Thursday, July 9, 2009

SETELAH BERTAHUN MEMBEBAT LUKA



Tidak ada yang lebih menggembirakan hati saya selain mendengar keputusan Kabinet Malaysia bahawa PPSMI akan dimansuhkan menjelang 2012. Meski ada banyak suara-suara sumbang yang mempertikaikan pendirian ini, dengan pelbagai hujah (antaranya barangkali wujud lagi pelbagai 'agenda' untuk menghidupkan kembali PPSMI, tetapi pada saya, kita perlu mengambil langkah 'tungggu dan lihat' sejauh mana keseriusan kerajaan mengatasi masalah ini.

Dalam satu perbualan santai bersama seorang rakan di kafe fakulti, saya sempat berseloroh, bahawa selepas ini saya barangkali boleh mengambil alih tugas mengajar subjek matematik di sekolah, kerana saya sememangnya menguasai subjek itu dengan baik ketika ia masih lagi diajar di dalam bahasa Melayu 7 tahun lalu ketika saya di tingkatan 4.

Sementara itu, sebaik sahaja berita pemansuhan PPSMI ini diuar-uarkan, saya menerima satu kiriman SMS daripada adik rakan saya yang kini menuntut di UTM Skudai yang meminta saya meminjamkan nota-nota Kejuruteraan Awam saya kepadanya.

Sebagai seorang pelajar yang terdidik dengan ilmu kejuruteraan Awam ketika di tingkatan 4 dan , saya tidak menafikan bahawa saya masih mampu mengingati apa yang pernah saya pelajari dahulu (di dalam Bahasa Melayu). Antara pelajaran yang masih meninggalkan kesan sudah pastilah ketika membuat eksperimen kericihan tanah, ujian Proba Mackintosh, dan semestinya pengukuran topografi tanah yang berlandaskan hukum geografi.

Menurut satu sumber dalaman di pihak Kementrian Pelajaran, pemansuhan PPSMI berkuatkuasa 2012 yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, mampu menjimatkan kos sebanyak RM40 juta setahun. Kos itu adalah elaun tambahan atau Bayaran Insentif Subjek Penting (BISP) yang diberikan kepada guru-guru yang mengajar subjek Sains dan Matematik berdasarkan kelulusan iaitu lima peratus tambahan daripada gaji untuk guru berkelulusan ijazah manakala 10 peratus pula untuk mereka berkelulusan diploma.

Tidakkah perkara ini satu rahmat? Dan alangkah baiknya jika 6 tahun dahulu ia dimansuhkan. Saya mengerti, terlalu banyak luka dan derita yang terbebat di sanubari kita, dan sebagai insan yang ditakdirkan untuk menyuburkan rasa cinta dan setia saya terhadap bahasa dan bangsa saya, saya gembira pada hari ini, kerana setelah bertahun membebat luka, berhenti juga darah ini akhirnya. Harapan saya, semoga luka ini tidak ditoreh kembali, dan jangan biarkan kita membebatnya sekali lagi.



SELEMBAR PEMBALUT LUKA
(Abang Din,
simpankan pembalut luka itu,
kerana esok barangkali saya memerlukannya)

Luka ini tidak pernah terlihat garisnya
kerana terbebat ia di lipatan lara
kerana terbungkus ia di ikatan derita

Saudara,
Terima kasih kerana memberikan aku
selembar pembalut lukamu
untuk kubaluti hatiku
meski darah yang menitis ini bertukar biru
dan parut ini bertukar kelabu
dan tujuh petala pelangi itu
seperti membiaskan keresahanku.

Selembar pembalut luka,
hari ini kubuka balutannya
dan kuberikan kepada kau lilitannya
kerana esok barangkali di waktu senja
parutku akan kembali terluka
dan aku akan menangis memintanya.

ZULFAZLAN JUMRAH
UPM, SERDANG.

1 comment:

Rusdi Abd Rahman said...

Sdra. Zulfazlan,
1. Sudah lama sdra. tidak memuatkan entri dalam blog ini, kenapa? Apa-apapun saya sering berkunjung ke sini.
2. TAHNIAH! atas terbitnya sajak 'Kian Terlalu Banyak' dalam akhbar BH semalam (11 Julai 2009 - ya... sempena 'meraikan' 100 hari si dia itu kot... hehehe...)
3. Sejak berita pemansuhan PPSMI 2012 itu (Pak Samad kata berita penangguhan pemansuhan), dalam laporan berita akhbar, televisyen dan radio menjelaskan BAHASA MALAYSIA! Bukankah angka 152 menyatakan BAHASA MELAYU?