Syukur, setelah hampir 4 tahun menerokai dunia sastera, tanggal 17 Julai 2009, saya menerima satu penghargaan yang tidak terhingga. Barangkali Hadiah Sastera Darul Ta'zim (HSDT) tidaklah segah Hadiah Sastera Perdana Malaysia atau Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU), kerana ia lebih tertumpu dan dikhaskan untuk warga Johor, namun sejujurnya ia tetap mempunyai signifikan, prestij dan nostalgianya yang tersendiri.
Saya bersyukur, setelah 4 tahun saya mengasah pena dan merangkak mencipta nama di dalam bidang ini, penghargaan ini sedikit sebanyak menyuntik semangat saya dan karyawan yang lain untuk terus melukiskan kebenaran atas nama perjuangan.
Syukur, setelah bertahun ini, dan kadangkala rasa pesimis menguasai diri dengan apa yang saya kerjakan ini, saya gembira kerana bakat saya sudah mula diperhatikan orang dan tanpa sedar ada mata yang sedang memerhatikan saya meneruskan langkah ini.
Saya cukup teruja untuk ke Majlis anjuran Yayasan Warisan Johor, DBP, dan PPJ itu. Perjalanan jauh dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru meski meletihkan(saya asyik tidur sepanjang perjalanan), namun saya sebenarnya cukup teruja dengan perjalanan ini walaupun keletihan mengendalikan satu program penulisan amat dirasai. Dalam keadaan tidur-tidur ayam, saya masih sempat mencuri-curi dengar perbualan En. Salleh Rahmat dan Abang Din di hadapan. Kami sempat singgah di Ayer Hitam untuk makan buah-buahan dan selepas itu meneruskan perjalanan ke JB.
Tiba di sana, kami ditempatkan di Hotel Puteri Pacific, dan saya mempelawa Nimoiz TY untuk bermalam di bilik saya pada malam itu.
Pemenang yang duduk sebaris dengan saya
Majlis bermula pada pukul 8 malam, dan apa yang lebih membuatkan saya rasa terharu ialah apabila saya menemui guru-guru saya ketika di sekolah menengah dan lebih menyentap raa ialah apabila saya bertemu dengan guru-guru puisi dan cerpen saya ketika saya mula mengorak langkah di bidang ini.
Rendra dan Abang Zaid khusyuk menonton teater Dogma
Saya sangat gembira apabila bertemu dengan En Rusdi (orang yang bertanggungjawab membawa saya ke Perkampungan Penulis Muda dan MPR), Cikgu Azhar dan Cikgu Rosli Bakir (Guru puisi saya), Cikgu Hamzah RS (menguruskan perjalanan saya ketika ke PErkampungan Penulis Muda peringkat Kebangsaan), Cikgu Hamzah Hamdan, Cikgu Zul Jemedar (mengajar karangan di sekolah rendah dan menengah), Cikgu Pozi dan Cikgu Zul Jaafar. Tidak lupa juga beberapa insan yang mengentalkan sumber inspirasi saya seperti WB Rendra, Serunai Fakir, Prof Hashim Ismail dan Dr. Mawar Shafei.
Di kanan saya pula, Dr. Mawar dan Pn. Zaharah Nawawi
Kesemua insan ini merupakan insan yang istimewa buat saya. Berjasa, dan sentiasa memberikan sokongan kepada saya selain sentiasa mengambil tahu perkembangan saya sebelum guru saya yang terkini seperti Cikgu Amir, Abang Din, Kak Rai, Dr. Naffi, Abang Zaid, Kak Nisah dan yang lain-lainnya.
Syukur, setelah 4 tahun saya mengasah pena, melarikkannya menjadi susunan aksara yang mempunyai kuasa. Penghargaan ini merupakan satu pendorong semangat yang cukup bermakna. Bukan wang ringgit yang saya pentingkan. Duit boleh habis pada kadar sekelip mata, tetapi pengalaman dan kenangan itu lebih manis dan indah daripada segala-galanya..
Saya akan terus mengangkat pena, mengasah minda dan sesekali menelusuri alur sastera yang berjungkir-balik arusnya. Saya percaya, ketekalan ini hadir daripada dorongan persekitaran yang banyak membantu. Guru, pensyarah, teman-teman MPR (kroni), teman-teman di luar negara dan 'Si Dia' yang istimewa yang sentiasa membugar perkebunan ilham saya.
Doakan saya terus ampuh merentangi gelora ini untuk kesekian kalinya dan kalau saya jatuh, tolong bangunkan saya. Kalau saya terlalu mendongak, tolong nasihatkan saya untuk tunduk semula...
