Wednesday, April 29, 2009

MUNGKINKAH SELEPAS INI VIRUS SELSEMA ANJING PULA?



Baru tiga hari saya pulang ke rumah untuk menghabiskan cuti semester panjang ini, secara kebetulan negara kita dikejutkan dengan jangkitan virus selsema babi yang kini dikatakan sedang merebak ke seluruh dunia. Virus yang dikenalpasti berasal dari Mexico dan US ini juga dikatakan masih tidak mempunyai penawar lagi, dan hari ini berita melaporkan bahawa ia telah mengorbankan seorang bayi di US.



Saat ini, saya teringat satuperdebatan saya dengan seorang rakan berbangsa Dusun ketika saya bercuti di Sandakan pada tahun lepas. Dalam perdebatan itu, saya bersungguh-sungguh mempertahankan hukum memakan babi dan anjing adalah haram dalam Islam, sementelah dia bermati-matian mengatakan bahawa tidak ada 'racunnya' binatang berhidung penyek itu.



Perdebatan kami berlanjutan. sehingga menyentuh soal-soal ketuhanan (dia mempersoalkan Allah itu ada, tetapi kenapa kita tak nampak Dia), isu kiblat yang dipindahkan, isu memakai tudung bagi wanita, isu keruntuhan akhlak umat Islam di Malaysia, liga Arab yang tidak bersatu, ketokohan Nabi Muhammad SAW serta mencakupi juga perkara-perkara lain yang barangkali membuatkan beliau memandang sinis kepada agama Islam seperti pelaksanaan hukum Hudud yang akan dilaksanakan oleh PAS jika memerintah negara.



Namun, dalam enrti kali ini, saya akan memfokuskan tentang isu babi dan anjing yang sememangnya menjadi binatang yang haram di dalam agama Islam. Sememangnya, jika kita lihat sekarang, barulah kita akan faham kenapa Islam sejak awal-awal lagi menghalang umatnya mendekati kedua-dua jenis binatang ini. Lihatlah kini. Binatang yang menjadi makanan kegemaran rakan saya tadi telah menjadi penyebab kepada satu virus selsema yang masih lagi tidak ada penawarnya. Dan, mungkinkah selepas ini akan ada pula VIRUS SELSEMA ANJING?

Inilah yang dikatakan kebijaksanaan meramal. Di dalam kitab suci Al-Quran sendiri secara terang-terangan melarang kita daripada mendekati kedua-dua jenis binatang ini. Barangkali mudaratnya akan terkena kepada diri kita sendiri. Lalu, pada hari ini, saya boleh membuktikan kepada rakan saya itu bahawa Islam ada sebab tersendiri untuk mengharamkan umatnya mendekati binatang haram tersebut. Pada hari ini, ia terbukti benar.

Lalu, tidakkah kita mengambil iktibar daripada peristiwa ini? Mungkin satu hari nanti, akan wujud pula virus yang berpunca daripada anjing atau binatang-binatang yang sama waktu dengannya.

Sunday, April 19, 2009

"MENGAPA SAYA MENULIS?"


Timbunan buku-buku, fail dan segala macam khazanah ilmu untuk disimpan di stor


Dua kotak daripadanya penuh dengan buku-buku, nota dan segala macam benda bernama kertas

Lewat pagi tadi, setelah meratapi kekalahan Manchester United di tangan Everton menerusi sepakan penalti pada aksi separuh akhir Piala FA Inggeris, saya sibuk mengemaskan segala macam timbunan fail, kertas-kertas, nota, buku-buku, rencana-rencana yang saya potong juga longgokan beberapa jenis majalah.

Inilah rutinnya, setiap kali penghujung semester berakhir. Setiap pelajar dikehendaki mengemaskan barang-barang peribadi untuk dimasukkan ke dalam stor sempena cuti semester yang berakhir. Lalu, tidak semena-mena, saya menemui sekeping buku nota kecil yang selama-lama ini saya cari. apa tidaknya, buku nota kecil itu menjadi saksi pembabitan awal saya di dalam bidang penulisan. Buku itu telah saya bawa ke Perhimpunan Minggu Penulis Rmaja 2006 (MPR 2006) dan ada sesuatu yang sangat berharga yang telah saya catatkan di dalam buku kecil itu.

