Thursday, April 2, 2009

MENGENANG T.ALIAS TAIB



Beberapa jam sebelum menunaikan solat Jumaat, tatkala saya menukangi beberapa tugasan pensyarah, entah mengapa, saya berasa gundah dan resah. Lalu, saya membelek-belek himpunan buku-buku yang tersusun di meja kecil saya, menyelak pantas majalah Tunas Cpta terbaharu yang belum sempat saya tekuni, namun rasa itu tetap menggugah.

Lalu, saya teringat bahawa saya pernah menyimpan satu artikel lama Dewan Sastera yang saya curi di Astaka Seni, UPM dua tahun lalu. Artikel buruk Dewan Sastera bulan September 2001 itu rasanya sudah saya baca berpuluh-puluh kali. Artikel yang ditulis sendiri oleh penyair idola saya Allahyarham T.Alias Taib dengan tajuk "Di sisi Pelita Minyak Tanah" ternyata banyak membantu untuk menyuburkan jiwa saya yang resah. Rakaman pengalamannya penuh jujur, menyentap rasa saya yang mula mengenalinya menerusi sajak Pembeli Masa Sudah ketika di bangku sekolah, lalu barangkali kejujuran itu mengalir ke dalam diri saya dan seringkali juga berbaur dalam setiap puisi-puisi saya.




Saya hampir memiliki kesemua antologinya kecuali "Petang Condong" yang masih belum saya temui sehingga ke hari ini. Puisi-puisi saya juga dewasa tatkala menguliti puisi-puisi Allahyarham, meski rasa ralat kerana tidak pernah bertemu dengan beliau masih berbekas di hati.




Puisi-puisi saya dewasa bersama-sama puisi-puisi beliau. Antologi Seberkas Kunci, Opera, Piramid dan semestinya Pasar Pengalaman banyak membentuk tunjang semangat saya untuk berkarya. Saya mengakui, sehingga ke hari ini pun, jika saya buntu untuk menulis puisi, buku-buku puisi beliau inilah yang saya rujuki untuk mencari semula mood dan semangat untuk menulis puisi.

Entah mengapa, kini ingatan saya kembali mengenangnya. Dan seperti biasa, saya memasang niat untuk menziarahi pusara Allahyarham jika mempunyai ruang untuk melakukannya. Buat Pak Engku, Al-Fatihah...

PENJUAL WAKTU
(Ingatan kepada Allahyarham T.Alias Taib)


Penyair seperti pernah katamu
adalah pembeli masa sudah
yang mencoret stanza-stanza resah
dari pasar hati yang gundah.

Penyair juga seperti indah madahmu
meminjamkan kata kepada pemikir
meski sunyi ia terlahir
dari gugahan perasaan yang fakir
dari babak-babak yang terukir.

Penyair juga sekental pendirianmu
adalah penjual waktu di gerai pilu
dari gerabak-gerabak yang berlalu
menyinggahi stesen-stesen yang berliku
untuk melembut ungkal tingkah dan laku

ZULFAZLAN JUMRAH
Kolej Canselor
3 APRIL 2009

PABILA MINGGU PEPERIKSAAN KEMBALI MENJELMA



Dua minggu dari sekarang,seluruh ceruk UPM akan dibungkus dengan selimut peperiksaan. Seperti biasa. satu fenomena yang klise, para pelajar akan berbungkam dengan nota peperiksaan, timbunan buku, soft copy power point (last minit baru minta daripada pensyarah) dan aneka nota kaki yang berselerak sana-sini.

Tetapi, berbeza dengan aku. Aku lebih selesa study sehari sebelum peperiksaan menjelang, berjaga sehingga subuh untuk menelaah, dan paginya awal-awal lagi aku sudah bersiap dan mengetuk daun pintu rakan-rakan yang masih berdengkur.

