Wednesday, June 9, 2010
PERANTAUAN SANG FEMINIS RADIKAL MENGGELEDAH JAGAT KEMANUSIAAN
Saya terbaca cerpen pertama gadis berbakat besar ini yang bertajuk "Langit Lazuardi" yang tersiar di Berita Minggu melalu perca akhbar yang dijadikan alas sangkar hamster oleh kakak. Lantas, berbaur dengan rasa marah kepada kakak, saya mengambil helaian itu lalu melihat sekilas. Pertama-tamanya, saya menjengkel kerana melihat gambar penulisnya yang bertudung, namun menggunakan nama pena Rebecca Ilham (di hati, saya mencebik "tak sedar diri, nak guna nama orang putih je").
Namun, sebaik membaca cerpen tersebut, saya terdiam, langsung imej skeptikal yang sejak mula tervisual di dada Melayu tulen saya beransur-ansur kabur kerana saya kira ini antara cerpen yang terbaik yang pernah saya baca di akhbar (tidak termasuk Dewan Sastera). Sejak itu, tatkala saya meneliti akhbar minggu (memang rutin saya begitu kerana hanya akhbar hari sabtu dan ahad sahaja menyiarkan ruangan untuk karya puisi dan cerpen), saya sering ternanti-nanti jika ada cerpennya tersiar.
Becky (panggilan yang biasanya kami teman-teman penulis berikan kepada gadis yang bernama Hazwani Rameli ini) memuatkan 15 buah cerpen terbaiknya dalam Antologi "Kimono Ungu Bersulam Bunga" ini-diangkat daripada judul cerpen 'bertuahnya' yang tersiar selepas beberapa hari bergraduasi.Hampir kesemua cerpen dalam kumpulan cerpen ini sudah saya baca di media cetak kecuali Jalan Jauh Ke Ramallah,Menjadi Naurah dan Fajar Sidik di Sierra Morena.
Secara holistik, Becky menonjolkan tanggapan Barat dalam wacana yang bersifat orientalis, membuktikan bahawa terdapat pertentangan antara Timur dan Barat yang menyebelahi Barat dalam setiap karyanya. Beliau cukup sensitif dengan isu sejagat terutamanya perkara-perkara besar yang menggemparkan dunia seperti isu penjajahan bumi Palestin oleh rejim Zionis, pengeboman Hiroshima dan Nagasaki oleh Amerika, kupasan paradoks tentang teori agung Darwin malah lebih mempesonakan semua itu dibungkus oleh Becky dengan 'kimono' kemanusiaan.
Sebagai seorang ilmuan merantau ke negara orang, tidak hairan Becky mampu mengupas isu yang mahu diketengahkan dengan baik sekali. Isu tersebut diadun dengan baik, malah seringkali kita menemui kecenderungan Becky untuk mentransformasi segala limpahan rasa dan rintih sukmanya berkiblatkan feminisme radikal.
Kita dapat melihat contohnya dalam cerpen Kimono Ungu Bersulam Bunga (cerpen kegemaran saya), Becky berjaya mengangkat isu feminisme yang mempunyai persententangan yang binari. Persetentangan yang binari (binary opposition) tidak bersifat objektif tetapi bersifat politikal dengan membezakan familiar antara dua fahaman yang berbeza. Watak Salwa diadun dengan cukup baik sebagai gadis yang tegas mencabar keegoan Kenshi, seorang doktor dan saintis yang sangat berpegang kuat kepada tradisi feudal Jepun. Sifat feminis radikal ini ditonjolkan Becky melalui watak Salwa yang cuba mempersoalkan tradisi lapuk Jepun yang membezakan aspek gender antara lelaki dan wanita.
Feminisme radikal sebagai suatu kritik idelogi terhadap pandangan umum kepada permasalahan yang wujud akibat ketidakadilan kepada pemberian peranan dan identiti sosial yang wujud akibat perbezaan gender. Istilah ini lebih membawa maksud tentang kesedaran akan adanya ketidakadilan terhadap kaum perempuan baik keluarga, mahupun masyarakat. Kesederan inilah yang seterusnya mewujudkan satu kronologi tindakan baik oleh perempuan mahupun lelaki untuk mengubah keadaan tersebut.
