Monday, October 20, 2008
KEDINGINAN TEH TARIK DALAM KEHANGATAN PESTA KONVOKESYEN
Semalam, setelah otakku tepu menelaah nota subjek Teknologi Pendidikan, aku lantas menapak ke Dewan Besar untuk sama-sama meraikan seorang rakanku, Kimi yang baru saja selesai berkonvokesyen. Kedatangan aku dan Sabtu, sebenarnya lebih kepada tujuan sokongan moral, kerana Kimi merupakan senior di blokku dan antara insan yang banyak mengambil berat tentang pelajaran, tugasku di kolej dan universiti, dan lebih-lebih lagi dunia penulisanku. Malah, Kimi antara orang terawal yang akan mengkritik setiap karyaku sama ada di majalah atau akhbar. Pernah satu ketika, cerpenku yang bertajuk 'Warkah Melankolik Dari Melbourne' dikritik teruk kerana padanya cerita itu biasa dan tidak sehebat cerpen-cerpenku yang sebelum ini.
Selesai sesi konvokesyen, kami bertiga melepak sambil meminum teh tarik di gerai-gerai yang banyak didirikaan di sekitar tapak ekspo. Setelah teh yang kami pesan sampai, perbualan kami terarah untuk berbincang tentang topik yang relevan.
" Lepas ni, mesti dah susah nak melepak macam ni kan?" tanyaku kepada Kimi.
" Kenapa pulak?" Tanya Kimi.
" Yalah. Kau dah nak posting ke Sabah. Lepas ni dah susah nak datang ke UPM. Apatah lagi nak melawat FPP, Kolej, lagilah susah. Kalau balik pun, kau mesti balik Kelantan kan?" dugaku.
" Ya, kalau ikutkan memang macam tu la. Aku dah makin susah nak balik ke sini. Lepas ni, tugas aku lebih berat. Kau tahu je la. Sabah tu bukan dekat. Nak balik sekali setahun pun susah." balas Kimi.
Aku mengangguk. Benar, tugasnya lepas ini lebih berat. Tapi, dengan kredibilitinya, aku percaya yang dia mampu melakukannya, sekurang-kurangnya dia mempunyai karisma yang sangat diperlukan oleh seorang guru.
Teh tarik yang kami pesan masih belum terusik. Agak sedikit dingin, kerana cuaca agak mendung ketika ini. Barangkali lima hingga sepuluh minit nanti hujan akan turun. Renyai gerimis sudah mula meluruh dalam dingin petang yang kian mencengkam, namun masih dipeluk kehangatan konvokesyen yang riuh.
" Tapi Lan, kau tak pelik ke. Kadang-kadang, budak yang score pointer bagus, belum tentu dapat jadi cikgu yang bagus. Belum tentu dapat pikul amanah yang diberi tu. Tak ada jiwa sebagai seorang pendidik. Seorang pendidik itu dilahirkan memang untuk menjadi seorang pendidik. Bukan dibikin daripada satu program selama empat tahun. Program empat tahun ni sebagai latihan saja. Untuk memantapkan jiwa, roh dan jasad untuk menjadi seorang pendidik anak bangsa."
Aku terkesima mendengar kenyataannya. Benar, seorang pemimpin itu dilahirkan dengan jiwa, roh dan jasad. Sudahnya, seusai perbincangan kami itu, teh tarik yang kami pesan telah dingin, tanpa sempat kami menghirupnya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment