Tuesday, October 9, 2007

REMBULAN SYAWAL 1428 H

Rembulan Syawal, kau silihkan kemenangan dari purnama Ramadan

Beberapa hari saja lagi, Syawal akan menjenguk diri, dan kikita akan m,eninggalkan Ramadan yang penuh barakah ini. Aku masih begini, menjadi penghitung amalan yang setia tetapi gelisah mengharap cahaya rahmat-Nya.
Aku selalu terfikir beberapa perkara sejak akhir-akhir ini. Bayangan wajah kedua-dua orang tuakulah yang selalu bertandang di inderaku. Ah, mungkin Syawal yang kali ini akan 'basah' seperti tahun-tahun yang sudah dengan banjiran air mata kami dua belas beradik. Aku sudah menjangkakannya dari awal.
Beginilah yang terjadi apabila kita berasakan dosa yang kita lakukan kepada mereka terlalu banyak, dan aku sendiri tidak terdaya menghitungnya. Buat ayah dan ibu, kuhadiahkan puisi ini buatmu.
Kisah Seorang Pidana Syawal
Aku seperti seorang pidana
yang meringkk di jirai dosa
yang kian dikepung celaru masa
dan termakam di lantai noda.
Akulah pidana Syawal
yang tak pernah pun mengerti
bekas-bekas rodokan tombak beracun
yang tertusuk di perdu bonda
atau keris tajam
yang terbenam di dada seorang bapa.
Akulah pidana Syawal
yang tak pernah pun mengerti
selembar pengorbanan yang jatuh
dari benang-benang pengorbanan
dari mereka yang kehujanan
noda semalam di lorong kehidupan.
" Dan tidak kuriwayatkan sepotong kisah
andai tidak diburu resah gelisah"
ZULFAZLAN JUMRAH
Kamar Nilam Fansuri,
Johor.

Sunday, September 16, 2007

MUNTAH, ANJING DAN WAJAH CINTA

Salam Ramadan Al-Mubarak.
Pada entri kali ini, aku akan berceloteh tentang beberapa buah buku yang sedang aku uliti. Ia adalah buku ANJING,MUNTAH (kedua-duanya karya SN Shahnon Ahmad) dan antologi puisi WAJAH CINTA karya seorang penyair Indonesia, Dr. Fridolin Ukur. Buku ANJING dan MUNTAH aku peroleh sebagai satu hadiah daripada pensyarah merangkap mentorku ketika MPR 2006 iaitu Tn. Hj. Shamsudin Othman (panggilan formal ketika di kelas, tapi di luar kelas aku memanggilnya 'Abang Din ' saja). Terima kasih Abang Din.
Anjing mematkan 7 buah gagasan idea (aku lebih gemar mengatakan ia adalah satu luahan hati seorang seniman sebenarnya) yang merangkumi pelbagai catatan Shahnon tentang kepekaannya dalam isu sosial, terutamanya dalam konteks pentadbiran sebuah negara yang dicanangkan sebagai demokrasi.
Tentunya tulisan yang bertajuk Ikan Kecil Yang Tak Tergamak Dijamah paling mencuri tumpuanku kerana memuatkan satu fiksyen berani yang mengisahkan ketololan seorang pemimpin sesebuah negara (mungkin bukan Malaysia agaknya, kerana pemimpin kita semuanya 'terlalu bagus') yang merogol gadis bawah umur. Catatan Anjing pula memberikan kesan yang sangat meruntun hati apabila secara terang-terangan memaparkan nasib sesuatu bangsa yang tidak lagi berpijak di bumi yang nyata.
Persoalan kata-kata keramat " Takkan Melayu Hilang di Dunia" membawa aku memikirkan kembali kekeramatan kata-kata tersebut, kerana pada pandangan peribadiku, Melayu kian "lenyap" di dunia, tidak kira dari apa juga aspek meliputi bahasa, sastera, kebudayaan dan moraliti bangsa!Ungkapan itu nyata tidak lagi relevan dalam konteks pembinaan jati diri bangsa yang kian diperkosa maruah dan ketuanan peribadinya.
Reformasi pula pada pendapatku, lebih bersikap menyebelahi seorang tokoh pemimpin negara suatu ketika dahulu apabila polemik politik negara menggelegak di persada keadilan tanahair. Kes Anwar Ibrahim yang melatari catatan ini ternyata satu tumpahan pengalaman sebenar Shahnon yang merasai betapa polemik itu terkesan bagi seniman-seniman yang memperjuangkan keadilan sepertinya (walaupun dalam catatan ini, beliau digelar Sasterawan Tua). Catatan ini juga memaparkan pencabulan amanah yang diberikan oleh rakyat kepada pemimpin yang mabuk dengan kuasa yang berada di genggaman. (juga barangkali bukan di Malaysia, kerana pemimpin di Malaysia sangat 'telus dalam kepimpinannya')
Muntah juga memuatkan 7 catatan peribadi yang lahir daripada kesepontanan dalam kreativiti karya sastera yang mengangkat Shahnon sebagai seorang SN yang disegani. Antara tajuk yang menarik untuk dibaca adalah seperti Juak & Pakpacak, Muntah dan Cacamerba. Namun, aku belum meratah karya ini kerana kesuntukan masa cukup mengekang aktiviti pembacaanku.


Satu lagi buku yang menjadi ulitanku ialah Antologi Puisi Wajah Cinta karya Dr. Fridolin Ukur terbitan PT BPK Gunung Mulia, yang telah dihadiahkan rakanku, seorang bakal arkitek yang baru pulang melawat Jakarta pada minggu lepas.

