Monday, November 3, 2008

SAMEER, PUJANGGA DARI BUMI TIKRIT


(Aku dan Sameer)

Dalam beberapa puisiku, aku pernah mendedikasikan puisi itu kepada seorang kenalanku yang bernama Sameer. Dan dalam dedikasi itu, aku menyatakan, 'buat Sameer di bumi Tikrit'.

Ada beberapa orang rakanku yang mengatakan bahawa Sameer hanyalah watak rekaan dan nama yang tidak wujud dalam hidupku. Kata mereka, nama Sameer hanyalah sebagai penyedap bentuk puisi kerana dari situ akan memperlihatkan bahawa aku mempunyai rakan yang datang dari Iraq.

Namun, dalam entri kali ini, aku ingin mendedahkan, siapa dia Sameer. Sameer atau nama penuhnya Sameer Shakir Ahmed Ali merupakan seorang pelajar yang menuntut di Universiti Malaya. Perkenalan kami sudah masuk usia dua tahun, dan aku sangat gembira kerana mempunyai seorang rakan sepertinya. Sangat terbuka, meminati bidang sastera, fasih berbahasa Melayu walaupun mempunyai pemikiran yang agak liberal.

Sameer berasal dari Tikrit, Iraq, dan sudah dua tahun menetap di sini sebagai seorang pelajar di UM.


(Husna- Malaysia,Oew Saw-Vietnam, Sameer-Malaysia(rakyat Iraq),Naoo Palm-Thailand)

Baru-baru ini, kami sempat mengikuti satu program Global Peace Festival anjuran satu badan bukan kerajaan (NGO) di Kampung Kerinchi. Dan dikesempatan inilah aku merakamkan detik-detik ketika kami sedang mengecat sebuah rumah flat. Program ini turut disertai oleh beberapa pelajar dari universiti-universiti seluruh ASEAN seperti Malaysia,Thailand, Indonesia, Vietnam, Kemboja, Myanmar dan Singapura.

Sedikit yang menarik tentang Sameer,beliau sangat meminati bidang kesusasteraan dan kini beliau sedang menyiapkan sebuah novel tentang penderitaan rakyat Iraq ketika peperangan berdasarkan pengalamannya sendiri yang menjadi salah seorang mangsa peperangan di bumi Tikrit, Iraq.


SESUDAH TEDUH HUJAN PERANG, SAUDARA
(buat Sameer, di Bumi Tikrit)

Peperangan itu masih basah
meski hujan derita
kian renyai meluruh
dari sedahan malam yang rontok.

Sesudah teduh hujan perang ini, saudara
bumimu kontang ditimpa gerimis tingkah
dalam deru bayu basah
yang jatuh dari awan amanah
menderai ke hujung sebuah lembah
pengalaman jihad yang bergunung payah.

Sesudah teduh, saudara
hujan ini mungkin
akan turun sekali lagi
tanpa kita punya pohon
dan daun
untuk berteduh di gurun sengketa ini.

ZULFAZLAN JUMRAH
FBMK, Universiti Putra Malaysia.

2 comments:

Anonymous said...

selayang pandang, puisi ini mirip sesudah hujan, dahlia (buat dahlia bukvic di hujung kosovo) - faisal tehrani.

meratah inti, muzik bahasa & lariknya membuat penggemar puisi dibayangi dahlia, bukan sameer.

bagaimana ya, pandangan penulisnya sendiri?

- tuah sujana

Anonymous said...

salam maya buat penyair muda yg sering buat saya ternanti-nanti puisinya di dada akhbar dan media cetak.

Dahlia dan Sameer adalah dua individu berbeza meski mengutip pengalaman pada laman yg yg hampir serupa - perang.

Penggemar puisi pasti mempunyai pandangan yg berbeza. seribu penggemar, pasti mempunyai seribu pandangan.

Sejujurnya puisi ini memang terkesan daripada puisi faisal yg pernah diangkat sebagai pemenang dalam HSKU. Terkesan oleh mesej, inti puisi, ideologi dan menghanyutkan puisi ini terus berbaur dengan puisi faisal sehingga ke muara perasaannya.

mungkin ada yang menganggap bahawa ini adalah satu unsur pelagiat yang cuba dimanipulasikan, tetapi tanggapan itu mempunyai asas yang tidak sekukuh mana. Namun, sebagai penyair yang masih mentah saya menghormati setiap pandangan. Terima kasih.