Ketika saya menulis entri ini, barangkali kebanyakan rakan penulis saya sudah pun berada di Tanjung Puteri Resort bagi mengikuti Perhimpunan Penulis Muda Nasional (PPMN) yang telah diadakan buat kali kedua selepas diadakan pada kali pertama di Tanjung Piai, Johor pada tahun 2005. Malang sekali, meski setelah ramai rakan memujuk saya supaya turut serta di PPMN kali ini (terutamanya Kak Hani- cari duit celah karpet, ODE -mencadangkan supaya saya menjadi pengamen puisi serta Hafiz- beria-ia ajak pergi bersama) namun saya masih tetap dengan pendirian saya untuk tidak turut serta pada PPMN kali ini.
Hasrat di hati memang saya cukup teruja untuk turut serta (meski sudah beberapa kali ditunda kerana masalah yang barangkali berkaitan dengan motif politik. Akan tetapi, apa yang agak dikesalkan ialah apabila waktu ini saya benar-benar sibuk. Waktu senggang ketika cuti semster ini, jadual harian saya sangat padat, dan ia membataskan aktiviti saya dan menuntut saya mendahulukan yang lebih penting daripada yang penting. Tuntutan bapa saya yang meminta saya membantunya menguruskan enam ekar tanah terbiar untuk ditanam pisang (projek parti politik biru tua) memaksa saya tidak mempunyai banyak pilihan untuk menolak. Alasan ayah sangat kukuh. Saya cuti, dan apa salahnya membantunya di kebun. Lebih mengukuhkan alasannya, dia kata inilah waktunya untuk kami saling mengeratkan hubungan antara seorang bapa dan anak, kerana sebelum ini setelah lebih 3 bulan pulang ke rumah lantara tugasan mengarahkan satu pementasan teater, maka saya kira inilah waktu yang terbaik untuk menebus kesunyian ayah yang merindui saat-saat berbual dengan saya.
Kami, meski berbeza banyak pandangan mengenai banyak perkara, tetap boleh serasi pada waktu-waktunya. Waktu yang paling berharga apabila kami bersarapan pagi di kedai mamak dan membincangkan pelbagai perkara meliputi perihal perancangan ekonomi keluarga, adik beradik yang berada di luar negara, bertukar minat tentang pertanian, dan klimaksnya adalah apabila kami berdebat tentang sistem politik negara.
Ayah seorang penyokong ‘dacing’ yang kuat, dan perbalahan pasti timbul apabila kami mula berhujah tentang banyak perkara yang bercanggah sementelah saya lebih cenderung untuk mempertahankan ‘haluan yang satu lagi’. Kami akan berbalah, dan waktu ini apa yang membanggakan saya ialah ayah seorang yang profesional, dan saya tak terasa seperti bercakap dengan ayah, tetapi seorang rakan yang mempunyai pendirian yang teguh mempertahankan hujahnya yang lebih menggemari ‘warna biru tua’, berbanding saya yang liberal menginginkan perubahan drastik yang dicanang oleh ‘haluan yang satu lagi’.
Rutin harian saya sepanjang cuti ini bermula seawal 6.30 pagi selepas solat Subuh, apabila terpaksa meneman kakak ke pasar untuk berbelanja sambil menelaah pelbagai ragam orang, kemudian pulang ke rumah untuk bersiap ke kebun sehingga waktu tengahari. Selalunya, kami akan bersarapan dahulu di kedai mamak kira-kira setengah jam sebelum ke kebun. Sebaik pulang, saya mandi dan makan tengahari lalu tidur sebentar selepas menunaikan solat Zuhur. Waktu petang selepas solat Asar, saya mengambil ruang untuk menemani anak saudara menelaah pelajaran kerana kebetulan minggu peperiksaan pertengahan tahun sedang berjalan kini. Waktu malam tidak menentu jadualnya. Kadangkala saya keluar bersama rakan dan melepak di kedai minum atau ke gimnasium namun selalunya saya menemani anak saudara yang bakal mengambil peperiksaan SPM pada tahun ini menelaah pelajaran di rumah. Dan sewaktu mata belum berasa kantuk, saya uliti beberapa naskhah buku seperti Mazhab Cinta karya WB Rendra atau Ketupat cinta karya Faisal Tehrani yang masih belum sempat saya sudahi secara bergilir sambil sesekali meneliti beberapa novel popular Fauziah Ashaari yang juga saudara saya yang tidak jemu meminta saya menghasilkan novel popular.