Seingat saya pada satu sesi suai kenal para peserta MPR 2006, kami ditanya oleh Kak Nisah dan Kak Rai, atas tujuan apa kami menulis? Kami diminta oleh mereka untuk mencatatkan sebab-sebab utama kami menulis. lalu, saya pun dengan spontan menulis pada buku catatan kecil itu.


1. BERKONGSI PEMIKIRAN DENGAN ORANG LAIN (PEMBACA)

2. MENGKRITIK DIMENSI KEHIDUPAN

3. MEMERIAHKAN DUNIA KESUSATERAAN TANAH AIR

Jika diperhatikan, tidak ada pun saya catatkan sebab saya menulis adalah untuk mendapatkan wang ringgit. Sememangnya saya tidak nafikan, wang ringgit penting untuk kita meneruskan kehidupan, tetapi pada saya nawaitu kita itu yang lebih penting.

Saya memilih untuk menulis secara sederhana, tidak terlalu radikal mengkritik, tidak terlalu rigid menempelak, bersedrhana dalam usaha memasarkan diri (teringat kata Cikgu Amiruddin Ali, "Zul, penulis juga macam artis, kita perlu memasarkan diri kita",), tidak pernah berbangga sekiranya falsafah dan pemikiran saya diterima oleh editor(saya kurang gemar menggunakan perkataan "disiarkan") serta terlalu berhati-hati menyusun derap langkah di dalam bidang ini.

Saya teringat kata-kata abang Pat semalam. "Writing is worst job". Ya, saya akui jika ia adalah membincangkan dalam konteks sebuah negara bernama Malaysia. Namun, menulis juga pada saya bukan sekadar menulis bahan-bahan sastera saja. Semalam juga, di Pesta Buku Kuala Lmpur (sengaja saya buang perkataan "Antarabangsa"), saya sempat berkenalan dengan Nizam Zakaria, seorang penulis skrip yang prolifik. Saat itu juga, saya dan Fairuz mula terfikir untuk belajar menulis skrip drama daripada beliau. Lalu, saya beranggapan bahawa menulis selain bahan-bahan sastera seperti skrip juga tidak salah, malah ia juga sangat bertepatan dengan prinsip saya sendiri iaitu MENULIS UNTUK BERKONGSI PEMIKIRAN DENGAN KHALAYAK.

Inilah dunia yang saya ceburi, dunia yang saya cintai, dunia yang sangat saya sayangi. Ketika hati ini menanggung lara akibat seraut cinta yang dilukai, dunia ini tidak pernah mengecewakan saya walaupun sekali. Doakan saya terus kuat untuk menulis, menulis dan terus menulis. Dorongan penulis-penulis mapan, teman-teman seperjuangan yang mengepung saya sama ada di MPR atau di sisi saya yang pada hakikatnya banyak membantu memperkayakan pengalaman menulis saya, selain keluarga yang tidak pernah 'seiring', tetapi sentiasa 'melihat' saya meneruskan langkah ini.


KUTULISKAN HURUF-HURUF HIDUP
(Kencana, kalaulah mereka mengerti kelukaan ini)

Telah kupilih selembar kertas pengalaman
untuk kutuliskan huruf-huruf perjuangan
meski dakwat hati ini tertumpah di meja kenangan
tak setitis pun mencontengkan keriangan.

Huruf hidup ini bukan hanya serawa aksara
yang berbaris laksana laskar yang setia
tapi dalam stanza yang hilang perenggannya
dalam metafora yang basi segarnya
mahu pun puisi hilang ideologinya
huruf hidup ini mengajarkan kita
membaca sejuta nurani manusia
berbeda di lorong hanyir pancaroba serba.

Saudara,
mari kita tuliskan huruf-huruf hidup
pada selayar tabir jiwa memberontak memercup
meski dihujung perenggan kita kehilangan
sekisah cerita buruan pengalaman
berpuing pada segurun salju perasaan.


