Monday, October 20, 2008

KEDINGINAN TEH TARIK DALAM KEHANGATAN PESTA KONVOKESYEN



Semalam, setelah otakku tepu menelaah nota subjek Teknologi Pendidikan, aku lantas menapak ke Dewan Besar untuk sama-sama meraikan seorang rakanku, Kimi yang baru saja selesai berkonvokesyen. Kedatangan aku dan Sabtu, sebenarnya lebih kepada tujuan sokongan moral, kerana Kimi merupakan senior di blokku dan antara insan yang banyak mengambil berat tentang pelajaran, tugasku di kolej dan universiti, dan lebih-lebih lagi dunia penulisanku. Malah, Kimi antara orang terawal yang akan mengkritik setiap karyaku sama ada di majalah atau akhbar. Pernah satu ketika, cerpenku yang bertajuk 'Warkah Melankolik Dari Melbourne' dikritik teruk kerana padanya cerita itu biasa dan tidak sehebat cerpen-cerpenku yang sebelum ini.

Selesai sesi konvokesyen, kami bertiga melepak sambil meminum teh tarik di gerai-gerai yang banyak didirikaan di sekitar tapak ekspo. Setelah teh yang kami pesan sampai, perbualan kami terarah untuk berbincang tentang topik yang relevan.

" Lepas ni, mesti dah susah nak melepak macam ni kan?" tanyaku kepada Kimi.
" Kenapa pulak?" Tanya Kimi.
" Yalah. Kau dah nak posting ke Sabah. Lepas ni dah susah nak datang ke UPM. Apatah lagi nak melawat FPP, Kolej, lagilah susah. Kalau balik pun, kau mesti balik Kelantan kan?" dugaku.
" Ya, kalau ikutkan memang macam tu la. Aku dah makin susah nak balik ke sini. Lepas ni, tugas aku lebih berat. Kau tahu je la. Sabah tu bukan dekat. Nak balik sekali setahun pun susah." balas Kimi.

Aku mengangguk. Benar, tugasnya lepas ini lebih berat. Tapi, dengan kredibilitinya, aku percaya yang dia mampu melakukannya, sekurang-kurangnya dia mempunyai karisma yang sangat diperlukan oleh seorang guru.

Teh tarik yang kami pesan masih belum terusik. Agak sedikit dingin, kerana cuaca agak mendung ketika ini. Barangkali lima hingga sepuluh minit nanti hujan akan turun. Renyai gerimis sudah mula meluruh dalam dingin petang yang kian mencengkam, namun masih dipeluk kehangatan konvokesyen yang riuh.

" Tapi Lan, kau tak pelik ke. Kadang-kadang, budak yang score pointer bagus, belum tentu dapat jadi cikgu yang bagus. Belum tentu dapat pikul amanah yang diberi tu. Tak ada jiwa sebagai seorang pendidik. Seorang pendidik itu dilahirkan memang untuk menjadi seorang pendidik. Bukan dibikin daripada satu program selama empat tahun. Program empat tahun ni sebagai latihan saja. Untuk memantapkan jiwa, roh dan jasad untuk menjadi seorang pendidik anak bangsa."

Aku terkesima mendengar kenyataannya. Benar, seorang pemimpin itu dilahirkan dengan jiwa, roh dan jasad. Sudahnya, seusai perbincangan kami itu, teh tarik yang kami pesan telah dingin, tanpa sempat kami menghirupnya.

Saturday, September 20, 2008

JIWA YANG MERUSUH

Semalam aku sempat berjalan-jalan sekitar Jalan Masjid India dan Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) untuk meninjau-ninjau gelagat warga kota bagi menyambut kedatangan Syawal yang akan tiba. Niatku memang begitu. Berjalan dari Plaza Kota Raya, melewati bangunan Maybank, sehinggalah sampai di Jalan MAsjid India dan Jalan TAR.

Sejujurnya, aku gemarkan suasana begini. Sedikit bising, mewah dengan gelagat ribuan manusia yang membeli belah, suasana tawar menawar, dan semuanya terbancuh menjadi rencaman perasaan yang berbaur.



Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.