Peperiksaan padaku cukup mudah tafsirannya. Cuma satu penilaian untuk menguji tahap kefahaman yang tidak menyeluruh. Secara peribadi, padaku prinsip peperiksaan yang dijalankan di negara kita entah mengapa sejak dari darjah 1 tidak pernah mengujakan aku.

Barangkali aku terlalu radikal membuat tafsiran tentang peperiksaan. Apatah lagi peperiksaan yang kebanyakannya berbentuk objektif (A, B, C,D)yang boleh dipenuhkan ruang jawapan kalau pun tidak memahami dan mengetahui jawapannya.

Aku lebih tertarik dengan peperiksaan yang lebih berbentuk amali, on hand, atau konsep peperiksaan yang menguji kefahaman pelajar untuk mengolah dan merencanakan idea tanpa diikat dengan sesuatu pun. Mungkin frasa yang tepat adalah peperiksaan yang memberikan kebebasan kepada pelajar mengemukakan apa pun pandangan berbentuk peribadi terhadap apa yang dipelajari mereka selama satu semester.




Saat ini, aku teringat perbualanku dengan seorang rakan yang belajar di Shieffield University tentang penilaian akhir semesternya bagi subjek sejarah. Menurutnya, semua pelajar di kelasnya diberikan kebebasan sepenuhnya oleh pensyarah mereka untuk membuat satu pembentangan berkaitan apa juga sejarah yang terdapat di dunia ini sekreatif yang mungkin.



Ia boleh terjadi dalam bentuk penceritaan disusuli gambar-gambar bersejarah, sejarah hitam keluarga, sehelai pakaian moyang yang berperang ketika perang dunia kedua, beberapa keping duit syiling lama, sekeping lukisan plaster, secangkir cawan yang sompek yang pernah digunakan oleh Perdana Menteri Britain ketika kecil, sebiji guli pemberian seorang rakan lama ayahnya yang kini mengepalai Kementerian Pertahanan Britain, gelongsong peluru ketika perang Vietnam,atau apa sahaja.Bukankah itu cukup menarik? Konsep pembelajaran sudah lari daripada konsep menghafal fakta dan memuntahkannya di kertas jawapan.



Akan tetapi, inilah fenomena peperiksaan di Malaysia. Kita diajar untuk menghafal sesuatu, tetapi tidak diajar bagaimana menghayati sesuatu. Pembelajarah adalah proses rutin,tetapi sekiranya rutin itu tidak memberikan kesan kepada jiwa dan rasa insani apalah ertinya.

Wednesday, March 25, 2009

BUKAN SETARAF PGL THE MUSICAL

APA yang berbekas di benak saya sebaik sahaja berjaya mementaskan teater Tun Kudu, adalah rasa lega dan kegembiraan yang tidak terhingga. Saya tak pernah bermimpi, pada usia semuda 23 tahun, saya berjaya mengarahkan sebuah pementasan teater purbawara dan sememangnya saya akui banyak kelemahannya yang sangat mendukacitakan penonton. Saya ingin memohon maaf kepada penonton sama ada yang datang dari dekat atau jauh(ada rakan saya datang dari UTM Skudai semata-mata untuk meyaksikan pementasan teater ini)sekiranya pementasan ini mengecewakan anda.

Hakikatnya, saya seorang yang sangat degil! Degil dalam konteks pendirian, prinsip, falsafah atau mempertahankan diri. Saya akui, banyak pihak yang mengatakan bahawa salah satu kelemahan yang paling ketara adalah aspek teknikal di Dewan Banquet tersebut. Sejujurnya, saya awal-awal lagi tidak bersetuju dengan lokasi pementasan Teater Tun Kudu ini diadakan di Putra Banquet Hall. Sebuah pementasan teater diadakan di sebuah dewan makan? Tidakkah itu aneh? Dan sudah pastilah, akan banyak kelemahan yang akan timbul terutama dari aspek penataran pencahayaan, frekuensi audio,koreografi pelakon di pentas,aspek space blocking, dan permainan props. Segala-galanya tampak aneh!