Inilah sebahagian waktu senggang saya yang saya jalani setiap hati waktu cuti ini. Namun, meski terselit sekelumit sesal di hati, saya akur bahawa di dalam hidup ini, ada perkara yang lebih penting untuk kita ladeni daripada perkara penting yang mampu ditolak ke tepi. Buat rakan-rakan yang kini mengikuti PPMN di Melaka, percayalah bahawa hanya jasad saya di sini, namun hati dan semangat saya tetap sentiasa kalian yang jauh di sisi. Saya tidak sabar menanti kepulangan kalian untuk berkongsi apa yang sepatutnya dikongsi.
Friday, May 22, 2009
Wednesday, May 13, 2009
SATU PERKHABARAN DARI BIRMINGHAM
Selasa lalu, saya menerima kiriman emel daripada seorang rakan saya, Johan yang menuntut di University of Birmingham. Tidak seperti emel-emelnya yang lepas, pada kali ini emelnya ternyata memeranjatkan saya.
Dia mengirimkan satu draf awal muka hadapan senaskhah majalah "THE POETRY" keluaran bulan Ogos yang mana ia amat memeranjatkan saya kerana selaku ketua editor majalah tersebut, dia memilih untuk meletakkan gambar saya sebagai penghias muka hadapan, berlatarbelakangkan gambar bangunan Sultan Abdul Samad.
Konsep ini dibina oleh Johan sendiri. Terilham sementelah dia sememangnya sangat m,engagumi bangunan-bangunan purba seperti itu, maka kerana itu juga konsep majalah ini dilatari dengan konsep "greyscale" dan sememangnya turut mendapat pujian tutornya.
Ketawa saya langsung terpecah, meski tidak tahu di mana lucunya. Meski pun penghasilan majalah itu hanya satu giliran tugasan (satu kumpulan lima orang, dan setiap kumpulan dibahagikan giliran menghasilkan majalah mengikut bulan), tetapi ia adalah sesuatu yang melucukan, tetapi pada saya ini meupakan langkah awal untuk memperkenalkan sastera Melayu di mata orang luar-terutamanya Barat yang sering menganggap bangsa rumpun ini sebagai warga eksotik yang amat jarang diketahui kisah dan hegemoni komunitinya di mata mereka yang secara terangan mendabik dada sebagai masyarakat yang jauh lebih bertamadun.
Lucu, kerana saya rasa saya belum cukup layak untuk menjadi penghias kulit sebegitu rupa sementelah perjalanan sastera saya masih baru saja bermula. Saya tertanya-tanya, mengapa dia tidak meletakkan ikon sastera Malaysia yang jauh lebih besar, lebih bagus dan pernah memenangi lebih banyak hadiah sastera? Jawabnya dalam emelnya semalam, dia memilih saya kerana lebih mudah untuk berurusan dengan saya kerana jika penulis lain, barangkali ada "protokol, pantang larang, dan demand" yang perlu dipatuhi.
Saya cuma menggelengkan kepala, sebaik sahaja membaca jawapannya. Menurut Johan lagi, mereka berlima (2 Melayu (Malaysia-Brunei), 1 Negro, 1 Korea dan 1 rakyat tempatan) juga berharap perkongsian ini akan dapat memperkenalkan lagi sastera Malaysia di mata dunia.
Semoga usaha kecil ini, setidak-tidaknya membantu mempromosikan kehebatan sastera Melayu di mata dunia. Buat Johan, Marsrisa, Chris, Swang Tyi, dan Burn, terima kasih kerana menghargai apa yang saya jalani selama ini.
Subscribe to:
Posts (Atom)