Monday, October 26, 2009

MENCARI MAKNA DALAM ARCA DAN LUKISAN DA VINCI



Sejak akhir-akhir ini, saya gemar sekali meneliti lukisan dan arca, cuba-cuba mencari makna di sebalik lakaran, tumpahan warna pada sekeping kanvas, seni ukir yang terpamer pada arca yang agam berdiri dan bacaan saya juga lebih cenderung kepada bahan bacaan yang ada bersangkutan dengan lukisan dan patung-patung.



Perasaan ini sungguh hebat! Barangkali ia bermula daripada perasaan hebat ketika menonton filem The Da Vinci Code dan Angels And Demons yang sudah saya beli VCD originalnya beberapa minggu yang lalu. Saya menontonnya beberapa kali. (Awas, topik filem ini lebih memberati terhadap agama Kristian, jadi bagi kanak-kanak yang mahu menontonnya, bimbingan orang dewasa sangat diperlukan)



Sejak dahulu lagi, saya mengkagumi hasil lukisan Leonardo Da Vinci atau apa sahaja yang berkaitan dengannya, termasuklah beberapa lukisan terkenalnya seperti Monalisa, Palazzo Vecchio, balai kota Florence yang dihasilkan sekitar abad ke-15 dan semestinya The Adoration of the Magi, lukisan pertama Da Vinci. Leonardo mula menjadi seorang seniman atau tukang ukir dan ini dapat dilihat melalui lukisan Baptism of Christ karya Verrocchio pada tahun 1476 apabila Da Vinci melukis 'malaikat' di lukisan tersebut.



Dalam seni arca pula, Da Vinci membuat patung Francesco Sforza, ayah Ludovico Sforza,seorang bangsawan di Milan yang terkenal pada abad ke-15. Inilah majikan pertama Da Vinci, sebelum beliau dilantik menjadi seniman di raja oleh Raja Perancis, King Louis XIII, yang kemudian membawa Da Vinci berpindah ke istana Milan pada tahun 1506. Di istana, Da Vinci diberikan tanggungjawab untuk mengurus warisan di Florence, dan mengerjakan monumen Gian Giacomo Trivulzio, komandan pasukan Perancis yang tidak dapat disudahinya sehinggalah monumen ini hampir musnah dalam peperangan.





Saya gemarkan perasaan ini. Lukisan dan arca adalah hasil kerja tangan manusia yang mempunyai nilai estetiknya yang tersendiri. Sayang, saya hampir tidak ada kemahiran itu (melukis dan mengukir arca).

Monday, October 19, 2009

SAYA HANYA MAHU MEMBENTANGKAN KERTAS KERJA II



Esok, jika diizinkan Tuhan saya akan sekali lagi ke DBP bagi membentangkan kertas kerja untuk Akademi Sastera peringkat akhir. Syukur, kerana idea dan kajian kecil saya dalam Akademi Sastera di peringkat saringan dahulu diterima oleh panel dan memungkinkan saya untuk sampai ke peringkat akhir ini.

Pendirian saya tetap sama- Hanya mahu membentangkan kertas kerja. Saya tidak pernah terfikir tentang hadiah atau apa sahaja yang menanti saya selepas ini, kerana apa yang sedang bermain di fikiran saya ketika ini ialah satu harapan agar khalayak yang menyaksikan pembentangan saya besok dapat berkongsi apa yang saya fikirkan dan mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap isu dan pemikiran yang cuba saya sampaikan.Lebih jauh dari itu, saya mengharapkan selepas ini saya masih bisa menuntut ilmu kritikan sastera yang masih baru untuk saya gauli. Masa akan menentukan segala-galanya.

Benar, saya masih gugup untuk membentangkan kertas kerja kerana saya selalunya kurang selesa dengan suasana yang agak formal. Saya lebih selesa membentangkan kertas kerja secara santai, duduk di kerusi, dan sesekali berinteraksi dengan khalayak tanpa perlu terlalu menjaga tingkah laku agar bersifat formal.

Inilah diri saya. Sentiasa memilih untuk menjadi individu yang bersikap santai dan cuba membuatkan semua orang selesa dengan saya. Kedengaran agak mengada-ngada, tetapi itulah yang saya pelajari melalui pengalaman. Barangkali saya terlalu subjektif.



Saya berharap, saya mampu memberikan kefahaman kepada orang lain tentang isi pembentangan saya pada hari esok. Persiapan saya biasa-biasa sahaja, dan percaya atau tidak, sehingga entri ini ditulis, saya baru sahaja selesai menyiapkan Power Point pembentangan saya pada hari esok.

Tuhan, semoga usaha kecil saya ini disedari oleh khalayak pada hari esok. Semoga mereka mampu menghayati apa yang saya cuba sampaikan kerana pada saya isu yang cuba saya ketengahkan berkaitan dengan agama, bahasa, bangsa dan negara. Mudah-mudahan ia akan memperoleh keberkatan.Insyaallah.

SANG NAKHODA YANG SETIA

Ya Rabb,
Jadikanlah aku sang nakhoda yang setia
menerokai sehampar lautan jiwa
lalu melabuhkan sauh hasad berjela
yang memundak panjangnya
saat kubentangkan layar-layar takwa.

