Monday, October 19, 2009

SAYA HANYA MAHU MEMBENTANGKAN KERTAS KERJA II



Esok, jika diizinkan Tuhan saya akan sekali lagi ke DBP bagi membentangkan kertas kerja untuk Akademi Sastera peringkat akhir. Syukur, kerana idea dan kajian kecil saya dalam Akademi Sastera di peringkat saringan dahulu diterima oleh panel dan memungkinkan saya untuk sampai ke peringkat akhir ini.

Pendirian saya tetap sama- Hanya mahu membentangkan kertas kerja. Saya tidak pernah terfikir tentang hadiah atau apa sahaja yang menanti saya selepas ini, kerana apa yang sedang bermain di fikiran saya ketika ini ialah satu harapan agar khalayak yang menyaksikan pembentangan saya besok dapat berkongsi apa yang saya fikirkan dan mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap isu dan pemikiran yang cuba saya sampaikan.Lebih jauh dari itu, saya mengharapkan selepas ini saya masih bisa menuntut ilmu kritikan sastera yang masih baru untuk saya gauli. Masa akan menentukan segala-galanya.

Benar, saya masih gugup untuk membentangkan kertas kerja kerana saya selalunya kurang selesa dengan suasana yang agak formal. Saya lebih selesa membentangkan kertas kerja secara santai, duduk di kerusi, dan sesekali berinteraksi dengan khalayak tanpa perlu terlalu menjaga tingkah laku agar bersifat formal.

Inilah diri saya. Sentiasa memilih untuk menjadi individu yang bersikap santai dan cuba membuatkan semua orang selesa dengan saya. Kedengaran agak mengada-ngada, tetapi itulah yang saya pelajari melalui pengalaman. Barangkali saya terlalu subjektif.



Saya berharap, saya mampu memberikan kefahaman kepada orang lain tentang isi pembentangan saya pada hari esok. Persiapan saya biasa-biasa sahaja, dan percaya atau tidak, sehingga entri ini ditulis, saya baru sahaja selesai menyiapkan Power Point pembentangan saya pada hari esok.

Tuhan, semoga usaha kecil saya ini disedari oleh khalayak pada hari esok. Semoga mereka mampu menghayati apa yang saya cuba sampaikan kerana pada saya isu yang cuba saya ketengahkan berkaitan dengan agama, bahasa, bangsa dan negara. Mudah-mudahan ia akan memperoleh keberkatan.Insyaallah.

SANG NAKHODA YANG SETIA

Ya Rabb,
Jadikanlah aku sang nakhoda yang setia
menerokai sehampar lautan jiwa
lalu melabuhkan sauh hasad berjela
yang memundak panjangnya
saat kubentangkan layar-layar takwa.

Hanya di samudera waktu ini
buih iman ini setia kukocaki
setiap hari
tatkala angin rahmat kadangkala menjauhi
mentari memanah lecur di pengembaraan ini.

Ya Hayyun,
jadikanlah aku pelayar takwa di sanubari
meladeni bahtera rasa insani
meski saat itu taufan petaka mampir silih berganti
dan bahangnya mentari belum lagi mahu pergi
.

ZULFAZLAN JUMRAH
UPM, SERDANG

1 comment:

Chempaka Aizim said...

slm lan,
all the best for tmrw. wish u best of luck. ( ya! whatever!!)

nk pesan ckit, remember our same weakness; jgn letak tangan dlm pocket! nnt nmpk MCM gabra. (again, whatever!!)

aisya ukm :)