Sunday, November 29, 2009

AIDILADHA, PASPORT DAN KOMITMEN BAHARU



Salam Aidiladha. Entri ini ditulis selepas beberapa hari kita menyambut aidiladha. Sukar, kerana kebanyakan kafe siber ditutup pada hari raya aidiladha tersebut. Maka, entri ini saya tulis secara curi-curi di pejabat EMedia, ketika ripuh menyiapkan entri untuk Ensiklopedia Sains Islam bagi murid sekolah rendah.

Inilah komitmen baharu saya. Bekerja di pejabat yang cukup selesa, bos yang baik, teman-teman sepejabat yang sangat membantu dan semestinya ia memberikan saya bilah pengalaman yang berguna. Seharusnya ucapan terima kasih yang tidak terhingga ini saya tujukan kepada sifu saya, Abang Din yang menawarkan saya dan dua orang rakan yang lain untuk kerja sambilan ini. " Terima kasih abang din. Dengan wang gaji ini kelak, dapatlah saya menabung serba sedikit untuk praktikal pada tahun hadapan. Saya mengimpikan mahu membeli sebuah motosikal agar mudah untuk saya melunaskan apa juga urusan ketika latihan mengajar nanti." Hal ini kerana, jika di UPM, ada sahaja teman-teman yang boleh membantu, tetapi saya gusar jika ketika latihan mengajar nanti, mereka tidak dapat membantu saya seperti selalu lantaran jarak tempat dan waktu yang menggari.



Baru-baru ini juga, saya mempunyai komitmen baharu. Komitmen dalam erti kata lain yang bersangkutan dengan hati dan perasaan. Saya sedang mengenali hati budi seorang gadis. Setelah hati ini hancur lantaran sekeping cinta palsu yang tidak dihargai, saya bersyukur di atas pertemuan ini. Dalam persahabatan ini, saya tidak menuntut segala kesempurnaan pada dirinya, tetapi cukuplah sekiranya dia mempamerkan kepada saya segala kesederhanaan yang ada padanya. Syukur, setakat ini semuanya berjalan baik. Hati terasa berbunga-bunga riang apabila ada teman di kala kesunyian dan kesepian. Namun, segala-galanya masih terlalu awal buat saya dan si dia. Barangkali masa akan menentukan segala-galanya.Sudah, setakat ini saja soal itu. Ini bukan blog cintan-cintun..Hehehe..

Baru-baru ini juga, saya baru berkesempatan membuat pasport antarabangsa persendirian. Bukan apa, letih dan terasa terkongkong menggunakan pasport kumpulan, menyebabkan saya mengambil keputusan untuk membuat pasport sendiri meski tidak pernah bersetuju dengan proses ruwet yang perlu diladeni. Sebenarnya, sudah lama saya ingin membuat pasport sendiri, tetapi ke'dingin'an saya terhadap proses birokrasi di jabatan-jabatan kerajaan membantutkan segala-galanya. Saat ini teringat kata-kata seorang teman saya di Filipina yang berjaya membuat pasportnya dalam tempoh tidak kurang sejam, dan tidak perlu beratur terlalu lama untuk mendapatkan nombor.





Itu sahaja untuk entri kali ini. Perayaan Aidiladha tidak semeriah mana, selain kegiatan bergotong-royong menumbangkan binatang korban demi menunaikan amanah yang dituntut Allah. Selebihnya, ia hanya satu sambutan yang mengeratkan silaturahim antara kita. Berkorban apa sahaja, harta atau pun nyawa.

Monday, November 23, 2009

‘’A Mermaid’’



Lukisan ‘’A Mermaid’’ karya John William Waterhouse, dilukis pada tahun 1895.

DUYUNG HATI
(Coba ngerti sebuah pertemuan, aku bingung dengan sejuta persoalan)

O teman
dikaukah duyung perasaan
yang berenang di pesisir kekosongan
saat kudahagakan kasih yang mapan
dan kau mampir membuih pertemuan.

Ayo kita berlari
menyepak ombak deras di kaki
kau yang punyai sirip sendiri
meninggalkan aku yang hanya berkaki.

Teman,
hidup ini bukan sepotong hikayat cinta
bukan juga episod sinetron telenovela
yang berjajaran kisah dicipta

Pinggiran ini teman,
aku yang pernah kau ajari berenang di lautan
kini tenggelam di pinggir pantai perasaan
tanpa punyai apa-apa
untuk kuberpautan
bingkas naik ke buritan.

