Buat pertama kalinya, aku menggunakan kata ganti nama diri yang pertama dan huruf kecil dalam entri terbaru blog aku kali ini. Bukannya apa, yang besar-besar itu tidak semestinya bagus. Dan yang kecil pula bukan bermakna kerdil.
Saat begini, fikiranku melayang kepada perbualan aku dengan Richard, rakan sekuliahku berbangsa Rungus di kafe FBMK pada 24 Julsi lepas. Richard bukan Melayu, dan dialah satu-satunya teman sekuliahku yang bukan berbangsa Melayu, tetapi cukup rapat denganku. Malah, dia sering-sering tidak keberatan meminjamkan telinganya kepadaku agar aku bisa berceloteh dan membebel panjang tentang apa saja, terutamanya topik yang berkaitan dengan dunia sastera.
Richard, meski bukan seorang manusia yang bernama penulis atau pejuang sastera, atau manusia yang berkecimpung dalam dunia yang sering berjungkir-balik ini, tetap memandang sastera Melayu sebagai sesuatu yang istimewa. Malah, dia pernah berkata kepadaku, sekiranya dia diberikan bakat dan minat, sudah pasti selagi terdaya dan dengan keringat yang ada, dia akan menjadi seseorang yang sanggup mempertahankan kedaulatannya. Dia akan menjadi seorang pejuang yang dengan kuat akan cuba menyuburkan minat pelajarnya kelak dengan norma-norma sastera. Aku mengagumi hasratmu, Richard.
Bercakap tentang pejuang sastera, ada satu kisah yang agak menarik untuk aku kongsikan bersama-sama kalian. Pada 24 Julai yang lepas, satu sejarah yang sangat mengaibkan terpalit dalam kamus hidup aku sepanjang 3 semester aku menuntut di sini. Pada hari itu, aku dan sekumpulan besar pelajar2 PBMP terlewat datang ke kelas. Pada pagi itu, kelas tersebut ialah kelas Pengajaran Prosa Melayu pada pukul 9 pagi, akan tetapi kami terlewat kira-kira 15 minit kerana ditinggalkan oleh bas. Malah, aku sendiri terlewat bangun apabila menguliti catatan beberapa penulis di Dean Sastera bulan Julai mengenai sastera kembara selepas aku menunaikan solat subuh.Maka, dengan hati yang penuh bersemangat, kami meneruskan langkah dengan berjalan kaki sehingga ke fakulti. ada antara kami yang berlari-lari anak agar lekas sampai ke kelas kerana masing-masing sudah tidak sabar untuk masuk ke kuliah itu. Pensyarahnya merupakan pensyarah yang baru sahaja dilantik menjadi pensyarah di atas prestasi memberangsangkan ketika menjadi tutor pada semester lepas dahulu. Dan aku merupakan orang yang bertanggungjawab mempengaruhi lebih separuh daripada rakan-rakanku agar memberikan penilaian yang bagus kepadanya. Untuk pengetahuan, di UPM jika penilaian terhadap seseorang pensyarah itu baik, maka pensyarah itu berpeluang untuk naik pangkat atau gaji. Malahan penilaian itu juga diambilkira untuk menjadikan seseorang itu sebagai seorang pensyarah tetap di sini.
Berbalik kepada cerita tadi, sebaik sahaja kami sampai di kelas kami, kami mendapati pintunya telah dikunci dari dalam.Bayangkanlah bagaimana perasaan kami ketika itu? Marah?Kecewa? Sedih?Geram? Semuanya berbaur di hati. Inikah sikap pensyarah yang dahulunya tahu berlembut dengan kami? Aku takkan lupa bagaimana dia menuturkan santun bicaranya apabila kami sedang siap sedia mahu memberikan penilaian terhadapnya. Jika dahulu, ketika dia masih lagi seorang tutor di UPM, kami tak pernah dimarahi jika terlewat, apatah lagi pintu yang dikunci.