Antologi puisi Dr Fridolin Ukur ini mengingatkan aku kepada koleksi antologi puisi penyair idolaku, Almarhum T.Alias Taib. Membaca Wajah Cinta seperti meratah Antologi T.Alias seperti Piramid, Opera, Pemburu Kota, Seberkas Kunci, Petang Condong dan Pasar Pengalaman. Trend kepenyairan Dr. Fridolin agak sama dengan Almarhum kerana mereka sama-sama membiarkan kretiviti mereka mengalir dalam lewat karya mereka seperti sungai yang mengalir. Pengalman dijadikan teras utama pencioptaan sajak-sajak tersebut.
Terbahagi kepada 3 bahagian iaitu Kepak Waktu (Sajak-sajak Perbatasan Usia) yang memuatkan sajak-sajak yang terhasil ketika lewat jengukan hari tuanya. Contohnya, sajak Kepak Waktu yang dicipta khas sempena ulangtahun isterinya yang ke-66, cukup mengesankan di mana 2 baris terakhir pada fragmen I berbunyi:
karena kasih adalah purnama kita
karena cinta adalah mentari kita.
Selain Kepak Waktu, sajak-sajak seperti Kembara Kita Berdua, Lalu Katamu, dan Sebuah Lukisan (dihasilkan sempena ulangtahun sahabatnya;Soritua Cilandak, 24 Mei 1976) juga cukup enak untuk diteliti beberapa kali.
Bahagia Kedua pula memuatkan sajak bertemakan Duka Itu Pun Menjadi Putih iaitu Sajak-sajak Perpisahan Akhir yang banyak berceritakan tentang kematian daripada sebuah kehidupan. Contohnya, sajak Antara Dua Kekekalan (mengenang ibunya), Duka Itu Pun Menjadi Putih dan sajak tragis Tine (sempena pemergian Ibu Augistine Leonora Frans) juga boleh disifatkan sebagai sesuatu karya yang melankolik, tetapi tetap mendewasakan pembaca.
Bahagian Ketiga agak sensitif untuk diperkatakan di sini, kerana Fragmen ketiga yang bertemakan Cinta yang Merah ini merupakan sajak-sajak natal, Paskah dan kenaikan, merangkumi 47 buah sajak yang berkaitan dengan hari natal dan lebih bersifat Kristianisme, namun masih terselit beberapa unsur didaktik yang relevan dan tidak terlalu kompleks.
Itulah antara buku-buku yang sedang aku ratah dalam aktiviti pembacaanku. cukup 'menderita' membaca ketiga-tiganya dalam senggang waktu yang sama, kerana perasaanku akan berbaur dengan estetika puisi dan rintihan hati yang meratapi kerenah kebobrokan manusia.























Tuesday, September 11, 2007

SESUATU YANG SENGAJA DISEMBUNYIKAN

Salam Ukhwah... Minggu ini, ada sedikit rasa ralat yang bertinggung di tangkai benakku, apabila satu pendapatku (sebenarnya lebih kepada satu luahan rasa) telah 'disembunyikan dalam ruangan 'surat pembaca' di satu akhbar popular tempatan. Ternyata, perkara ini sengaja 'disembunyikan' oleh juak-juak yang boleh aku sifatkan sebagai pembunuh bahasa ibunda sendiri. Aku tidak pernah berkira dengan tempoh tiga jam duduk menelaah beberapa buku rujukan dan menyusun ayat untuk menghantar tulisan tersebut, tetapi apa yang terkesan ialah apabila hasil tulisanku itu 'disembunyikan' oleh pengelola atau kolumnis yang tidak mahu memaparkam satu kejujuran tentang bahasa ibunda sendiri. Berikut merupakan hasil tulisan asal yang langsung tidak diubah oleh aku. Malangnya, tulisan itu tidak dipaparkan kerana barangkali ia terlalu bersifat liberalisme dalam konteks sebuah media yang dikuasai oleh juak-juak yang berkepentingan:
Tulisan ini bertarikh 4 September 2007
TIDAK BERMARUAH JIKA PERLEKEH BAHASA IBUNDA


Merujuk Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan yang harus diterimapakai oleh semua pihak. Hal ini merupakan satu rang yang eksplisit dan tidak boleh diubah kerana enakmen ini juga terkandung dalam Kontrak Sosial yang sudah diwujudkan sekian lama. Jadi, tidak perlu timbul sebarang pertikaian mengenai martabat dan fungsinya kerana perkara ini sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sejak sekian lama.

Individu yang berani memperlekeh atau mempersoalkan fungsi bahasa ibunda ini sama ada secara terang-terangan atau dengan niat mengagungkan bahasa lain melebihi bahasa ibunda ini boleh dianggap sebagai 'penderhaka' atau warganegara yang tidak bermaruah. Memperlekeh bahasa ibunda sendiri samalah juga seperti memperlekehkan bangsa, negara, tradisi nenek moyang, dan seperti mahu mencabar Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan 183 Perkara yang terbahagi kepada 15 Bahagian yang selama ini menjadi pegangan sebuah negara harmoni bernama Malaysia.

Betapa tidak bermaruahnya individu itu sekiranya memperlekehkan bangsa sendiri, apatah lagi sekiranya tindakan itu dihujankan ke atas bangsa yang sama warna kulit, pertuturan dan budaya dengannya. Adilkah tindakan mengangkat bahasa lain sebagai 'agung' dan mempersenda bahasa ibunda sendiri ketika negara menyambut ulangtahun kemerdekaan yang ke-50?

Hakikatnya, bahasa ibunda kita tidak ada celanya. Malah, sejarah sendiri telah membuktikan bahawa bahasa ibunda kita pernah menjadi lingua franca pada zaman keagungan empayar Kesultanan Melaka suatu ketika dahulu. Pada kurun ke-15, atau sekitar tahun 1400 Masihi, bahasa ibunda kita menjadi pertuturan harian para pedagang yang berlayar dari China, India, Arab, Afrika dan Eropah. Malah, kehebatan kerajaan di Kepulauan Melayu yang dipercayai menggunakan bahasa ibunda kita pernah tercatat dalam Kitab Kathasaritsagara di India yang mengatakan bahawa terdapat sebuah kerajaan di Tanah Melayu bernama Kataha (kini Kedah), dan Pliny turut menulis mengenainya dalam Natural History yang menyatakan bahawa empayar perdagangan Melayu menjadi hebat kerana sistem lingua franca yang diwujudkan pada ketika itu. Tidak cukup dengan itu, beberapa tokoh Barat yang hebat seperti WG Shellabear dan RO Winstedt juga terdorong untuk mengkaji kehebatan bahasa dan bangsa Melayu apabila menghasilkan beberapa manuskrip yang memerihalkan kehebatan bahasa, kebudayaan dan kehidupan orang Melayu serta diterjemahkan kepada beberapa bahasa utama dunia dan kini menjadi rujukan utama ramai sarjana untuk mengetahui sejarah satu bangsa yang hebat.