ZULFAZLAN JUMRAH

Wednesday, November 18, 2009

PERTEMUAN PENYAIR NUSANTARA 2009




PERTEMUAN PENYAIR NUSANTARA 2009

Tarikh: 20 hingga 22 November 2009
(3 hingga 5 Zulhijjah 1430H)

Tempat: Dewan Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur

Anjuran: Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP, KL) dan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITMN)

Matlamat: Mempertemukan penyair-penyair di Nusantara bagi memberi ruang kepada mereka bersilaturahim, bertukar fikiran dan membincangkan isu-isu berhubung dunia kepenyairan.

Yuran: RM20.00 seorang. Penginapan dan kos perjalanan tidak ditanggung. Peserta luar Kuala Lumpur dinasihatkan menempah hotel berdekatan DBP, atau sekitar kota Kuala Lumpur.

Penyertaan: Terbuka kepada semua yang berminat dalam dunia sastera dan budaya dalam atau luar negara

Tuesday, November 17, 2009

MEMILIH




Sajak ini telah berada di dalam kepala saya hampir empat tahun, iaitu sejak tahun 2005. Ia tercetus sebaik sahaja saya menyelami puisi " BAKAT", "PEMBELI MASA SUDAH" karya T. Alias Taib dan "ANAK LAUT" karya Rahimidin Zahari. Lalu, barangkali muzik puisinya, pemilihan diksi dan rima konsonannya sedikit terkesan daripada sajak yang hebat itu. Namun, puisi ini belum lagi lengkap pada saya. Masih perlu diperam dan diperam sehingga satu waktu yang saya sendiri tidak tahu.



MEMILIH
(Pak Engku, pasar pengalaman saya tidak mempunyai banyak pilihan)

Perkara paling ruwet dalam hidup adalah:
- untuk MEMILIH.

Seperti ruwetnya penyair
yang memasuki hutan kata-kata
yang dihuni sejuta pohon aksara
dalam serimba fikir yang durja.

Seperti sukarnya para nelayan
memilihi lubuk dan lautan rezeki
mendayung kolek hidup yang sering ke tepi
dan pulangnya mereka di malam yang sepi
tanpa ikan yang sedikit bersimpati.

Memilih daripada yang terpilih
adalah dorongan rasa yang takjub!
namun perlu dipastikan
ia diputuskan dari pertimbangan akal fikiran
dan bukannya daripada limpahan
empangan perasaan.

ZULFAZLAN JUMRAH

Monday, November 16, 2009

PELACUR PENGALAMAN

PELACUR PENGALAMAN
(Zue,betapa perit semua ini,kau akan mengerti pabila dewasa)

Semalam kau telah kubawa
ke sebuah kamar dewasa
setelah kau mendomba lelah meneroka
hujung jauh derap kembara
yang sering dipenuhi tangisan duka
dan bukannya derai gelak ketawa.

Dari dinihari hingga kesiangan
kita melayan pelbagai perasaan
meski kadangkala kegugupan
meski gemuruh mendebarkan
lantaran yang semalaman kita langgan
adalah pelacur-pelacur pengalaman.

Teman,
untuk apa lagi kita memuing angan
kau yang telah kantuk kegersangan
dakaplah semahunya tubuh perasaan
pelacur-pelacur pengalaman
yang bisa memberi syurga kepuasan
dengan kata dan aksi memukaukan
di atas katil sarat pengetahuan
di dalam sebungkus gebar pedoman.

ZULFAZLAN JUMRAH
UPM, SERDANG

Wednesday, November 11, 2009

KENAPA SMS? KERANA PANGGILAN TELEFON TERLALU PANTAS!



Pada 6 hingga 11 November lalu, saya pulang ke kampung. Selain membawa satu beg besar yang penuh dengan nota-nota kuliah dari semester 1 dan majalah Dewan Sastera, saya pulang juga kerana mahu bersua dengan kakak saya yang akan terbang ke Jepun 14 November ini. Saat inilah saya meluangkan banyak masa untuknya, kerana selepas ini sudah pasti saya akan merindui dirinya dan semestinya anak saudara saya yang baru berusia 5 bulan. Sesekali pulang ke kampung begini, sebolehnya saya lebih gemar berenggang dengan telefon bimbit kerana aktiviti harian saya akan dipenuhi dengan berkebun, menjaga pokok anggur yang sudah mulai berbuah di halaman rumah saya, merumput rumput karpet yang sudah hampir memenuhi seluruh halaman rumah saya, bergasak tentang topik yang bersangkutan dengan politik dengan ayah,atau lebih gemar membantu anak saudara saya mengulangkaji pelajaran mereka.

Sering sahaja saya menerima beberapa kiriman SMs daripada teman-teman yang barangkali masih di universiti, dan selalunya saya sering lewat membalasnya. Ada yang menyumpah geram, menyindir yang saya terlalu sayangkan kredit kerana saya selalunya membalas ‘panggilan yang tidak dijawab’ mereka dengan hanya kiriman SMS yang ringkas.