Saya sebenarnya lebih selesa sekiranya kami berkolaborasi dengan DBP untuk mementaskan teater ini di stor DBP, atau di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Panggung Bandaraya DBKL atau setidak-tidaknya di beberapa dewan yang sesuai untuk sebuah pementasan teater.




Akan tetapi, inilah perkara yang berlaku apabila seorang seniman disekat untuk berkarya. Pendapat saya meski memegang 'title' sebagai pengarah, selalu disanggah. Hal ini mencakupi aspek pemilihan lokasi pementasan, peilihan pelakon, susun atur props,susun atur persembahan selingan (saya cuma mencadangkan tiga persembahan selingan saja)dan banyak lagi yang saya tidak berpuas hati melibatkan kebajikan pelakon-pelakon saya.

Saya bukanlah seorang yang kejam. Bukan juga seperti semut yang boleh dipijak sesuka hati. Saya mempunyai prinsip sendiri. Seperti mana saya berprinsip ketika menulis sebuah karya, begitu jugalah saya tetap memegang prinsip sebaik sahaja duduk di kerusi pengarah.

Kelemahan tetaer saya memang ketara, tetapi saya perlu tegaskan di sini, bahawa saya mempunyai hujah tersendiri:

1. Ini adalah teater pertama saya
2. Pelakon saya bukanlah pelakon yang profesional (semua tidak pernah berlakon teater sebelum ini)
3. Lokasi pementasan tidak sesuai
4. Kelengkapan teknikal di dewan tersebut sangat terbatas
5. Sumber kewangan yang terhad.

Kepada insan-insan yang menghentam teater saya (di depan saya atau di belakang saya), saya lontarkan hujah-hujah ini kembali kepada anda. Dan, saya ingin tegaskan di sini, bahawa teater saya bukan setaraf PGL The Musical!Dan,jangan lupa menjemput saya sekiranya anda mementaskan sebuah teater..

Friday, March 20, 2009

PENGALAMAN MENGARAHKAN SEBUAH PEMENTASAN TEATER

BARANGKALI ramai rakan-rakanku yang muak kerana sudah lama aku tidak mengemaskini blog NAKHODA BANGSA ini. Ada beberapa rakanku yang menyindir " Blog kau ni dah sepatutnya kena block". ada juga yang mengatakan: "Kemas!Kemas! Dah bersarang dah blog kau ni"

Namun, aku mengakui, memang sudah lama aku tidak mengemaskini blogku ini. Hal ini kerana, beberapa bulan kebelakangan ini aku teramat-amat sibuk mengarahkan satu pementasan teater anjuran fakultiku dengan kerjasama fakulti bahasa moden dan komunikasi.

Dalam pementasan ini, aku diberikan tanggungjawab sebagai pengarah lakonan, yang antara lainnya tugasku menjadi master-mind dalam pementasan ini. Memang susah, lebih-lebih lagi bila membicarakan soal komitmen pelakon dan krew. Ada yang menjadi seseorang yang sangat menyokong, ada juga yang hanya menjadi pengganggu kepada kelancaran proses pementasan ini.

Prinsip dan falsafah aku cukup mudah dalam bekerja. IKUT PERATURAN!!!. Itu saja. Memang barangkali ia kedengaran agak kejam, tetapi aku hampir tidak mempunyai pilihan lagi.Keja tetap kerja. Untuk berjaya, perlu ada kerjasama.

Pengalaman pertama mengarahkan sebuah pementasan teater ternyata membuka mataku terhadap falsafah 'siapa kawan, siapa lawan'. Aku mulai kenal siapa dia insan-insan yang boleh berada di sisi ketika kita dalam keadaan sukar dalam membuat keputusan. Juga waktu ini, memberikan aku petunjuk tentang harga sebuah pengorbanan, dan kesemua itu berbaur dalam himpitan waktu yang sentiasa menghambat dan mengejar.