Suasana 'urban' begini memang aku gemari. Bukan sekadar ia menggugah ilhamku yang sudah lama menghilang, tetapi aku turut terangsang untuk menulis puisi semula. Percaya atau tidak, sudah hampir sebulan aku tidak menulis walau sebaris puisi atau seperenggan draf cerpen.

Hati dan jiwaku merusuh. Perasaanku dihempap rasa yang letih meruntuh. Dan segalanya berlaga dalam bancuhan perasaan yang gaduh.

Aku sendiri tercari-cari, apakah yang mencetuskan segala rusuh! Barangkali sewaktu menatap lukisan politik tanah air yang berserabut, atau merajuk dengan keletah dan sikap sesetengah 'sasterawan' yang membuatkan aku mengeluh, atau mungkin juga aku resah menghitung detik jantung pada daun kehidupan yang kian meluruh.

Jiwaku kini merusuh, dengan aneka rasa yang sangat menggugah. Dan selalunya ia menerbitkan sejuta cemas yang resah dan gundah!


MENYERU LARA YANG RUSUH
(Farhana, yang telah memintaku memilihkan sehelai selendang sutera)


Angin ini bukan angin kota
yang menderu bertiupan sejuta
rasa rindu dan sejahtera.

Angin ini angin lara
yang merusuh dalam pakaian peribadi kita
telah kau tukarkan menjadi selendang sutera
tersalut pada dabik dada
tampangnya hingga ke bawah rasa
bertiupan liuk dalam kibar jiwa.

Aku menyeru segala rasa yang merusuh
pada segaris lukisan sejarah yang rapuh
tercampak di dasar sungai kuasa yang keruh
dan hanyut ke hujung muara yang jauh.



Jalan Masjid India,
Kuala Lumpur.

Friday, September 12, 2008

POSKAD MELANKOLIK KE BANGKOK




Semalam aku baru sahaja mengepos tiga keping poskad ke Bangkok atas permintaan sahabat baruku, Sam yang belajar di Walailak University, Songkhla. Sam meminta aku mengirimkan tiga keping poskad itu kepada ayahnya di Bangkok yang bertugas sebagai seorang pensyarah ekonomi di sana.


Aku sangat teruja, kerana gadis manis itu tidak sudah-sudah memuji Malaysia, yang disifatkannya sebagai sebuah negara yang aman dan satu kepelikan baginya yang baru pertama kali menjejakkan kaki di Kuala Lumpur ialah apabila melihat keghairahan dan kehebatan semangat patriotik rakyat Malaysia yang memasang bendera di sana sini.

Namun, aku lekas mengatakan kepada Sam bahawa hal ini kerana Malaysia sedang berada di ambang sambutan Hari Kemerekaan yang ke-51 pada tahun ini. Maka, tidak hairanlah melihat fenomena menyepahkan bendera menjadi satu panorama hipokrit di sini.

Sam bagaimana pun menyatakan kekagumannya, kerana Thailand adalah sebuah negara yang tidak pernah mengecapi nikmat kemerdekaan kerana sejak di tingkatan 3 lagi aku sudah belajar bahawa Thailand adalah sebuah negara yang tidak pernah dijajah oleh negara luar, ketika kegemilangan dinasti Raja Chulalongkorn, yang meneruskan tradisi gemilang negara Gajah Putih ini pada era kemasyhuran Raja Mongkut.





Berbalik kisah poskad tadi, aku memang tidak memahami sepatah haram pun apa yang dituliskan oleh Sam, kerana selain tidak faham tulisan Siamnya, segala maklumat yang terkandung di dalam poskad itu dirahsiakan oleh Sam. Tetapi, aku mengambil keputusan untuk bertanya kepada rakanku Sa-ma-el dan Ing yang memahami bahasa Thai tentang isi kandungan poskad itu.

Menurut Ing, poskad pertama Sam menyatakan tentang kekagumannya terhadap Malaysia sebagai sebuah negara yg aman
(padaku ini satu tanggapan klise sejak berpuluh tahun yg lalu)

Poskad keduanya, Sam menyatakan betapa bertuahnya dia mengenali rakan sepertiku (namaku ditulis dalam tulisan Siam, jadi aku memang tak tahu!) yang begitu baik (dia yg tulis ya) dan peramah.

