Monday, July 27, 2009

ANDAI ESOK CINTA INI MILIKMU

Baru-baru ini, dalam kesibukan saya menghadap timbunan tugasan (sebanyak 12 tugasan kesemuanya), saya semakin kurang masa untuk menulis puisi. Saya kini sibuk membuat draf awal tugasan, dan kertas kerja untuk Akademi Sastera yang bakal berlangsung dalam tempoh yang terdekat ini. Kerja membuat draf tugasan, saya selang selikan dengan pembacaan beberapa buah novel seperti Bedar Sukma Bisu, Manikam Kalbu &1515 (Akademi Sastera). Manuklon&Panggil Aku Melaju (Tugasan Sastera Bandingan), Ranjau Sepanjang Jalan (Kritikan Sastera Melayu) serta Himpunan buku-buku rujukan dan timbunan kertas kerja, sambil sesekali melegakan selirat di kepala dengan menikmati kisah cinta manis melalui novel Kak Nisah, Lentera Mustika.

Kelmarin juga, saya ada membeli 2 buah novel sebagai koleksi peribadi. Iaitu novel Ranjau Sepanjang Jalan (dihilangkan oleh adik jiran saya) serta Salina (sudah lama ingin memiliki buku ini). Nasib ternyata menyebelahi saya. Ketika berjalan-jalan di kedai Borders di Berjaya Times Square, saya terserempak dengan Pak Samad, dan langsung meminta beliau menurunkan tanda tangan beliau di novel Salina yang baharu saja saya beli.

Sejujurnya, saya kadangkala terasa penat dengan tugasan ini, namun saya sedar bahawa semua ini merupakan satu pengalaman yang sangat berharga kepada diri saya. Saya tidak pernah merungut, malah sebolehnya saya cuba membahagikan masa dengan sebaik-baiknya. Saya sedang cuba meladeni fenomena baru ini, dan sedang cuba untuk mencintainya. Andai kata esok saya sudah mula mencintainya, barangkali saya akan sedar betapa besar kurniaan Tuhan kepada saya.

ANDAI ESOK CINTA INI MILIKMU
(Srikandi, terima kasih kerana memahami)


Andai esok cinta ini milikmu,
kau nyalakanlah suram duniaku
dengan lentera kasihmu
bersumbukan benang setiamu.

Andai esok cinta ini milikmu
kau perikanlah menjadi syair dan lagu
pada stanza yang pernah kita nyanyikan dulu
saat gemawan redup memayungku
dan mendung rindu itu telah berarak pilu
melarikan cinta kita jauh dari kalbu.

Andai esok cinta ini milikmu
akulah yang akan menjadi milikmu
pada setiap udara kasihmu
pada ulas senyum merekahmu
yang terhembus di nafas waktu.

Biarkan bumi bergegas berlari
dengan kesementaraan yang kita miliki
kita siap siaga bersama
menjalani waktu yang masih tersisa
kerana kasih adalah purnama kita
kerana cinta adalah mentari kita.

Srikandiku juwita,
Telah terlalu banyak yang telah kulupa
dan memoir kelmarin yang masih bernyala
aku kini mengerti membeda
yang kita sebenarnya tidak punyai apa-apa,
kecuali CINTA!


ZULFAZLAN JUMRAH
UPM, SERDANG

1 comment:

ainunl.muaiyanah said...

Ok, bila baca puisi ini teringat pula kata-kata dlaam filem gie

"Kita begitu berbeda dalam semua kecuali dalam cinta"


:).



p/s : Makan nasi minyak jangan lupa jemput. hihi