Sunday, June 29, 2008

SECAWAN CAPPUCCINO DAN SEPIRING KENTANG GORENG DI OLD TASTE WHITE COFFEE

Bagai ada debaran yang tercipta pada petang tadi, sebaik pertemuan yang pada awalnya hanya dirancang 'main-main' oleh kami, tetapi akhirnya membawa kami kepada satu sesi pertemuan yang 'meriah' dengan aneka suara yang riuh rendah di Old Taste White Coffee.

Aku mengenali Suzana sejak kami sama-sama menjadi 'terejal' di sekolah teknik dulu. Kami sekelas, dan selama 2 tahun kami berada di sekolah teknik Batu Pahat, agak banyak kenangan yang sempat kami ciptakan bersama-sama apatah lagi dia merupakan salah seorang AJK di asrama sepertiku.

" Pelik betul aku tengok kau ni. Dulu, bukan main beria-ia lagi belajar civil engineering kat Teknik. Kaulah anak murid kesyangan Tn. Hj Bahanin. Cikgu Kamaliah pun suka kat kau. Setiap kali ada amali, aku tengok hasil kerja kau yang selalu dapat pujian. Tapi, bila aku dapat tahu kau ambik Pendidikan, then jadik orang sastera, aku rasa macam nak tergelak sampai pengsan. Ha..Ha.. Kau ni poyo la. Dah join line-line budak-budak jiwang pulak."





Aku cuma mampu tersenyum, sambil aku mencicip Cappuccino yang kupesan tadi. Suasana di sini agak permai; tidak terlalu riuh, tidak juga terlalu sepi. Dan sebenarnya aku gemarkan keadaan seperti ini, sama saja seperti mana aku menikmati Expresso Solo di Starbuck sama ada di Bangsar atau di sebelah Plaza Kota Raya berhampiran Puduraya. Suzana masih cuba memperlekehkan aku, walau nadanya lebih terjurus bergurau sebenarnya. Namun sejujurnya aku sedikit pun tidak terasa hati lantaran sudah lali dengan kata-kata yg sering mengguris hati begini.

" Come onlah Lan. Kau menulis ni, berapa sen sangat yg kau dapat? Ada seribu dalam sebulan? Takde,kan? Pada aku orang sastera ni poyo. Korang dengan dunia korang je. Berkhayal! Pandai susun ayat-ayat manis, tapi golongan yg baca hasil karya korang ni berapa kerat sangat? Kalau ada pun golongan-golongan korang gak. Member sama member je. Ha..Ha.." Ketawa Suzana masih galak.

Aku masih cuba memujuk hatiku agar terus tenang. Kalaulah tak mengenangkan Suzana adalah kawan karib yg paling banyak membantu aku ketika menjadi AJK di asrama dulu, sudah lama aku menghambur hujah untuk menegakkan pendirianku. Apa? Salahkah aku menjadi seorang penulis? Kalau pun masih tak layak bergelar penyair, apatah lagi seorang sasterawan, sekurang-kurangnya aku menulis dengan niat yang jujur.

Ikhlas aku katakan, duit hasil royalti yg aku dapat tak pernah sekali pun aku gunakan pada perkara yg sia-sia. Aku menggunakan duit itu untuk membeli buku-buku sastera, melanggan majalah Dewan Sastera, Membeli novel-novel rakan penulis, berkelana mencari ilham, memberi kepada mak dan ayah (selalunya mereka menolak kerana mereka bukan pernah merestui penglibatanku di dalam bidang ini dan percaya atau tidak bahawa mereka tidak pernah membaca karya-karyaku) atau setidak-tidaknya membeli makanan untuk lima ekor kucing kesyanganku (Uno, Aslan, Itam, Memel dan Putih)


