Friday, April 23, 2010

SAYA PILIH ZAID

Malam tadi, saya menerima SMS daripada seorang rakan lama yg jarang-jarang saya akrabi. Kami berkenalan ketika sama-sama dijemput untuk menyertai Simposium Wanita Islam Kontemporari anjuran Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat kira-kira tiga tahun dulu. Sejak dulu lagi kami sering berbalah pendapat dan perbalahan pertama kami adalah berkaitan isu feminisme yang digagaskan oleh Elaine Showalter. Sebagai penulis yang memancang fahaman gainokritik Showalter dan gagasan feminis Barat, ternyata ia bukan cara terbaik untuk kami berdamai.

SMSnya kira-kira berbunyi begini: “ Macamana? Ko g Hulu S,gor,kan ari tu? Ok tak kempen kitorang? Ada can tak BN menang? Aku bertungkus-lumus tolong jentera BN kali ni. Harap-haraplah menang supaya BN mampu membawa perubahan kepada penduduk S,gor.”

Saya membalas SMS beliau: “ Ada pegi masa penamaan calon hari tu. ok jugaklah. Cuma kena perhebat lagi kempen.esok last day utk berkempen,kan? Lagi pun calon PR Dato’ Zaid tu Mr. Clean.”
Rakan saya tadi membalas: “ Mr. Clean? Maksud ko?aku tak paham.”
“ Mr. Clean. Aku nampak keikhlasan dan kejujuran dia. Mana ada pemimpin lain yang nak mengaku pernah minum arak dan bertaubat. Ada? Dato’ Zaid terang2 mengaku dia pernah minum arak dulu, tapi sekarang dah taubat. Ada pemimpin lain buat gitu? Mengaku kesilapan sendiri secara terbuka? Aku percaya, keikhlasan sebegini yg mampu pikat hati pengundi. Pengundi skarang dah bijak bro..”

Rakan saya tadi langsung tidak membalas kiriman SMS saya tadi. Entahkan marah, entahkan menyampah atau pun barangkali sibuk menyiapkan jentera pilihanrayanya.

Secara peribadi, saya melihat situasi ini sebagai sato lonjakan perubahan. Kita memerlukan pemimpin yang adil, telus, bebas dan berani atas nama kebenaran. Dato’ Zaid, meski saya hanya pernah bertemu dengannya sekali (itu pun tengok dari jauh) ketika menghadiri hari penamaan calon, saya melihat keikhlasannya untuk berbakti kepada rakyaat. Dan lihatlah betapa tenangnya beliau mengakui kesilapan lampau secara terbuka. Pemimpin yg adil seharusnya begitu.

Antara sebab lain ialah, saya melihat beliau tidak menggula-gulakan rakyat dgn hamburan wang ringgit, kemewahan, ganjaran semata-mata mahu memancing undi. Beliau lakukannya cukup pada kadarnya dan keikhlasan serta kesungguhannya merupakan senjata yg ampuh bagi menghadapi pilihan raya kali ini. Rakyat pada hari ini tidak bodoh. Mereka sudah bijak menilai wakil rakyat yang mana mereka akan pilih. Memetik kata-kata DSAI “ kita memerlukan Zaid di Parlimen untuk menguatkan lagi suara rakyat yang mahu melihat sebuah kebenaran dan mencabar kepalsuan.”

Secara peribadi, saya memilih Dato’ Zaid Ibrahim sebagai pemenang pada pilihanraya kali ini.

HIDUP RAKYAT!!!

Monday, April 12, 2010

SIMPULAN BAHASA

Arahan: Sila tuliskan ayat di ruang komen.

PENJODOH BILANGAN

Arahan: Sila tuliskan ayat anda di ruang komen.

Wednesday, April 7, 2010

SETIAP HARI KUPUNYAI JEDA WAKTU

SETIAP HARI KUPUNYAI JEDA WAKTU

Bagaimana kumahu
setiap hari kupunyai jeda
agar bisa kuselak akhbar berita
menatap kepalsuan yang membungkus dunia
dengan rasa gundah seribu
dan rintih hati yang pilu.

Bagaimana kumahu
setiap hari kupunyai jeda waktu senggangku
agar sempat kujamah rempah dunia
aneka kisah ragam cerita
suka, duka, tangis dan tawa
kerana semalamnya
aku berlarian menghambat dunia
tanpa rehat meski sejeda
ripuh laku runsing melanda.

Bagaimana kumahu
setiap hari kupunyai jeda waktu
agar kubisa meneguh amalan diriku
pada-Mu Rabb di sejadah baruku
tahmid dan tasbih lafaz di kalbu
basah lidah memuji kabir-Mu
dalam istighfar taubatku
yang terkuak di pintu waktu.