Lalu, di kesempatan ini, aku ingin menjemput para pengunjung blog NAKHODA BANGSA ini untuk sama-sama menyaksikan pementasan ini.




TARIKH: 22 MAC 2009 (AHAD)
TEMPAT: PUTRA BANQUET HALL, UPM.
MASA: 8.00 MALAM
PENGARAH: ZULFAZLAN JUMRAH

Sunday, January 25, 2009

KEHILANGAN SN YANG TAK TERTEBUS



Lewat petang semalam, aku menerima kiriman SMS daripada seorang rakan kuliah merangkap rakan penulisku, Afiqah yang mengatakan bahawa SN Arenawati telah kembali ke rahmatullah. SMS itu agak mengejutkan aku yang ketika itu dalam pejalanan pulang ke kampung.

Sejujurnya, aku memang tidak pernah menimba ilmu dengan allahyarha Pak Arena, tetapi aku mengaguminya melalui beberapa cerpen dan trilogi novel yang sangat mengagumkan. Allahyarham yang berasal dari seberang memilih untuk menetap di alaysia dan seterusnya menghambakan dirinya kepada dunia sastera sehingga mendapat pelbagai pengiktirafan dan yang tertinggi ialah bergelar Sasterawan Negara.

Setelah warga sastera Malaysia kehilangan Sasterawan Negara S. Othman Kelantan beberapa ketika dahulu, kini kita kehilangan pula seorang sasterawan yang mempunyai jalur perjuangan yang panjang dalam dunia sastera negara.

Buat keluarga dan saudara mara allahyarham, sama-samalah kita berdoa semoga rohnya dicucuri rahmat hendaknya. Kehilangan ini adalah satu kehilangan yang tidak tertebus buat semua warga sastera tanah air. Alfatihah..

Saturday, January 10, 2009

SEJAMBAK PUISI YANG SARAT ERTI

Hari ini, sebuah puisiku yang bertajuk KERANDA BAHASA telah disiarkan di Berita Harian. Sejurus itu, ada beberapa SMS yang masuk ke telefon bimbitku untuk memaklumkan tentang penyiaran sajakku itu. namun, SMS daripada seorang kenalanku di Johor bernama Aizuddin ternyata cukup terkesan SMSnya berbunyi begini.
"Tahniah, sajak yang memukau. Antara yang terbaik yang pernah aku baca. Teruskan berusaha untuk memperjuangkan bahasa Melayu selagi terdaya. Aku nak kau jadi macam pensyarah kau Shamsudin Othman tu."

Aizuddin (aku panggil dia Din saja) merupakan antara rakan baikku di Johor. Kami tinggal setaman, ke sekolah bersama-sama, pernah memukul junior bersama-sama, bersengkang mata membaiki komputer bersama-sama, dan pengalaman yang paling aku tak boleh lupa dengannya ialah apabila kami pernah menolak motornya yang bocor dari Kota Tinggi ke Bandar Tenggara daripada lewat malam sehingga awal pagi.

Ada juga SMS yang bertanya siapa itu Shamsudin Othman, dan kenapa aku tujukan sajakku itu kepadanya. Jawapannya mudah saja. Beliau adalah pensyarah di kelasku, aku mengenalinya ketika aku masih di Semester 1 di UPM, dan barangkali aku memilihnya kerana kami akrab bersama, dan sering berbincang mengenai banyak perkara.

Padaku, dialah antara pejuang bahasa yang tekal memperjuangkan kedaulatan bahasa Melayu, meski barangkali ada orang yang meremehkan usahanya. Namun, saban hari di kelas, ketika makan dan minum bersama, atau di mana-mana saja, dia tidak putus-putus memperjuangkan tentang kedaulatan bahasa termasuk di blog TANAH NURANInya..

di sini, aku turunkan kembali puisiku itu untuk tatapan pelawat yang sedang membaca:

KERANDA BAHASA
(Percakapan Kepada Shamsudin Othman)

Saudara,
lolong kita barangkali tak pernah menyapa
cuping telinga mereka
yang tuli pada gendang peradaban bangsa.