" Lan, aku nak tanya kau. Selama kau menceburi dunia sastera yang sempit ni kan, dah berapa banyak duit kau dapat?"
" Tak banyak. Adalah sikit. Tapi aku puaslah sebab aku ada menyumbang dalam dunia sastera Melayu ni walaupun dunia ni tak sebesar dan seglamour mana."
" Look! Kau dah tau kan yang bidang ni takde masa depan? So, kenapa kau masih nak bergelumang lagi dalam bidang ni? Wei, better kau join keje macam aku la. Aku banyak dapat tender untuk projek designer under company bapak aku. Lumayan tu takde la sangat, tapi lagi lumayan daripada apa yang kau dapat dengan menulis. Em, aku leh accept la kalau ko jadik cikgu. Tapi jangan la tulis benda-benda yg sastera ni. Kau ingat ada orang nak baca ke? Tengok tajuk je dah tau cerita tu boring. Entah apa-apa. Poyo. Dah tu nak main-main bahasa pulak. Berbelit-belit macam keling. Tak straight to the point!Ha, kalau nak tulis novel pun, buat la macam novel ahadiat akashah. Baru la ada orang nak baca. He..He.."

Tak lama selepas aku 'dibasuh' teruk oleh Suzana, kentang goreng yg kami pesan pun sampai.
" Makan-makan. Aku belanja kau. Dulu masa kat Teknik kau selalu simpankan makanan untuk aku kalau aku lambat sampai hostel,kan? Kalau aku tak sihat pun kau selalu tapaukan makanan untuk aku. Jadi kali ni biar aku belanja kau makan. Lagi pun kita ni susah nak jumpa,kan? Aku busy keje lak tu.."

Aku cuma mengangguk saja. Dalam hati, sebenarnya agak tawar hati ini untuk meneruskan perbualan. Apalah ertinya bertemu kalau dia hanya mahu memperlekehkan aku dan dunia sasteraku yg tak siapa pun tahu? Aku memang tak kuasa nak melayan org2 yg selalu merendah-rendahkan dunia sastera. Dan walau rakan-rakan di PBMP mengutuk dunia sastera tanah air kita pun, aku terus menjarakkan hubunganku dengannya. Malas nak layan!

Pertemuan kami hampir tamat pada kali ini apabila aku meminta diri kerana aku masih belum solat asar. Dan sesuatu yg tak disangka-sangka telah berlaku.

" Lan, kau ada duit tak? Kau bayar dulu harga Cappuccino dengan kentang goreng kita ni. Wallet aku tertinggal kat rumahlah."

Aku tersenyum sinis memandang Suzana yang mukanya sudah setebal lima inci. MErah padam kerana malu. Dan, berbekalkan wang yang baru aku terima hasil tulisanku di ruangan Mahasiswa Menulis di KOSMO! sebulan yang lalu, aku membayar harga makanan kami berdua. Harap-harap Suzana akan mengerti bahawa duit yang aku peroleh melalui penulisan ini telah merobohkan tembok keegoannya hari ini..

Suzana, harap-harap suatu hari nanti kau bisa mengerti betapa dalamnya cintaku pada dunia sastera ini...

Saturday, June 7, 2008

SATU KELAHIRAN DAN PERJANJIAN


I

Sepanjang minggu ini, ada dua peristiwa penting yang berlaku. Pada 6 Jun 2008, aku bersama kakak dan adik lelakiku sempat menjenguk kakakku yang baru saja melahirkan anak keempatnya di Medan. Perjalanan yang meletihkan dari Kuala Lumpur hilang sebaik sahaja melihat wajah Nur Alya Maisarah yang comel. Kata papanya, wajah Alya mirip wajah anak keduanya Nur Shuhadah yang kini sudah semakin tembam. :-)

Kami tidak boleh lama di rumah kakak kerana terpaksa bergegas balik ke rumah kerana keesokan harinya majlis pertunangan kakak akan berlangsung. Inilah dua peristiwa yang menuntut renungan hati yang mendalam. Secara akaliahnya, kedua-duanya saling berkaitan. Kelahiran dan perjanjian pertunangan. Kelahiran itu juga satu perjanjian. Dan pertunangan itu adalah bibit kelahiran satu ukhwah ke gerbang perkahwinan.


Nur Alya Maisarah sedang lena tidur



Memangku Alya yang sedang tidur. Kata kakak, gayaku agak kekok.


Eja yang bakal bertunang esok juga berebut nak memegang Alya yang beratnya 2.8 kg

II

Majlis pertunangan kakak berlangsung dalam keadaan yang sangat sederhana. Memang begitu mahunya, sebab dia takut kalau buat meriah sangat, lepas tu tak jadi apalah ertinya. (betul juga,kan?)