Baiklah, aku tahu yang dia seorang yang bagus. Aku tahu semua itu. Akan tetapi, apalah ertinya dia menerapkan konsep dan ideologi Al-Ghazali kepada kami dahulu? Di mana relevannya dakwaannya yang mengatakan kita perlu menjadi manusia yang penyayang...Kita perlu menjadi manusia yang tahu menghargai orang lain. Atau...Itu hanya retorik kata semata-mata?
Alasan yang diberikan kepada kami bahawa di mahu membentuk 'manusia' mungkin boleh diterima oleh orang lain yang buta, tetapi tidak aku. Katanya yang dia akan ditanya di akhirat kelak tentang peritiwa ini memang benar, tetapi aku boleh mempersoalkannya kembali. Kesemua daripada kami membayar yuran kepada pihak universiit, dan gajinya setiap bulan itu akan ditampung sedikit oleh yuran yang kami bayar tadi. Jadi, siapa dia untuk menefikan hak kami untuk mendapatkan pebdidikan? Kami semua bayar yuran. Yuran itu kemudian akan dibayar kepadanya sebagai gaji. Bagaimana jika ada yang tidak menghalalkannya?
Di zaman pascamerdeka ini, bukan lagi zaman untuk kita menggunakan cara yang tidak sepatutnya. Pensyarah atau guru perlu kreatif mencari penyelesaian. Zaman sekarang bukan lagi zaman pukul-memukul atau mengunci pintu kepada pelajar. Dia sendiri bergiat dalam dunia kreatif, seharusnya dia perlu kreatif untuk mendidik kami pelajarnya. Masih banyak cara yang lebih 'selamat' yang boleh digunakan. Barangkali nasihat yang pedas merupakan salah-satu daripadanya, tanpa mengambil hak kami untuk belajar. Apabila situasi begini berlaku, kebanyakan daripada rakan-rakanku mula memandang rendah kepada orang sastera, seperti juga aku. Mereka mengatakan orang sastera bersikap liberal, sensetif, tak tahu membuat pertimbangan, dan macam-macam lagilah. Hal ini membuatkan aku malu dan berfikir tentang duania yang kian suram ini.
Sekarang, aku akui yang aku sudah tidak boleh lagi mempercayai kata-kata orang yang begitu megah dan lantang mengatakan bahawa 'aku pejuang sastera'. Hakikatnya barangkali kata-kata itu hanyalah retorik kata semata-mata kerana dalam dunia ini juga wujud korupsi dan diskriminasi. MAlah sebelum ini juga, aku pernah dimarahi oleh seorang editor majalah sastera kerana terlalu kerap menghantar karya kepada mereka. Apa semua ini? Jika dia merupakan salah seorang daripada mereka yang terlibat secara langsung dalam dunia sasera, mengapa dia mesti memusuhi atau merencatkan minat penulis muda yang mahu membina bakat untuk memeriahkan dunia sastera? Begitu juga halnya dengan pensyarahku ini. Dia cukup lantang mengatakan kita perlu meramaikan warga yang mencintai sastera, akan tetapi pada masa yang sama dia menghalang berpuluh-puluh pelajar yang mahu mengikuti kelas sastera. Di manakah betulnya?
Aku tahu, dia seorang yang hebat. Hebat kerana sering menjadi orang penting bagi pelbagai program sastera. Malahan, dia juga guruku. Akan tetapi, salahkah jika dia meluangkan sedikit masa untuk mendengar penjelasan kami? Mungkin bagi orang lain, tertinggal satu kelas sastera tidak banyak membawa banyak kerugian, tetapi tidak bagi aku. Hanya Tuhan saja yang tahu betapa dalamnya cinta aku kepada dunia sastera ini. Hanya Tuhan saja yang tahu betapa selama ini aku sungguh-sungguh mengajak rakan-rakanku agak sama-sama berkecimpung di dalam dunia sastera ini. Barangkali perjuanganku itu tidak pernah dilihat oleh pensyarahku tadi, kerana dia tidak berada dalam persekitaranku. Tanyalah kepada rakan-rakan rapatku hatta teman sebilikku. Tanyalah bagaimana cintanya aku terhadap dunia ini.