Gambar-gambar lain:
En Salleh dan Abang Din sempat 'trim' rambut
Jalan-jalan di JB
Singgah di Tanjung Pelepas untuk makan Sea Food
Cerpen HAMPARAN KUDUS DI WELLINGTON HALL
MENTARI pagi mencacang, memanah lapis kulit pada kadar kepanasan yang suam-suam. Saifuddin menadah sinaran tipis itu, sambil sempat mencuri pandang wajah Muhaymin yang kemerah-merahan. Barangkali juga menahan malu di hadapan tujuh ratus lapan puluh lima pelajar Wellington College yang segak berbaris lurus. Di sebelahnya, Dzulkarnain, anak Ustaz Amir dari Kedah, turut tertunduk malu.
“Kami tempatkan kamu semua di sini supaya kamu semua belajar bagaimana mahu menjadi sehebat RW Watkinson, pakar bedah yang ternama di Britain, mengikuti jejak kejayaan ahli falsafah yang mampu melaras teori kemanusiaan seperti datuk bandar kita, Senator James Wellington yang juga tokoh pemikir yang menjadi pengasas kolej kita ini, atau setidak-tidaknya menjadi manusia yang tahu apa yang dimaksudkan dengan peraturan.” agak menusuk bicara Profesor Madam Rice, sambil butirnya seperti menahan gelegak kemarahan yang meluap-luap.
“Kami tidak mahu ada antara kamu yang menimbulkan keadaan yang huru-hara dengan mengadakan demonstrasi dan perhimpunan haram berbaur perkauman dan keagamaan. Segala-galanya telah jelas termaktub di sini dan kamu harus mematuhinya. Kita ada The Principle Law of Wellington yang menjadi pegangan kita semua. Kita ada The Order of Wellington Dicipline yang harus diikuti meliputi tujuh fasa mengenai lima disiplin kehidupan di Wellington College, iaitu salah satu daripadanya melarang kamu semua mengadakan perhimpunan haram di dalam kolej. Jadi saya tidak nampak sebab mengapa ada antara kamu yang cuba mencabar kedua-dua peraturan tersebut.
Mencabar The Principle Law of Wellington dan The Order of Wellington Dicipline samalah juga seperti mencabar kedudukan kami semua sebagai pensyarah, pengasuh dan saya sebagai pemangku presiden di sini. Mencabarnya samalah seperti kamu memperlekehkan kami seterusnya menjadi sebahagian daripada kebencian kami terhadap sesiapa saja yang cuba mengubah tradisi peraturan turun-temurun ini. Untuk pengetahuan semua warga Wellington College, mereka bertiga merupakan penuntut kolej ini yang telah menjadi penganjur kepada satu perhimpunan haram berbau perkauman. Mereka bersama ratusan pelajar beragama Islam yang lain telah berdemonstrasi di hadapan Wellington Hall untuk menuntut pihak kolej supaya menurut kehendak mereka. Inikah tujuan kamu datang ke sini?” tegas saja nada Profesor Madam Rice kali ini.
Saifuddin, Muhaymin dan Dzulkarnain mahu menggagau, tetapi tidak terdaya kerana suara mereka seperti tersepit di peti kerongkong. Dalam kesenyapan pelajar kolej yang berpangkalan di London itu, bagai ada petir yang memanah hati mereka ketika ini. Cukup panas dengan hamburan maki bicara Profesor Madam Rice tadi. Pantai jiwa mereka berhempas buih amarah, hampir-hampir saja melanggar perahu iman yang kukuh tertambat. Darah muda tersirap panas, tetapi cepat-cepat disabarkan sekeping hati itu kerana mereka tahu mereka berada di pihak yang benar dan dengan izin-Nya, jihad perjuangan ini akan dipermudahkan nanti. Bukankah Allah itu Maha Penolong?
“Penolong? Maaf, aku tak boleh jadi penolong kau untuk perjumpaan kali ni. Kau tak ingat ke bagaimana Profesor Madam Rice malukan kita di depan budak-budak tu? Malu aku, kau tahu! Merah muka aku, sebaik melihat Julia Granger tersengih-sengih pada aku semalam,” bentak Muhaymin keras, sambil wajah gadis kacukan Irish-Britain berwayang di indera fikir.
“Min, kau malu ke takut?” tanya Saifuddin, mengharap jawapan yang jujur. Dia mengesat peluh yang mula merintik di dahi, sambil mengipas wajah dengan kopiah putih lusuh yang menjadi pakaian rutinnya sejak mula mendaftar di sini setahun yang lalu.
