Saturday, May 31, 2008
Monday, May 26, 2008
KALAULAH INI YANG DIKATAKAN SEBUAH PERTEMUAN
Detik-detik sebelum mengenyangkan perut
Bergambar beramai-ramai. Di tengah, orang kuat program ini Abang SM Zakir)
Pada 12-14 Mei yang lalu, aku berkesempatan menyertai satu program bengkel penulisan kreatif dan program pertukaran budaya anjuran PENA. Aku mengetahui tentang program ini melalui pensyarahku, Tn. Hj Shamsudin Othman (sebab dah letak nama jawatannya, terpaksa tulis nama penuh. Jika tidak aku memanggil beliau Abang Din saja. Lebih mesra, walaupun kami tidak pernah bermesra- senyum)

Waktu memanaskan badan sewaktu rempuh halangan. Gambar bawah, Ajun partner sukaneka petang tu (comel kan?)
Program yg diadakan di Sukida Resort ini amat mengujakan kerana ia turut disertai oleh rakan-rakan Melayu-Islam dari Prince of Songkhla Universiti (PSU) yang secara kebetulan melengkapkan rentetan penjelajahan mereka di semenanjung Malaysia, dan program ini salah satu daripada jeda perjalanan mereka sebelum pulang ke negara Gajah Putih itu.
Peserta lelaki hanya ada 6 orang. Dari kiri; Wan, Aku & Aidil Khalid (Malaysia) Sarofe, Bakri & Abdullah (Thailand)
Mengenali mereka merupakan satu kenangan yg terindah dalam hidupku. Aku mempunyai rakan-rakan dari Indonesia, Singapura, Iraq, dan beberapa rakan di benua Eropah, tetapi agak malang kerana aku masih tidak mempunyai rakan yg berasal dari Thailand. Pelik, bukan?
Tirak-tirak, can ca kidteng te..(sayang-sayang, saya akan merindui kamu)
Dan secara peribadi, kami berkongsi banyak perkara (kami tidur agak lewat, dan keesokannya abang SM Zakir terpaksa menelefonku untuk mengajak kami semua bersarapan). Banyak perkara yg kami bincangkan; termasuk persoalan sejarah, politik, ekonomi dan semestinya perkembangan sastera di Thailand. Jika persoalan bahasa dilihat dari aspek yg jelas, mereka sepatutnya bertuah kerana mempunyai rakyat yg sangat patriotik dan kerajaan yg sangat mendaulatkan bahasa Siam. Malah, aku sempat belajar beberapa perkataan Siam daripada kenalanku. Kalaulah kerajaan kita sekomited kerajaan Thailand yg gigih mendaulatkan bahasa ibunda sendiri, alangkah indahnya. Dan kalaulah pertemuan ini ada timbal baliknya, aku yakin akulah orang pertama yg sangat teruja untuk memeberikan nama. Buat Abang Din dan Abang Zakir, saya rasa molek juga kalau hujung tahun ini kita legasi dari Malaysia melawat mereka di Wilayah sana.
Sunday, May 11, 2008
YANG TERSIRAT DALAM LOCUS STANDI RANIA SALSABILLA
Wednesday, April 30, 2008
SONETA MUSIM BUNGA
Aku sangat terkesan dengan puisi-puisi yang tamat kukhatamkan pembacaannya sejam selepas membelinya itu sangat menggugah diri ini untuk mengasilkan sebuah puisi yg mempunyai laras rima yang sama. Aku sememangnya mengkagumi puisi-puisi Pak Samad, dan kerana itu mendorong aku untuk terus menguliti puisi-puisinya. Dan 68 SONETA POHON GINKGO adalah koleksi yang sangat baik untuk diteliti, bukan hanya untuk dijamah serasanya, tetapi ditekuni laras rima dan suku katanya...
Pohon ginkgo: Menarik untuk santapan mata sedamainya membenihkan soneta-soneta musim bunga
SONETA BUAT KEKASIH
Telah kusemai bebenih kasih
di batas waktu bertunas di kalbu
di ladang usia perkebunan kasih
tumbuh menjadi sepohon rindu.
Sepohon rindu di perdu hati
berdahan cinta bunganya indah
akar melilit sepotong mimpi
takwa merimbun bertahun sudah.
Bertahun sudah kucari-cari
ketemu damai seluruh raga
kutagih Kekasih cinta abadi
setulus rasa di laman jiwa.
Di laman jiwa kutitip sejati
sekalung cinta pada-Mu Illahi.
PWTC,
Kuala Lumpur
Friday, April 25, 2008
EMEL DARI JAKARTA
Chinta (jangan cepat terkejut, namanya memang klasik begitu) baru sahaja kehilangan teman baiknya pada 20 April lepas, dan aku mendapat beritasadis tersebut pada 23 April yg lalu. Dalam emelnya itu, Chinta dengan hiba berkongsi kesedihannya denganku, dengan mengatakan bahawa kehilangan seorang rakan karibnya (Juiliana Simou) adalah satu tamparan yg sangat hebat yg pernah dilaluinya setakat ini. Aku, meski tidak mengenali Juiliana secara dekat, tapi tetap merasakan kepedihan hatinya kerana aku juga pernah kehilangan orang yang aku sayang.