ZULFAZLAN JUMRAH
Batu Berendam,
Melaka.

Friday, February 12, 2010

SEGALANYA; YANG PERNAH SAYA LADENI DI SINI




Kalaulah ditanya, zaman apakah yang paling seronok dan bermakna dalam hidup saya, saya akan mengatakan bahawa zaman akhir remaja dan awal dewasalah yang paling seronok untuk dikenang. Hari ini, merupakan hari terakhir saya menjejakkan kaki di Fakulti Pengajian Pendidika (FPP) setelah empat tahun menjadikannya sebagai rumah kedua saya selepas kolej selama saya bertualang menimba pengalaman di sini.




Beberapa jam yang lepas, kami baru saja menamatkan peperiksaan akhir kertas undang-undang keluarga Islam. Jujur, air mata saya asyik bergenang sepanjang menjawab soalan tadi. Kerana beberapa minit yang lepas, saya ada berbual dengan seorang teman yang tidak kurang akrab dengan saya. Entah mengapa, emosi kami terusik dan tanpa sedar, air mata berlinangan ke pipi.



Barangkali ada yang mengatakan saya gembeng, cengeng, sensitif dan apa saja perkataan yang seerti dengannya, tetapi katalah apa saja, kerana saya kenal siapa diri saya. Saya akrab dengan perasaan saya. Penyair memang begitu. Mempunyai tahap sensitiviti yang tinggi, sentimental dan nostalgik. Inilah perubahan yang saya alami sejak bergelumang di dunia yang satu ini.



Namun, ada sedikit rasa terkilan di hati saya. Di hari akhir saya di UPM ini, (Ahad ini saya akan pulang ke Johor, dan entah bila lagi saya akan kembali ke sini)saya tidak berpeluang mengucapkan salam perpisahan kepada dua insan yang sangat saya akrabi dan sanjungi di UPM ini. Insan tersebut tidak lain dan tidak bukan ialah pensyarah dan mentor saya iaiti Tn. Hj. Naffi Mat dan Tn. Hj. Shamsudin Othman. Saya ada menjengah ke bilik mereka kira-kira jam 11.30 pagi, namun sayangnya mereka tidak ada di bilik.



Hasrat saya cuma satu. Mahu bersalaman, bermaafan dan berpelukan dengan mereka lalu mengucapkan salam terakhir sebelum saya meninggalkan kampus hijau yang benar-benar bermakna ini. Apa boleh buat, barangkali bukan rezeki saya untuk mengucap salam perpisahan itu. Mudah-mudahan ada kesempatan untuk bertemu dengan mereka kelak.

Hari ini saya menghabiskan masa senggang dengan bernostalgia di bilik. Mengingati segala memori yang pernah terukir di sini. menyoroti derap dan langkah kaki ini. Mengenang segalanya yang pernah saya ladeni di sini. Apakah perasaan saya ketika ini? Sayu? sedih? hiba? duka? nestapa? lara? Entahlah. Saya sendiri tidak pasti. Yang saya pasti, saya hanya ada kira-kira 48 jam sebelum saya pergi membawa diri bersama-sama dengan segala kenangan yang pernah saya ciptakan di sini.



Segalanya cukup indah! Pensyarah, teman, sahabat hatta musuh sekali pun, merencami perjalanan saya sepanjang saya di sini. Di sinilah saya mengenal aneka topeng manusia, hambatan segala urusan dunia, pengajaran dari khilaf dicipta, musun dan taulan yang sukar dibeda, juga yang paling terkesan adalah seraut cinta yang luka!

Demi masa dan Tuhan yang mengaturkan segala-galanya, semua ini adalah rentetan perjalanan yang cukup indah buat saya. Bukan satu jalan penamat, tetapi selorong perjuangan yang baru saja hendak bermula! Tuhan, terima kasih di atas segala-galanya. Buat teman-teman, terima kasih kerana memberi ruang kecil dalam hidup anda untuk membenarkan saya menumpang di sudut kenangan.

Sunday, January 3, 2010

MENULIS HAIKU: PEMPROSESAN ILHAM YANG BERCEMPERA SERIBU




Amat jarang sekali saya membuat ulasan dan hebahan di blog apabila karya saya tersiar di media. Hal ini kerana, saya memegang satu prinsip bahawa apabila karya kita "diserahkan" kepada umum, maka karya itu sudah menjadi milik masyarakat. Masyarakatlah yang akan menilai karya itu, sama ada untuk mengiktibarkannya, mengabaikannya, mengkritiknya, menyimpannya, mempopularkannya atau boleh jadi juga menyembunyikannya.



