Monday, May 26, 2008

KALAULAH INI YANG DIKATAKAN SEBUAH PERTEMUAN



Detik-detik sebelum mengenyangkan perut

(kak Hani ni la yg bawak kami konvoi ramai-ramai)



Bergambar beramai-ramai. Di tengah, orang kuat program ini Abang SM Zakir)




Pada 12-14 Mei yang lalu, aku berkesempatan menyertai satu program bengkel penulisan kreatif dan program pertukaran budaya anjuran PENA. Aku mengetahui tentang program ini melalui pensyarahku, Tn. Hj Shamsudin Othman (sebab dah letak nama jawatannya, terpaksa tulis nama penuh. Jika tidak aku memanggil beliau Abang Din saja. Lebih mesra, walaupun kami tidak pernah bermesra- senyum)



Waktu memanaskan badan sewaktu rempuh halangan. Gambar bawah, Ajun partner sukaneka petang tu (comel kan?)

Program yg diadakan di Sukida Resort ini amat mengujakan kerana ia turut disertai oleh rakan-rakan Melayu-Islam dari Prince of Songkhla Universiti (PSU) yang secara kebetulan melengkapkan rentetan penjelajahan mereka di semenanjung Malaysia, dan program ini salah satu daripada jeda perjalanan mereka sebelum pulang ke negara Gajah Putih itu.





Peserta lelaki hanya ada 6 orang. Dari kiri; Wan, Aku & Aidil Khalid (Malaysia) Sarofe, Bakri & Abdullah (Thailand)


Mengenali mereka merupakan satu kenangan yg terindah dalam hidupku. Aku mempunyai rakan-rakan dari Indonesia, Singapura, Iraq, dan beberapa rakan di benua Eropah, tetapi agak malang kerana aku masih tidak mempunyai rakan yg berasal dari Thailand. Pelik, bukan?



Tirak-tirak, can ca kidteng te..(sayang-sayang, saya akan merindui kamu)


Dan secara peribadi, kami berkongsi banyak perkara (kami tidur agak lewat, dan keesokannya abang SM Zakir terpaksa menelefonku untuk mengajak kami semua bersarapan). Banyak perkara yg kami bincangkan; termasuk persoalan sejarah, politik, ekonomi dan semestinya perkembangan sastera di Thailand. Jika persoalan bahasa dilihat dari aspek yg jelas, mereka sepatutnya bertuah kerana mempunyai rakyat yg sangat patriotik dan kerajaan yg sangat mendaulatkan bahasa Siam. Malah, aku sempat belajar beberapa perkataan Siam daripada kenalanku. Kalaulah kerajaan kita sekomited kerajaan Thailand yg gigih mendaulatkan bahasa ibunda sendiri, alangkah indahnya. Dan kalaulah pertemuan ini ada timbal baliknya, aku yakin akulah orang pertama yg sangat teruja untuk memeberikan nama. Buat Abang Din dan Abang Zakir, saya rasa molek juga kalau hujung tahun ini kita legasi dari Malaysia melawat mereka di Wilayah sana.

Sunday, May 11, 2008

YANG TERSIRAT DALAM LOCUS STANDI RANIA SALSABILLA

Ilustrasi Pelukis tentang cerpen Locus Standi Rania Salsabilla

Jarang sekali aku memasukkan entri tentang karya-karyaku yang pernah tersiar di media ke dalam blog. Selain tidak mahu bermegah dengan karya yang terpilih itu (barangkali terasa diri ini masih terlalu kerdil dalam ujana sastera negara), aku hanya berbuat begitu sekiranya karya tersebut benar-benar membawa erti yg sangat mendalam pada diriku.
Natijahnya, cerpenku yg tersiar di Berita Minggu pada 11 Mei (kebetulan terkena dengan tarikh Hari Ibu), sangat bererti bagiku. Ini kerana cerpen tersebut selain menggunakan dua nama 'permata hati' bagi mentor-mentorku di MPR, tidak ramai barangkali yg tahu ia juga turut menyelitkan nama kedua-dua org tuaku.
Watak Tok Nanang adalah panggilan untuk ayahku, Salhah, ialah nama sebenar ibuku (SELAMAT HARI IBU MAK- tersenyum), Kamaluddin- gabungan nama abangku (kamal) dan anak saudaraku (nordin), Ruzihana (kakakku yg nombor enam) serta Dr. Shamsuddin (juga mentorku di MPR 2006).
Itulah sebabnya cerpen ini sangat bermakna bagiku (mungkin ada yg mengatakan ia tidak bagus), tetapi padaku yg baru setahun jagung bergelumang dalam dunia sastera ini, melihat karya tersiar di media massa, ia adalah satu permulaan yg cukup bererti, dan untuk berhenti daripada terus menerokai ilmu yg maha luas ini adalah sesuatu yg tidak mungkin akan aku lakukan.
Terima kasih editor, kerana menyiarkan cerpen yang sangat bererti ini. Rupa-rupanya masih ada insan yg faham bahawa cerpen bukan hanya perlu dilihat dari mutu penceritaan sahaja, tetapi siapa tahu rupa-rupanya sesebuah cerpen itu membawa makna yg sangat besar kepada penulisnya dan org-org yg disayanginya sendiri...

