Tuesday, August 18, 2009

SAYA HANYA MAHU MEMBENTANGKAN KERTAS KERJA

Lewat malam begini, ada beberapa perkara yang memberati fikiran saya untuk hari esok. Pertamanya, sudah pasti Program Realiti Akademi Sastera 2009 musim ke-2.Selain itu, saya juga turut bimbang dengan dua perkara lain iaitu ujian Pengujian & Penilaian dan Pembentangan Kritikan Sastera yang akan dilunasi oleh rakan-rakan tanpa kehadiran saya. Saya agak khuatir kerana hampir 80% daripada idea pembentangan itu adalah daripada saya, dan sekiranya terdapat apa-apa kekurangan, teman-teman pula yang perlu menjawabnya.

Ujian Pengujian&Penialaian juga tidak kurang membimbangkan saya. Saya hampir tidak membaca apa-apa pun,dan penundaan ujian ini bakal merencamkan jadual harian saya yang terpaksa dirombak setiap masa. Semuanya kerana pelbagai perkara yang berubah setiap masa. Hm, barangkali inilah dugaanNya kepada saya.

Saat ni, kantuk masih belum mahu memesrai saya, dan saya mengambil keputusan untuk menuliskan entri ini, walaupun besok pagi-pagi saya perlu bangun dan bergegas ke DBP bersama Afiqah. Saya tidak meletakkan apa-apa harapan yang menggunung, kerana saya mahu melenyapkan doktrin bahawa Akademi Sastera ini merupakan satu pertandingan. Saya tidak memandang langsung hadiah-hadiah yang bakal ditawarkan. Sekiranya saya terhenti setakat ini pun, saya puas kerana saya berkesempatan mempelajari serba sedikit tentang dunia kritikan yang hampir tidak pernah saya gauli, melainkan membaca beberapa kertas kerja secara santai.

Saya hanya mahu membentangkan kertas kerja. Tidak lebih dari itu yang mahu saya lakukan untuk khalayak esok. Kalah menang itu adat pertandingan. Apa yang saya harapkan selepas ini, saya terus dibimbing untuk mengkritik, dan saya akan terus belajar untuk menjadi seorang pengkritik. Lebih jauh dari itu, saya akan lebih berbesar hati sekiranya selepas program ini, saya diberikan peluang untuk menghasilkan makalah dan kertas kerja dan sesungguhnya saya amat teruja untuk melakukannya. Itu lebih bermakna buat diri saya.

3 comments:

WaRKaH CiNTa said...

Assalamualaikum W.B.T...
Tahniah, saudara berjaya ke peringkat akhir. Semoga berjaya.

hasni Jamali said...

tahniah, zul dapat masuk final. sama2 kita bertanding untuk final nanti ya. :-)

Chempaka Aizim said...

lan,
"Saya tidak memandang langsung hadiah-hadiah yang bakal ditawarkan."
jd saudara fikir semua yg inginkan kemenangan mengejar hadiah-hadiah yg ditawarkan? bukan. sebenarnya, membawa nama institusi adalah perkara yang berat. kekalahan bagi kita melumatkan harapan pihak atasan. itu yg membuatkan peserta yg kalah rasa seperti dihimpit batu besar. (sy tgh emo tghari ni! hihi. jgn marah..)