Poskad ketiga pula antara kandungannya ialah dia menyatakan bahawa dia sudah mulai jatuh cinta dengan bahasa Melayu dan berhasrat dapat melanjutkan pelajarannya ke sini untuk belajar bahasa Melayu.

Nah, poskad ketiga inilah yg benar-benar menggugah rasa syahduku. Betapa seorang gadis (cantik pula tu) yang tidak pernah belajar bahasa Melayu, tetapi sudah boleh jatuh cinta terhadap bahasa Melayu ini walau baru seminggu 'berkenalan' dengan bahasa ini.Inilah yg cukup mengesankan!Sedangkan kita yang selama ini dengan mendabik dada menggariskan akta itu dan ini dengan lantang menyatakan bahawa bahasa keempat teramai penuturnya di dunia ini sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, kita pula yang akhirnya meminggirkan bahasa kita itu sendiri.

Buat sesiapa yang barangkali dengan tak sengaja terbaca entri ini, cuba renungkan di manakah nilainya bahasa kita ini jika orang lain menyedari keistimewaan bahasa kita ini, tetapi kita masih lagi lena dibuai mimpi yang entah bila akan bisa membangkitkan tidur kita kembali!

Monday, September 8, 2008

MENULIS KERANA WANG?



Menulis memang boleh kaya, tetapi....

Baru-baru ini, aku sempat berbuka puasa dengan seorang rakanku, seorang pelajar UiTM Shah Alam di masjid Fasa II, Serdang. Sengaja kami memilih untuk berbuka di situ kerana yg pertamanya aku selesa dengan suasana meriah di situ kerana ramai penduduk setempat berbuka di situ termeasuk beberapa orang pelajar dari Afrika, Iran, Oman, Iraq dan MAghribi. Perkara ini secara tidak langsung mengeratkan hubungan silaturahim di bulan yg mulia ini.

Selalunya kami akan berbuka puasa, menunaikan solat maghrib, solat sunat, membawa ke solat isyak, solat tarawikh 8 rakaat sebelum mengakhirinya dengan witir 3 rakaat. Selepas itu, seperti biasa, akan ada 'moreh' juga untuk kami bersembang-sembang, berbicara tentang tsunami politik, kuliah, dan rutin seharian.

Peluang berborak sebegini ternyata membawa kami kepada satu topik yg takkan pernah lari daripada pertanyaan terhadap perkembangan dunia penulisanku.

" Macamana sekarang? Banyak menulis?Apa karya terbaru?" tanyanya
" Adalah tulis sikit-sikit. Tapi dah agak berkurangan kerana dah malas nak aktif sangat macam dulu. Nak berehat sekejap. Nak menyepikan diri. Lagi pun aku nak cuba-cuba buat novel lagi." kataku.
" Baguslah kalau macam tu. Em, Untung org macam kau. Boleh buat duit dengan menulis. MEsti kau kaya sekarang kan? Duit banyak. Ada la masyuk sikit. Boleh payung melancong ni. Rindu kenangan kita kat Kundasang dulu. Holiday ramai-ramai." kata rakanku tadi.

" Duit? Adalah dapat sikit-sikit. Tak kaya pun. Cuma untuk buat beli buku-buku atau tengok wayang bolehlah." jawabku sambil menyuakan pisang kapas yang ranum.
" Eleh...Aku dengar novel kau dah nak terbit. Ha, kayalah kau nanti. Boleh jadi macam Ahadiat Akashah. Boleh beli kereta. Ha, belanjalah aku nanti." katanya dengan senyum simpul.

" Hu..Hu...Tak boleh cakap lebih-lebih. Kena tunggu terbit dulu. Aku buat projek ni under lecturer aku. So, sekarang aku tunggu je bila novel tu nak terbit. Insyallah dalam tahun ni. KAlau laku, alhamdulilah. Kalau tak laku redha je la."

" Berapa banyak dia bagi down payment kat kau?"
" Adalah lebih kurang RM1***.**. Oklah tu. Bolehlah aku beli lap top. PC aku tu dah nazak beno dah.Asyik kelip-kelip je. Seksa aku dibuatnya. Tak boleh nak fokus menulis. Tapi dalam pada kelip-kelip tu, sempat jugak siap satu novel, 5 cerpen dan berpuluh sajak. Yelah, tu PC warisan akak aku. LAma punya model Windows ME. Rem pun 64MB je. Hu..hu.."