ZULFAZLAN JUMRAH
CENTRAL MARKET,
KUALA LUMPUR.

Monday, April 13, 2009

BEBERAPA PERENGGAN EMEL DARI BUMI SAKURA



Semalam, saya telah mendapat satu emel daripada kakak saya yang berada di Jepun. Seriang wajahnya, saya sudah dapat menerka isi emel tersebut lebih-lebih lagi ia datang dalam bulan April sebegini. Seperti yang diduga, tujuannya tidak lain tidak bukan adalah untuk menyertakan beberapa keping gambarnya yang asyik dan romantis bersama suami menikmati musim-musim semi bunga Sakura.



" Ni gambar yang sempat aku rakam masa musim bunga Sakura. Penuh, dan kalau ko nak tau kat sini musim bunga dia macam pesta. Kat mana-mana penuh orang dok ambik gambar. Kebanyakannya pelancong. Ko datang la sini. Ko kan Mat Bunga. Mesti dapat ilham buat novel baru kalau tengok bunga-bunga ni.Hu...Hu.."

Itu adalah perenggan pertama. Ya, memang saya sukakan musim Sakura. Leka apakala membaca beberapa karya yang kebetulan menyentuh bunga kebangsaan Jepun ini. Novel Sakura Mengorak Kelopak karya Allahyarham SN Pak Arena membuatkan saya mulai jatuh cinta dengan negara matahari terbit ini. Ada satu cerpen berjudul "Sakura antara Dua April" karya seorang penulis yang sangat saya minati bernama Addinbandarsepi juga ada menyentuh perihal bunga ini.




" Ko tunjuklah kat mak gambar-gambar aku ni. Insyallah bulan 7 ni aku balik Malaysia. Biar baby ni lahir kat tanah air yang tercinta. Huhu..Ko fikirkanlah nama yang sesuai untuk baby boy aku ni tau. Em, abang Fik ada jugak tanya, bila ko leh datang sini? Dia nak bawak ko gi National Theatre Of Japan. Tengok Opera Show. Ko kan penah kata ko teringin nak tengok Geisha Show. Huhu..pengaruh novel Memoir Of Geisha la ni. Aku pernah pergi sekali, tapi mungkin opera show bukan jiwa aku. Weh, awek ko sihat? Haha..."

" Cakap kat mak, lepas Sakura drop, aku mula masuk kelas bahasa Jepun. Start summer ni dah kena belajar sikit-sikit. Tak gune cakap English, sepatah haram pun diorang tak paham. Kalau paham pun diorang buat-buat tak paham. Aku kagum dengan semangat patriotik diorang. And, hope ko camtu gak. Kalau dah alang-alang amik kos Bahasa Melayu, pendidikan pulak tu, ko perjuangkan bahasa Melayu ni habis-habisan. Contohi orang-orang kat sini. Bahasa Jepun diorang macam satu myth pada diorang. Macam suci. Legend. Aku rasa kalau ko datang sini ko tau la apa yang aku maksudkan. Sape kata kita tak leh maju kalau guna bahasa sendiri? datang sini dulu la, tengok macamana. K la. aku nak masak. Abang Fik ko ari ni sibuk mintak buat jemput-jemput. huhu..nasib baik la aku ni pakar buat jemput-jemput. hahaha..k, see u next emel. Wasalam..."

Thursday, April 9, 2009

SEDIKIT TENTANG 'TALENTIME'



Baru-baru ini, saya sempat meluangkan masa menonton buah tangan terbaru pengarah kontroversi Malaysia, siapa lagi kalau bukan Yasmin Ahmad. Filem yang berjudul 'Talentime' ini sememangnya amat saya tunggu-tunggu setelah kempunan menyaksikan filem 'Mualaf' yang disekat tayangannya sehingga hari ini oleh FINAS.

Menonton di panggung yang kosong (selain saya dan Honey, ada kira-kira lapan orang penonton saja yang memenuhi panggung itu)sememangnya membuatkan saya sedikit selesa, kerana keadaan seperti ini mampu membuatkan saya menangkap mesej tersirat yang cuba disampaikan oleh pengarah, sama seperti mana saya menonton filem 'Kala Malam Bulan Mengambang' karya Mamat Khalid sedikit waktu dahulu.

