Beberapa hari yang lalu, saya ada pergi ke Dewan Bahasa bersama-sama dengan dua orang rakan saya. Sejujurnya, kedatangan saya pada kali ini lebih kepada usaha untuk mencari buku-buku yang perlu saya miliki demi melengkapkan tugasan kuliah. Sebelum tiba lagi, saya sudah berangan-angan untuk memiliki dua buah buku bertajuk PANGGIL AKU MELAJU dan MANUKLON kedua-duanya karya RAHMAT HAROUN HASHIM. Saya tidak gusar dengan Panggil Aku Melaju kerana saya percaya buku itu masih banyak di DBP kerana ia diterbitkan pada tahun 2008, tetapi saya risaukan buku Manuklon kerana sangat yakin bahawa buku terbitan tahun 1991 itu tidak lagi dijual di DBP, tetapi tetap yakin barangkali ia termasuk dalam bahagian buku yang dijual secara pukal di sudut tepi DBP.
Namun, sebaik sahaja tiba, segala telahan saya itu benar. Menurut pekerja di kedai itu, buku Manuklon itu sudah lama habis. Dan dengan hati yang sedikit terkilan, saya merayau-rayau untuk melihat-lihat kalau-kalau ada buku yang menarik perhatian saya selain buku Panggil Aku Melaju yang seharusnya saya kaji untuk menyiapkan tugasan Sastera Bandingan saya di bawah seliaan Dr. Kamariah Kamaruddin.
Akhirnya, selain membeli buku Panggil Aku Melaju, saya tertarik untuk membeli tiga naskhah buku lagi. Buku Catatan Dari Laut tulisan Dzulkarnain Ithnain yang juga guru novel saya ketika di Perkampungan Penulis Muda dahulu menarik perhatian saya. Hal ini kerana, novel itu seingat saya merupakan novel pertama yang ditunjukkan oleh beliau selain novel Tragedi 4 Disember (Novel KOMSAS Tingkatan 1) dan novel Nostalgia Padang yang pernah ditunjukkan kepada saya kira-kira empat tahun lalu.
Buku ketiga ialah novel Redang karya Malim Ghozali PK, yang sememangnya saya ingin miliki. Saya tertarik dengan penceritaan saudara Shamsudin Othman dan Aelynorlyana yang begitu gigih dan beria-ia menceritakan jalur kisah dari novel tersebut, dan kerana itu barangkali saya cukup teruja untuk memilikinya.
Naskhah keempat yang saya beli ialah buku proses kratif Kuras-Kuras Kreatif tulisan Ustaz Azizi Abdullah yang saya beli buat kali kedua setelah naskhah pertama yang siap bertanda tangan penulisnya dihilangkan oleh senior saya yang mengaku, mahu mengasah bakat penulisan, tetapi sehingga ke hari ini tidak pernah menulis pun walau sebaris puisi.
Setelah ralit memesrai satu rak ke satu rak, saya akhirnya mengambil keputusan untuk ke Jalan TAR untuk mencari naskhah Manuklon itu kalau-kalau masih ada. Tempat pertama yang saya tuju sudah pastilah Pustaka Mukmin, kerana di situlah saya menemui novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur dahulu, ketika naskhah itu tidak ditemui di DBP. Tiba di sana, kami sekali lagi kecewa kerana menurut pekerjanya, buku itu sudah tidak lagi dijual di sini. Namun, pekerja itu berjanji akan menghubungi saya sekiranya dia berjaya mendapatkan buku itu.
Saya menghabiskan masa kira-kira sejam di situ membelek-belek buku di situ, terutamanya buku berkaitan pedagogi dan kurikulum sekolah. Tanpa sedar, saya hanya mempunyai dua semester (tak sampai setahun) lagi untukl bergelar guru. Setelah penat membelek, akhirnya buku Pedagogi Untuk Kursus Diploma Perguruan memikat hati saya. Saya sukakan buku ini kerana ia mudah, mesra pembaca dan tidak berkhutbah dengan teks yang berjela yang memeningkan kepala saya.
Sebaik pulang, saya masih lagi diulit rasa resah kerana saya perlu juga mendapatkan novel Manuklon itu dalam minggu ini juga supaya jadual susunan tugasan saya tidak terganggu. Lalu, dengan nasihat Kak Rai, saya mengiklankan hasrat saya itu di blog MPR, dengan harapan ada rakan-rakan yang dapat membantu setelah Kak Rai, Kak Nisah dan Abang Din memaklumkan bahawa mereka tidak mempunyai naskhah itu.
Dia berjanji akan mengirimkan saya naskhah itu melalui pos laju. Terima kasih Nissa, atas pertolongan ini. Saya amat menghargainya.
3 comments:
Salam Sdr Zulfazlan,
boleh tahu Pustaka Mukmin ini di celah mana Jalan TAR? Aduh, saya ini kurang tahu tentang kedai-kedai buku di KL..
Terima kasih saya dahulukan!
- Becky
salam sdr,
perkongsian yang menarik.. saya selalu juga beli buku DBP terutama kalau ada jualan meganya atau depa datang UM misalnya..cuma saya tak pula berkongsi di blog..nak buat tak terbuat..hehe
sdr Rebecca,
takpalah saya tolong jawab ye.. Pustaka Mukmin hampir dengan Gedung Kamdar..tak jauh dari Sogo.. jalan mengarah ke Dataran Merdeka..cuma kedai buku itu susah tawaran harganya dan selalunya harga tetap tak dapat tawar lagi.. kalau buku agama lebih bagus ke Fajar Ulung di Gombak..cuma mungkin lebih jauh dan sukar.. kalau info saya sukar difahami sdr Zulfadlan boleh tambah..hehe
Salam sastera.
-Hasmora
sape lah agaknya senior u yang tak reti nak pulangkan buku tu ye?budak kc gak ke?hehehe...i pun ada pengalaman macam tu.so, i learn from exp.lepas kejadian tu,sape2 yang pinjam buku or barang2 i je, i terus je cakap 'jangan lupa pulangkan'.tak kiralah sape pun orangnya.bunyinya memang dengar macam keras @ kedekut.tapi alhamdulillah,nampaknya berkesan.
pustaka Mukmin di jalan TAR. sebaris dengan kamdar.berhadapan dengan kedai buku minerva, kfc,bata,etc.depan kamdar tu ada colosium kot kalau tak silap.
Post a Comment