Tuesday, September 29, 2009

DEALOVA



DEALOVA
(hati, definisikanlah erti cinta ini)

Aku ingin menjadi mimpi indah dalam tidurmu
aku ingin menjadi sesuatu yang mungkin bisa kau rindu
karena langkah merapuh tanpa dirimu
oh karena hati tlah letih

Aku ingin menjadi sesuatu yang selalu bisa kau sentuh
aku ingin kau tahu bahwa ku selalu memujamu
tanpamu sepinya waktu merantai hati
oh bayangmu seakan-akan

Kau seperti nyanyian dalam hatiku
yang memanggil rinduku padamu
seperti udara yang kuhela kau selalu ada

Hanya dirimu yang bisa membuatku tenang
tanpa dirimu aku merasa hilang
dan sepi, dan sepi

Selalu ada, kau selalu ada
selalu ada, kau selalu ada

Kamar Nilam Fansuri.
11 Syawal 1430 H

Saturday, September 26, 2009

SALAM LEBARAN BUAT SEMUA



Menjelang Hari Raya Aidilfitri yang kali ini, saya ingin meminta maaf dan ampun kepada semua pengunjung blog NAKHODA BANGSA sekiranya ada catatan kecil di blog ini mengguris hati dan rasa. Sesungguhnya, saya juga insan biasa yang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Salam Lebaran buat semua.

p/s: Kredit buat Adi yang melukiskan karikatur saya yang cukup menarik.

Tuesday, September 8, 2009

MENYELONGKAR USUL DIRI



Lewat kepulangan saya ke kampung halaman pada minggu lepas, menemukan saya kepada satu penemuan usul diri. Selama ini, saya sentiasa tertanya-tanya, adakah bakat yang saya miliki dalam bidang penulisan yang baru setahun jagung cuma ini adalah satu warisan keturunan atau berpunca daripada kegigihan saya mengasah mata pena tanpa pernah mengenal jemu dan putus asa. Setelah tanpa sedar sudah 4 tahun menguliti dunia ini, saya kadangkala tertanya-tanya, mungkinkah moyang-poyang saya juga merupakan seorang penulis? Lalu, persoalan saya ini terjawab setelah saya dibawa pulang ke rumah lama datuk di Batu Pahat, Johor. Ya, rumah itu sebenarnya tidak lebih daripada hanyalah sebuah rumah agam yang usang tanpa penghuni kecuali sesekali disinggahi oleh kami sekeluarga untuk bersuluk sebentar daripada kebingitan dan kesesakan kota. Dikepungi pokok getah yang tidak lagi mengeluarkan susu serta semak samun dusun buah-buahan yang sudah tidak terjaga, siapa sangka ia sebenarnya menyimpan rahsia yang selama ini disembunyikan daripada pengetahuan saya?

Perkara ini sebenarnya secara kebetulan berlaku. Sewaktu saya berasa bosan melayan kerenah anak saudara perempuan berusia 8 tahun yang sering meminta saya mengambinnya di belakang badan, saya mula menggeledah dan menyelongkar isi rumah secara santai. Meneliti barang-barang purba milik arwah datuk antaranya pakaian Melayu lama, potret hitam-putih yang berbingkai usang, koleksi senjata seperti parang dan keris yang sudah berkarat, pedang Jepun yang pernah menjadi sahabat baik datuk di kampung, pinggan mangkuk antik Belanda yang dihadiahkan oleh teman datuk yang berasal dari Sumatera Barat , dan pelbagai perabot usang yang sudah dimamah usia.

Namun, yang paling mengujakan sudah pasti ketika menyelongkar kitab-kitab lama datuk yang menimbun dan kian mereput dimamah usia di sebuah rak yang sudah berhabuk. Kesalnya, kebanyakan kitab-kitab itu ditulis dengan menggunakan tulisan Jawi tangan dalam berbahasa Arab yang hampir saya tidak faham dan minimum penguasaannya kerana tidak pernah belajar untuk menguasainya secara tekal. Di satu sudut rak kayu, ketika saya membelek-belek koleksi buku yang berusia puluhan malah hampir seratus tahun yang kesemuanya ditulis dalam tulisan jawi klasik, saya dihampiri oleh pak cik saya.