Wednesday, April 30, 2008

SONETA MUSIM BUNGA

Barangkali sudah agak terlewat untuk aku bercerita tentang pesta buku yang lepas. Namun, apa yang terkesan padaku ketika pesta buku pada kali ini ialah terhadap sebuah buku puisi Pak Samad yang sempat aku beli di gerai Wira Bukit. Puisi yang terkandung di dalam buku yang diberi nama 68 SONETA POHON GINKGO, adalah buah tangan terbaru Pak Samad yang dihasilkan lewat kenangan kunjungannya ke Korea dahulu.

Aku sangat terkesan dengan puisi-puisi yang tamat kukhatamkan pembacaannya sejam selepas membelinya itu sangat menggugah diri ini untuk mengasilkan sebuah puisi yg mempunyai laras rima yang sama. Aku sememangnya mengkagumi puisi-puisi Pak Samad, dan kerana itu mendorong aku untuk terus menguliti puisi-puisinya. Dan 68 SONETA POHON GINKGO adalah koleksi yang sangat baik untuk diteliti, bukan hanya untuk dijamah serasanya, tetapi ditekuni laras rima dan suku katanya...



Pohon ginkgo: Menarik untuk santapan mata sedamainya membenihkan soneta-soneta musim bunga



SONETA BUAT KEKASIH

Telah kusemai bebenih kasih
di batas waktu bertunas di kalbu
di ladang usia perkebunan kasih
tumbuh menjadi sepohon rindu.

Sepohon rindu di perdu hati
berdahan cinta bunganya indah
akar melilit sepotong mimpi
takwa merimbun bertahun sudah.

Bertahun sudah kucari-cari
ketemu damai seluruh raga
kutagih Kekasih cinta abadi
setulus rasa di laman jiwa.

Di laman jiwa kutitip sejati
sekalung cinta pada-Mu Illahi.

PWTC,
Kuala Lumpur

Friday, April 25, 2008

EMEL DARI JAKARTA

Beberapa hari lalu, aku mendapat satu emel daripada seorang rakan penaku dari Jakarta. Barangkali, tidak ada dalam kalangan rakanku di sini yg mngenalinya kerana aku memang sangat berahsia dengan talian pershabatan ini, dan aku memang tidak pernah menceritakan perihalnya kepada sesiapa pun.

Chinta (jangan cepat terkejut, namanya memang klasik begitu) baru sahaja kehilangan teman baiknya pada 20 April lepas, dan aku mendapat beritasadis tersebut pada 23 April yg lalu. Dalam emelnya itu, Chinta dengan hiba berkongsi kesedihannya denganku, dengan mengatakan bahawa kehilangan seorang rakan karibnya (Juiliana Simou) adalah satu tamparan yg sangat hebat yg pernah dilaluinya setakat ini. Aku, meski tidak mengenali Juiliana secara dekat, tapi tetap merasakan kepedihan hatinya kerana aku juga pernah kehilangan orang yang aku sayang.

Mwnurut Chinta, Juilianalah sahabat, teman seperjuangan, adik, dan sahabat yg memahami. Kata Chinta:" Hargakan apa yg kamu genggami pada hari ini, kerana barangkali kamu tak sempat pun mnyentuhnya apabila ia tiada pada hari esok."

Buat Chinta, tabahlah menghadapi dugaan ini, dan buat Juiliana, al-fatihah...

Tuesday, April 15, 2008

SESUATU UKURAN

Kamar Nilam Fansuri - Menjadi medan yang memugar perkebunan ilham ini





Maaf kerana agak lama tidak menulis di blog ini. Barangkali juga kerana 'demam' peperiksaan yang melanda pelajar-pelajar di universiti menjadi penyebab mengapa masa untuk aku meluangkan masa menulis di blog ini agak terbatas.

Kadangkala, letih juga bila minggu peperiksaan menjelang tiba. Waktu beginilah manusia menjadi hipokrit dengan pelbagai rutin yang jauh dari kebiasaan. Waktu beginilah lampu-lampu di hostel terang benderang hingga ke pagi, dan melihat penampilan pelajar yg jauh lebih kemas dan bergaya melangkah ke dalam dewan peperiksaan juga satu perkara yg hanya dilihat menjelang musim peperiksaan ini.

Aku tidak terkecuali untuk bergelumang dalam senario ini. Namun, jauh di sudut hati, secara peribadi aku cukup jelak dengan sistem peperiksaan yg telah berjaya memecah belahkan bangsa dengan mengasingkan mereka mengikut satu ukuran yg dibuat oleh manusia. Kehebatan seseorang itu diukur dengan sejauh mana kehebatan mereka memuntahkan kembali segala macam nota dan maklumat dengan menghitamkan bulatan-bulatan di atas sekeping kertas.