" Ala, oklah tu. Kan kau dah dapat duit. Hm,aku pun nak menulislah. Dapat jugak duit-duit tepi. Boleh belanja awek aku makan. Belikan di handphone baru. Mesti lepas tu dia akan sayang gile kat aku" katanya sambil disusuli ketawa yg berdekah-dekah.

Aku hanya berdiam diri. Kalaulah semua penulis seprti rakanku ini, apalah yg terjadi? Menulis kerana wang!Fungsi karya itu sendiri akan lari daripada landasannya sendiri iaitu sebagai wadah untuk manusia berfikir. Aku akui, habuan dan honorarium itu sangat penting, tetapi ada sesuatu yg lebih penting yg perlu difikirkan oleh penulis. APA NIAT ANDA MENULIS? Kalau niat mahu jadi kaya raya, silaka...tetapi anda bukanlah manusia yg diperlukan. Kalau niat ingin berkongsi pemikiran dengan orang lain, juga silakan. Dan anda adalah setulen-tulen sasterawan..

Tuesday, August 26, 2008

PERMULAAN SUATU PERUBAHAN

Lewat malam tadi, bertalu-talu SMS yang aku terima daripada rakan-rakanku yang memaklumkan kemenangan DSAI pada pilihan raya kecil Permatang Pauh malam tadi. Dengan majoriti undi hampir 60%, kememnangan inis emamangnya sudah dijangka kerana Permatang auh merupakan kubu kuat PKR sejak 1999 dan sememangnya sejak 1982 lagi tempat itu menjadi kerusi empuk bagi DSAI.

Aku bukanlah seseorang yang terlalu fanatik terhadap DSAI, tetapi beberapa gagasannya padaku amat bersesuaian dengan jiwa dan hatiku, lebih-lebih lagi hasratnya yang mahu mengembalikan kedaulatan bahasa ibunda ke tempat yang sepatutnya.
Padaku, perkara ini yang penting. Aku tak pernah terfikirkan soal kuasa, kemapanan ekonomi, atau kebijaksanaannya menarik pelabur asing ke negara ini, kerana padaku, selagi ada manusia, selagi itulah kuasa akan terus menjadi boneka kita. Bukankah kita sebenarnya diciptakan sebaik-baik makhluk dan nkerana itu kita mampu mempermainkan kuasa, atau dengan kuasa, kita bisa mempermainkan.

Hasratku cuma satu. Semoga dengan kembalinya Anwar ke Parlimen, kita akan dapat melihat perubahan dalam sistem dan taraf bahasa ibunda kita yang kian ditidakkan fungsinya oleh pihak berkuasa. Semoga dengan kembalinya Anwar ke parlimen, kita akan melihat satu perubahan yang bertitik tolqak dari satu permulaan yang payah, resah, dan diburu rengsa gelisah!

SAAT SEGALA HITAM MENJADI PUTIH

Saat warna biru menyuruhku membancuhnya
bersama merah menjadi ungu
aku tahu itu satu likatan helah
yang menjadikan mereka luntur
menjadi warna-warna lain yang kabur.

Hitam memintaku menjadikannya putih
dalam sebancuhan cangkir yang persih
kemudian kataku
"kau takkan menjadi putih
kerana kau hitam yang legam
manakan bisa putih
mampu meneggelam"

Hitam merajuk rasanya
lalu bermanjaan bertanya:
"Apa dibeza antara kita warna warna?
Bukankah kita akhirnya diperlukan pelukis
untuk mencatan sebingkai lukisan dan garis?"

ZULFAZLAN JUMRAH
Universiti Malaya,
27 Ogos 2008

Sunday, August 3, 2008

BUKAN HARI YANG INDAH


Sebanyak kira-kira 50 SMS yang aku terima sejak tepat jam 12 malam 4 Ogos tadi sehinggalah ketika aku mula menulis entri ini. Kebanyakannya daripada rakan-rakan di kolej, sekelas, dan beberapa rakan penulisku. Malah, di peti mel juga agak hebat. Aku menerima emel daripada beberapa rakanku di luar negara seperti Sameer (sedang bercuti di Singapura), Chynta di Jakarta dan beberapa rakanku di Prince of Songkhla Universiti. Terima kasih kalian kerana memaknakan hari lahirku ini dengan ucapan-ucapan yg indah sekali.