Maka, bermaruahkah individu yang begitu taksub mengagungkan bahasa lain tanpa merujuk kehebatan dan keagungan sejarah perkembangan bahasa sendiri? Bermaruahkah seseorang itu jika mengeluarkan kenyataan yang dilihat seolah-olah mahu memperlekehkan Perlembagaan Persekutuan dan Kontrak Sosial yang selama ini menjadi tunjang keharmonian negara? Bukan niat mahu menolak penggunaan bahasa lain, tetapi apa yang sangat dikhuatiri jika penggunaan bahasa lain itu mendominasi kehidupan masyarakat. Apa yang ditakutkan ialah pengaruh asimilasi negatif akan menular dalam pembuluh kehidupan masyarakat kita sekiranya penggunaan bahasa tersebut terlalu berleluasa tanpa sempadannya. Pada hari ini, keruntuhan moral dan akhlak anak-anak muda dapat dikaitkan dengan penggunaan bahasa lain (terutamanya Bahasa Inggeris). Lihat sajalah kelunturan sifat budi bahasa, sopan santun dan nilai-nilai murni yang membungkus corak kehidupan anak-anak muda pada hari ini. Itu tidak termasuk gejala-gejala negatif yang dicedok terus daripada kehidupan ala Barat yang terkesan apabila terlalu banyak anasir-anasir luar yang mempengaruhi keseluruhan corak hidup ketimuran yang sopan. Pada hari ini, pengaruh sebeginilah yang telah membunuh tunas-tunas modal insan yang direncanakan menjadi teras utama untuk Malaysia menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Maka, seharusnya fungsi bahasa kedua ini perlu dipertimbangkan semula terutama dalam sistem Pengajaran dan Pembelajaran (P&P)

Bersempena ulangtahun ke-50 kemerdekaan kita, mengapa tidak kita sama-sama menyoroti susah payah dan kejerihan tokoh-tokoh yang tekal memperjuangkan nasib bahasa, bangsa dan negara. Kita mengaku bahawa kita menghargai perjuangan tokoh-tokoh hebat negara, tetapi adakah kita meneruskan tradisi dan jalur perjuangan Dato' Onn Jaafar, Harun Aminurrashid, Pak Sako dan Za'ba (sekadar menyebut beberapa nama) secara telus? Dan, setelah separuh abad kita mencatat diari kemerdekaan, fikir-fikirkanlah di mana sebenarnya maruah kita sebagai satu bangsa yang merdeka? Sudah cukup banyakkah tradisi yang telah kita pertahankan dan berapa banyak pula warisan yang telah kita pinggirkan? Sama-samalah kita memikirkannya. Akhir kata, Bahasa Jiwa Bangsa!


ZULFAZLAN JUMRAH
Jabatan Bahasa dan Kemanusiaan,
Fakulti Pengajian Pendidikan,
UPM, Serdang.

Wednesday, August 29, 2007

KONVO, SASTERAWAN DAN PUISI DESAKAN

DRAF 1



DRAF 2

Dua helai draf sajak aku yang bertulisan tangan dan asli sengaja aku paparkan di sini. biar semua orang tahu dan mengerti betapa sukar dan rumitnya jika mahu ,mencipta sajak. Ada perkataan yang diubah, ditukar, dibuang, diambil, kadangkala diambil semula setelah dibuang, menunjukkan bahawa proses mencipta puisi tidak semudah ABC.


Aku dijemput (lebih tepatnya diarahkan) untuk menulis sebuah sajak sempena konvokesyen ke-31 UPM baru-baru ini. Secvaranya agak tergesa-gesa dan perlu cepat, kerana pemberitahuan ini secara tiba-tiba (ketika itu aku tengah tidur, dan aku terbangun apabila lagu "Because Of You" nyanyian Kelly Clarkson menjerit dari telefon Nokia 3610ku)

Aku tidak boleh tidak, terpaksa menerima arahan TNC yang disampaikan melalui Nazrin itu yang meminta aku untuk mencipta satu sajak yg berkaitan dengan konvo, kemerdekaan, ibu bapa, dan kejayaan. Lihat! Betapa banyak 'rempah' yang perlu ada, apatah lagi sajak itu perlu di 'mi segerakan' pada keesokan harinya.

Aku dengan rasa hormat dan tanggungjawab (sebenarnya, aku pun memang bercadang mencipta satu sajak tentang kovokesyen pun waktu tu) menerima tugasan itu. Ah, apa yang nak dirungutkan. Setidak-tidaknya aku boleh berbakti untuk UPM. Aku boleh menukilankan perasaan aku melalui puisi yang akan dideklamasikan di hadapan ribuan mahasiswa yg sudah grad. Iulah angan-anganku. Berkongsi nukilan dengan orang lain, dan mnyedarkan mereka betapa kejayaan mereka hari ini adalah hasil daripada kepayahan ramai orang satu ketika dahulu. Itulah mesej aku.

Tapi, apa yang terjadi ialah sajak aku tidak dibacakan waktu itu. Tak sempat katanya. Aku pun hairan. Sudahlah sajak tu perlu disegerakan, lepas tu, dengan mudah tak diendahkan langsung pendeklamasiannya. Tak cukup masa kerana dipenuhi dengan ucapan-ucapan yang berbasa-basi, memuji dan mengagungkan pihak-pihak tertentu.