Saya lebih gemar berSMS berbanding membuat panggilan. Selain jimat dan ringkas, barangkali saya menggemarinya kerana ia adalah rangkaian kata-kata tanpa suara dan nada, yang secara subjektifnya menggambarkan isi hati si pengirim. Bukan sedikit teman-teman yang mengatakan saya ‘kedekut kredit’, tetapi beginilah saya, lebih gemar berSMS berbanding bercakap di dalam talian kerana pada saya perbualan di telefon terlalu pantas! Kita tidak dapat menyelami setiap kata-katanya.

Membicarakan hal ini, saya teringat satu dialog The Joker di dalam sebuah filem Hollywood bertajuk The Dark Knight yang sudah lebih sepuluh kali saya tonton. “ Do you want to know why i use a knife? Guns are too quick. You can’t savour all the little emotion” . adakah kamu ingin tahu kenapa saya menggunakan pisau? Pistol terlalu pantas. Kamu tidak boleh merasai kesemua emosinya. Begitu juga dengan saya. Kenapa saya lebih suka ber SMs? Kerana panggilan telefon terlalu pantas. Kamu tidak akan dapat merasai kesemua perasaan yang ingin disampaikan. Dengan kata-kata, kita akan dapat menyelami makna dan kejujuran, tetapi dengan butir-butir percakapan, kita hanya akan dapat mendengar bunyi yang ingin disampaikan.

Thursday, November 5, 2009

SN DAN ANUGERAH NOBEL




Memetik isi kandungan sebuah rencana yang disiarkan di sebuah akhbar di negara ini mengenai gesaan agar usaha mempromosikan Sasterawan Negara (SN) ke anugerah Nobel dunia, mempunyai signifikannya yang tersendiri. Umum mengetahui, Malaysia telah mempunyai 10 orang SN, dan hampir separuh daripada mereka telah terlebih dahulu meninggalkan kita. Selain A. Samad Said, Muhammad Haji Salleh dan Anwar Ridhwan yang masih tekal menghasilkan karya, keuzuran SN Shahnon Ahmad, Noordin Hassan, dan Abdullah Hussein menghalang mereka untuk mengasah pena menjana keintelektualan bangsa pada hari ini dengan karya terbaharu.



Perkara inilah yang perlu diteliti oleh pihak berwajib termasuk kerajaan, badan berkanun gergasi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka serta Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang lain. Usaha mempromosikan SN ke Anugerah Nobel perlu diberikan perhatian serius, kerana jika diteliti dari sudut mutu pengkaryaan, SN kita tidak jauh ketinggalan berbanding sasterawan Asia yang pernah merangkul anugerah tersebut seperti Rabindranath Tagore, Yasunari Kawabata, Oe Kenzaburo dan Gao Xingjian.



Malahan, cukup membanggakan apabila beberapa karya SN kita seperti Salina (A. Samad Said), Juara (S. Othman Kelantan) , Naratif Ogonshoto (Anwar Ridhwan) dan Patriarch (Shahnon Ahmad) diiktiraf orang luar sebagai karya penting pada zamannya, lalu menuntut renungan mendalam bahawa SN kita sebenarnya sudah mempunyai kekuatan intelektual untuk merangkul anugerah kesusasteraan tahap tertinggi dunia yang diasaskan oleh Alfred Nobel itu.

Wang ringgit bukanlah segala-galanya, tetapi penghormatan, pengiktirafan dan impak yang bakal terhasil sekiranya seseorang sasterawan itu memenangi Anugerah Nobel amat besar kesannya. Hal ini termasuklah mempromosikan negara, bahasa dan karya kesusasteraan Melayu ke persada antarabangsa dan seterusnya mengangkat nama negara dan bangsa sebagai entiti yang perlu dihormati.

Sejarah telah membuktikan bahawa dunia kesusasteraan Melayu mempunyai galur peradaban yang sangat panjang. Cukup menarik dan indah untuk menjadi salah satu entiti yang mengangkat hegemoni sesebuah negara yang sedang membangun. Lihatlah beberapa negara maju seperti Russia, Perancis, Jerman dan England. Mereka bukan sekadar maju dengan kepesatan teknologi bidang sains, tetapi turut memajukan kepesatan bidang kemanusiaan yang menitikberatkan elemen modal insan kerana perkembangan sains dan manusia perlu bergerak seiring sekiranya kita mahu muncul sebagai sebuah negara maju yang dihormati. Oleh itu, pencalonan ke Anugerah Nobel ini adalah permulaannya, dan kerjasama seluruh rakyat Malaysia dituntut agar menggembleng tenaga memartabatkan sastera Malaysia agar ia diiktiraf sebagai mahakarya yang penting dalam kronologi kesusasteraan dunia.