Ketika itu, saya sedang membelek sebuah kitab lama bertajuk “ Ini Kitab Perukunan Besar” – Bagi Haji Abdul Rasyid Banjari diambil daripada Setengah Karangan Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari Nafaallahutaala bihilmusliminal amin.”



"Inilah kitab turun temurun moyang kau. Turun temurun sejak dulu. Kita ni keturunan Haji Abdul Rasyid Banjari, anak murid kepada Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari yang merupakan ulama yang besar ketika era Kesultanan Banjar di Kalimantan Selatan. Sekarang kita kenali tempat tu dengan nama Banjarmasin. Pak Ngah tak pelik bila ayah kau beritahu kau tahu menulis cerita, sebab nilah buktinya. Moyang kau dah menulis kitab-kitab ni dulu. Tak sangka kau mewarisi darah seni mereka.”




Kemudian, saya diceritakan oleh Pak Ngah tentang beberapa nama ulama Banjar yang terkenal seperti Muhd. Nafis al-Banjari, Syeikh Usman Syihabuddin al-Futiani, Jamaluddin Muhammad Arsyad dan Muhammad Taib Mas’ud al-Banjari – nama-nama yang begitu asing pada saya, dan kerana itu saya memilih untuk menuliskan nama mereka di dalam peti mesej di telefon bimbit saya.



Saya tahu, saya sudah mula menemui usul diri, dan kian mengerti, bagaimana dan di mana saya memperoleh semua ini. Sedikit hasil penulisan yang telah saya kerjakan selama ini, rupa-rupanya berpucuk dari galur sejarah yang amat panjang.

Lalu, dengan rasa bangga dan perasaan tidak percaya, saya meminta izin untuk menyimpan kitab-kitab tulisan moyang saya sebagai koleksi peribadi yang paling berharga kepada saya di rumah.

Saturday, September 5, 2009

ANEKDOT 14 RAMADAN



Suatu petang (agak-agak dalam pukul 3 petang), A menerima satu kiriman SMS daripada rakannya, B. Lalu, mereka pun berbalas-balas SMS. Lebih kurang begini SMSnya.

B: Weh, buka mane weh?
A: Aku cam biasa la. Tapau dekat food court. Tak pun nanti aku tanya Sahak, dia gi Masjid Fasa II ke tak. Kalau gi aku polo nanti. Nape dok?
B: Jom buka kat luar nak? Kat Mines. Lu free tak?
A: Mines ea? Adei, gile jauh. Ko nak makan ape kat Mines tu, jauh sangat. Aku takde transport la weh nak gi sana. Roomate aku pakai moto dia.
B: Teringin nak makan pizza la weh. Kita tong-tong ar, beli yang besa punya. Transport? Ala, naik Rapid sudah. Aku tunggu kat sini. Aku dah kat Mines nih.
A: Ayo, gigih kot naik Rapid. Ok la. Ko tunggu kat sana ea. Dalam pukul 5 ke, aku gerak ar gi sana nanti. Nak YM dengan kawan Indon aku pukul 4 nanti. Semalam dah janji dengan dia.
B: Ok, aku tunggu ko kat sini ea. Em, kalau ada buah kurma bawak ar sekali. Huhu...
A: Motif, bawak kurma dari sini? Huhu..ok, nanti dah sampai aku mesej ko.