Aku kembali merenung ke dalam diri. Pada usia yg kian menajak 22 tahun ini, aku sedar bahawa kematangan kian meluru dalam setiap sendi diri. Ah, manakan begitu mudah untuk aku meninggalkan segala-galanya di usia remaja dan kanak-kanakku. Padaku, usia remaja dan kanak-kanak ialah waktu terindah dalam hidup. Tanyalah kepada sesiapa pun. Tapi bila kita semakin dewasa, kian pandai bergaul dgn masyarakat, dan terpaksa pula melibatkan diri dgn kepayahan dunia, ia bukanlah waktu yg baik untuk dikenang. Apa pun, semua itu cabaran dan dugaan. Bersempena hari lahirku yg ke-22 ini, aku tahu perjalananku semakin payah. Tuhan, andai kepayahan itu mendekatkan aku dengan-Mu, berikanlah kepayahan itu melebihi segala waktu dan kesenanganku di denai perjalanan ini. Zulfazlan Jumrah, 4 Ogos ini, bukanlah hari yg indah lagi buatmu. Masih banyak yg perlu kau renungi selalu!

Sunday, June 29, 2008

SECAWAN CAPPUCCINO DAN SEPIRING KENTANG GORENG DI OLD TASTE WHITE COFFEE

Bagai ada debaran yang tercipta pada petang tadi, sebaik pertemuan yang pada awalnya hanya dirancang 'main-main' oleh kami, tetapi akhirnya membawa kami kepada satu sesi pertemuan yang 'meriah' dengan aneka suara yang riuh rendah di Old Taste White Coffee.

Aku mengenali Suzana sejak kami sama-sama menjadi 'terejal' di sekolah teknik dulu. Kami sekelas, dan selama 2 tahun kami berada di sekolah teknik Batu Pahat, agak banyak kenangan yang sempat kami ciptakan bersama-sama apatah lagi dia merupakan salah seorang AJK di asrama sepertiku.

" Pelik betul aku tengok kau ni. Dulu, bukan main beria-ia lagi belajar civil engineering kat Teknik. Kaulah anak murid kesyangan Tn. Hj Bahanin. Cikgu Kamaliah pun suka kat kau. Setiap kali ada amali, aku tengok hasil kerja kau yang selalu dapat pujian. Tapi, bila aku dapat tahu kau ambik Pendidikan, then jadik orang sastera, aku rasa macam nak tergelak sampai pengsan. Ha..Ha.. Kau ni poyo la. Dah join line-line budak-budak jiwang pulak."





Aku cuma mampu tersenyum, sambil aku mencicip Cappuccino yang kupesan tadi. Suasana di sini agak permai; tidak terlalu riuh, tidak juga terlalu sepi. Dan sebenarnya aku gemarkan keadaan seperti ini, sama saja seperti mana aku menikmati Expresso Solo di Starbuck sama ada di Bangsar atau di sebelah Plaza Kota Raya berhampiran Puduraya. Suzana masih cuba memperlekehkan aku, walau nadanya lebih terjurus bergurau sebenarnya. Namun sejujurnya aku sedikit pun tidak terasa hati lantaran sudah lali dengan kata-kata yg sering mengguris hati begini.

" Come onlah Lan. Kau menulis ni, berapa sen sangat yg kau dapat? Ada seribu dalam sebulan? Takde,kan? Pada aku orang sastera ni poyo. Korang dengan dunia korang je. Berkhayal! Pandai susun ayat-ayat manis, tapi golongan yg baca hasil karya korang ni berapa kerat sangat? Kalau ada pun golongan-golongan korang gak. Member sama member je. Ha..Ha.." Ketawa Suzana masih galak.

