Sunday, June 12, 2011

MENGENANG T.ALIAS TAIB 2



Cuti persekolahan selama dua minggu saya manfaatkan semahunya. Seminggu saya penuhi dengan memenuhi undangan walimatul urus teman-teman yang sudah menamatkan zaman bujang (ramai yang tanya, saya bila lagi), di sekitar Perak, Kelantan, dan Terengganu, manakala seminggu lagi saya ripuh menyiapkan tuntutan tugasan sekolah dan mengurung diri untuk menulis.

Ketika di Terengganu, kebetulan walimatul urus teman akrab saya diadakan di sebuah kampung di Seberang Takir. Entah mengap, menjejaki tempat ini, saya dihurung perasaan gundah berbaur tenang, rindu pada sesuatu yang telah hilang, dan teruja bercampur riang.

Seberang Takir - tempat lahirnya seorang penyair yang boleh saya sifatkan sebagai idola saya iaitu Allahyarham Tengku Alias Taib (T. Alias Taib, atau saya lebih gemar menggelarnya Pak Engku)di mana sejujurnya saya menjadi 'kuat' untuk menulis kerana karya-karyanya.



Syukur, pada hari ini, puisi yang saya nukilkan setelah terkesan dan mendapat 'roh' daripada proses bernostalgia di Seberang Takir selama beberapa hari disiarkan di akhbar Mingguan Malaysia.

Saya sangat mengagumi Pak Engku. Meski tidak pernah bersua muka dengannya, saya mengenalinya melalui himpunan karya yang segar, kritis, ekstrem dan jujur. Sejujurnya, saya tidak malu untuk mengakui bahawa saya menjadi sebak apakala membaca tulisan-tulisannya sama ada dalam bentuk puisi, cerpen atau rencana.Saya menghabiskan masa selamat tiga tahun sedaya upaya mencari koleksi himpunan rencananya 'Di sisi Pelita Minyak Tanah' sehinggalah berjaya membelinya melalui mudah.my daripada seorang wanita.

Seorang penulis mempunyai pasang-surut semangat untuk menulis. Perkara itulah juga yang terjadi kepada saya. Apabila saya hilang semangat untuk menulis, saya akan membelek-belek kumpulan puisi beliau untuk mencari kekuatan dan semangat untuk menulis. Alhamdulilah, entah mengapa semangat itu akan hadir apabila saya meratah kumpulan puisi beliau.

Rencana beliau yang paling saya gemari sudah semestinya 'Di Sisi Pelita Minyak Tanah' yang pernah disiarkan di Dewan Sastera, sebelum dibukukan dalam himpunan rencana yang menggunakan judul yang sama.Membaca rencana jujur itu, saya menjadi sebak. Betapa penyair agung ini mempunyai kerendahan diri dan hati yang tiada tolok bandingnya. Segala pengucapannya bersifat sederhana, jujur, ikhlas dan tidak nampak unsur-unsur kemegahannya meski telah merangkul berbondong anugerah di persada kesusasteraan tanah air.

Beliau tidak malu berkisah tentang zaman kanak-kanaknya. Seorang anak miskin yang sarapan paginya hanyalah beberapa ketul ubi rebus, menaiki basikal Robin Hood ke sekolah, sambil dihantar oleh ibunya yang melihat di jenang pintu dengan linangan air mata.

Saya mengagumi semangat menulisnya. Kesungguhannya terpamer apabila beliau pernah menyatakan bahawa proses menulis puisi pada beliau bukanlah perkara remeh. Antara ayatnya lebih kurang begini:
' Bukan tidak pernah, saya duduk di meja tulis selama 8 jam dan meninggalkan meja tulis dengan kertas yang masih kosong'.

Dalam mengagumi beliau, saya masih berasa ralat kerana saya masih tercari-cari kumpulan puisinya 'Petang Condong' dan 'Laut Tak Biru di Seberang Takir' yang masih belum saya temui. Saya pohon, jika ada yang mempunyai kumpulan puisi ini, bolehlah maklumkan kepada saya. Saya sanggup beli walau berapa pun harganya.