“Dua-dua. Malu ada, takut pun ada. Kau tak ingat amaran Madam Rice semalam? Sesiapa yang cuba mencabar The Principle Law of Wellington dan The Order of Wellington Dicipline samalah juga seperti mencabar mereka, samalah juga seperti cari mati, kau tahu. Mereka helang, sedangkan kita si pipit. Bila-bila masa saja helang yang gagah itu boleh mencakar dan membunuh pipit seperti kita, Din,” balas Muhaymin sambil cuba bermain bahasa. Dia tidak sanggup menanggung malu sekali lagi, apatah lagi rasa sakit tiga das rotan yang ditadahnya semalam masih bersisa.
“ Jadi, kau tak dapat membantu aku? Min, bulan Ramadan dah makin hampir. Aku bukan nak minta kau tolong aku buat perkara yang memakan diri. Perjumpaan kita pada kali ini akan dibuat di luar Wellington College, iaitu pada hari yang sama majlis pecah tanah pembinaan Gereja Katolik Wellington di dalam kolej kita. Pada hari tu, aku yakin yang semua pelajar dan tenaga pengajar di Wellington College akan berpusu-pusu ke sana untuk melihat sendiri Presiden, Senator James Wellington melakukan upacara itu. Nah, ketika itulah kita adakan perjumpaan kita di luar sebentar.
Aku sudah mengumpulkan dua belas Muslimah dari Blok Stamford. Dzulkarnain yang jalankan tugas ni. Dia berhubung dengan mereka melalui satu surat yang diberikankan secara rahsia dari satu lubang tembok di Wellington’s Theme Park. Selain itu, turut menyertai kita ialah lima Muslim’s High Council yang didatangkan khas daripada Perikatan Mahasiswa Islam Malaysia-London dan untuk tugasan kau, aku cuma nak kau menjadi penolong aku memberi penerangan kepada mereka tentang usaha kita kali ini. Aku mahu pada perjumpaan kita nanti, mereka betul-betul faham dengan tujuan kita mengadakan memorandum ini. Kalau perlu dan keadaan mendesak, mungkin kita akan mengadakan rundingan dengan Duta Malaysia di London. Sebenarnya lebih kepada aduan kerana kepentingan dan kebajikan kita seperti terabai di sini. Kau tahu bukan permohonan kita menggunakan Wellington Hall untuk Solat Tarawih pada bulan Ramadan nanti ditolak bulat-bulat oleh Profesor Madam Rice minggu lepas? Jadi, perjumpaan ini lebih kepada satu usaha untuk menghantar memorandum kepada pihak kolej. Presiden Perikatan Mahasiswa Malaysia-London, Tun Asyraf Budiman Tun Jamil sendiri mahu membantu jihad kita kali ini. Wellington Hall perlu didapatkan, agar lapan puluh enam pelajar Islam di Wellington College dapat menunaikan solat Tarawikh secara berjemaah.
Muhaymin terdiam, seperti berfikir sejenak. Benar, permohonan mereka untuk menggunakan Wellington Hall untuk solat Tarawih secara berjemaah telah ditolak bulat-bulat oleh Profesor Madam Rice. Inilah yang dinamakan prejudis yang bersifat sekularisme. Alasan pihak pentadbiran, mereka khuatir kalau-kalau aktiviti solat Tarawih itu menjadi markas pertemuan antara pelajar Wellington College dan alim ulama agama Islam luar yang mampu menimbulkan keadaan huru-hara kelak. Mereka bimbang pertemuan itu akan memulakan bibit-bibit pertentangan berbentuk liberalisme jika penggunaan Wellington Hall itu diluluskan. Pihak pentadbiran juga bimbang kalau-kalau pertemuan itu adalah satu pertemuan yang sengaja dirancang untuk mengalirkan idealisme berbaur keganasan.
