahasa Melayu, tetapi sudah boleh jatuh cinta terhadap bahasa Melayu ini walau baru seminggu 'berkenalan' dengan bahasa ini.Inilah yg cukup mengesankan!Sedangkan kita yang selama ini dengan mendabik dada menggariskan akta itu dan ini dengan lantang menyatakan bahawa bahasa keempat teramai penuturnya di dunia ini sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, kita pula yang akhirnya meminggirkan bahasa kita itu sendiri.
Buat sesiapa yang barangkali dengan tak sengaja terbaca entri ini, cuba renungkan di manakah nilainya bahasa kita ini jika orang lain menyedari keistimewaan bahasa kita ini, tetapi kita masih lagi lena dibuai mimpi yang entah bila akan bisa membangkitkan tidur kita kembali!
Monday, September 8, 2008
MENULIS KERANA WANG?
Menulis memang boleh kaya, tetapi....
Baru-baru ini, aku sempat berbuka puasa dengan seorang rakanku, seorang pelajar UiTM Shah Alam di masjid Fasa II, Serdang. Sengaja kami memilih untuk berbuka di situ kerana yg pertamanya aku selesa dengan suasana meriah di situ kerana ramai penduduk setempat berbuka di situ termeasuk beberapa orang pelajar dari Afrika, Iran, Oman, Iraq dan MAghribi. Perkara ini secara tidak langsung mengeratkan hubungan silaturahim di bulan yg mulia ini.
Selalunya kami akan berbuka puasa, menunaikan solat maghrib, solat sunat, membawa ke solat isyak, solat tarawikh 8 rakaat sebelum mengakhirinya dengan witir 3 rakaat. Selepas itu, seperti biasa, akan ada 'moreh' juga untuk kami bersembang-sembang, berbicara tentang tsunami politik, kuliah, dan rutin seharian.
Peluang berborak sebegini ternyata membawa kami kepada satu topik yg takkan pernah lari daripada pertanyaan terhadap perkembangan dunia penulisanku.
" Macamana sekarang? Banyak menulis?Apa karya terbaru?" tanyanya
" Adalah tulis sikit-sikit. Tapi dah agak berkurangan kerana dah malas nak aktif sangat macam dulu. Nak berehat sekejap. Nak menyepikan diri. Lagi pun aku nak cuba-cuba buat novel lagi." kataku.
" Baguslah kalau macam tu. Em, Untung org macam kau. Boleh buat duit dengan menulis. MEsti kau kaya sekarang kan? Duit banyak. Ada la masyuk sikit. Boleh payung melancong ni. Rindu kenangan kita kat Kundasang dulu. Holiday ramai-ramai." kata rakanku tadi.
" Duit? Adalah dapat sikit-sikit. Tak kaya pun. Cuma untuk buat beli buku-buku atau tengok wayang bolehlah." jawabku sambil menyuakan pisang kapas yang ranum.
" Eleh...Aku dengar novel kau dah nak terbit. Ha, kayalah kau nanti. Boleh jadi macam Ahadiat Akashah. Boleh beli kereta. Ha, belanjalah aku nanti." katanya dengan senyum simpul.
" Hu..Hu...Tak boleh cakap lebih-lebih. Kena tunggu terbit dulu. Aku buat projek ni under lecturer aku. So, sekarang aku tunggu je bila novel tu nak terbit. Insyallah dalam tahun ni. KAlau laku, alhamdulilah. Kalau tak laku redha je la."
" Berapa banyak dia bagi down payment kat kau?"
" Adalah lebih kurang RM1***.**. Oklah tu. Bolehlah aku beli lap top. PC aku tu dah nazak beno dah.Asyik kelip-kelip je. Seksa aku dibuatnya. Tak boleh nak fokus menulis. Tapi dalam pada kelip-kelip tu, sempat jugak siap satu novel, 5 cerpen dan berpuluh sajak. Yelah, tu PC warisan akak aku. LAma punya model Windows ME. Rem pun 64MB je. Hu..hu.."
" Ala, oklah tu. Kan kau dah dapat duit. Hm,aku pun nak menulislah. Dapat jugak duit-duit tepi. Boleh belanja awek aku makan. Belikan di handphone baru. Mesti lepas tu dia akan sayang gile kat aku" katanya sambil disusuli ketawa yg berdekah-dekah.
Aku hanya berdiam diri. Kalaulah semua penulis seprti rakanku ini, apalah yg terjadi? Menulis kerana wang!Fungsi karya itu sendiri akan lari daripada landasannya sendiri iaitu sebagai wadah untuk manusia berfikir. Aku akui, habuan dan honorarium itu sangat penting, tetapi ada sesuatu yg lebih penting yg perlu difikirkan oleh penulis. APA NIAT ANDA MENULIS? Kalau niat mahu jadi kaya raya, silaka...tetapi anda bukanlah manusia yg diperlukan. Kalau niat ingin berkongsi pemikiran dengan orang lain, juga silakan. Dan anda adalah setulen-tulen sasterawan..
Subscribe to:
Posts (Atom)