Aku masih cuba memujuk hatiku agar terus tenang. Kalaulah tak mengenangkan Suzana adalah kawan karib yg paling banyak membantu aku ketika menjadi AJK di asrama dulu, sudah lama aku menghambur hujah untuk menegakkan pendirianku. Apa? Salahkah aku menjadi seorang penulis? Kalau pun masih tak layak bergelar penyair, apatah lagi seorang sasterawan, sekurang-kurangnya aku menulis dengan niat yang jujur.

Ikhlas aku katakan, duit hasil royalti yg aku dapat tak pernah sekali pun aku gunakan pada perkara yg sia-sia. Aku menggunakan duit itu untuk membeli buku-buku sastera, melanggan majalah Dewan Sastera, Membeli novel-novel rakan penulis, berkelana mencari ilham, memberi kepada mak dan ayah (selalunya mereka menolak kerana mereka bukan pernah merestui penglibatanku di dalam bidang ini dan percaya atau tidak bahawa mereka tidak pernah membaca karya-karyaku) atau setidak-tidaknya membeli makanan untuk lima ekor kucing kesyanganku (Uno, Aslan, Itam, Memel dan Putih)


" Lan, aku nak tanya kau. Selama kau menceburi dunia sastera yang sempit ni kan, dah berapa banyak duit kau dapat?"
" Tak banyak. Adalah sikit. Tapi aku puaslah sebab aku ada menyumbang dalam dunia sastera Melayu ni walaupun dunia ni tak sebesar dan seglamour mana."
" Look! Kau dah tau kan yang bidang ni takde masa depan? So, kenapa kau masih nak bergelumang lagi dalam bidang ni? Wei, better kau join keje macam aku la. Aku banyak dapat tender untuk projek designer under company bapak aku. Lumayan tu takde la sangat, tapi lagi lumayan daripada apa yang kau dapat dengan menulis. Em, aku leh accept la kalau ko jadik cikgu. Tapi jangan la tulis benda-benda yg sastera ni. Kau ingat ada orang nak baca ke? Tengok tajuk je dah tau cerita tu boring. Entah apa-apa. Poyo. Dah tu nak main-main bahasa pulak. Berbelit-belit macam keling. Tak straight to the point!Ha, kalau nak tulis novel pun, buat la macam novel ahadiat akashah. Baru la ada orang nak baca. He..He.."

Tak lama selepas aku 'dibasuh' teruk oleh Suzana, kentang goreng yg kami pesan pun sampai.
" Makan-makan. Aku belanja kau. Dulu masa kat Teknik kau selalu simpankan makanan untuk aku kalau aku lambat sampai hostel,kan? Kalau aku tak sihat pun kau selalu tapaukan makanan untuk aku. Jadi kali ni biar aku belanja kau makan. Lagi pun kita ni susah nak jumpa,kan? Aku busy keje lak tu.."

Aku cuma mengangguk saja. Dalam hati, sebenarnya agak tawar hati ini untuk meneruskan perbualan. Apalah ertinya bertemu kalau dia hanya mahu memperlekehkan aku dan dunia sasteraku yg tak siapa pun tahu? Aku memang tak kuasa nak melayan org2 yg selalu merendah-rendahkan dunia sastera. Dan walau rakan-rakan di PBMP mengutuk dunia sastera tanah air kita pun, aku terus menjarakkan hubunganku dengannya. Malas nak layan!

Pertemuan kami hampir tamat pada kali ini apabila aku meminta diri kerana aku masih belum solat asar. Dan sesuatu yg tak disangka-sangka telah berlaku.

" Lan, kau ada duit tak? Kau bayar dulu harga Cappuccino dengan kentang goreng kita ni. Wallet aku tertinggal kat rumahlah."

Aku tersenyum sinis memandang Suzana yang mukanya sudah setebal lima inci. MErah padam kerana malu. Dan, berbekalkan wang yang baru aku terima hasil tulisanku di ruangan Mahasiswa Menulis di KOSMO! sebulan yang lalu, aku membayar harga makanan kami berdua. Harap-harap Suzana akan mengerti bahawa duit yang aku peroleh melalui penulisan ini telah merobohkan tembok keegoannya hari ini..

Suzana, harap-harap suatu hari nanti kau bisa mengerti betapa dalamnya cintaku pada dunia sastera ini...