Beginikan sikap warga yang selama ini mengaku mereka merupakan golongan yang mempunyai kebudayaan yang tinggi? Dengan mudah dan selamba melanggar janji. (untuk pengetahuan, aku tak dibayar sesen pun untuk sajak ini. Cuma, dijanjikan nama aku akan disebut sebagai orang yang mencipta sajak ini. Aku tak kisah dengan bayaran, kerana penghormatan seumpama itu sudah lebih daripada cukup bagiku)

Lihatlah, rupa-rupanya begini nasib sasterwan 'hantu' yang ditugaskan untuk menulis bagi isu-isu tertentu. Bezanya saterawan 'hantu' dalam kes aku dengan kes penulis 'hantu' yg pernah ditulis oleh Baha Zain adalah dari segi bayarannya. Penulis 'hantu' yg pernah dikatakan oleh Baha Zain menerima bayaran, tetapi untuk kes aku tidak. Sudahlah begitu, sajak itu sendiri tidak dibacakan di hadapan khlayak. Ah, inilah peribadi manusia zaman sekarang yg dibebat dengan selaput keegoan. dan aku belajar sesuatu darinya. Jangan lagi menerima atau menulis puisi yg boleh dikelaskan dengan nama 'PUISI DESAKAN"

Sunday, July 29, 2007

KISAH PEJUANG SASTERA

Buat pertama kalinya, aku menggunakan kata ganti nama diri yang pertama dan huruf kecil dalam entri terbaru blog aku kali ini. Bukannya apa, yang besar-besar itu tidak semestinya bagus. Dan yang kecil pula bukan bermakna kerdil.

Saat begini, fikiranku melayang kepada perbualan aku dengan Richard, rakan sekuliahku berbangsa Rungus di kafe FBMK pada 24 Julsi lepas. Richard bukan Melayu, dan dialah satu-satunya teman sekuliahku yang bukan berbangsa Melayu, tetapi cukup rapat denganku. Malah, dia sering-sering tidak keberatan meminjamkan telinganya kepadaku agar aku bisa berceloteh dan membebel panjang tentang apa saja, terutamanya topik yang berkaitan dengan dunia sastera.

Richard, meski bukan seorang manusia yang bernama penulis atau pejuang sastera, atau manusia yang berkecimpung dalam dunia yang sering berjungkir-balik ini, tetap memandang sastera Melayu sebagai sesuatu yang istimewa. Malah, dia pernah berkata kepadaku, sekiranya dia diberikan bakat dan minat, sudah pasti selagi terdaya dan dengan keringat yang ada, dia akan menjadi seseorang yang sanggup mempertahankan kedaulatannya. Dia akan menjadi seorang pejuang yang dengan kuat akan cuba menyuburkan minat pelajarnya kelak dengan norma-norma sastera. Aku mengagumi hasratmu, Richard.

Bercakap tentang pejuang sastera, ada satu kisah yang agak menarik untuk aku kongsikan bersama-sama kalian. Pada 24 Julai yang lepas, satu sejarah yang sangat mengaibkan terpalit dalam kamus hidup aku sepanjang 3 semester aku menuntut di sini. Pada hari itu, aku dan sekumpulan besar pelajar2 PBMP terlewat datang ke kelas. Pada pagi itu, kelas tersebut ialah kelas Pengajaran Prosa Melayu pada pukul 9 pagi, akan tetapi kami terlewat kira-kira 15 minit kerana ditinggalkan oleh bas. Malah, aku sendiri terlewat bangun apabila menguliti catatan beberapa penulis di Dean Sastera bulan Julai mengenai sastera kembara selepas aku menunaikan solat subuh.Maka, dengan hati yang penuh bersemangat, kami meneruskan langkah dengan berjalan kaki sehingga ke fakulti. ada antara kami yang berlari-lari anak agar lekas sampai ke kelas kerana masing-masing sudah tidak sabar untuk masuk ke kuliah itu. Pensyarahnya merupakan pensyarah yang baru sahaja dilantik menjadi pensyarah di atas prestasi memberangsangkan ketika menjadi tutor pada semester lepas dahulu. Dan aku merupakan orang yang bertanggungjawab mempengaruhi lebih separuh daripada rakan-rakanku agar memberikan penilaian yang bagus kepadanya. Untuk pengetahuan, di UPM jika penilaian terhadap seseorang pensyarah itu baik, maka pensyarah itu berpeluang untuk naik pangkat atau gaji. Malahan penilaian itu juga diambilkira untuk menjadikan seseorang itu sebagai seorang pensyarah tetap di sini.

Berbalik kepada cerita tadi, sebaik sahaja kami sampai di kelas kami, kami mendapati pintunya telah dikunci dari dalam.Bayangkanlah bagaimana perasaan kami ketika itu? Marah?Kecewa? Sedih?Geram? Semuanya berbaur di hati. Inikah sikap pensyarah yang dahulunya tahu berlembut dengan kami? Aku takkan lupa bagaimana dia menuturkan santun bicaranya apabila kami sedang siap sedia mahu memberikan penilaian terhadapnya. Jika dahulu, ketika dia masih lagi seorang tutor di UPM, kami tak pernah dimarahi jika terlewat, apatah lagi pintu yang dikunci.

Baiklah, aku tahu yang dia seorang yang bagus. Aku tahu semua itu. Akan tetapi, apalah ertinya dia menerapkan konsep dan ideologi Al-Ghazali kepada kami dahulu? Di mana relevannya dakwaannya yang mengatakan kita perlu menjadi manusia yang penyayang...Kita perlu menjadi manusia yang tahu menghargai orang lain. Atau...Itu hanya retorik kata semata-mata?

Alasan yang diberikan kepada kami bahawa di mahu membentuk 'manusia' mungkin boleh diterima oleh orang lain yang buta, tetapi tidak aku. Katanya yang dia akan ditanya di akhirat kelak tentang peritiwa ini memang benar, tetapi aku boleh mempersoalkannya kembali. Kesemua daripada kami membayar yuran kepada pihak universiit, dan gajinya setiap bulan itu akan ditampung sedikit oleh yuran yang kami bayar tadi. Jadi, siapa dia untuk menefikan hak kami untuk mendapatkan pebdidikan? Kami semua bayar yuran. Yuran itu kemudian akan dibayar kepadanya sebagai gaji. Bagaimana jika ada yang tidak menghalalkannya?

Di zaman pascamerdeka ini, bukan lagi zaman untuk kita menggunakan cara yang tidak sepatutnya. Pensyarah atau guru perlu kreatif mencari penyelesaian. Zaman sekarang bukan lagi zaman pukul-memukul atau mengunci pintu kepada pelajar. Dia sendiri bergiat dalam dunia kreatif, seharusnya dia perlu kreatif untuk mendidik kami pelajarnya. Masih banyak cara yang lebih 'selamat' yang boleh digunakan. Barangkali nasihat yang pedas merupakan salah-satu daripadanya, tanpa mengambil hak kami untuk belajar. Apabila situasi begini berlaku, kebanyakan daripada rakan-rakanku mula memandang rendah kepada orang sastera, seperti juga aku. Mereka mengatakan orang sastera bersikap liberal, sensetif, tak tahu membuat pertimbangan, dan macam-macam lagilah. Hal ini membuatkan aku malu dan berfikir tentang duania yang kian suram ini.