Mwnurut Chinta, Juilianalah sahabat, teman seperjuangan, adik, dan sahabat yg memahami. Kata Chinta:" Hargakan apa yg kamu genggami pada hari ini, kerana barangkali kamu tak sempat pun mnyentuhnya apabila ia tiada pada hari esok."
Buat Chinta, tabahlah menghadapi dugaan ini, dan buat Juiliana, al-fatihah...
Tuesday, April 15, 2008
SESUATU UKURAN
Kamar Nilam Fansuri - Menjadi medan yang memugar perkebunan ilham iniKadangkala, letih juga bila minggu peperiksaan menjelang tiba. Waktu beginilah manusia menjadi hipokrit dengan pelbagai rutin yang jauh dari kebiasaan. Waktu beginilah lampu-lampu di hostel terang benderang hingga ke pagi, dan melihat penampilan pelajar yg jauh lebih kemas dan bergaya melangkah ke dalam dewan peperiksaan juga satu perkara yg hanya dilihat menjelang musim peperiksaan ini.
Aku tidak terkecuali untuk bergelumang dalam senario ini. Namun, jauh di sudut hati, secara peribadi aku cukup jelak dengan sistem peperiksaan yg telah berjaya memecah belahkan bangsa dengan mengasingkan mereka mengikut satu ukuran yg dibuat oleh manusia. Kehebatan seseorang itu diukur dengan sejauh mana kehebatan mereka memuntahkan kembali segala macam nota dan maklumat dengan menghitamkan bulatan-bulatan di atas sekeping kertas.
Barangkali akan ada yang menganggap telahanku ini agak keterlaluan, tetapi percayalah bahawa kita sudah jauh ketinggalan dengan sistem peperiksaan yang serba konvensional ini. Akhir kata, SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN...
Saturday, March 15, 2008
MENCARI ALTERNATIF




Agenda ekonomi KeADILan telah jelas terbukti menerima mandat rakyat pada 8 Mac yang lalu, apabila rakyat Malaysia telah mengundi dan menambah empat kali ganda bilangan kerusi Parlimen yang dipegang parti pembangkang, justeru memberikan kami 50% kerusi Parlimen di Malaysia Barat. Selepas sedekad tadbirurus ekonomi yang lemah, inflasi yang tidak terkawal dalam beberapa tahun yang lepas, dan daya saing yang semakin merosot berbanding negara-negara jiran kita, kami yakin bahawa di bawah kepimpinan kami, bersama-sama berganding bahu dengan pasangan-pasangan kami, kami akan dapat melaksanakan dasar-dasar baru untuk menjamin ekonomi Malaysia yang jauh lebih kuat dan bertenaga tinggi.
Pakatan kami, dengan kuasa yang telah diberi di negeri Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan, akan melaksanakan dasar-dasar pasaran bebas yang mesra-perniagaan demi menggalakkan pertumbuhan ekonomi, menarik pelaburan asing dan melahirkan ketelusan dan kepertanggungjawaban yang lebih tinggi dalam urusan perniagaan.
Salah satu prioriti kami dalam minggu-minggu yang akan datang ini adalah untuk mula berdialog dengan para pelabur asing yang sudah bertempat di Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan. Ini akan memastikan bahawa keyakinan para pelabur kekal kukuh dalam tempoh peralihan ini, di samping mengenalpasti masalah-masalah yang perlu ditangani kerajaan-kerajaan baru kami, dalam meningkatkan lagi prestasi operasi mereka di sini.
Dasar toleransi sifar kami terhadap rasuah akan dapat memberi kesan yang besar dari segi mengurangkan kos urus niaga dan membina keyakinan dalam perusahaan kecil dan sederhana. Kami juga merancang untuk menyekat kakitangan kerajaan daripada berurusniaga dengan kerajaan, seterusnya mengurangkan insentif untuk kronisme dan perjanjian dalaman yang begitu membelenggu kerajaan sekarang.
Agenda Ekonomi Malaysia, yang merupakan salah-satu titik-tolak janji pilihanraya KeADILan, akan dapat dilaksanakan di peringkat negeri demi mengurangkan impak dasar bertunjangkan kaum, seterusnya memperkenalkan sistem berdasarkan merit yang akan lebih berdaya-saing. Ini akan serta-merta meningkatkan pelaburan asing, menambahkan hasil percukaian negeri, seterusnya mengurangkan jurang pendapatan dan sosio-ekonomi. Kami juga akan menunaikan janji kami untuk melindungi mereka yang tersisih dari semua komuniti etnik di Malaysia.
Tahap kemenangan kami yang tidak terjangka sememangnya agak mengejutkan negara dan rantau ini. Penyesuaian jangka pendek di BSKL dan ringgit yang lebih lemah telah dijangka. Namun begitu, situasi tersebut tidak akan melarat kecuali jika Barisan Nasional memilih untuk cuba menghukum rakyat dengan menyekat dana pembangunan yang sepatutnya pergi ke negeri-negeri yang kini telah tumbang kepada pembangkang. Akan tetapi, kami memberi amaran kepada Barisan Nasional: tindakan sebegitu akan hanya memburukkan lagi kedudukan mereka dalam pandangan rakyat Malaysia.
ANWAR IBRAHIM
Malaysian Economic Agenda Set to Propel Growth
