Monday, October 12, 2009

BARANGKALI KERANA SAYA SEORANG YANG MEMILIH UNTUK MERENDAH DIRI

Beberapa hari lepas, saya menerima satu kiriman SMS daripada teman seperjuangan saya, Nissa' Yusof. Beliau mengucapkan "Tahniah" kerana sajak saya terpilih untuk dijadikan teks KOMSAS menjelang tahun hadapan. Sejujurnya, saya agak terkejut kerana secara dasarnya tidak ramai orang yang tahu perihal perkara ini. Saya pula bukanlah jenis manusia yang gemar menjaja cerita ini kepada orang ramai. Saya lebih gemar mengambil sikap berdiam diri dalam apa juga perkara, termasuklah kejayaan yang saya sifatkan cukup besar ini.

Benar, jauh di sudut hati saya, saya berbangga apabila sajak saya dipilih oleh juri untuk dijadikan teks KOMSAS daripada ribuan, malah mungkin ratusan sajak yang pernah dituliskan di dunia ini. Syukur, saya adalah insan bertuah yang dapat mencicip rezeki yang dilimpahkan olehNya.

Namun, apa yang ingin saya kongsikan di dalam entri ini ialah mengenai satu kiriman SMS yang datang daripada teman saya (tak perlulah saya sebutkan nama, cukuplah saya katakan kami sangat akrab). SMSnya berbunyi begini: " Orang kaya baru, kau tak bagitau pon sajak ko dapat masuk KOMSAS. Kenapa? takut sangat ke kitorang pau duit KOMSAS ko tu? Yelah, member lupa member la ko ni." Kemudian, saya membalas SMS beliau dengan mengatakan bahawa duit royalti itu belum dapat lagi, surat perjanjian pun belum dihantar oleh pihak yang berwajib. Saya katakan juga, saya menganggap ini semua rezeki dari Tuhan. Dia membalas semula SMS saya dengan mesej berbunyi begini: " Ala, kedekut cakap la. Aku tak heran sangatlah duit ko yang berapa sen sangat tu. Kalau ko tak nak belanja kitorang takpe la. Tak heran pun".

Saat itu, hati saya menjadi terlalu sedih. Teman yang saya anggap selama ini menjadi pendorong saya, mengeluarkan kenyataan yang sebegitu. Demi pena, saya menulis bukan untuk wang, tetapi demi berkongsi pemikiran saya dengan orang lain. Medan ini menjadi gelanggang saya untuk berkongsi apa sahaja yang saya fikirkan. Gelanggang untuk saya mencari keredhaan Tuhan kerana menyampaikan ilmu dan berdakwah melalui penulisan.

Barangkali orang lain tidak tahu ke mana saya membelanjakan wang tersebut. Cukuplah saya katakan, saya menggunakan sejumlah wang itu ke jalan yang mampu memudahkan kehidupan orang lain yang kurang bernasib baik daripada saya. Selebihnya, saya gunakan wang itu untuk diri saya seperti membeli buku, menonton wayang (salah satu tempat di mana ilham saya sering hadir sebaik sahaja meninggalkan panggung) dan sudah tentu sekali untuk makan kerana saya memang seorang yang kuat makan.

Barangkali kerana saya seorang yang memilih untuk merendah diri, saya seringkali ditempiasi dengan situasi-situasi begini sama ada secara seloroh atau serius. Bukan sedikit insan-insan yang menjauhi saya saat saya mahu berbicara tentang sastera kepada mereka, tetapi mula merapati apabila mendapat tahu saya menerima wang honorarium daripada penerbit.

Benar, hidup ini berlembah dan kitalah yang seringkali terjatuh ke dalam gaungnya. Akan tetapi, kenapa kita jatuh? Sebab kita akan belajar untuk bangun semula. Akhir kata untuk entri ini, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada teman-teman penulis (Mentor-mentor MPR,teman-teman MPR, teman-teman di PPJ, dan guru yang selalu melihat saya meneruskan langkah ini). Di sini, saya perturunkan sepenuhnya sajak KIAN KITA LUPA yang akan menjadi teks KOMSAS tingkatan 1 menjelang tahun 2010. Terima kasih kepada puan Norizan Muslim yang memilih karya ini untuk diterbitkan di dalam majalah Tunas Cipta.




KIAN KITA LUPA.