Sekarang, aku akui yang aku sudah tidak boleh lagi mempercayai kata-kata orang yang begitu megah dan lantang mengatakan bahawa 'aku pejuang sastera'. Hakikatnya barangkali kata-kata itu hanyalah retorik kata semata-mata kerana dalam dunia ini juga wujud korupsi dan diskriminasi. MAlah sebelum ini juga, aku pernah dimarahi oleh seorang editor majalah sastera kerana terlalu kerap menghantar karya kepada mereka. Apa semua ini? Jika dia merupakan salah seorang daripada mereka yang terlibat secara langsung dalam dunia sasera, mengapa dia mesti memusuhi atau merencatkan minat penulis muda yang mahu membina bakat untuk memeriahkan dunia sastera? Begitu juga halnya dengan pensyarahku ini. Dia cukup lantang mengatakan kita perlu meramaikan warga yang mencintai sastera, akan tetapi pada masa yang sama dia menghalang berpuluh-puluh pelajar yang mahu mengikuti kelas sastera. Di manakah betulnya?

Aku tahu, dia seorang yang hebat. Hebat kerana sering menjadi orang penting bagi pelbagai program sastera. Malahan, dia juga guruku. Akan tetapi, salahkah jika dia meluangkan sedikit masa untuk mendengar penjelasan kami? Mungkin bagi orang lain, tertinggal satu kelas sastera tidak banyak membawa banyak kerugian, tetapi tidak bagi aku. Hanya Tuhan saja yang tahu betapa dalamnya cinta aku kepada dunia sastera ini. Hanya Tuhan saja yang tahu betapa selama ini aku sungguh-sungguh mengajak rakan-rakanku agak sama-sama berkecimpung di dalam dunia sastera ini. Barangkali perjuanganku itu tidak pernah dilihat oleh pensyarahku tadi, kerana dia tidak berada dalam persekitaranku. Tanyalah kepada rakan-rakan rapatku hatta teman sebilikku. Tanyalah bagaimana cintanya aku terhadap dunia ini.

Namun begitu, aku masih tetap menghormati dia sebagai pensyarahku. Aku tetap mengenang dia sebagai antara orang yang bertanggungjawab mendidik aku tak kira dalam bidang sastera atau akedemik. Aku mengerti semua itu. Akan tetapi, apa yang aku mahu dia mengerti di sini, sebagai pejuang sastera, dia perlu meramaikan khalayak sastera (aku tak tahu sama ada dia tahu tentang 3 hasrat DBP selepas berusia 50 tahun iin atau tidak). Jika dia mencantas minat mereka yang mahu mempelajari sastera, samalah ertinya dengan dia membunuh dirinya sendiri. Kita sama-sama berjuang dalam dunia yang sama. Di landasan yang serupa. Dunia sastera kita ni tidak sebesar dan segah mana. Aku boleh beralih ke dunia popular kalau aku mahu. Tiga syarikat penerbitan sudah menawarkan aku khidmat untuk kami bekerjasama. Aku tangguhkan sementara kerana aku mahu berjuang di dalam dunia sastera ini. Muda-mudahan aku masih terdaya, walaupun peristiwa tempohari telah merenggut sedikit kepercayaanku terhadap orang yang cukup megah megatakan bahawa 'AKULAH PEJUANG SASTERA'. Walaupun perjuanganku hanya berbentuk sebuah sajak yang dipandang sepi oleh ramai orang, akan tetapi bagiku ia satu kepuasan yang tidak ternilai. Mengapa aku melakukan ia? Segala-galanya kerana cinta. CINTAKU KEPADA ANAK BANGSA! DAN KERANA ITU AKU MELAKUKANNYA DENGAN RELA..

Sunday, May 27, 2007

DENAI YANG MASIH BERDURI

Di Muzium Samudera, Melaka






" KAU TAK BOSAN KE ASYIK MENULIS JE? LEPAS TU, HASIL DUIT YANG KAU DAPAT TAK SEBERAPA. SAJAK KAU YANG KELUAR PAPER TU PUN AKU RASA DIORANG SIARKAN SEBAB KESIAN KAT ORANG-ORANG MACAM KAU NI. SEBAB TU RUANG DIA KECIK. BAGI AKU LA KAN, DARIPADA KAU BUANG MASA DENGAN BERANGAN & TULIS SAJAK, LEBIH BAIK KAU BUAT BENDA LAIN YANG LEBIH BERFAEDAH. NI TAK, ASYIK MENULIS JE. KAU NI MEMANG PELIK LA AKU TENGOK!"

Apa lagi yang dapat saya katakan? Apabila saya memilih untuk menjadi seorang penulis, inilah yang perlu saya terima. bukan setakat kata-kata begini, tetapi sebenarnya ada lebih banyak kata-kata yang sangat menghiris hati seorang seniman seperti saya. Saya tak tahu kenapa ereka berkata begitu? Salahkah menjadi seorang penulis? Apa besar sangatkah dosanya jika kita membuang masa dengan memikirkan nasib bangsa dan warga yang kian tidak terbela? Pelikkah menjadi seorang penulis? Apa benarkah penulis ini sering dianggap pelik oleh orang sekeliling? Inilah perkara yang bermain-main di indera fikir saya.

" Fazlan, cikgu bangga sebab awak semakin maju dalam bidang penulisan. Cikgu bangga sebab anak murid yang cikgu didik selama ni dah menghasilkan sesuatu untuk bangsanya. Walaupun ia cuma serangkap kata-kata, sebaris buah fikiran dan daya bicara, cikgu pasti sumbangan ini terlalu besar ertinya buat mereka yang tahun berfikir"

- Itulah SMS yang saya terima pada 16 Mei 2007 daripada seorang guru yang telah mendidik saya sejak saya darjah 5 lagi. SMS itu saya terima selepas saya menghadiahi beliau sebuah sajak yang saya tulis dengan tangan saya sendiri, kemudian saya laminate dengan plastik keras, siap dengan tarikh, nama saya dan tempat sajak itu dicipta. Pada mulanya agak malu juga ketika hati saya terdetik untuk berbuat demuikian, akan tetapi ketika itu hanya itu saja yang saya mampu buat @ berikan untuknya(wang saku tidak mencukupi untuk memberikan hadiah-hadiah yang mahal tidak seperti rakan-rakan yang lain yang rata-rata memberikan rantai dan gelang silver kepada bekas guru kami itu).