6.40 Petang/Mines/Kedai Pizza

A: Weh, mane ko? Aku dah kat kedai Pizza ni. Tak nampak ko pun. Ko gi Giant ke?
B: Alamak weh, aku kat Masjid Fasa II. Tadi Roomate aku ajak buka sini. Dia dari rumah mak cik dia dekat Balakong tadi. Terus ambik aku dekat Mines. Sori weh. Aku nak bagitau ko tadi. Dah taip, pastu rupa-rupanya aku tak sent.
A: Lor...Ok, Selamat Berbuka. Nanti bagitau aku ea, ko buka apa dekat Masjid Fasa II. Aku mungkin buka Pizza kot.

A Terus berlalu meninggalkan kedai Pizza, dan keluar dari Pasaraya Mines dan menuju ke sebuah kedai mamak. Namun, A mendapati kedai tersebut sudah penuh. Dengan berat hati, dia melangkah ke kedai 7 Eleven yang berdekatan dan membeli sebuku roti berperisa Vanilla.

Saturday, August 29, 2009

SESEKALI PULANG KE KAMPUNG



SESEKALI PULANG KE KAMPUNG

Ssekali pulang ke kampung
akulah tualang yang mengusung
riuh dalam sepi dan permai kampung
saat rindu ini tidak lagi tertanggung
harapan keluarga tidak lagi terhitung
rintih kalbuku tidak lagi bisa berbohong.

Sesekali pulang ke kampung
nun jauh permatang sepi kurenung
redup mata ayah kutenung
kudus dakap bonda disusuli raung
suara kakak yang sakit kerongkong
memerikan abang yang kini berpoket kosong
dek helai ringgit yang terapung
dan kisah teman yang menggadai pekung-
semuanya tergabung
di pertemuan manis berempah murung.

Sesekali pulang ke mari
ada bauran rasa di diri
antara jeda ketenangan tak terperi
dan suntuk waktu kejap menggari.

ZULFAZLAN JUMRAH
Kuala Lumpur-Ayer Keroh-Johor Bahru
28 OGOS 2009
7 RAMADHAN 1430 H

Friday, August 21, 2009

RAMADHAN YANG KALI INI



Esok, semua umat Islam di dunia bakal menyambut ketibaan bulan Ramadhan al-Mubarak, bulan yang penuh dengan kerahmatan: satu dalam seribu bulan. Seperti biasa, dan seperti tahun-tahun yang sudah, saya cukup teruja untuk menjalani ibadah puasa, kerana waktu inilah saya mampu merehatkan sistem penghadaman saya daripada bekerja, lantaran sifat saya yang kuat makan.



Lewat kiriman SMS daripada teman-teman yang baru sempat saya teliti setelah usai menjawab soalan Ujian 1 bagi subjek Kokurikulum, ada banyak mesej ucapan bertemakan Ramadhan daripada mereka. Ada ucapan yang mengharukan, berbunga-bunga, berbetuk kartun, tulisan jawi, malah tidak kurang juga berpantun dan berpuisi.

Namun, satu kiriman SMS daripada seorang teman sekelas yang agak jarang sekali berhubung dengan saya sejak akhir-akhir ini sedikit mencuri pangkal ingat. Dalam SMSnya, beliau ingin meminta maaf atas segala kesilapan dan dosa yang pernah beliau lakukan terhadap saya. Aneh, kerana saya tak pernah rasa dikhianati atau disakiti oleh sesiapa pun selama ini. Adakah saya yang tidak beremosi, atau sebenarnya memang kesilapannya yang tidak saya sedari, itu tidak dapat saya ketahui sehingga kini.

Saya hanya mengatakan bahawa beliau tidak ada membuat sebarang salah dan silap kepada saya selama ini. Kami agak akrab suatu ketika dahulu, namun setelah beliau berumah tangga hubungan kami sudah tentu menjadi mustahil untuk semesra seperti dahulu. Maha Suci Allah, bukankah meminta dan memberikan kemaafan itu sebaik-baik sifat yang mulia?