“Bagaimana? Kau boleh membantu aku, bukan? Inilah saja jihad kita untuk agama suci kita ini. Memang sukar, lebih-lebih lagi sejak peristiwa serangan World Trade Centre (WTC) pada 11 September, agama Islam telah dicop sebagai agama yang melahirkan pengganas, malah dunia kian memandang serong kepada umat Islam seperti kita kerana mereka merasakan Islamlah agama yang menghancurkan dunia, sedangkan tidak. Islam adalah agama yang suci, sejahtera dan lunas-lunas Islam itu sendiri menjamin kesejahteraan di dunia dan di akhirat buat umat sejagat. Islam itu mengandungi fleksibiliti yang mengacu moraliti. Dalam apa juga situasi pun, Islam tetap relevan dari aspek hukum-hakam dan pelaksanaannya kerana inilah janji Allah di dalam al-Quran. Pihak luar, terutamanya Barat saja yang sengaja mencipta propaganda buruk supaya dunia membenci Islam. Jadi, untuk memperbetulkan tanggapan dunia kepada kita, kita perlu berusaha mengikis tanggapan serong itu. Bagaimana? Inilah waktunya. Berjihad!” lantang suara Saifuddin melontarkan pandangan. Bersungguh-sungguh memujuk Dia juga tahu, Madam Rice sendiri telah termakan hasutan Dr Frederick Fineberg, seorang yang berfahaman sekularisme dan anti-Islam. Jadi, jihad ini pastinya bertambah sukar.
“Baiklah, demi agama yang suci ini, aku setuju. Apa pun yang berlaku, kita harus percaya, Allah sentiasa berada bersama-sama dengan kita,” balas Muhaymin dengan wajah yang riang. Saifuddin di sebelah tersenyum lebar.
11 September 2007/29 Syaaban 1428 H
“BENAR, memorandum ini lebih kepada satu jihad kami untuk menuntut kebajikan dan hak kebebasan beragama kami dan mengamalkannya di Wellington College. Kami telah berusaha untuk mendapatkannya termasuk melalui pelbagai prosedur dan prasyarat yang ketat, namun pihak kolej tetap tidak dapat meluluskannya.” Yakin saja nada Muhaymin menuturkan bicara lewat pertemuan dengan Duta Malaysia, Datuk Syed Aidid Syed Nasir. Dzulkarnain dan Sifuddin di sebelah menyokong dengan anggukkan yang hampir serentak.
“Masalah begini agak sukar sebenarnya kerana ia melibatkan kuasa kolej swasta yang agak terbatas bidang kuasanya dengan kerajaan Britain. Di Britain pihak kerajaan jarang masuk campur dengan perkara-perkara yang bersangkutan dengan pihak swasta.” Balas Datuk Syed Aidid perlahan. Pen Parker emas dipusing-pusingkan di jari. Sekejap ke kanan, sekejap ke kiri.
“Jadi, Datuk tak dapat membantu kami?” tegas Dzulkarnain menjaring rawan persoalan.
“Bukan tidak boleh, tapi saya tak boleh berjanji yang perkara ini akan berjaya. Saya hanya boleh menghubungi pihak Wellington College dan meminta mereka membuat pertimbangan semula. Situasi agak rumit kerana ia melibatkan kerenah birokrasi yang sukar melainkan ia mendapat izin peribadi daripada pengasas Wellington College yang juga datuk bandar di sini, Senator James Wellington. Apa pun, saya mencadangkan kamu balik semula ke kolej dan cuba berunding dengan mereka sekali lagi. Siapa tahu, kalau-kalau kali ini akan berjaya?” balas Datuk Syed Aidid lancar sambil memandang raut wajah mereka bertiga yang membias keresahan.
Majlis pecah tanah pembinaan Gereja Katolik Wellington berjalan dengan meriah. Dari jauh, sorak-sorai mereka tertembus jelas sehingga ke Blok Birch, menandakan upacara itu selamat disempurnakan oleh pengasas Wellington College yang juga datuk bandar di sini, Senator James Wellington. Dan entah apa gerangannya, tiba-tiba suara itu bertukar menjadi satu jeritan raksasa berbunyi panik.
“Kaki Tuan Wellington mengalami masalah kekejangan. Beliau tidak mampu bergerak, seperti terkena kejutan urat saraf secara tiba-tiba,” jeritan Micheal Bernard, warga Nigeria yang sebaya dengan mereka yang menerpa secara tiba-tiba mencuri perhatian mereka.
Saifuddin, Muhaymin dan Dzulkarnanin lantas mendapatkan kelompok manusia yang panik itu. Suasana hingar tiba-tiba. Tuan Wellington terjelepuk duduk di tanah. Suit kot warna putih miliknya kotor akibat terpalit tanah merah yang masih lembap. Saifuddin lantas mendapatkan Tuan Wellington. Dia memapah Tuan Wellington berdiri tegak, mengambil posisi seperti orang yang sedang qiyam selepas takbiratulihram, kemudian, dia meletakkan posisi Tuan Wellington seperti sedang rukuk. Dia tahu, kedudukan itu adalah untuk melancarkan pengaliran darah daripada pembuluh darah yang terdapat di pelipat kaki. Ini memudahkan darah mengalir ke bawah kaki apabila refleksinya menjadi lebih lancar. Akhir sekali, dia meletakdudukkan badan Tuan Wellington seperti orang yang sedang duduk di antara dua sujud kerana dia tahu cara itu akan dapat menegangkan urat-urat kaki dan melancarkan pengaliran darah daripada bahagian paha ke kaki.