Di sini, saya perturunkan puisi saya yang disiarkan di Mingguan Malaysia sepenuhnya. Buat Pak Engku, Al-Fatihah.

KALA SEBERANG TAKIR DIJABAT SUBUH
(Mengenang T.Alias Taib)

Kala Seberang Takir dijabat subuh
pawana dingin merangkul tubuh
tika pantai Ketapang berombak gaduh
dan laut perasaanku beriak keruh.

Mengenangmu, tuan
pada bayang waktu silih bergantian
aku sang pemudik tanpa dayung di tangan
ingin sekali berenang ke tepian
menziarahi tanjung puisimu, tuan
tulus pendedahan sarat pengalaman
jujur menunjuk sinis mengajuk
serimba hutan kata-kata
adalah setaman inderaloka
menyebar fikir buat yang alpa
mendacing pertimbangan fana
hati bersalut lumpur di muara.

Di sisi pelita minyak tanah
kala Seberang Takir dijabat subuh
aku menggagau mencarimu tuan
di Petang Condong di Pasar Pengalaman
di astaka Opera lelucon mengasyikkan.

Dengan Seberkas Kunci di tangan
juga pendakian Piramid di puncak persaingan
telah bertahun ralit kusuburkan
benih mahakaryamu di perbatasan zaman
berbaur rencah pengertian persoalan.

ZULFAZLAN JUMRAH
Seberang Takir,
Terengganu.

Thursday, April 7, 2011

BERHENTI MENULIS



Sudah terlalu lama rasanya saya tidak meletakkan apa-apa entri di blog saya ini. Bersesuaian dengan kegilaan manusia pada hari ini dengan satu 'penyihir' bernama facebook, maka saya kira blog sudah kian terpinggir (barangkali ada yang tidak bersetuju dengan pendapat saya ini).

Pada hari ini, saya kembali menulis di blog NAKHODA BANGSA ini lantaran terasa sangat terpanggil dan kebetulan saya mempunyai sedikit jeda senggang untuk membuka blog saya ini (rupa-rupanya saya hampir terlupa password blog sendiri).

Sejak 4 bulan yang lalu, saya telah memasuki dunia pekerjaan baharu. Ya, dunia pekerjaan baharu sebagai seorang pendidik anak bangsa ternyata seperti sudah ditakdirkan buat saya. Dunia inilah yang selama ini hanya saya perhatikan dari luar, dunia yang melalui pembacaan saya di media massa kononnya sarat pancaroba serba,dikhabarkan orang penuh politik jumudnya, atau boleh jadi juga sebuah entiti yang melahirkan pejuang dan perosak bangsa dan negara.

Saya ditakdirkan mengajar di sebuah sekolah di Kuala Lumpur yang 98% pelajarnya berbangsa Cina. Firasat awal saya, saya perlu berbangga kerana saya kira di sinilah peluang untuk saya mendidik anak bangsa lain agar mencintai Bahasa Melayu yang kian dianaktirikan di negara sendiri.

Saya kira, inilah peluang yang perlu saya buka seluas-luasnya agar saya mampu mengajar mereka keindahan metafora dan simile kata, atau sesekali berpantun seloka sambil mengisahkan kepada mereka tentang semenanjung emas yang kita diami bersama.

Saya sering mengharapkan, agar saya bisa membawa mereka menerokai dunia perdebatan dengan petah bicara, memerah fikiran mencipta pantun dengan menyusun rima,atau berpuisi di teduhan pohon ketapang di pinggir kelas sampil menikmati terpaan pawana.

NAMUN, SAYA TERLEWAT!

Tanpa sedar, rupa-rupanya mereka sudah lama membunuh minat mereka terhadap bahasa melayu. Ada antara pelajar saya yang sudah berada di tingkatan 4 masih merangkak membaca petikan yang ditulis di dalam bahasa Melayu. Ada juga antara mereka tanpa silu dan segan menyatakan guru-guru Melayu bukan pilihan. Ada antara mereka mengatakan kami hanyalah tempelan. Ada antara mereka yang tanpa bersalah mengatakan mereka terpaksa belajar Bahasa Melayu dengan semput dan lelah.