Filem Talentime mengisahkan sisi-sisi dimensi kehidupan manusia yang berbeza,lalu mencetus konflik dengan sendirinya. Kisah kehidupan tiga rakan yang terlibat dengan satu sesi uji bakat mencari bakat persembahan,pada saya cukup ramuan untuk menonjolkan mesej yang cuba disampaikan oleh Yasmin.



Saya memuji lakonan Pamela Chong sebagai Melur,dan Syafie Naswip sebagai Hafiz, dan sama sekali menidakkan bakat watak Mahesh. Chemistry yang dijelmakan oleh para pelakon ini cukup unik, ditambah dengan kehadiran watak cikgu Adibah oleh Adibah Noor dan penampilan pertama Jaclyn Victor sebagai kakak Mahesh.

Apa yang terkesan di hati saya adalah percintaan dua budaya yang menembungkan dinding sejarah yang lalu. lebih menyayat hati,semestinya babak Azean Irdawati bertarung dengan sakaratul maut (sempat makan buah strawberi).

Saya melihat filem ini dari sisi moraliti, liberalisasi dan keunikan jalan ceritanya. Sejak dahulu lagi saya gemarkan cerita 'orang-orang kecil' sebegini. Kisah yang tidak mengagungkan seseorang dengan kehebatan material semata-mata.




Kalau anda mahukan kelainan dalam filem-filem Melayu, tontonlah filem ini sekurang-kuranya untuk melepaskan tekanan di fikiran.Secara peribadi (mingkin ada yang setuju), saya oleh katakan filem ini mengkritik rancangan realiti TV yang menjadi trend diterbitkan oleh syarikat-syarikat penyiaran swasta.

Thursday, April 2, 2009

MENGENANG T.ALIAS TAIB



Beberapa jam sebelum menunaikan solat Jumaat, tatkala saya menukangi beberapa tugasan pensyarah, entah mengapa, saya berasa gundah dan resah. Lalu, saya membelek-belek himpunan buku-buku yang tersusun di meja kecil saya, menyelak pantas majalah Tunas Cpta terbaharu yang belum sempat saya tekuni, namun rasa itu tetap menggugah.

Lalu, saya teringat bahawa saya pernah menyimpan satu artikel lama Dewan Sastera yang saya curi di Astaka Seni, UPM dua tahun lalu. Artikel buruk Dewan Sastera bulan September 2001 itu rasanya sudah saya baca berpuluh-puluh kali. Artikel yang ditulis sendiri oleh penyair idola saya Allahyarham T.Alias Taib dengan tajuk "Di sisi Pelita Minyak Tanah" ternyata banyak membantu untuk menyuburkan jiwa saya yang resah. Rakaman pengalamannya penuh jujur, menyentap rasa saya yang mula mengenalinya menerusi sajak Pembeli Masa Sudah ketika di bangku sekolah, lalu barangkali kejujuran itu mengalir ke dalam diri saya dan seringkali juga berbaur dalam setiap puisi-puisi saya.




Saya hampir memiliki kesemua antologinya kecuali "Petang Condong" yang masih belum saya temui sehingga ke hari ini. Puisi-puisi saya juga dewasa tatkala menguliti puisi-puisi Allahyarham, meski rasa ralat kerana tidak pernah bertemu dengan beliau masih berbekas di hati.




Puisi-puisi saya dewasa bersama-sama puisi-puisi beliau. Antologi Seberkas Kunci, Opera, Piramid dan semestinya Pasar Pengalaman banyak membentuk tunjang semangat saya untuk berkarya. Saya mengakui, sehingga ke hari ini pun, jika saya buntu untuk menulis puisi, buku-buku puisi beliau inilah yang saya rujuki untuk mencari semula mood dan semangat untuk menulis puisi.

Entah mengapa, kini ingatan saya kembali mengenangnya. Dan seperti biasa, saya memasang niat untuk menziarahi pusara Allahyarham jika mempunyai ruang untuk melakukannya. Buat Pak Engku, Al-Fatihah...