Namun begitu, aku masih tetap menghormati dia sebagai pensyarahku. Aku tetap mengenang dia sebagai antara orang yang bertanggungjawab mendidik aku tak kira dalam bidang sastera atau akedemik. Aku mengerti semua itu. Akan tetapi, apa yang aku mahu dia mengerti di sini, sebagai pejuang sastera, dia perlu meramaikan khalayak sastera (aku tak tahu sama ada dia tahu tentang 3 hasrat DBP selepas berusia 50 tahun iin atau tidak). Jika dia mencantas minat mereka yang mahu mempelajari sastera, samalah ertinya dengan dia membunuh dirinya sendiri. Kita sama-sama berjuang dalam dunia yang sama. Di landasan yang serupa. Dunia sastera kita ni tidak sebesar dan segah mana. Aku boleh beralih ke dunia popular kalau aku mahu. Tiga syarikat penerbitan sudah menawarkan aku khidmat untuk kami bekerjasama. Aku tangguhkan sementara kerana aku mahu berjuang di dalam dunia sastera ini. Muda-mudahan aku masih terdaya, walaupun peristiwa tempohari telah merenggut sedikit kepercayaanku terhadap orang yang cukup megah megatakan bahawa 'AKULAH PEJUANG SASTERA'. Walaupun perjuanganku hanya berbentuk sebuah sajak yang dipandang sepi oleh ramai orang, akan tetapi bagiku ia satu kepuasan yang tidak ternilai. Mengapa aku melakukan ia? Segala-galanya kerana cinta. CINTAKU KEPADA ANAK BANGSA! DAN KERANA ITU AKU MELAKUKANNYA DENGAN RELA..
2 comments:
Saya dulu waktu jadi pelajar juga pernah dikunci pintu oleh pensyarah. Malu saya, mahu menangis pun ada. Tapi kemudian sehabis kelas pensyarah itu panggil saya dan kata dia bukan benci saya, tapi tidak adil kepada saya kerana lambat sedangkan orang lain boleh sampai awal. "Kalau saya tak hukum awak, pelajar lain akan mengata saya. Tapi kalau saya hukum awak, saya akan dikata oleh awak juga. Jadi, apa saya perlu buat?". Saya kata, tindakannya betul dan saya minta maaf. Sampai kini saya baik lagi dgn pensyarah berkenaan. Tak ada dendam.
Jadi saya nasihat diri saya sendiri, lain kali kalau kelas jam 9 saya akan bangun jam 7 jadi saya tidak akan ditinggalkan bas, saya akan sampai awal, pintu pun tidak dikunci dan saya pun tidak akan mengungkit apa-apa.
Maaf ya, saya tidak berpihak di mana-mana. Jangan tuduh saya pro pensyarah dalam kes ini pula (saya tak kenal pun siapa-siapa). Sekadar berpesan-pesan perkara yang benar. Diterima atau tidak, terpulang.
Hmm ... anak-anak pascamerdeka ....
Salam Lan,
Mencintai sastera itu bukan sekadar membaca Dewan Sastera sampai terleka dan terlewat ke kelas Sastera hingga melupakan sifat seorang muslim sejati.
Menepati janji itu lebih besar maknanya!
Mengungkit-ungkit jasa-jasa sendiri yang menjadi pemangkin kepada kejayaan orang lain bukan sifat orang kita.
Marilah bermuhasabah dan fikirkan semula.
Jika benar tidak mahu ketinggalan apa-apa pun yang merugikan dalam hidup kita, peliharalah masa.
Wallahua'alam.
Post a Comment