Kian kita lupa
pada usul jerih bangsa
bila mewah harta di birai mata

Kian kita lupa
pada derita moyang dahulu kala
bila asyik riak dan berbangga

Kian kita lupa
pada azab dan seksa di sana
bila Tuhan melimpahkan kurnia

Tetapi,
kita hanya tak lupa
bila terlewat masa
untuk menyesali segala
terlanjur laku dan bicara
bahagia bertukar derita
gembira menjadi duka.

ZULFAZLAN JUMRAH
PBMP, UPM SERDANG
Hentian Puduraya,
Kuala Lumpur.

26 November 2006

9 comments:

Aidil Khalid said...

Lan, tahniah setinggi-tingginya dari aku. Bukan calang-calang penulis yang karyanya boleh terpilih untuk dijadikan teks kajian para pelajar. =)

ode said...

Lan...sajak kau jadi bahan kajian!
perggghhhhh~~
kau tak boleh selitkan nama aku skit ker dalam sajak tu?
hehehe

Nur Fatiha Fadila said...

Assalamualaikum,
Bersabarlah dan tidak usah dipedulikan mereka yang tidak mengerti. Anda tidak papa dengan cacian mereka. Tahniah

HAFIZ LATIFF said...

assalamualaikum w.b.t.

saudara zulfazlan,
benar kata wardah munirah... kita tidak hidup dengan pujian orang dan kita tidak akan mati dengan cacian dan hinaan orang. setiap orang ada bahagian ujian masing-masing. mungkin ini masa dia untuk mencemuh, mungkin esok lusa, dia dikembalikan dengan cemuhan tersebut.

apapun, tahniah dari aku. rasa teringin kembali ke masa tingkatan satu supaya dapat mengkaji dan mempelajari puisi tersebut. heheh.

tahniah, lan!

HAFIZ LATIFF said...

assalamualaikum w.b.t.

saudara zulfazlan,
benar kata wardah munirah... kita tidak hidup dengan pujian orang dan kita tidak akan mati dengan cacian dan hinaan orang. setiap orang ada bahagian ujian masing-masing. mungkin ini masa dia untuk mencemuh, mungkin esok lusa, dia dikembalikan dengan cemuhan tersebut.

apapun, tahniah dari aku. rasa teringin kembali ke masa tingkatan satu supaya dapat mengkaji dan mempelajari puisi tersebut. heheh.

tahniah, lan!

MARSLI N.O said...

Sdr Zulfazlan: Bagus merendah diri. Tapi jangan biarkan sampai orang pijak-pijak dan permainkan. Maaflah kerana menyelonong tulis komen di sini. Harap tidak apa-apa.

Unknown said...

Salam....

Firstly, tahniah atas kejayaan yg d capai....
Secondly, liza setuju dgn apa yg sdr ilham hafiz perkatakn.... setiap manusia d dunia nie tidak akn lepas dari ujian dan dugaan hidup, namun sebagai hamba-Nya kita seharusnya bersabar dan berdoa agar apa yg kita lakukan akan mendapat keberkatan dan keredhaan-Nya.... dan kita perlulah sedar apa yg kita lakukan itu adalah dengan niat yg baik dan ikhlas....
Lastly, bersabarlah atas segala ujian-Nya k.... Semoga rezki lan akan bertambah dan karya lan dapat membantu pihak2 tertentu....

Mohd Rafaie said...

askm lan... ini rafaie ni.... sy sekarang ni baru memulakan kerjaya guru di sekolah tuanku abdul rahman star, ipoh.....semalam saya memulakan mengajar murid menggunakan sajak nukilan lan... syukur alhamdulillah.... nukilan lan menjadi bahan kajian ilmu anak2x bangsa kita....selamat berjuang dan selamat bersedia untuk mengikuti saya dan senior2x lain ke alam guru.....sy tumpang bangga....teruskan perjuangan ikhlas kamu.....saya doakan kejayaan kamu....

BGurlz said...

tahniah kerana sajak anda terpilih sebagai sebahagian teks utk komsas T1...sbrlah dgn golongan manusia mcm nie...golongan mcm ini sebenarnya x suka dengan kejayaan org lain lbh2 kalau kawan rapat sendiri...tp, x semuanya kawan rapat mcm itu...biarkan saja mulut mereka berbicara...anyway, saya merupakan seorang guru yg mengajar komsas T1..sajak ini memang bagus...congrat