Tuesday, February 12, 2008

DI 'NEGARA ORANG'


Aku baru saja pulang dari bercuti ke 'negara orang'. Sejuk, namun aku tak ada masalah untuk menyesuaikan diri kerana aku seperti pernah dilahirkan di sini. Banyak kesukaran yang aku temui di 'negara orang' ini, antaranya aku sukar untuk memahami papan tanda (kerana ditulis dalam bahasa lain, yang bukan bahasa negara tersebut) dan aku dapati banyak pelancong-pelancong asing dan warga tempatan yang memenuhi negara ini. Bercakap tentang warga tempatannya, aku rasa pelik dan terfikir adakah benar mereka semua ini memang asal daripada negara ini? Tetapi setakat pembelajaranku tentang adat, budaya dan kehidupan tradisi turun temurun tentang negara ini, sikap dan perilaku mereka tidak sama dengan apa yg telah aku pelajari.

Setahu aku, warga tempatan negara ini mempunyai adat dan nilai yg tinggi. Sopan santun, berbudi bahasa tapi perilaku mereka saling tak ubah seperti sebuah negara lain itu. Anak-anak muda warga tempatan ini bersikap aneh dan melanggar tradisi kesantunan dan keagamaan negara itu apabila kaum lelaki dan perempuannya saling berdakapan dan berpeluk cium tanpa segan silu di hadapan khalayak ramai. Namun, bila aku mengamati warna kulit warga tempatan ini, benarlah bahawa mereka sebenarnya memang warga negara ini.

Friday, February 8, 2008

MAHU MENJADI PENULIS NOVEL POPULAR







Aku membesar dengan novel-novel ini









Baru sebentar tadi, aku terbaca komen Dr. Lim Swee Tin yang mengatakan bahawa dia sendiri sudah mula mahu menulis sebuah novel picisan dengan harapan satu hari nanti novelnya itu boleh terpilih sebagai teks KOMSAS. Secara peribadi, nada sinikal yg diutarakan mungkin ada baikya untuk kita fikir-fikirkan bersama dan kita terpaksa mengaku bahawa sastera Melayu sudah MATI!

Aku tidak pasti sama ada aku merupakan orang yg layak untuk bericara tentang soal ini, tapi sejujurnya, aku jatuh cinta terhadap dunia sastera Melayu ini kerana keindahan buku-buku sastera yg aku baca sedikit masa dulu.Dan tanpa sedar, aku mula mencintainya.

Memang sukar bagi seorang pembaca yg membesar dengan karya-karya popular seperti aku ini untuk jatuh hati terhadap buku-buku sastera, ketika saat ini kebanyakan rakan-rakan sepermainanku (yg sama-sama membesar dengan novel-novel Ahadiat Akashah) masih membaca novel-novel itu, aku kian kehilangan mereka kerana sudah beralih arah.

Dan kini, aku menjadi mangsa kutukan dan ketawaan mereka kerana pada mereka, mereka sudah menang. Dan, mengenangkan situasi dunia sastera tanah air kini, aku dengan berat hati mengatakan bahawa " AKU MEMANG SUDAH KALAH!"

Kini, rasa-rasanya tidak ada apa lagi yg terdaya aku (kami barangkali) dapat perjuangkan kerana segalanya sudah termaktub bahawa Sastera Melayu kian dibunuh dan dipinggirkan. Apalah daya seorang anak muda berusia 22 tahun untuk memperjuangkannya? Tidak ada. Mustahil. Mahu tidak mahu, aku terpaksa menerima hakikat bahawa inilah selera sastera Malaysia- tidak lagi mengajar pembaca berfikir, tidak mampu mendorong anak-anak muda kita untuk elajar membuat keputusan untuk mendapatkan yg terbaik dalam kehidupan, serta tidak mungkin mengajar mereka kehalusan dan estetika bahasa yg digunakan oleh para sasterawan. Sepuluh tahun akan datang, (menjelang 2020, di mana negara kita bakal bergelar negara maju)remaja kita tidak akan kenal siapa dia A. Samad Said, Arenawati, Zurinah Hassan atau Usman Awang kerana memori mereka telah didoktrinkan untuk melupakan nama-nama itu.

Lalu, demi memastikan aku bisa mengajar anak-anak muridku tentang Sastera Malaysia ini, beberapa hari yg lalu aku telah menelaah semula novel-novel popular yg pernah aku uliti suatu ketika dahulu. Sejujurnya, tiidak ada sekelumit pun rasa dendam dan cemburu terhadap penulis popular ini apabila karya mereka dipilih, cuma dalam konteks KOMSAS, situasinya agak kurang wajar.

Aku sendiri membesar dengan novel-novel ahadiat akashah, dan aku mengaku bahawa teknik penceritaannya sangat baik. Aku mendapat A untuk subjek karangan ketika di sekolah dulu pun kerana terkesan dengan keindahan bahasanya. Dan kalaulah ditanya karya siapa yg telah menyemaikan minat aku dalam dunia penulisan ini, orangnya ialah Ahadiat Akashah melalui novel Boy yg pernah aku uliti hampir setiap hari dalam seminggu dengan pengulangan bacaan sebanyak tiga kali.

Apa pun, bak kata orang, " masuk ke kandang kambing mengembek, masuk ke kandang harimau mengaum." Aku terpaksa membiasakan diri untuk membaca karya-karya popular semula kerana ini selera anak-anak pasca merdeka kita. Dan, barangkali juga aku akan mula menulis sebuah novel popular agar terpilih untuk KOMSAS menjelang 2020. Buat semua penulis novel popular, pengikut anda sudah bertambah lagi seorang!