Barangkali akan ada yang menganggap telahanku ini agak keterlaluan, tetapi percayalah bahawa kita sudah jauh ketinggalan dengan sistem peperiksaan yang serba konvensional ini. Akhir kata, SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN...

Saturday, March 15, 2008

MENCARI ALTERNATIF

Barangkali entri saya kali ini agak lewat kerana ia hanya dijelmakan setelah seminggu negara dikejutkan dengan kebangkitan mendadak pihak Barisan Alternatif (BA) dalam pilihanraya umum ke 12 pada 8 Mac lalu. Sejujurnya, keputusan ini telah saya duga sejak awal-awal lagi, ketika pihak yang lagi satu lagi amat yakin mampu menyapu bersih 'hati rakyat', tetapi BA telah membuktikan betapa pada hari ini rakyat sudah mula mempunyai paradigma yang subjektif, dan telah terlepas daripada belenggu politik yang tidak lagi relevan dalam konteks semasa. Saya kira, ucapan tahniah harus diucapkan kepada para pemimpin tunjang parti-pati BA, terutamanya Datuk Seri Anwar Ibrahi, (saya memang menjadikannya sebagai idola saya sejak dahulu lagi) yang mampu menjelmakan satu harapan batru seluruh rakyat Malaysia yang inginkan perubahan dan kelainan. Perubahan yang jauh daripada sentimen rasuah, korupsi ali-baba, dan penindasan halus kepada rakyat. Berikut merupakan petikan teks daripada blog beliau dan beberapa gambar peristiwa penting tentang perjuangan BA yang sempat saya sisipkan di sini.




Agenda ekonomi KeADILan telah jelas terbukti menerima mandat rakyat pada 8 Mac yang lalu, apabila rakyat Malaysia telah mengundi dan menambah empat kali ganda bilangan kerusi Parlimen yang dipegang parti pembangkang, justeru memberikan kami 50% kerusi Parlimen di Malaysia Barat. Selepas sedekad tadbirurus ekonomi yang lemah, inflasi yang tidak terkawal dalam beberapa tahun yang lepas, dan daya saing yang semakin merosot berbanding negara-negara jiran kita, kami yakin bahawa di bawah kepimpinan kami, bersama-sama berganding bahu dengan pasangan-pasangan kami, kami akan dapat melaksanakan dasar-dasar baru untuk menjamin ekonomi Malaysia yang jauh lebih kuat dan bertenaga tinggi.
Pakatan kami, dengan kuasa yang telah diberi di negeri Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan, akan melaksanakan dasar-dasar pasaran bebas yang mesra-perniagaan demi menggalakkan pertumbuhan ekonomi, menarik pelaburan asing dan melahirkan ketelusan dan kepertanggungjawaban yang lebih tinggi dalam urusan perniagaan.
Salah satu prioriti kami dalam minggu-minggu yang akan datang ini adalah untuk mula berdialog dengan para pelabur asing yang sudah bertempat di Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan. Ini akan memastikan bahawa keyakinan para pelabur kekal kukuh dalam tempoh peralihan ini, di samping mengenalpasti masalah-masalah yang perlu ditangani kerajaan-kerajaan baru kami, dalam meningkatkan lagi prestasi operasi mereka di sini.
Dasar toleransi sifar kami terhadap rasuah akan dapat memberi kesan yang besar dari segi mengurangkan kos urus niaga dan membina keyakinan dalam perusahaan kecil dan sederhana. Kami juga merancang untuk menyekat kakitangan kerajaan daripada berurusniaga dengan kerajaan, seterusnya mengurangkan insentif untuk kronisme dan perjanjian dalaman yang begitu membelenggu kerajaan sekarang.
Agenda Ekonomi Malaysia, yang merupakan salah-satu titik-tolak janji pilihanraya KeADILan, akan dapat dilaksanakan di peringkat negeri demi mengurangkan impak dasar bertunjangkan kaum, seterusnya memperkenalkan sistem berdasarkan merit yang akan lebih berdaya-saing. Ini akan serta-merta meningkatkan pelaburan asing, menambahkan hasil percukaian negeri, seterusnya mengurangkan jurang pendapatan dan sosio-ekonomi. Kami juga akan menunaikan janji kami untuk melindungi mereka yang tersisih dari semua komuniti etnik di Malaysia.
Tahap kemenangan kami yang tidak terjangka sememangnya agak mengejutkan negara dan rantau ini. Penyesuaian jangka pendek di BSKL dan ringgit yang lebih lemah telah dijangka. Namun begitu, situasi tersebut tidak akan melarat kecuali jika Barisan Nasional memilih untuk cuba menghukum rakyat dengan menyekat dana pembangunan yang sepatutnya pergi ke negeri-negeri yang kini telah tumbang kepada pembangkang. Akan tetapi, kami memberi amaran kepada Barisan Nasional: tindakan sebegitu akan hanya memburukkan lagi kedudukan mereka dalam pandangan rakyat Malaysia.



ANWAR IBRAHIM


Malaysian Economic Agenda Set to Propel Growth