Apa yang saya rasa?
Boleh saja saya mendiamkan diri, tidak mempedulikan kata-kata mereka dan mengajar sambil lewa lalu setiap bulan menghabiskan wang gaji dengan berlibur di ibu kota.
Boleh saja saya masuk ke kelas sepuluh minit sebelum masa tamat, bersembang perkara-perkara lagha sambil mencuci mata, sebelum bersiul meninggalkan kelas yang marba.

Boleh saja saya mengambil cuti kecemasan, lalu bergoyang kaki di rumah menonton filem kegemaran tanpa pernah keadaan pelajar-pelajar di sekolah saya fikirkan.

Tetapi jiwa saya tidak membenarkan. Saya tidak mahu menjadi seorang guru, tetapi saya mahu menjadi seorang pendidik. Pendidik yang mengajar pelajar tentang betapa tingginya martabat ilmu yang perlu digali dengan sabar, tentang betapa payahnya cabaran yang mendatang andai kita tak bersedia mengharung gelombang, betapa sakitnya hidup tanpa ilmu andai kita hanya termangu..

Saya juga mahu berkongsi dengan mereka tentang sekelumit pengalaman yang berharga, atau sedikit kenakalan kelak dibayar padahnya, atau berhati-hati menyulam jerat cinta remaja yang selalunya menghancurkan mahkota teruna dan dara.

Namun, semua itu tidak dapat saya kongsikan dengan mereka. Di kelas, mereka bercakap bahasa ibunda mereka tanpa mempedulikan saya di depan yang kering tekak menyusun bicara dan pedoman kata. Buku diberi percuma tidak pernah dibawa apatah menyelesaikan kerja yang saya kira tidak sebanyak dan sesusah mana.

Perkara inilah yang menjadi tekanan buat saya. Saya sedih apabila setelah saya bermatian mengajar mereka dengan harapan menjadikan mereka manusia yang berguna, imbalannya tidak semulia yang saya sangka. Pada mereka, itu semua tidak berharga. Berikan saya pelajar yang kurang pandai, tetapi mempunyai motivasi yang tinggi untuk berjaya. nescaya dengan seikhlas hati saya akan mendidik mereka untuk mencapai kejayaan yang bermakna.

PErkara inilah yang menjadikan saya, tanpa sedar sudah 4 bulan tidak menulis walau satu sebaris puisi pun. Tanyalah kepada para penilis mapan, betapa seksanya jiwa jika kita tidak berada di dalam kondisi yang baik untuk menulis. Bakat saya seolah-olah sudah hampir terbunuh di sini! Adakah ini petandanya riwayat pena saya akan terhenti, atau barangkali hanya kesementaraan yang belum pasti?

Wednesday, July 7, 2010

SINIKAL SEORANG TEMAN LAMA DAN BUAH TANGAN TERBAHARU DI PTS



I

Saya kini berada di Salak Selatan, di rumah Fairus. Sebetulnya, rancangan saya mulanya ialah menemani Liza saya mendaftarkan adiknya bagi program Master di UPM. Ialah, orang Sabah, jadi mana yang sulit bagi mereka, kita di sini perlulah membantu dan meringankan mana yang patut. Selepas urusan pendaftaran selesai dan Liza selamat pulang ke KK, saya dan Fairus bercadang mahu ke Bukit Tinggi bagi menjalankan sesi brain stirming untuk projek antologi cerpen fiksyen fantasi PTS. Namun, entah di mana silapnya, si Fairus tiba-tiba demam dan sesi ini terpaksa diadakan di rumahnya ini saja. Tapi, pada saya tempat tak berapa sesuai. Rumah flatnya ini bising dan sesi ini tidak dapat berjalan dengan baik.