Ketika saya curi-curi masuk ke tempat letak kereta sekolah(sempat juga berbalas jelingan dengan pengawal keselamatan sekolah) saya sendiri masih sangsi dengan tindakan saya itu. Akan tetapi, saya yakin, bahawa beliau akan berpuas hati dengan hadiah itu dan kebarangkalian untuk puisi itu menghuni tong sampah sekolah(kebanyakannya sudah penuh) agak tipis kerana beliau seorang yang sangat mjeminati bidang sastera walaupun karyanya tidak pernah tersiar langsung di media cetak.

Dalam diam, saya mengagumi beliau- penyayang dan cantik, sentiasa memberikan dorongan kepada anak muridnya untuk terus berkarya dan selalu menasihati saya agar selalu merendah diri dalam hidup. selayaknya, tempatnya berada paling atas dalam senarai wanita-wanita yang hadir dalam hidup saya(kecuali emak, kakak dan anak saudara saya). Dia seorang yang cukup memahami dan sangat mengambil berat tentang dunia kesusasteraan saya. Pernah sekali saya menceriotakan kepada beliau bahawa keterlibatan saya dalam bidang ini telah menemukan saya dengan beberapa penulis handalan seperti SN, dan penulis-penulis hebat yang lain, dia mempamerkan rasa kagumnya yang berbaur kesal lantaran tidak pernah memperoleh peluang seumpama itu.

Hari ini, saya coretkan luahan rasa yang mendera untuk dikongsi dengans sesiapa sahaja yang sudi membaca(tidak ramai barangkali, hanya rakan-rakan penulis saya atau tutor saya yang comel belaka) blog saya ini. Saya tahu, guru saya itu tidak mungkin membaca coretan saya ini kerana beliau merupakan seorang yang'buta komputer'. Lalu, dengan seikhlas hati, saya menyatakan bahawa saya sangat menghargai jasamu dan terus menagih sokonganmu untuk terus merintis denai perjalanan yang masih berduri.

Thursday, May 17, 2007

MEMENDAM RASA

BUKAN MUDAH UNTUK KITA MEMENDAM RASA. KADANGKALA KITA ASYIK MEMENDAM SESUATU YANG TIDAK PERLU DIPENDAM, DAN KADANGKALA JUGA SESUATU YANG PERLU DIPENDAM, KITA PULA YANG TIDAK MAHU MEMENDAMNYA.

MEMENDAM RASA ADALAH SATU DORONGAN YANG MENAKJUBKAN, SENSETIF, ASYIK, DAN MENYEKSAKAN. DAN DORONGAN ITU JUGALAH YANG AKAN MENJADIKAN KITA MATANG DALAM MENCARI SETITIS KEJUJURAN.ALAM BERUBAH KERANA MANUSIA, MANUSIA BERUBAH KERANA MANUSIA. FIKIRKANLAH...

Sunday, April 22, 2007

HIKAYAT SEORANG PELAGIAT

SAYA TIDAK BERAPA MENGENALI SEORANG PENULIS INI. ( WALAUPUN DIA SERING MENDAMPINGI SEORANG TOKOH SASTERA YANG AGAK HEBAT). NAK DIJADIKAN CERITA, DIA MERUPAKAN RAKAN KARIB KEPADA SEORANG PENULIS MAPAN TANAH AIR. AL-KISAHNYA, MEREKA PERNAH BERTELAGAH SUATU KETIKA DAHULU. SEBAB APA MEREKA BERTELAGAH? BIARLAH RAHSIA... TETAPI MENGIKUT SUMBER-SUMBER YANG BOLEH DIPERCAYAI, PERTELAGAHAN MEREKA ADA BERSANGKUTAN DENGAN SATU SITUASI YANG MELIBATKAN INTERTEKSTUALITI KARYA PENULIS MAPAN INI YANG TELAH DIPELAGIAT OLEH PENULIS YANG KURANG DIKENA;LI INI DALAM BENTUK IMEJ DAN DAN KONSEP PENCERITAANNYA.

PENULIS MAPAN INI KEMUADIAN MENCERITAKAN MASALAHNYA YANG BERHADAPAN DENGAN PELBAGAI KERENAH PELAJARNYA YANG TIDAK BERPUAS HATI DENGANNYA KEPADA SAYA. SEBAGAI PENDENGAR DAN " PEMERHATI" YANG BAIK, SAYA MEMBIARKAN ISU-ISU INI MENJABAT INDERA DENGAR SAYA SECARA KERAP( SERONOK JUGA KERANA SETIAP KALI ITU JUGA PENULIS MAPAN INI AKAN BELANJA SAYA MAKAN SAMBIL KAMI BERGOSIP-GOSIP HANGAT- BUKAN MENGUMPAT TAU).

PADA SUATU HARI, PENULIS MAPAN INI MENCERITAKAN ALKISAHNYA TENTANG PERMASALAHNNYA DENGAN STUDENTNYA ITU LAGI, DAN BEBERAPA HARI BERSELANG SAYA 'DIBELANJA' LAGI DAN KALI INI TOPIK PANAS GOSIP KAMI BERKISAR TENTANG ' KEKANTOLLAN' ( MAAF, PERKATAAN INI KURANG SESUAI UNTUK DIGUNAKAN DALAM URUSAN RASMI) EMPUNYA ANGKARA YANG SELAMA INI MENJADI RACUN TIKUS DALAM SUP PENULIS MAPAN INI.

DARIPADA PENGKISAHAN PENULIS MAPAN INI, TAHULAH SAYA RUPA-RUPANYA ORANG YANG MENJADI RACUN TIKUS DALAM SUP PENULIS MAPAN INI IALAH PENULIS YANG TIDAK DIKENALI ITU, YANG JUGA MERUPAKAN BEKAS 'ADIK-BERADIK' PENULIS MAPAN ITU. BEGITULAH CERITANYA...

