Thursday, August 13, 2009

MEMASYARAKATKAN SENI DAN SASTERA

Hari ini, lewat bacaan saya di waktu senggang(setelah kelas hoki saya dibatalkan), saya membaca beberapa nota kuliah Dr Nik Rafidah Muhamad Affendi yang sempat saya salin daripada percakapannya di bilik kuliah minggu lepas tentang pertembungan pendapat dua tokoh sastera iaitu Pak Asraf dan Hamzah. pertembungan pendapat ini ialah berkaitan dengan gagasan mereka terhadap seni. Pak Asraf memegang gagasan bahawa seni itu milik masyarakat, manakala Hamzah pula tetap dengan pendirian bahawa seni itu adalah untuk seni.




Jika memperkatakan tentang hal ini, saya lebih bersetuju dengan Pak Asraf. Seni itu adalah milik masyarakat. Masyarakatlah yang sebenarnya mencorakkan seni dalam komunitinya, masyarakat jugalah yang bakal menentukan nilai seni itu di mata mereka.

Kualiti seni itu ditentukan sendiri oleh masyarakat, apabila mereka diberikan kuasa untuk mengadili sesebuah karya itu. Dalam konteks pembinaan hegemoni bangsa yang bertamadun, seni yang mampu menggugah ideologi masyarakat dan warga sesebuah negara seharusnya memainkan peranan penting dalam segenap aspek kehidupan. Perkara yang penting di sini ialah penerimaan masyarakat terhadap karya seni itu. Apakah ertinya kita menerbitkan beratus-ratus naskhah buku setahun, tetapi buku-buku itu tidak dibaca oleh masyarakat? Jika hal ini berlaku, di manakah ketepatan konsep itu tadi?



Hari ini, kita dapat melihat bahawa remaja-remaja kita lebih gemar membaca karya-karya ringan dan menjauhi buku-buku sastera yang berat. Adakah karya sastera yang dihasilkan oleh penulis kita terlalu tinggi langgam bahasa dan aspek naratifnya? Perkara ini perlu dijawab sendiri oleh para penulis sastera. Saya tertarik dengan satu kenyataan seorang rakan sekelas (untuk pengetahuan, dia juga mengambil jurusan Bahasa Melayu sama seperti saya) yang mengatakan karya sastera kita pada hari ini merupakan karya yang sangat berat dan sukar difahami. Peliknya, gadis ini meminati karya-karya Hamka, Pramoedya, Pak Habib, WS Rendra, Chairil Anuar,Suparto Brata, Taufik Ismail,sehinggakan sanggup memesannya dari seberang. Akan tetapi, gadis ini mengeluh apabila diminta membuat kajian terhadap novel Dilema Ranting Senja karya Siti Zainon Ismail, hampir pitam membaca Bedar Sukma Bisu karya Faisal Tehrani, dan menguap apabila membaca empat halaman novel Mahabbah karya Shahnon Ahmad.

Saya kembali tertanya-tanya, adakah karya penulis kita terlalu berat? Atau remaja kita pada hari ini semakin malas hendak berfikir? Jika hal ini berterusan, apakah yang akan berlaku dalam tempoh 50 tahun akan datang? Adakah sastera Melayu akan berkubur dan buku-buku sastera Melayu tidak akan diterbitkan lagi kerana tidak ada orang yang mahu membacanya lagi?

Seringkali juga saya menerima dorongan daripada rakan-rakan saya supaya beralih daripada menulis karya-karya sastera (puisi,cerpen dan novel) dan mula menulis novel-novel cinta asyik masyuk yang kini berlambak di pasaran. MEreka katakan kepada saya, remaja pada hari ini gemarkan karya-karya sedemikian. Dan katanya, untuk apa menulis sesuatu yang ramai orang tak faham? Saya memikirkan hal ini berkali-kali. Apa sudah jadi dengan remaja pada hari ini? Benar, mereka telah memasyarakatkan buku dan karya seni, tetapi karya yang menjadi santapan mereka bukanlah karya sastera, tetapi novel-novel popular dan cintan remaja.



Buat kesekian kalinya, saya berfikir lagi. Fenomena sangat rumit. MAsyarakat mahu memasyrakatkan seni, tetapi bukan dalam konteks karya sastera. Penulis sastera pada mereka hanyalah golongan 'seni untuk seni' yang menulis karya sastera untuk menonjolkan kehebatan mereka memutar-belitkan bahasa yang memeningkan kepala mereka. Jadi, persoalannya sekarang, adakah karya sastera kita pada hari ini terlalu berat sehinggakan ia tidak dapat memesrai golongan majoriti pembaca remaja yang bakal menjadi tulang belakang negara? Atau, adakah penulis perlu berubah mengikut selera pembaca, demi memasyarakatkan seni dan sastera agar ia tidak pupus ditelan zaman?

2 comments:

WaRKaH CiNTa said...

Assalamualaikum W.B.T..
Agak berat persoalan-persoalan yang saudara lontarkan. Sepanjang pengalaman saya yang gemar membaca ini, sememangnya agak sukar untuk memahami karya-karya sastera yang berat. Bukan sahaja harus rajin menyelak Kamus Dewan untuk memahami makna perkataan asing, malah harus berfikir sama ada kata-kata yang disampaikan pengarang mempunyai makna tersirat di sebaliknya. Sepanjang usia pengajian di sekolah, guru-guru juga kurang menggalakkkan kami membaca karya-karya sastera di perpustakaan. Mungkin pada pandangan mereka, karya-karya dalam buku teks Komponen Sastera sudah cukup berat untuk kami kaji. Barangkali karya sastera yang mudah-mudah juga sudah memadai. Karya sastera berat hanya akan dibaca jika 'dijumpai' secara tidak sengaja, malah saya mungkin akan berputus asa jika jalan cerita karya tidak menarik minat saya. Bercakap soal karya-karya ringan seperti novel-novel cinta yang berlambak di pasaran, adik bongsu saya dan rakan-rakannya agak menggilai novel-novel tersebut. Mungkin karya-karya sebegini mampu menarik minat mereka untuk membaca, dan seterusnya semoga mereka akan beralih dari fasa minat novel-novel cinta kepada karya-karya sastera pula.

Nakhoda Bangsa said...

Salam Warkah Cinta. Ya, itulah fenomena yang berlaku sekarang. Saya dan beberapa orang rakan sedang membuat pemerhatian tentang perkara ini secara tuntas, dengan didanai oleh sebuah badan bukan kerajaan. Kami kini sedang mendekati pihak-pihak yang boleh menjadi sampel kajian kami. Andaian saudara tepat sekali.