Pada hari Ahad lepas, saya menerima kiriman SMS daripada seorang teman lama yang berbunyi begini:
" Xde pon nama ko dalam HSKU? Kenapa karya ko xterpilih?".
Saya kemudiannya membalas kiriman SMSnya begini:" Takde ke?Hu..hu...takde rezeki la nampaknya.ala, aku tak kisah.dapat short list pun ok."
Dia kemudian dengan sinis menambah:" Hu..hu...rugi bro.kalau tak ribu-ribu gak ko dapat.boleh payung aku.tapi pelik la.ko dah bertahun menulis, tapi tak menang apa-apa pun.rugi la macam ni.baik ko kerja macam aku ni.daripada ko buang masa menulis, baik ko buat benda lain."
Saya tergelak membaca SMSnya dan mengambil keputusan untuk mengabaikannya.

Sejujurnya, saya menulis bukan mahu mendapatkan ganjaran dan imbuhan. saya menulis dengan jiwa dan fikiran saya.Kalaulah saya mahu menulis kerana wang, saya boleh saja menulis karya-karya erotik dan cintan-cintun yang laku di pasaran. Dunia Penulisan adalah dunia pemikiran. Dunia yang akan mematahkan kesombongan dan keangkuhan manusia yang tidak dilapisi walau setipis iman. Saya tidak pernah peduli dengan ganjaran. Jika ada peluang untuk mendapat penghormatan,saya sangat menghargainya dan akan menerima dengan penuh kebanggaan. Ya, saya pernah mencalonkan karya untuk HSDT, tetapi itu hanya satu platform agar karya saya dikenali dan dipeduli.Bila dipeduli, karya saya akan dibaca. Apabila orang membaca, saya secara langsung telah membina budaya membaca dan berkongsi pemikiran dengan mereka melalui transformasi idea.Pada takat ini, barulah saya rasa tugas saya sebagai seorang penulis sudah berjaya.

Untuk apa saya menulis? Ya, saya menulis untuk dibaca. Apa guna saya menulis tulisan-tulisan berseni dan berkhutbah bagai, namun tidak ada orang yang mahu membaca? Kerana itu, saya memilih untuk menjadi sederhana. Di tengah-tengah dalam semua perkara. Pemilihan diksi dan laras bahasa.Saya mahu mengeksploitasi SENI UNTUK MASYARAKAT, bukannya SENI UNTUK SENI!

II



Dua hari lepas, saya dimaklumkan oleh adik saya bahawa salinan untuk penulis bagi novel terbaharu saya yang bertajuk CHRONICLE ALAM EPSILON terbitan PTS Fortuna Sdn Bhd telah selamat sampai di rumah. Ya, sejak mengikut abang bekerja di sana-sini saya jarang sekali balik ke rumah, lalu memustahilkan pelbagai urusan surat menyurat-menyurat kepada penerbit, teman-teman pena (ya, saya masih gemar mengutus surat dan poskad kepada rakan pena saya di Indonesia, Thailand dan UK). Saya memilih untuk menerokai pengalaman kerja baru seperti memasang wiring rumah, membantu urusan pindah rumah, kerja kontrak membancuh simen dan yang sudah pastinya kalian semua tidak percaya ialah saya mula menerokai kembali ilmu tentang kejuruteraan binaan setelah bertahun menjauhinya.

Berbalik kepada buah tangan terbaharu saya, ia merupakan satu karya kecil dan agak tergesa yang dihasilkan oleh saya. Sebuah novel fiksyen fantasi (saya kurang gemar dengan tag line super hero)yang hanya berhalaman 172 muka surat dan dijual dengan harga RM13.50. Saya mengakui, ada beberapa konsep di dalam novel ini (termasuk model kulit hadapan dan peta Epsilon yang ditiadakan)yang kurang saya setujui, namun saya masih tetap berbangga kerana ia diterbitkan oleh sebuah syarikat buku gergasi tanah air.

Inilah buah tangan terbaharu saya, selain karya di media arus perdana dan majalah.Saya berdikit-dikit menulis dan cuba memerah segala idea yang memerlukan saya berfantasi dan berimaginasi. bukan sedikit usaha saya untuk menyelami dunia ini. Saya membaca buku-buku epic masterpiece tulisan CS Lewis iaitu Narnia (menanti tayangan filem ke-3nya Disember ini yang bertajuk The Voyago of The Dawn Treader), Lord of The Ring karya JRR Tolkien, The Golden Compass karya Philip Pullman, menggeledah seluruh bandar melaka untuk mencari DVD Star wars yang diarahkan oleh George Lucas serta mengamati pertempuran hebat filem Troy yang dilakonkan oleh Brad Pitt.