Jihad kita barangkali saudara,
selintas gesit kelibat cuma
pada sepasang mata mereka
yang rabun pada citra keagungan ibunda.

Di sini saudara,
setelah bertahun kita membebat luka
dan bertahun juga kita berendam air mata
sengsara
apakah akhirnya perlu kita
mengusung keranda bahasa
di dalamnya sejasad maruah terdera
dipenuhi oleh setiap luka kita?

Saudara,
adakah akhirnya nanti
kita harus menguburkan keranda ini
meski masih adanya bulan dan mentari
terbit di langit maruah sebidang tanah pertiwi?

Saudara,
adakah harus kita tanamkan keranda ini
saat daulat ini menuntut dijunjung tinggi
dan setelah menadah hujan derita ini
adakah kita membiar sama sekali
semudah petikan jari
mereka menisankan keranda ini
tanpa bacaan talkin di sisi?

ZULFAZLAN JUMRAH
Putrajaya
(Berita Harian, 10 Januari 2009)

Thursday, January 8, 2009

APABILA SEMUA ORANG BERSUARA, TANPA BERBUAT APA-APA.

Saban hari, kita diberitakan dengan berita-berita kekejaman kaumYahudi laknatullah di dada-dada akhbar dan media massa. Boleh dikatakan hampir setiap masa, perkara ini bicarakan, baik di kedai-kedai mamak (sekarang ramai yg berselera makan di kedai mamak), atau di mana-mana juga. di kampus, hostel, tepi jalan, pasar, atau makcik-mak cik yang kebiasaannya mengumpat sambil sidai baju juga tidak terkecuali membicarakan topik yg sama.




Aku juga begitu. dalam kepadatan wwaktu yg menggari dan merantai (semester ini saja aku ada 2 projek teater yg perlu dilunaskan di samping tugasan penyelidikan pendidikan) , aku juga tidak ketinggalan daripada membicarakan topik yg sama. sana sini orang asyik bercerita tentang kekejaman Israel. Selalunya, aku menghabiskan banyak masa dengan rakan sekuliahku Nazrin dan kami akan membicarakan topik ini dengan kemarahan yg meluap-luap.

Namun, sejauh manakah keupayaan kami yg berstatus pelajar universiti ini mampu mengubah iklim ini? tanpa kuasa dan sekutu yg selayaknya, masakan kami bisa membantu ratusan ribu mangsa di bumi bergolak sana?



Gagasan yang aku ingin sampaikan dalam entri kali ini adalah di manakah fungsi Malaysia sebagai anggota PBB dan OIC? Apalah gunanya bersidang di tempat persidangan mewah saban tahun, tetapi peranan badan dan persatuan lari daripada matlamat asal penubuhan? Inilah kebimbangan yg semakin dikhuatiri. Apabila kuasa diberikan kepada seseorang manusia, dan mereka menyalahgunakannya tanpa merasa apa-apa. Andai setakat bantuan makanan dan perubatan saja, itu tidak memadai. seandainya kita perlu menghantar rejim dan bantuan ketenteraan untuk melawan Yahudi, maka kenapa tidak usaha ini diteruskan.

Apalah ertinya membelanjakan berbilion Dollar dan ringgit untuk membeli peralatan perang, tetapi kita tidak menggunakannya untuk membantu saudara seislam kita. Tepuk dada tanya selera. Andai suatu hari nanti 'di sana' kita ditanya mengapakah tidak berjihad untuk membantu saudara seislam kita, maka saat itu apalah agaknya jawapan kita?

Apabila semua orang bersuara tanpa berbuat apa-apa, maka apakah perlunya kita memberikan seseorang itu kuasa?