Hanya di samudera waktu ini
buih iman ini setia kukocaki
setiap hari
tatkala angin rahmat kadangkala menjauhi
mentari memanah lecur di pengembaraan ini.

Ya Hayyun,
jadikanlah aku pelayar takwa di sanubari
meladeni bahtera rasa insani
meski saat itu taufan petaka mampir silih berganti
dan bahangnya mentari belum lagi mahu pergi
.

ZULFAZLAN JUMRAH
UPM, SERDANG

Monday, October 12, 2009

BARANGKALI KERANA SAYA SEORANG YANG MEMILIH UNTUK MERENDAH DIRI

Beberapa hari lepas, saya menerima satu kiriman SMS daripada teman seperjuangan saya, Nissa' Yusof. Beliau mengucapkan "Tahniah" kerana sajak saya terpilih untuk dijadikan teks KOMSAS menjelang tahun hadapan. Sejujurnya, saya agak terkejut kerana secara dasarnya tidak ramai orang yang tahu perihal perkara ini. Saya pula bukanlah jenis manusia yang gemar menjaja cerita ini kepada orang ramai. Saya lebih gemar mengambil sikap berdiam diri dalam apa juga perkara, termasuklah kejayaan yang saya sifatkan cukup besar ini.

Benar, jauh di sudut hati saya, saya berbangga apabila sajak saya dipilih oleh juri untuk dijadikan teks KOMSAS daripada ribuan, malah mungkin ratusan sajak yang pernah dituliskan di dunia ini. Syukur, saya adalah insan bertuah yang dapat mencicip rezeki yang dilimpahkan olehNya.

Namun, apa yang ingin saya kongsikan di dalam entri ini ialah mengenai satu kiriman SMS yang datang daripada teman saya (tak perlulah saya sebutkan nama, cukuplah saya katakan kami sangat akrab). SMSnya berbunyi begini: " Orang kaya baru, kau tak bagitau pon sajak ko dapat masuk KOMSAS. Kenapa? takut sangat ke kitorang pau duit KOMSAS ko tu? Yelah, member lupa member la ko ni." Kemudian, saya membalas SMS beliau dengan mengatakan bahawa duit royalti itu belum dapat lagi, surat perjanjian pun belum dihantar oleh pihak yang berwajib. Saya katakan juga, saya menganggap ini semua rezeki dari Tuhan. Dia membalas semula SMS saya dengan mesej berbunyi begini: " Ala, kedekut cakap la. Aku tak heran sangatlah duit ko yang berapa sen sangat tu. Kalau ko tak nak belanja kitorang takpe la. Tak heran pun".

Saat itu, hati saya menjadi terlalu sedih. Teman yang saya anggap selama ini menjadi pendorong saya, mengeluarkan kenyataan yang sebegitu. Demi pena, saya menulis bukan untuk wang, tetapi demi berkongsi pemikiran saya dengan orang lain. Medan ini menjadi gelanggang saya untuk berkongsi apa sahaja yang saya fikirkan. Gelanggang untuk saya mencari keredhaan Tuhan kerana menyampaikan ilmu dan berdakwah melalui penulisan.

Barangkali orang lain tidak tahu ke mana saya membelanjakan wang tersebut. Cukuplah saya katakan, saya menggunakan sejumlah wang itu ke jalan yang mampu memudahkan kehidupan orang lain yang kurang bernasib baik daripada saya. Selebihnya, saya gunakan wang itu untuk diri saya seperti membeli buku, menonton wayang (salah satu tempat di mana ilham saya sering hadir sebaik sahaja meninggalkan panggung) dan sudah tentu sekali untuk makan kerana saya memang seorang yang kuat makan.

Barangkali kerana saya seorang yang memilih untuk merendah diri, saya seringkali ditempiasi dengan situasi-situasi begini sama ada secara seloroh atau serius. Bukan sedikit insan-insan yang menjauhi saya saat saya mahu berbicara tentang sastera kepada mereka, tetapi mula merapati apabila mendapat tahu saya menerima wang honorarium daripada penerbit.

Benar, hidup ini berlembah dan kitalah yang seringkali terjatuh ke dalam gaungnya. Akan tetapi, kenapa kita jatuh? Sebab kita akan belajar untuk bangun semula. Akhir kata untuk entri ini, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada teman-teman penulis (Mentor-mentor MPR,teman-teman MPR, teman-teman di PPJ, dan guru yang selalu melihat saya meneruskan langkah ini). Di sini, saya perturunkan sepenuhnya sajak KIAN KITA LUPA yang akan menjadi teks KOMSAS tingkatan 1 menjelang tahun 2010. Terima kasih kepada puan Norizan Muslim yang memilih karya ini untuk diterbitkan di dalam majalah Tunas Cipta.




KIAN KITA LUPA.

Kian kita lupa
pada usul jerih bangsa
bila mewah harta di birai mata

Kian kita lupa
pada derita moyang dahulu kala
bila asyik riak dan berbangga

Kian kita lupa
pada azab dan seksa di sana
bila Tuhan melimpahkan kurnia

Tetapi,
kita hanya tak lupa
bila terlewat masa
untuk menyesali segala
terlanjur laku dan bicara
bahagia bertukar derita
gembira menjadi duka.

ZULFAZLAN JUMRAH
PBMP, UPM SERDANG
Hentian Puduraya,
Kuala Lumpur.

26 November 2006