Maka, barangkali novel ini terkena tempias dan aura karya-karya terbabit, meski pembaca akan mendapati bahawa teknik garapan naratif saya masih terlalu lemah (saya tidak hairan jika dikritik kerana ini adalah novel 'tergesa'). Apa yang saya harapkan kini ialah saya mampu mula menjalankan draf awal untuk bab bagi sekuelnya. Saya masih memikir-mikirkan sambungannya, namun saya tertarik untuk melanjutkan sengketa Bruno dan Martelotto dalam naskhah Epsilon kedua yang sedang saya peram di fikiran saya. Apa pun, terima kasih yang tidak terhingga kepada Pn ainon, Syafik Zulakifli,Amirul Ali, Dzulizah, Hazwan serta MF Kencana yang menjadi tunjang kekuatan novel fiksyen fantasi ini.Buat Pembaca, selamat menikmati pengembaraan Alam Epsilon dan kritiklah mana yang patut dikritik, agar hasilnya kelak akan menjadi lebih baik.

Wednesday, June 9, 2010

PERANTAUAN SANG FEMINIS RADIKAL MENGGELEDAH JAGAT KEMANUSIAAN



Saya terbaca cerpen pertama gadis berbakat besar ini yang bertajuk "Langit Lazuardi" yang tersiar di Berita Minggu melalu perca akhbar yang dijadikan alas sangkar hamster oleh kakak. Lantas, berbaur dengan rasa marah kepada kakak, saya mengambil helaian itu lalu melihat sekilas. Pertama-tamanya, saya menjengkel kerana melihat gambar penulisnya yang bertudung, namun menggunakan nama pena Rebecca Ilham (di hati, saya mencebik "tak sedar diri, nak guna nama orang putih je").

Namun, sebaik membaca cerpen tersebut, saya terdiam, langsung imej skeptikal yang sejak mula tervisual di dada Melayu tulen saya beransur-ansur kabur kerana saya kira ini antara cerpen yang terbaik yang pernah saya baca di akhbar (tidak termasuk Dewan Sastera). Sejak itu, tatkala saya meneliti akhbar minggu (memang rutin saya begitu kerana hanya akhbar hari sabtu dan ahad sahaja menyiarkan ruangan untuk karya puisi dan cerpen), saya sering ternanti-nanti jika ada cerpennya tersiar.

Becky (panggilan yang biasanya kami teman-teman penulis berikan kepada gadis yang bernama Hazwani Rameli ini) memuatkan 15 buah cerpen terbaiknya dalam Antologi "Kimono Ungu Bersulam Bunga" ini-diangkat daripada judul cerpen 'bertuahnya' yang tersiar selepas beberapa hari bergraduasi.Hampir kesemua cerpen dalam kumpulan cerpen ini sudah saya baca di media cetak kecuali Jalan Jauh Ke Ramallah,Menjadi Naurah dan Fajar Sidik di Sierra Morena.

Secara holistik, Becky menonjolkan tanggapan Barat dalam wacana yang bersifat orientalis, membuktikan bahawa terdapat pertentangan antara Timur dan Barat yang menyebelahi Barat dalam setiap karyanya. Beliau cukup sensitif dengan isu sejagat terutamanya perkara-perkara besar yang menggemparkan dunia seperti isu penjajahan bumi Palestin oleh rejim Zionis, pengeboman Hiroshima dan Nagasaki oleh Amerika, kupasan paradoks tentang teori agung Darwin malah lebih mempesonakan semua itu dibungkus oleh Becky dengan 'kimono' kemanusiaan.

Sebagai seorang ilmuan merantau ke negara orang, tidak hairan Becky mampu mengupas isu yang mahu diketengahkan dengan baik sekali. Isu tersebut diadun dengan baik, malah seringkali kita menemui kecenderungan Becky untuk mentransformasi segala limpahan rasa dan rintih sukmanya berkiblatkan feminisme radikal.