Namun, karya saya bertajuk "Haiku Anak Bangsa" yang tersiar di Berita Minggu semalam, benar-benar membuatkan saya teruja untuk mengulas serba sedikit tentangnya kerana ia merupakan sejenis puisi yang amat jarang sekali dicipta oleh penyair-penyair di Malaysia. Mengenang perkara ini, saya teringat kembali peristiwa 2 bulan yang lalu. Dua bulan yang lalu, tidur lena saya dikejutkan oleh suara Ahmad Fedtri Yahya yang mengacarakan rancangan MHI di televisyen. Saya yang ketika itu masih terlayang, antara sedar dengan tidak, lantas membuka mata seluas-luasnya, meski kantuk masih memberat di birai mata usai solat Subuh tadi.



Saya terjaga kerana ketika itu Ahmad Fedtri Yahya sedang membicarakan tentang Haiku, sejenis puisi klasik Jepun yang saya cuba untuk memesrainya setelah saya menganalisis soneta melalui karya-karya Shakespeare, Ghulam Sarwar Yousuf, Henry Howards dan Edna St. Vincent Millay.Haiku adalah puisi pendek yang mempunyai beberapa peraturan. Puisi ini terdiri dari 17 suku kata dalam kombinasi 5-7-5, iaitu :

5 suku kata pada baris pertama
7 suku kata pada baris kedua
5 suku kata pada bari ketiga.

Benar, mencipta Haiku bukanlah sesuatu yang mudah, kerana kita akan menemui pelbagai kesulitan terutamanya dalam usaha membentu suku kata pada setiap baris, pada masa yang sama maksud yang kita cuba sampaikan itu jelas dan nyata.

Selain kombinasi suku kata 5-7-5 ini, kombinasi 5-5-5, 5-6-5, 5-7-4, dan 5-8-5 juga boleh dikategorikan sebagai Haiku. Mencipta Haiku bukanlah satu kerja mudah. Saya, malah menyimpan dua belas draf Haiku Anak Bangsa ini di telefon bimbit saya (tidak lagi menggunakan kertas, saya memanfaatkan aplikasi "notes" di telefon bimbit saya). Saya mengeditnya berpuluh-puluh kali sekiranya ada waktu terluang, dengan tekun sejak dua bulan yang lalu. Sejak dua bulan yang lalu, inilah yang saya kerjakan. Ada perkataan yang dipilih, dibuang, dimasukkan semula, pembinaan draf baru, pemilihan danpertukaran tajuk, pemilihan diksi dan perkataan, kesamaan rima dan yang lebih rumit apabila terpaksa kembali ke peringkat akar umbi, untuk melihat falsafah sajak ini secara keseluruhan. Sungguh, menulis Haiku adalah satu proses memerah dan memeram ilham yang bercempera seribu. dalam berbilion perkataan dalam Bahasa Melayu, hanya beberapa perkataan dipilih dan ia akan diterjemahkan dalam susunan suku kata yang terikat serta kesinambungan rima yang sama tanpa meminggirkan aspek falsafah dan mesej yang cuba disampaikan.

Di sini, saya perturunkan sepenuhnya Haiku tersebut, semoga ia bermanfaat kepada sesiapa sahaja yang mahu mengkaji kuasa kata-kata dan mencintai apa yang dinamakan permainan bahasa dan aksara.

HAIKU ANAK BANGSA

A/nak /bang/sa/ku,
pa/dam /ba/ra /ha/ti/mu,
se/di/ngin /sal/ju.

A/nak /bang/sa/ku,
si/ra/mi/lah /bu/di/mu,
su/bur /se/la/lu.

A/nak /bang/sa/ku,
te/ra/ngi/lah /da/da/mu,
i/man /di /kal/bu.

A/nak /per/ti/wi,
hi/dup /bi/ar /mem/be/ri,
a/ma/lan /di/ri.

Me/ne/ri/ma/lah,
se/ga/la /ra/sa /pa/yah,
ti/a/da /gun/dah.

A/nak /bang/sa/ku,
yang /per/lu /eng/kau /ta/hu,
u/sul /di/ri/mu.

ZULFAZLAN JUMRAH
Kuala Lumpur.

Thursday, December 17, 2009

SAYAP HIJRAH IV



SAYAP HIJRAH IV

Akulah sang sandera
yang terpasung di jeriji penjara
saat angin hijrah menerpa
menyelinap di dinding jiwa.

Anugerahkan aku sayap, Rabb
meski aku belum tahu terbang
walau menderu taufan nan terjang
berpuing dan menghilang
di benteng taubatku yang panjang
tanpa segesit imani yang terang.

Sayap hijrah ini
meski kudambakan setiap hari
laksana bias jalur pelangi
ia datang dan selalunya pergi
tanpa mampu aku miliki
sepasang pun
di jemala diri ini.

ZULFAZLAN JUMRAH
Bandar Tun Razak,
Kuala Lumpur.