Di kesempatan ini, saya juga ingin memohon ampun kepada para pengunjung blog NAKHODA BANGSA yang selama ini mengikuti tulisan-tulisan saya. Maaf, andai ada kata-kata atau entri yang disebutkan di blog ini sedikit menghiris rasa. Saya hanya hamba Allah yang bukan maksum untuk tidak menggarit dosa. Akhir kata, sempena Ramadhan yang kali ini, saya ingin mengucapkan "Selamat Menjalani Ibadah Puasa. Semoga Amalan Kita Sentiasa Diberkati."




RAMADHAN YANG KALI INI II

Yang meratib di sejadah resah
maka akulah;
bersama lafaz zikir yang basah
doa sarat puisi mahabbah
tatkala sujud berserah
meratib butir syahadah
di lantai keampunan Allah.

Aku seperti sang pidana yang terpasung
dalam penjara iman yang terkurung
meski telah kuserpih jendela nafsu
di jeriji jenang hayatku
tatkala zikirku tersedu di malam kelabu
dan sujudku rebah di sejadah doaku.

Akulah sang pidana yang diziarahi
Ramadhan yang kali ini
setelah bermusim nurani ini kontang
dalam telaga noda yang terjang
kehilangan timba di padang perang
antara renyai pahala yang kurang
dan hujan taubatku yang hilang.

Ramadhan yang kali ini
menitip purnama kala merindui
kini sumbu berkat ternyala kembali
di pancang likur rahmat sekali lagi
dalam selaman taman firdausi.

ZULFAZLAN JUMRAH
UPM, Serdang.
21 Ogos 2009

Tuesday, August 18, 2009

SAYA HANYA MAHU MEMBENTANGKAN KERTAS KERJA

Lewat malam begini, ada beberapa perkara yang memberati fikiran saya untuk hari esok. Pertamanya, sudah pasti Program Realiti Akademi Sastera 2009 musim ke-2.Selain itu, saya juga turut bimbang dengan dua perkara lain iaitu ujian Pengujian & Penilaian dan Pembentangan Kritikan Sastera yang akan dilunasi oleh rakan-rakan tanpa kehadiran saya. Saya agak khuatir kerana hampir 80% daripada idea pembentangan itu adalah daripada saya, dan sekiranya terdapat apa-apa kekurangan, teman-teman pula yang perlu menjawabnya.

Ujian Pengujian&Penialaian juga tidak kurang membimbangkan saya. Saya hampir tidak membaca apa-apa pun,dan penundaan ujian ini bakal merencamkan jadual harian saya yang terpaksa dirombak setiap masa. Semuanya kerana pelbagai perkara yang berubah setiap masa. Hm, barangkali inilah dugaanNya kepada saya.

Saat ni, kantuk masih belum mahu memesrai saya, dan saya mengambil keputusan untuk menuliskan entri ini, walaupun besok pagi-pagi saya perlu bangun dan bergegas ke DBP bersama Afiqah. Saya tidak meletakkan apa-apa harapan yang menggunung, kerana saya mahu melenyapkan doktrin bahawa Akademi Sastera ini merupakan satu pertandingan. Saya tidak memandang langsung hadiah-hadiah yang bakal ditawarkan. Sekiranya saya terhenti setakat ini pun, saya puas kerana saya berkesempatan mempelajari serba sedikit tentang dunia kritikan yang hampir tidak pernah saya gauli, melainkan membaca beberapa kertas kerja secara santai.

Saya hanya mahu membentangkan kertas kerja. Tidak lebih dari itu yang mahu saya lakukan untuk khalayak esok. Kalah menang itu adat pertandingan. Apa yang saya harapkan selepas ini, saya terus dibimbing untuk mengkritik, dan saya akan terus belajar untuk menjadi seorang pengkritik. Lebih jauh dari itu, saya akan lebih berbesar hati sekiranya selepas program ini, saya diberikan peluang untuk menghasilkan makalah dan kertas kerja dan sesungguhnya saya amat teruja untuk melakukannya. Itu lebih bermakna buat diri saya.