Kita dapat melihat contohnya dalam cerpen Kimono Ungu Bersulam Bunga (cerpen kegemaran saya), Becky berjaya mengangkat isu feminisme yang mempunyai persententangan yang binari. Persetentangan yang binari (binary opposition) tidak bersifat objektif tetapi bersifat politikal dengan membezakan familiar antara dua fahaman yang berbeza. Watak Salwa diadun dengan cukup baik sebagai gadis yang tegas mencabar keegoan Kenshi, seorang doktor dan saintis yang sangat berpegang kuat kepada tradisi feudal Jepun. Sifat feminis radikal ini ditonjolkan Becky melalui watak Salwa yang cuba mempersoalkan tradisi lapuk Jepun yang membezakan aspek gender antara lelaki dan wanita.

Feminisme radikal sebagai suatu kritik idelogi terhadap pandangan umum kepada permasalahan yang wujud akibat ketidakadilan kepada pemberian peranan dan identiti sosial yang wujud akibat perbezaan gender. Istilah ini lebih membawa maksud tentang kesedaran akan adanya ketidakadilan terhadap kaum perempuan baik keluarga, mahupun masyarakat. Kesederan inilah yang seterusnya mewujudkan satu kronologi tindakan baik oleh perempuan mahupun lelaki untuk mengubah keadaan tersebut.

Sebagai seorang perantau di bumi orang, Becky juga turut terkesan dengan pelbagai isu besar dunia yang merentap jiwa kemanusiaannya. Lihat sahaja isu penjajahan Palestin yang termuat dalam cerpen Perca-perca Cinta untuk Palestina, Menjadi Naurah dan Jus Soli Jus Sanguinis yang mengetengahkan prinsip kemanusiaan sebagai intinya. Hasrat untuk mengubah keadaan tersebut tercetus atas kesedaran yang telah mewujudkan satu gelombang yang berupa gerakan untuk memperjuangkan ketidakadilan itu. Gelombang tersebut hakikatnya merupakan satu perjuangan untuk memberikan keadilan kepada manusia demi memancangkan sebuah kebenaran agar ia memperoleh duduk letak yang setara.

Sebagai perantau, Becky cukup terkesan dengan pengembaraannya ke bumi asing. Lihat saja bagaimana keterujaannya berkunjung ke Manchester sehingga pengalaman itu dizahirkan melalui cerpen Di Bawah Langit Manchester. Tembok feminisme juga memagari cerpen ini apabila ia tidak dapat lari daripada isu feminis melalui watak Soraiya yang terpaksa berhadapan dengan teman baik yang mengandung anak luar nikah (Soliel). Ternyata, perwatakan Becky sebagai gadis yang mudah cair dengan kepayahan teman-teman ditumpahkan dengan cukup baik ke watak Saraiya yang dilakarkan mempunyai sifat belas yang tinggi, optimis meski seringkali berasa prejudis. Lebih indah, cerpen ini memuatkan elemen ilmu bantu melalu pemaparan nama-nama tempat di menarik di England seperti Piccadilly Gardens, Old Trafford, Salford Quays dan John Rylands Library.

Barangkali, satu persamaan antara kami ialah negara Jepun. Seperti Becky, saya juga sangat menggemari negara matahari terbit itu. Ternyata, Jepun sebuah negara yang berbudaya, disiplin dan cantik. Perkara inilah yang digemburkan Becky lewat cerpen-cerpennya seperti Kimono Ungu Bersulam Bunga, Angin Pada Mekar Kuntum Sakura,Harapan Di Hujung Cebis Doa dan Momiji Musim Rontok (tidak disiarkan dalam antologi ini). Garapannya tentang budaya dan makanan negara Jepun lebih saya gemari berbanding argementasi teori dalam cerpen seperti Protokol Cinta dan Mencari Tuhan di Celahan Cambrian yang padat dengan ilmu bantu yang kadangkala seperti berkhutbah.