Sebagai seorang perantau di bumi orang, Becky juga turut terkesan dengan pelbagai isu besar dunia yang merentap jiwa kemanusiaannya. Lihat sahaja isu penjajahan Palestin yang termuat dalam cerpen Perca-perca Cinta untuk Palestina, Menjadi Naurah dan Jus Soli Jus Sanguinis yang mengetengahkan prinsip kemanusiaan sebagai intinya. Hasrat untuk mengubah keadaan tersebut tercetus atas kesedaran yang telah mewujudkan satu gelombang yang berupa gerakan untuk memperjuangkan ketidakadilan itu. Gelombang tersebut hakikatnya merupakan satu perjuangan untuk memberikan keadilan kepada manusia demi memancangkan sebuah kebenaran agar ia memperoleh duduk letak yang setara.
Sebagai perantau, Becky cukup terkesan dengan pengembaraannya ke bumi asing. Lihat saja bagaimana keterujaannya berkunjung ke Manchester sehingga pengalaman itu dizahirkan melalui cerpen Di Bawah Langit Manchester. Tembok feminisme juga memagari cerpen ini apabila ia tidak dapat lari daripada isu feminis melalui watak Soraiya yang terpaksa berhadapan dengan teman baik yang mengandung anak luar nikah (Soliel). Ternyata, perwatakan Becky sebagai gadis yang mudah cair dengan kepayahan teman-teman ditumpahkan dengan cukup baik ke watak Saraiya yang dilakarkan mempunyai sifat belas yang tinggi, optimis meski seringkali berasa prejudis. Lebih indah, cerpen ini memuatkan elemen ilmu bantu melalu pemaparan nama-nama tempat di menarik di England seperti Piccadilly Gardens, Old Trafford, Salford Quays dan John Rylands Library.
Barangkali, satu persamaan antara kami ialah negara Jepun. Seperti Becky, saya juga sangat menggemari negara matahari terbit itu. Ternyata, Jepun sebuah negara yang berbudaya, disiplin dan cantik. Perkara inilah yang digemburkan Becky lewat cerpen-cerpennya seperti Kimono Ungu Bersulam Bunga, Angin Pada Mekar Kuntum Sakura,Harapan Di Hujung Cebis Doa dan Momiji Musim Rontok (tidak disiarkan dalam antologi ini). Garapannya tentang budaya dan makanan negara Jepun lebih saya gemari berbanding argementasi teori dalam cerpen seperti Protokol Cinta dan Mencari Tuhan di Celahan Cambrian yang padat dengan ilmu bantu yang kadangkala seperti berkhutbah.
Obses Becky terhadap Jepun berjaya meneutralkan cerakinan ayat dan diksi kata-kata yang padat tetapi tetap menggugah rasa. Bukan tidak pernah saya membandingkan segala maklumat-maklumat yang tersisip di dalam cerpen-cerpen tersebut dengan realitinya, namun kebanyakannya tepat kecuali beberapa ejaan yang sedikit silap mengikut kosa kata Melayu, namun itu bukanlah satu masalah yang sangat besar pun.
Meneliti 15 buah cerpen dalam himpunan cerpen ini, menemukan kita dengan suara-suara feminisme radikal pengarang yang merintih yang mahukan keadilan dan kebebasan diletakkan kembali pada neraca yang sebenarnya. Pengarang adalah perakam waktu yang terbaik, dan inilah kelebihan yang saya dapat lihat dalam diri Becky. Namun, setelah menetap di Malaysia dan ripuh dengan tugas sebagai seorang jurutera, saya khuatir bakat besar gadis ini akan terbunuh kelak. Secara umumnya, saya mencadangkan anda untuk membeli dan membaca kumpulan cerpen ini kerana ia menghimpunkan sejumlah besar bukan sahaja karya kreatif yang baik, tetapi perakam peristiwa dan penghujahan yang pasti menduga akal anda jika anda merupakan seorang penggeledah kebenaran dan keadilan dalam jagat kemanusiaan. Tahniah buat Becky!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment