Wednesday, May 5, 2010

...DAN APA YANG AKAN SAYA TINGGALKAN

Tempoh praktikal saya hanya tinggal kira-kira dua minggu saja lagi. Sungguh, dalam masa sesingkat ini, saya dapat rasakan ia akan berlalu lebih pantas daripada apa yang telah saya lalui sebelum ini. Saat bersunyi begini, ketika ditemani latar sepi bilik guru berhawa dingin, segala kenangan sewaktu saya mula-mula menjalani praktikum di di sini cepat menerjah ke gawang fikiran.

Di sinilah saya mengenali dunia pendidikan yang boleh saya sifatkan sebagai menyeronokkan, manis, mematangkan minda, kawan-lawan, kucar-kacir, korup dan penuh warna-warni. Di sini saya menemui situasi sebenar kehidupan rutin sekolah, guru dan pelajar. Ada rasa terharu saat perkataan "Assalamualaikum ustaz" menyinggah di telinga, ada rasa tersentuh saat tangan saya dikucup pelajar sebelum pulang, ada rasa bangga apabila mereka menyenangi kehadiran saya di sini.Mereka semua cukup muda, main-main (fenomena biasa bagi sebuah sekolah lelaki), tetapi sering bermotivasi tinggi lantaran tinggal di sebuah sekolah yang mempunyai nama yang gah di Melaka ini. Pencapaian tempat ketiga bagi sekolah terbaik di Melaka ternyata sedikit merisaukan saya.Mereka warga yang gemar berhujah, banyak cakap dan tanya, bencikan pembelajaran chalk and talk, dan gemar berbincang dan bertanyakan perkara yang bukan-bukan kepada saya. Siapa sangka, seorang pelajar tingkatan 1 yang berada di kelas sederhana mampu bertanya kepada saya tentang isu dunia seperti peristiwa holocaust dan pengeboman hiroshima dan nagasaki?

Di sini, sesingkat waktu ini, terlalu banyak yang akan saya tinggalkan. Bilik tetamu yang menjadi ruang kecil saya berteduh dan menukangi bahan-bahan untuk persediaan mengajar (meski saya sering berasa ini adalah hiprokasi semata-mata), dewan makan tempat kami para warden berkumpul dan menjamu selera dengan makanan asrama yang masih boleh ditelan dan mengenyangkan perut, kelas 2E dan 1D (kelas tahap sederhana) yang terperosok di bangunan usang di penjuru sekolah, bilik guru tempat saya biasanya menyiapkan lesson plan, bilik kaunseling tempat saya membaca akhbar berhaluan kiri, surau sekolah tempat saya mula rajin membaca al-quran dan semestinya kantin sekolah tempat kami para guru berkongsi pemikiran politik yang kebanyakannya berhaluan kiri.

Terlalu banyak insan yang bebudi kepada saya seperti Ustaz Hamid yang menjadi orang pertama menjemput saya di pintu pagar sekolah, ustaz khuzaini yang sering menemani saya sewaktu makan tengahari, ustazah anisah yang rupa-rupanya selama ini sudah lama mengumpul puisi-puisi saya yang tersiar di akhbar. saya pasti merindui rengek manja kak ain yang merupakan guru pembimbing saya,celoteh pagi kak anja yang sering datang lebih awal daripada saya, juga senyuman kak ros yang tidak pernah lekang dengan lesung pipit di sebelah kanan pipinya. saya juga pastinya merindui hasmerah yang tidak lupa mengajak saya ke kantin setiap hari, cikgu karim dan jukhairi yang merupakan cikgu senior yang paling rapat dengan saya, ustazah liza yang selalu menyelamatpagikan saya, kak farah yang selalu memberikan tips kahwin kepada saya, richard, teman serumah saya yang sudah bermasam muka dengan saya sejak seminggu yang lalu,kak lina yang ringan tulang mengemaskan tempat saya setiap pagi jam 8.20 minit, serta shahlina yang merupakan guru praktikal yang paling rapat dengan saya.

Sungguh, semua ini adalah kenangan yang terindah buat saya..paling manis dan paling sukar dilupakan. segala-galanya disini, dan apa yang akan saya tinggalkan, saya percaya bahawa inilah titik permulaan buat saya untuk menempuhi cabaran dunia pendidikan yang kompleks, rumit, mencabar tetapi menyeronokkan...

2 comments:

Amira Aleze Sah said...

alhamdulillah...
pas nie duk umah je la keja abg hehehe

ShalinzZ85 said...

nampaknya aku sudah glemer di blog hang walaupun secebis cuma.wahahah.lawak la hang nie lan