Obses Becky terhadap Jepun berjaya meneutralkan cerakinan ayat dan diksi kata-kata yang padat tetapi tetap menggugah rasa. Bukan tidak pernah saya membandingkan segala maklumat-maklumat yang tersisip di dalam cerpen-cerpen tersebut dengan realitinya, namun kebanyakannya tepat kecuali beberapa ejaan yang sedikit silap mengikut kosa kata Melayu, namun itu bukanlah satu masalah yang sangat besar pun.

Meneliti 15 buah cerpen dalam himpunan cerpen ini, menemukan kita dengan suara-suara feminisme radikal pengarang yang merintih yang mahukan keadilan dan kebebasan diletakkan kembali pada neraca yang sebenarnya. Pengarang adalah perakam waktu yang terbaik, dan inilah kelebihan yang saya dapat lihat dalam diri Becky. Namun, setelah menetap di Malaysia dan ripuh dengan tugas sebagai seorang jurutera, saya khuatir bakat besar gadis ini akan terbunuh kelak. Secara umumnya, saya mencadangkan anda untuk membeli dan membaca kumpulan cerpen ini kerana ia menghimpunkan sejumlah besar bukan sahaja karya kreatif yang baik, tetapi perakam peristiwa dan penghujahan yang pasti menduga akal anda jika anda merupakan seorang penggeledah kebenaran dan keadilan dalam jagat kemanusiaan. Tahniah buat Becky!

Monday, May 24, 2010

ESTHETICS OF LITERATURE




Literature is the selective recreation of reality through the use of concepts. Since concepts are accessed through words, language is the direct medium. The purpose of literature is to embody abstract concepts. To do this, it uses language to create detailed concretes. It attempts to bring the conceptual to the perceptual level. In this respect, it must create the perceptions through the use of language.

There are numerous variations of art that are based on literature. Novels, poems, stories, and others use only language to convey the subject. These are forms of literature. Others, such as plays or movies, involve other artistic mediums, such as acting. Although based on literature, which is their most important root, they incorporate other tools to make the concretization clearer. They still embody the abstract through the use of concepts, making them a form of literature.

Literature is one of the basic branches of Esthetics. It satisfies a particular human need. It allows the embodiment of abstract concepts through the use of concepts. Other forms of art aimed at fulfilling this particular need are derivatives of literature, requiring it as the basic mechanism.

Tuesday, May 18, 2010

KENANGAN YANG MENYENTUH HATI

Hari guru pada tahun ini merupakan yang pertama buat saya sebagai seorang guru (walaupun hanya seorang guru pelatih). Persiapannya cukup rapi dan teratur. barangkali status sekolah yang mempunyai nama 'besar' menjadikan segala-galanya perlu dilaksanakan sesempurna mungkin tanpa sebarang kompromi. Saya sendiri bertanggungjawab mengendalikan tugas sebagai Eksekutif Persembahan pada hari yang cukup bersejarah tersebut. Mengendalikan kira-kira lapan persembahan, ternyata sesuatu yang meletihkan dan mencabar jeda senggang dan rehat saya seminggu-dua sebelum majlis ini berlangsung.

Namun, dalam keletihan dan rengsa tersebut, ada sakelumit rasa kagum dan bangga di dada. Melihat pelajar-pelajar yang gigih menyiapkan dekorasi pentas yang memakan masa selama seminggu untuk disiapkan, saya terharu kerana begitu besar dan gigih sekali pengorbanan masa yang mereka peruntukkan demi meraikan kami.

Tema yang dipilih juga agak glamour. "Arabian Night'. Hampir seluruh dewan besar ditutup dengan kain hitam (agar menjadi gelap seperti malam), dihiasi dengan aneka lampu berkonsepkan timur-tengah (saya sendiri hairan di mana mereka mendapatkan lampu-lampu tersebut), dua buah astaka indah seperti pelamin, kerusi kayu oak yang cantik, gerbang pelamin yang menjadi props utama pentama pentas, serta hamparan karpet merah yang cukup mencuri tumpuan.