PENJUAL WAKTU
(Ingatan kepada Allahyarham T.Alias Taib)


Penyair seperti pernah katamu
adalah pembeli masa sudah
yang mencoret stanza-stanza resah
dari pasar hati yang gundah.

Penyair juga seperti indah madahmu
meminjamkan kata kepada pemikir
meski sunyi ia terlahir
dari gugahan perasaan yang fakir
dari babak-babak yang terukir.

Penyair juga sekental pendirianmu
adalah penjual waktu di gerai pilu
dari gerabak-gerabak yang berlalu
menyinggahi stesen-stesen yang berliku
untuk melembut ungkal tingkah dan laku

ZULFAZLAN JUMRAH
Kolej Canselor
3 APRIL 2009

PABILA MINGGU PEPERIKSAAN KEMBALI MENJELMA



Dua minggu dari sekarang,seluruh ceruk UPM akan dibungkus dengan selimut peperiksaan. Seperti biasa. satu fenomena yang klise, para pelajar akan berbungkam dengan nota peperiksaan, timbunan buku, soft copy power point (last minit baru minta daripada pensyarah) dan aneka nota kaki yang berselerak sana-sini.

Tetapi, berbeza dengan aku. Aku lebih selesa study sehari sebelum peperiksaan menjelang, berjaga sehingga subuh untuk menelaah, dan paginya awal-awal lagi aku sudah bersiap dan mengetuk daun pintu rakan-rakan yang masih berdengkur.

Peperiksaan padaku cukup mudah tafsirannya. Cuma satu penilaian untuk menguji tahap kefahaman yang tidak menyeluruh. Secara peribadi, padaku prinsip peperiksaan yang dijalankan di negara kita entah mengapa sejak dari darjah 1 tidak pernah mengujakan aku.

Barangkali aku terlalu radikal membuat tafsiran tentang peperiksaan. Apatah lagi peperiksaan yang kebanyakannya berbentuk objektif (A, B, C,D)yang boleh dipenuhkan ruang jawapan kalau pun tidak memahami dan mengetahui jawapannya.

Aku lebih tertarik dengan peperiksaan yang lebih berbentuk amali, on hand, atau konsep peperiksaan yang menguji kefahaman pelajar untuk mengolah dan merencanakan idea tanpa diikat dengan sesuatu pun. Mungkin frasa yang tepat adalah peperiksaan yang memberikan kebebasan kepada pelajar mengemukakan apa pun pandangan berbentuk peribadi terhadap apa yang dipelajari mereka selama satu semester.




Saat ini, aku teringat perbualanku dengan seorang rakan yang belajar di Shieffield University tentang penilaian akhir semesternya bagi subjek sejarah. Menurutnya, semua pelajar di kelasnya diberikan kebebasan sepenuhnya oleh pensyarah mereka untuk membuat satu pembentangan berkaitan apa juga sejarah yang terdapat di dunia ini sekreatif yang mungkin.



Ia boleh terjadi dalam bentuk penceritaan disusuli gambar-gambar bersejarah, sejarah hitam keluarga, sehelai pakaian moyang yang berperang ketika perang dunia kedua, beberapa keping duit syiling lama, sekeping lukisan plaster, secangkir cawan yang sompek yang pernah digunakan oleh Perdana Menteri Britain ketika kecil, sebiji guli pemberian seorang rakan lama ayahnya yang kini mengepalai Kementerian Pertahanan Britain, gelongsong peluru ketika perang Vietnam,atau apa sahaja.Bukankah itu cukup menarik? Konsep pembelajaran sudah lari daripada konsep menghafal fakta dan memuntahkannya di kertas jawapan.



Akan tetapi, inilah fenomena peperiksaan di Malaysia. Kita diajar untuk menghafal sesuatu, tetapi tidak diajar bagaimana menghayati sesuatu. Pembelajarah adalah proses rutin,tetapi sekiranya rutin itu tidak memberikan kesan kepada jiwa dan rasa insani apalah ertinya.