Ajaib! Sebaik sahaja Saifuddin selesai melakukan ketiga-tiga perkara asas dalam solat itu, Tuan Wellington mampu berdiri semula. Barangkali rasa kebas sedikit kerana darah sudah mula mengalir ke pembuluh darah. Semua yang ada terpegun dengan langkah pantas anak muda yang mengambil jurusan falsafah itu menyelamatkan keadaan. Cukup pantas dan Tuan Wellington sudah mampu berdiri sebelum sempat pemandunya sampai membawa kereta mewahnya ke perkarangan Wellington College itu untuk dikirimkan ke hospital.
“Terima kasih, anak. Kamu telah berjasa kepada saya. Nama kamu siapa?” soal Tuan Wellington ramah. Ada ukir senyum yang mengulas di bibir merekahnya.
“Saya Saifuddin, pelajar jurusan Falsafah dan Tamadun Manusia,” balasnya pendek. Ada rasa gementar yang bersarang di benak dan jika diturutkan rasa hati, mahu saja terus membangkitkan soal Wellington Hall di sini, tetapi suasananya kurang sesuai.
“Saifuddin, kamu telah menyelamatkan saya. Maka, mengikut teori hukum karmanya, saya perlu membalas jasa baik kamu. Katakanlah, apa saja permintaan kamu yang boleh saya tunaikan. Jika mampu, saya akan tunaikannya. Anggaplah ia sebagai membalas jasa,” balas Tuan Wellington santun. Tunak mata Saifuddin menjalari Dzulkarnain dan Muhaymin di sebelah, sebelum hinggap pada wajah Profesor Madam Rica dan Dr Frederick Fineberg yang berona merah padam tertunduk.
“Kelulusan untuk kami menggunakan Wellington Hall.” Pendek sahaja jawapan Saifuddin dan disertai dengan anggukan berserta senyuman Tuan Wellington. Dzulkarnain dan Muhaymin tersenyum lebar.
13 September 2007/1 Ramadan 1428 H
“ALLAH tidak akan berikan ujian kepada hambanya jika ujian itu tidak mampu kita kendalikan. Percayalah dengan iktikad yang kuat bahawa dialah yang berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu,” kata Saifuddin mengakhiri tazkirahnya pada malam pertama bulan Ramadan kali ini. Alhamdulillah, akhirnya perjuangan mereka untuk menggunakan Wellington Hall bagi tujuan solat Tarawih secara berjemaah pada bulan Ramadan kali ini, direstui Ilahi akhirnya dan sewaktu dia menghamparkan sejadah di atas lantai Wellington Hall yang sudah berusia 40 tahun itu, bagaikan terbias kudus, satu kebesaran Ilahi ke atas kemenangan jihad yang cukup bermakna ini!
6 comments:
salam zul, tahniah! teruskan langkah.
Lan,
tahniah! Bila boleh jumpa ni?
Tahniah. Tapi Tuan Salleh Rahamad tu, memang kuat membeli. Betui dak?
Apapun tahniah. Jangan pandang belakang lagi. tetapi kena pandang bawah, takut tersepak batu. keh keh.
sayang... tahniah au..
Sdra. Zulfazlan,
1. Sememangnya jauh di bawah pentas serta mendalam dalam hati, saya bangga atas kejayaan Sdra. ini. Tahniah besar buat Sdra.
2. Walaupun saya hanya pendorong dan pembuka lorong ke arah bakat penulisan Sdra. (bermula rasmi dengan saya @ DBPWS dalam Perkampungan Penulis Muda Pelajar Johor) namun bakat Sdra. merupakan anugerah besar-Nya.
3. Saya juga bangga atas kejayaan 4 pelajar Perkampungan 2007 yang merangkul semua 6 hadiah kategori penulis bawah 19 tahun (3 cerpen dan 3 puisi).
4. Kejayaan anda ini akan lebih lagi membuka ruang buat saya untuk mengundang Sdra. selaku ikon @ idola contoh dalam Perkampungan akan datang.
tahniah bro! terus berkarya!
Post a Comment