Acara yang paling dinantikan semestinya acara red carpet (ala-ala festival filem Cannes) yang sangat mencuri tumpuan. Saya tersenyum apabila melihat gelagat guru-guru yang mengenakan pakaian berkonsepkan timur tengah (tidak menghairankan kerana rata-ratanya mereka menuntut di Al-Azhar, Jordan dan Istanbul, sementara saya pula selesa berkemeja biasa dan bertali leher.

Usai acara red carpet, tirai persembahan dimulakan. Saya bersyukur, kerana segala-galanya berjalan lancar. Petugas teknikal yang saya pilih ternyata lebih boleh diharap berbanding teman teknikal saya ketika mementaskan Tun Kudu. Saya lga apabila segala-galanya berjalan dengan lancar.

Usai persembahan, ketika saya mahu pulang ke rumah, saya sempat singgah ke meja saya untuk mengambil buku rujukan bagi sesi P&P padahari esok. Apa yang membuatkan saya terkejut, di atas meja saya terhimpun sejumlah hadiah dan beberapa keping kad ucapan yang dibuat dengan sendiri. Saya memilih untuk duduk sejenak dan membaca kad-kad tersebut. Salah satu kad yang saya terima memuatkan sebaris puisi yang ditujukan khas untuk saya. Kad tersebut merupakan pemberian seorang pelajar yang selalu saya denda kerana dia sering tidak menyiapkan kerja rumahnya. Puisinya, meski bukanlah sebuah puisi yang hebat, namun masih membekas di hati saya. Saya perturunkan puisi tersebut di sini.

Guruku,
padaku kau bukanlah lilin
yang membakar dirimu,
tetapi kau adalah lampu
yang menerangi perjalanan tarbiyyahku.

Guruku,
padaku kau bukanlah garang
kerana selalu mendendaku
tetapi aku tahu
kau mahu aku menjadi seperti dirimu.

Guruku,
ampun dan maaf kupinta
atas salah dan silapku
terhadapmu.
Terima kasih guruku
kerana mendidikku
akan kupegang kata-kata azimatmu
demi masa depanku.

Puisi ini sangat menyentuh hati. Benar, saya seorang guru yang gemar memotivasikan pelajar dengan kata-kata semangat yang mampu menggugah jiwa dan minda mereka. Saya memerikan, betapa pentingnya pelajaran kepada mereka, betapa perlunya usaha gigih untuk mencapai kejayaan, betapa harusnya mereka mempunyai nilai disiplin yang tinggi untuk menjadi orang-orang berjaya, dan yang paling selalu saya tekankan ialah, betapa pentingnya untuk mereka menggilap apa saja bakat dan kebolehan yang mereka ada semaksimum mungkin. Syukur, ada beberapa orang pelajar yang sudah mula meminta saya mengeditkan puisi-puisi mereka untuk dihantar ke media. Saya dengan senang hati meluangkan waktu, malah sangat menggalakkan mereka untuk terus berkarya.

Hari guru pada kali ini ternyata satu kenangan yang paling menyentuh hati buat saya. Segala-galanya, dan saya pasti, saya akan sentiasa merinduinya. SMKA Sultan Muhammad dan tradisi warganya; kalaulah kita diberikan lebih waktu untuk bersama....

Wednesday, May 12, 2010

RINTIH SUKMA



Sayuri Park, Kawasaki.

RINTIH SUKMA
(Nazaomishi, usah bersedih saat kutinggalkan pelabuhan ini senja nanti)

Kesenyapan juga yang mendominasi
meski sepelaung rintih ini
terhantar ke rimba manusiawi
dalam kesesatan nurani.

Sukma hati yang berbicara
bisu noktah kata
tuli raung suara
kudung daya upaya
buta sinar tampaknya
lumpuh tegak benarnya
adalah ratapan jiwa yang tiada
didengari oleh sesiapa.

Dengarkan rintih sukma
akal sebagai cambulnya
jiwa menjadi rasanya
hati seputih nawaitunya
iman adalah pasaknya.

ZULFAZLAN JUMRAH
Kawasaki Maginu,
Jepun.