MORAL: TAK BAIK TIKAM BELAKANG, SEBAB ORANG YANG DITIKAN TU TAK NAMPAK KITA. :-)

NAKHODA BANGSA: SUKA SUP AYAM. ( LEBIH-LEBIH LAGI KALAU ADA ORANG YANG BELANJA)

Monday, April 16, 2007

KISAH SEBUAH PUISI PENYAIR MUDA

SUATU HARI, DI SEBUAH KOLEJ KEDIAMAN DI SEBUAH UNIVERSITI TEMPATAN, ( AGAK POPULAR JUGA UNIVERSITINYA, MALAH TERDAPAT SEORANG SN YANG MENGAJAR DI SANA.) TELAH DIADAKAN SATU MAJLIS MAKAN MALAM YANG AGAK MERIAH. PADA MAJLIS ITU, ACARA YANG DIADAKAN IALAH PERSEMBAHAN OLEH PARA PELAJAR KOLEJ ITU. SALAH SATU ACARANYA IALAH BACAAN PUISI OLEH SEORANG PELAJAR LELAKI YANG TIDAK PERNAH MEMBACA SAJAK SEUMUR HIDUPNYA.

LALU, HENDAK DIJADIKAN CERITA, LELAKI TERSEBUT MEMINTA SEORANG PENYAIR MUDA YANG SEDANG MENINGKAT NAIK UNTUK MENCIPTAKAN SEBUAH SAJAK UNTUK DIDEKLAMASIKAN PADA MAJLIS TERSEBUT. PENYAIR MUDA INI PUN, SEMEMANGNYA TIDAK TAHU CARA HENDAK MENOLAK PERMINTAAN TERSEBUT, DAN TERUS SAJA MENYIAPKAN PUISI ITU TANPA BANYAK CAKAP. NAMUN AKHIRNYA PENDEKLAMASIAN PELAJAR TERSEBUT PADA MALAM TERSEBUT AMAT MNGECEWAKAN.

INILAH KISAHNYA. WALAU SEBAIK MANAPUN KARYA SESEBUAH PUISI ITU, IA TETAP BURUK JIKA DISAMPAIKAN DENGAN CARA YANG BURUK!!

Sunday, April 8, 2007

SEGALANYA KERANA CINTA...

NAMPAKNYA, WAKTU KIAN DERAS BERLARI. SEDAR DAN TIDAK, SAYA SUDAH HAMPIR MENAMATKAN SEMESTER KEDUA DALAM PENGAJIAN SAYA DI UPM. SELAMA INI JUGALAH SAYA CUBA MEMASUKI SEBERAPA BANYAK PASAR PENGALAMAN YANG ADA, MENCARI PENGERTIAN DARI SEJASAD TUBUH YANG DIANEGERAHI OLEH-NYA, DAN HARI DEMI HARI SAYA MENYUBURKAN KECINTAAN SAYA KEPADA DUNIA PENULISAN.

LANGKAH SAYA MASIH BELUM BERMULA (SEPERTI KATA ABG SHAMSUDIN OTHMAN, SAYA MASIH MERANGKAK LAGI). SAYA MASIH TERCARI-CARI KEKUATAN SAYA.

DI MANAKAH SAYA BERMULA, DAN DI MANAKAH SAYA AKAN BERAKHIR? SAYA SERING MEMIKIRKAN TENTANG KEHIDUPAN DAN SAYA KAITKAN PULA DENGAN ERTI KEWUJUDAN DIRI. MEMANG SAYA TIDAK DAPAT MENAFIKAN, SEJAK SAYA MULA TERDAYA MENGANGKAT PEN, MENGENAL HURUF DAN AKSARA, TAHU MEMBEZA ANTARA SIMILE DAN METAFORA SERTA MENGETAHUI SEDIKIT TENTANG DUNIA SASTERA KITA, SAYA BERSYUKUR KERANA SAYA MULA MENCINTAINYA.

DUNIA SASTERA KINI TERLALU SEMPIT, DAN DIPENUHI DENGAN PELBAGAI SUARA YANG TERJERIT. SAYA SENDIRI TIDAK PASTI MENGAPA DUNIA INI YANG SAYA PILIH. SEPERTI KATA SEORANG RAKAN SAYA (MUNGKIN DIA SENDIRI TERLUPA APA YANG DIA PERNAH KATA) ,SAYA TELAH MEMILIH SATU JALAN YANG SANGAT PAYAH APABILA MENCEBURKAN DIRI DALAM DUNIA SASTERA.

KEMUDIAN, SAYA KATAKAN KEPADANYA BAHAWA SAYA SEORANG YANG SANGAT MENGASIHI ANAK BANGSA SAYA. DAN KERANA ITU SAYA MEMASUKI DUNIA SASTERA. KERANA BAGI SAYA, HANYA DENGAN CARA INI SAYA DAPAT MENCELIKKAN MATA ANAK BANGSA SAYA YANG TELAH LAMA BUTA. BUTA KERANA PELBAGAI ANASIR DAN BUDAYA YANG SABAN HARI RAKUS MENERPA, MENEMANI MEREKA MENUJU KE SATU LORONG DERITA.

DAN SEKALI LAGI SAYA KATAKAN KEPADANYA BAHAWA SAYA LAKUKAN SEMUA INI KERANA CINTA. CINTA KEPADA ANAK BANGSA, DAN SAYA MAHU BERSAMA-SAMA DENGAN MEREKA MEMBELAH LAUTAN CABARAN YANG BERGELORA, WALAUPUN MEREKA TIDAK PERNAH MEMASYHURKAN SAYA SEBAGAI NAKHODANYA.

Tuesday, April 3, 2007

MENEMUI SENIMAN SEJATI

PADA 31 MAC HINGGA 2 APRIL 2007, SAYA DAN 46 ORANG INSAN YANG BERMINAT MAHU MENYAMBUNG 'NYAWA' BIDANG PENULISAN KREATIF DI NEGARA INI TELAH MENGIKUTI SATU BENGKEL PENULISAN KREATIF ANJURAN KEKKWA DI AYER KEROH, MELAKA.

TERNYATA, PROGRAM INI TIDAK SEKADAR MENGINAP DI HOTEL, MAKAN PERCUMA DAN BERJALAN-JALAN DI EKSPO( ADA KARNIVAL KEBUDAYAAN DI SANA, ARTISNYA IALAH DIANA NAIM & ANI MAYUNI) TETAPI SAYA MELIHAT PERKARA INI LEBIH DARI ITU.

WALAUPUN SAYA SUDAH BANYAK KALI MENGHADIRI BENGKEL2 SEUMPAMA INI ( TERUTAMANYA ANJURAN DBP), NAMUN PADA KALI INI SAYA MENEMUI KEJUJURAN HIDUP YANG SAYA CARI, DALAM KABUT HALUAN YANG PASTI.

PANEL PENCERAMAH PADA HARI ITU IALAH ABANG SM ZAKIR( TERIMA KASIH SEBAB MEMBANTU KAMI YANGT NYARIS TAK DAPAT PERGI KERANA TELAH 'DITINGGALKAN' BAS), ABANG RAHIMIDIN ZAHARAI( SAYA DAH MENEMUI BELIAU DI UPM KETIKA DISKUSI BUKU ABANG SHAMSUDIN OTHMAN DULU) SERTA SEORANG SENIMAN DAN PENGGIAT TEATER KHALID SALLEH ( BARU SAYA TAHU RAMAI ORANG YANG MEMANGGIL BELIAU WAK KHALID. HM..ORANG JAWA RUPANYA).

SAYA MENGAGUMI KEUPAYAAN KETIGA-TIGA PANEL TERSEBUT YANG BANYAK MEMBERIKAN INPUT KEPADA KAMI( WALAUPUN ADA JUGA RAMAI PESERTA YANG MENGUAP KETIKA CERAMAH DIJALANKAN-TAPI TAK TERMASUK SAYA). SM ZAKIR LEBIH BANYAK MEMBICARAKAN TENTANG PENGHASILAN CERPEN YANG BERMUTU, ABANG RAHIMIDIN BERJELA-JELA DENGAN PENERANGAN TNETANG PUISI (KERAP KALI MEYEBUT PERKATAAN INI-"KALAU TAK ADA SOALAN BAGUS!" DAN WAK KHALID MENJADIKAN KAMI TIDAK KERING GUSI DENGAN CELOTEHNYA BERKENAAN DENGAN TEATER SECARA BERSAHAJA.

TIDAK MAHU MELEBIHKAN SESIAPA, TETAPI SAYA CUKUP TERKESAN APAKALA KHALID SALLEH MEMBERIKAN CERAMAH. TANPA MELIHAT BUKU ATAU TEKS, BELIAU MEMBERIKAN CERAMAH DENGAN SPONTAN DAN CUKUP BERSAHAJA. SECARA TERUS TERANG, PELAKON YANG MEMENANGI ANUGERAH PELAKON LELAKI TERBAIK FESTIVAL FILEM ASIA PASIFIK MELALUI FILEM JOGHO INI JUGA MENDEDAHKAN BAHAWA P.RAMLEE JUGA PERNAH MEMBENTANGKAN KERTAS KERJA TANPA MENGGUNAKAN TEKS. MAKA, SAYA TIDAK HAIRAN KENAPA BELIAU MAMPU MENJADI ORANG KEDUA SELEPAS LAGENDA AGUNG ITU MENDAPAT PENGIKTIRAFAN SETINGGI ITU.-KERANA SIFAT KESENIAN YANG ADA DALAM DIRINYA.

SAYA MELIHAT WAK KHALID SEBAGAI SENIMAN SEJATI( SAYA TAK KISAH KALAU ADA YANG TAK SETUJU SEBAB ITU PENDAPAT MASING-MASING). BUKTINYA, BELIAU TIDAK AKAN MENYERAHKAN SKRIP TEATER BELIAU KEPADA ORANG DENGAN SEWENANG-WENANGNYA, KERANA BELIAU TERPAKSA MELIHAT SIAPA ORANG YANG MEMAINKAN TEATER ITU, DAN SIAPA PULA PENGARAHNYA. SAYA CUKUP TERKESAN DENGAN KENYATAAN INI. BETAPA BELIAU MELETAKKAN KARYA SENI BELIAU PADA TAHAP YANG AMAT TINGGI NILAINYA DENGAN PENDIRIAN SEUMPAMA ITU.YA, TIDAK HAIRAN KERANA BELIAU SENIMAN SEJATI.

Thursday, March 29, 2007

DARI SEBATANG PENA KE LAYAR MAYA

ASSALAMUALAIKUM...ALHAMDULILAH, SAYA SUDAH MULA MEMPUNYAI BLOG SENDIRI. MAKA, HARAPAN SAYA AGAR SAYA DAPAT TERUS MENJANA PEMIKIRAN SAYA AGAR LEBIH DEKAT DENGAN DUNIA LUAR YANG TIDAK TERJANGKAU JANGKAUANNYA. ORANG YANG BERTANGGUNGJAWAB MEMBANTU SAYA MENYEMPURNAKAN BLOG INI IALAH SAUDARI NISSA' YUSOF, YANG TELAH MEWUJUDKAN BLOG INI UNTUK SAYA. TERIMA KASIH BANYKA-BANYAK DI ATAS TUNJUK AJAR ANDA. SAYA AMAT MENGHARGAINYA. SEMOGA, TUHAN MERAHMATI ANDA.

DENGAN ADANYA BLOG INI, MAKA SAYA TELAH MENGUBAH TRADISI PENULISAN DARIPADA SEBATANG PENA KEPADA LAYAR MAYA YANG CUKUP LUAS KAPASITINYA, LEBIH PANTAS DAN MURAH SERTA MEMPUNYAI KAITAN YANG RAPAT DENGAN ERTI TEKNOLOGI YANG TERSEDIA. MAKA, NANTIKAN POST-POST SETERUSNYA DARIPADA SAYA YANG MASIH KERDIL DALAM MENTAFSIR PENCARIAN MAKNA DALAM KANDANG HIDUP PANCAROBA SERBA.