Tuesday, September 8, 2009

MENYELONGKAR USUL DIRI



Lewat kepulangan saya ke kampung halaman pada minggu lepas, menemukan saya kepada satu penemuan usul diri. Selama ini, saya sentiasa tertanya-tanya, adakah bakat yang saya miliki dalam bidang penulisan yang baru setahun jagung cuma ini adalah satu warisan keturunan atau berpunca daripada kegigihan saya mengasah mata pena tanpa pernah mengenal jemu dan putus asa. Setelah tanpa sedar sudah 4 tahun menguliti dunia ini, saya kadangkala tertanya-tanya, mungkinkah moyang-poyang saya juga merupakan seorang penulis? Lalu, persoalan saya ini terjawab setelah saya dibawa pulang ke rumah lama datuk di Batu Pahat, Johor. Ya, rumah itu sebenarnya tidak lebih daripada hanyalah sebuah rumah agam yang usang tanpa penghuni kecuali sesekali disinggahi oleh kami sekeluarga untuk bersuluk sebentar daripada kebingitan dan kesesakan kota. Dikepungi pokok getah yang tidak lagi mengeluarkan susu serta semak samun dusun buah-buahan yang sudah tidak terjaga, siapa sangka ia sebenarnya menyimpan rahsia yang selama ini disembunyikan daripada pengetahuan saya?

Perkara ini sebenarnya secara kebetulan berlaku. Sewaktu saya berasa bosan melayan kerenah anak saudara perempuan berusia 8 tahun yang sering meminta saya mengambinnya di belakang badan, saya mula menggeledah dan menyelongkar isi rumah secara santai. Meneliti barang-barang purba milik arwah datuk antaranya pakaian Melayu lama, potret hitam-putih yang berbingkai usang, koleksi senjata seperti parang dan keris yang sudah berkarat, pedang Jepun yang pernah menjadi sahabat baik datuk di kampung, pinggan mangkuk antik Belanda yang dihadiahkan oleh teman datuk yang berasal dari Sumatera Barat , dan pelbagai perabot usang yang sudah dimamah usia.

Namun, yang paling mengujakan sudah pasti ketika menyelongkar kitab-kitab lama datuk yang menimbun dan kian mereput dimamah usia di sebuah rak yang sudah berhabuk. Kesalnya, kebanyakan kitab-kitab itu ditulis dengan menggunakan tulisan Jawi tangan dalam berbahasa Arab yang hampir saya tidak faham dan minimum penguasaannya kerana tidak pernah belajar untuk menguasainya secara tekal. Di satu sudut rak kayu, ketika saya membelek-belek koleksi buku yang berusia puluhan malah hampir seratus tahun yang kesemuanya ditulis dalam tulisan jawi klasik, saya dihampiri oleh pak cik saya.




Ketika itu, saya sedang membelek sebuah kitab lama bertajuk “ Ini Kitab Perukunan Besar” – Bagi Haji Abdul Rasyid Banjari diambil daripada Setengah Karangan Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari Nafaallahutaala bihilmusliminal amin.”



"Inilah kitab turun temurun moyang kau. Turun temurun sejak dulu. Kita ni keturunan Haji Abdul Rasyid Banjari, anak murid kepada Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari yang merupakan ulama yang besar ketika era Kesultanan Banjar di Kalimantan Selatan. Sekarang kita kenali tempat tu dengan nama Banjarmasin. Pak Ngah tak pelik bila ayah kau beritahu kau tahu menulis cerita, sebab nilah buktinya. Moyang kau dah menulis kitab-kitab ni dulu. Tak sangka kau mewarisi darah seni mereka.”




Kemudian, saya diceritakan oleh Pak Ngah tentang beberapa nama ulama Banjar yang terkenal seperti Muhd. Nafis al-Banjari, Syeikh Usman Syihabuddin al-Futiani, Jamaluddin Muhammad Arsyad dan Muhammad Taib Mas’ud al-Banjari – nama-nama yang begitu asing pada saya, dan kerana itu saya memilih untuk menuliskan nama mereka di dalam peti mesej di telefon bimbit saya.



Saya tahu, saya sudah mula menemui usul diri, dan kian mengerti, bagaimana dan di mana saya memperoleh semua ini. Sedikit hasil penulisan yang telah saya kerjakan selama ini, rupa-rupanya berpucuk dari galur sejarah yang amat panjang.

Lalu, dengan rasa bangga dan perasaan tidak percaya, saya meminta izin untuk menyimpan kitab-kitab tulisan moyang saya sebagai koleksi peribadi yang paling berharga kepada saya di rumah.

5 comments:

Wahyu Budiwa Rendra said...

salam zul. batu pahat di mana tu? kawan pun batu pahat juga. hmm, kena jaga baik2 kitab2 warisan tu, zul.

Syarifah Zulikha al-Yahya said...

tu baru haji rashid.sy lg bangga sbb identiti sy syarifah dan syed

Anonymous said...

salam, awak ni kawan kpd kwn2 sy..awak org batu pahat juga ke?

Anonymous said...

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Saudara, boleh bagi nama FB? Saya berhajat berhubung dengan saudara yg merupakan cucu Haji Abdul Rasyid.

Zulfazlan Jumrah said...
This comment has been removed by the author.