Wednesday, April 30, 2008

SONETA MUSIM BUNGA

Barangkali sudah agak terlewat untuk aku bercerita tentang pesta buku yang lepas. Namun, apa yang terkesan padaku ketika pesta buku pada kali ini ialah terhadap sebuah buku puisi Pak Samad yang sempat aku beli di gerai Wira Bukit. Puisi yang terkandung di dalam buku yang diberi nama 68 SONETA POHON GINKGO, adalah buah tangan terbaru Pak Samad yang dihasilkan lewat kenangan kunjungannya ke Korea dahulu.

Aku sangat terkesan dengan puisi-puisi yang tamat kukhatamkan pembacaannya sejam selepas membelinya itu sangat menggugah diri ini untuk mengasilkan sebuah puisi yg mempunyai laras rima yang sama. Aku sememangnya mengkagumi puisi-puisi Pak Samad, dan kerana itu mendorong aku untuk terus menguliti puisi-puisinya. Dan 68 SONETA POHON GINKGO adalah koleksi yang sangat baik untuk diteliti, bukan hanya untuk dijamah serasanya, tetapi ditekuni laras rima dan suku katanya...



Pohon ginkgo: Menarik untuk santapan mata sedamainya membenihkan soneta-soneta musim bunga



SONETA BUAT KEKASIH

Telah kusemai bebenih kasih
di batas waktu bertunas di kalbu
di ladang usia perkebunan kasih
tumbuh menjadi sepohon rindu.

Sepohon rindu di perdu hati
berdahan cinta bunganya indah
akar melilit sepotong mimpi
takwa merimbun bertahun sudah.

Bertahun sudah kucari-cari
ketemu damai seluruh raga
kutagih Kekasih cinta abadi
setulus rasa di laman jiwa.

Di laman jiwa kutitip sejati
sekalung cinta pada-Mu Illahi.

PWTC,
Kuala Lumpur

Friday, April 25, 2008

EMEL DARI JAKARTA

Beberapa hari lalu, aku mendapat satu emel daripada seorang rakan penaku dari Jakarta. Barangkali, tidak ada dalam kalangan rakanku di sini yg mngenalinya kerana aku memang sangat berahsia dengan talian pershabatan ini, dan aku memang tidak pernah menceritakan perihalnya kepada sesiapa pun.

Chinta (jangan cepat terkejut, namanya memang klasik begitu) baru sahaja kehilangan teman baiknya pada 20 April lepas, dan aku mendapat beritasadis tersebut pada 23 April yg lalu. Dalam emelnya itu, Chinta dengan hiba berkongsi kesedihannya denganku, dengan mengatakan bahawa kehilangan seorang rakan karibnya (Juiliana Simou) adalah satu tamparan yg sangat hebat yg pernah dilaluinya setakat ini. Aku, meski tidak mengenali Juiliana secara dekat, tapi tetap merasakan kepedihan hatinya kerana aku juga pernah kehilangan orang yang aku sayang.

Mwnurut Chinta, Juilianalah sahabat, teman seperjuangan, adik, dan sahabat yg memahami. Kata Chinta:" Hargakan apa yg kamu genggami pada hari ini, kerana barangkali kamu tak sempat pun mnyentuhnya apabila ia tiada pada hari esok."

Buat Chinta, tabahlah menghadapi dugaan ini, dan buat Juiliana, al-fatihah...

Tuesday, April 15, 2008

SESUATU UKURAN

Kamar Nilam Fansuri - Menjadi medan yang memugar perkebunan ilham ini





Maaf kerana agak lama tidak menulis di blog ini. Barangkali juga kerana 'demam' peperiksaan yang melanda pelajar-pelajar di universiti menjadi penyebab mengapa masa untuk aku meluangkan masa menulis di blog ini agak terbatas.

Kadangkala, letih juga bila minggu peperiksaan menjelang tiba. Waktu beginilah manusia menjadi hipokrit dengan pelbagai rutin yang jauh dari kebiasaan. Waktu beginilah lampu-lampu di hostel terang benderang hingga ke pagi, dan melihat penampilan pelajar yg jauh lebih kemas dan bergaya melangkah ke dalam dewan peperiksaan juga satu perkara yg hanya dilihat menjelang musim peperiksaan ini.

Aku tidak terkecuali untuk bergelumang dalam senario ini. Namun, jauh di sudut hati, secara peribadi aku cukup jelak dengan sistem peperiksaan yg telah berjaya memecah belahkan bangsa dengan mengasingkan mereka mengikut satu ukuran yg dibuat oleh manusia. Kehebatan seseorang itu diukur dengan sejauh mana kehebatan mereka memuntahkan kembali segala macam nota dan maklumat dengan menghitamkan bulatan-bulatan di atas sekeping kertas.

Barangkali akan ada yang menganggap telahanku ini agak keterlaluan, tetapi percayalah bahawa kita sudah jauh ketinggalan dengan sistem peperiksaan yang serba konvensional ini. Akhir kata, SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN...