Sunday, January 3, 2010

MENULIS HAIKU: PEMPROSESAN ILHAM YANG BERCEMPERA SERIBU




Amat jarang sekali saya membuat ulasan dan hebahan di blog apabila karya saya tersiar di media. Hal ini kerana, saya memegang satu prinsip bahawa apabila karya kita "diserahkan" kepada umum, maka karya itu sudah menjadi milik masyarakat. Masyarakatlah yang akan menilai karya itu, sama ada untuk mengiktibarkannya, mengabaikannya, mengkritiknya, menyimpannya, mempopularkannya atau boleh jadi juga menyembunyikannya.



Namun, karya saya bertajuk "Haiku Anak Bangsa" yang tersiar di Berita Minggu semalam, benar-benar membuatkan saya teruja untuk mengulas serba sedikit tentangnya kerana ia merupakan sejenis puisi yang amat jarang sekali dicipta oleh penyair-penyair di Malaysia. Mengenang perkara ini, saya teringat kembali peristiwa 2 bulan yang lalu. Dua bulan yang lalu, tidur lena saya dikejutkan oleh suara Ahmad Fedtri Yahya yang mengacarakan rancangan MHI di televisyen. Saya yang ketika itu masih terlayang, antara sedar dengan tidak, lantas membuka mata seluas-luasnya, meski kantuk masih memberat di birai mata usai solat Subuh tadi.



Saya terjaga kerana ketika itu Ahmad Fedtri Yahya sedang membicarakan tentang Haiku, sejenis puisi klasik Jepun yang saya cuba untuk memesrainya setelah saya menganalisis soneta melalui karya-karya Shakespeare, Ghulam Sarwar Yousuf, Henry Howards dan Edna St. Vincent Millay.Haiku adalah puisi pendek yang mempunyai beberapa peraturan. Puisi ini terdiri dari 17 suku kata dalam kombinasi 5-7-5, iaitu :

5 suku kata pada baris pertama
7 suku kata pada baris kedua
5 suku kata pada bari ketiga.

Benar, mencipta Haiku bukanlah sesuatu yang mudah, kerana kita akan menemui pelbagai kesulitan terutamanya dalam usaha membentu suku kata pada setiap baris, pada masa yang sama maksud yang kita cuba sampaikan itu jelas dan nyata.

Selain kombinasi suku kata 5-7-5 ini, kombinasi 5-5-5, 5-6-5, 5-7-4, dan 5-8-5 juga boleh dikategorikan sebagai Haiku. Mencipta Haiku bukanlah satu kerja mudah. Saya, malah menyimpan dua belas draf Haiku Anak Bangsa ini di telefon bimbit saya (tidak lagi menggunakan kertas, saya memanfaatkan aplikasi "notes" di telefon bimbit saya). Saya mengeditnya berpuluh-puluh kali sekiranya ada waktu terluang, dengan tekun sejak dua bulan yang lalu. Sejak dua bulan yang lalu, inilah yang saya kerjakan. Ada perkataan yang dipilih, dibuang, dimasukkan semula, pembinaan draf baru, pemilihan danpertukaran tajuk, pemilihan diksi dan perkataan, kesamaan rima dan yang lebih rumit apabila terpaksa kembali ke peringkat akar umbi, untuk melihat falsafah sajak ini secara keseluruhan. Sungguh, menulis Haiku adalah satu proses memerah dan memeram ilham yang bercempera seribu. dalam berbilion perkataan dalam Bahasa Melayu, hanya beberapa perkataan dipilih dan ia akan diterjemahkan dalam susunan suku kata yang terikat serta kesinambungan rima yang sama tanpa meminggirkan aspek falsafah dan mesej yang cuba disampaikan.

Di sini, saya perturunkan sepenuhnya Haiku tersebut, semoga ia bermanfaat kepada sesiapa sahaja yang mahu mengkaji kuasa kata-kata dan mencintai apa yang dinamakan permainan bahasa dan aksara.

HAIKU ANAK BANGSA

A/nak /bang/sa/ku,
pa/dam /ba/ra /ha/ti/mu,
se/di/ngin /sal/ju.

A/nak /bang/sa/ku,
si/ra/mi/lah /bu/di/mu,
su/bur /se/la/lu.

A/nak /bang/sa/ku,
te/ra/ngi/lah /da/da/mu,
i/man /di /kal/bu.

A/nak /per/ti/wi,
hi/dup /bi/ar /mem/be/ri,
a/ma/lan /di/ri.

Me/ne/ri/ma/lah,
se/ga/la /ra/sa /pa/yah,
ti/a/da /gun/dah.

A/nak /bang/sa/ku,
yang /per/lu /eng/kau /ta/hu,
u/sul /di/ri/mu.

ZULFAZLAN JUMRAH
Kuala Lumpur.

5 comments:

Rusdi Abd Rahman said...

Sdra. Zulfazlan,
Saya membaca puisi ini dalam akhbar, apatah lagi saya mengikuti ruangan puisi khususnya dalam akhbar Mingguan Malaysia, Berita Harian / Berita Minggu, majalah Dewan Sastera, Dewan Siswa, dan Tunas Cipta. Dalam media cetak ini nama anda pasti sentiasa muncul.
Sememangnya anda seorang yang bertambah prolifik (dalam kalangan penulis muda) sama seperti WB Rendra.
Sebagai meneruskan dorongan semangat buat anda (itu saja yang saya mampu...), tahniah atas usaha uji kaji dan paparannya tentang penghasilan sesebuah puisi.

Azura said...

Sdr. Zulfazlan,
Saya fikir, Jendela Selatan belum pernah menerima sebarang haiku. Saya sedia menerbitkannya jika sdr berkesempatan menulis haiku yang lain.

Zulfazlan Jumrah said...

salam en. Rusdi.Terima kasih banyak-banyak atas pujian itu, meski saya tidak benar-benar layak menerimanya. jika tidak kerana dorongan daripada en. Rusdi yg membawa saya ke MPR dulu, mungkin saya tidak dapat mengasah mata pena saya. tentang paparan penghasilan haiku, saya berniat untuk berkongsi ilmu baharu yang saya tahu. barangkali ada yang lebih arif tentang haiku.

puan azura,insyallah saya akan kirimkan kepada puan pada masa akan datang. pada saya, ia unik kerana menggabungkan elemen puisi Jepun yang ditulis di dalam bahasa Melayu.

Radin87 said...

nukilan yang menarik. Teruskan usaha. :D

mr. khairul said...

assalam..boleh beri cetusan idea untuk Haiku bertema perayaan tak?? masih lagi 5 7 5...harap dapat membantu