Bila ditanya, adakah dia terasa debaran yang menggoncang? Dengan selamba dia kata; " Adalah sikit."

Aku cuma tersenyum sebaik mendengar jawapan pendeknya itu. Apa tidaknya, kalaulah dipanjangkan umur dan perkahwinannya yang insyaallah dilangsungkan pada hujung tahun ini diizin oleh-Nya, maka dia harus terbang ke negara matahari terbit untuk mengikut suaminya yang bertugas di Narita. Ah, mengapa begini lekas kita berpisah kak?Hm, namun aku terpaksa akur kerana bukankah tempat seorang isteri adalah di sisi suaminya?

Bergambar kenangan dengan kakak. Kalau dah kahwin besok, dah tak dapat peluk-peluk lagi


Ayah (tengah) sedang berbual bersama pihak lelaki
Bacaan doa selepas majlis selamat dijalankan

III

Begitulah dua peristiwa penting yang berlaku dalam tempoh seminggu ini. Kelahiran dan satu perjanjian; dua falsafah hidup yang mempunyai kaitan rapat dan saling berhubung. Demi satu kelahiran, kita semakin dekat dengan-Nya. Dan demi sebuah perjanjian, kita akan kembali kepada-Nya.



Monday, June 2, 2008

SEPOHON BONSAI YANG DICANTAS



Ada seorang penggemar bonsai yang sangat suka memelihara pokok bonsai. Dia sememangnya dikenali ramai kerana sangat arif dalam dunia yang berkaitan dengan apa juga jenis bonsai di dunia ini. Memang ramai yang memerlukan kepakarannya dalam memberikan ceramah, menjemputnya sebagai tetamu khas dalam seminar, dan tidak terkecuali memberikannya beberapa jawatan penting dalam persatuan-persatuan yang ada kene mengena dengan pokok yang satu ini.
Di halaman rumahnya, dia banyak menghasilkan pokok-pokok bonsai yang cantik. Namun yang peliknya, jika ada yang memuji kecantikan bonsainya itu, dia tidak pernah mengatakan bahawa dia berbangga dengan kecantikan bonsainya itu, kerana dikhabarkan bahawa beliau cemburu jika ada orang hanya memuji kecantikan bonsainya, tetapi tidak memuji kecantikannya. Begitulah kebiasaannya fitrah manusia. Aneh bukan? Bonsai yang dikemaskinikan oleh tangannya sendiri sehingga cantik, tetapi bila ada yang memuji kecantikan bonsainya itu, dia pula berasa cemburu. Patutkah?
Pada suatu hari, sedang wanita tua ini asyik mencantas-cantas bonsainya, dia ditegur oleh seorang guru yang mengajar sekolah pondok dan arif bab-bab yang berkaitan dengan agama.
" Puan, saya dah lama nak tanya puan tentang hal ini." kata guru sekolah pondok tersebut.
" Apa dia?" balas wanita tua itu tidak menoleh langsung wajah guru sekolah pondok itu.
" Saya selalu dengar cerita tentang puan. Ramai orang kata, puan sangat marah kalau orang memuji kecantikan bonsai yang puan hasilkan, tetapi tidak memuji puan sekali. Apakah benar dakwaan ini puan?" tanya guru itu tanpa banyak 'bunga-bunga kata' lagi.
" Oh, memang betul tu. Saya cukup marah dan pada saya orang cuma nampak kecantikan bonsai yang saya hasilkan saja, tetapi tidak nampak kehebatan saya dalam mencantas bonsai-bonsai ini." balas wanita itu.
" Begitu rupanya. Begitnilah puan. Saya memang bukan arif dalam bidang yang telah puan ceburi lebih sepuluh tahun ini, tetapi pada saya, tak ada sebab puan perlu marah kalau ada orang-orang yang memuji bonsai puan yang cantik itu." balas guru tua itu lagi.
" Tuan guru, ini bukan soal marah atau tidak. Akan tetapi ia melibatkan maruah saya. Saya yang mencatikkan bonsai ini, maka saya juga mahukan pujian. Ia juga boleh dikatakan maruah saya!" agak tinggi nada suara wanita tua itu.
" Inilah masalahnya manusia. Terlalu mementingkan maruah yang pada hakikatnya bukanlah maruah yang menunjukkan maruah yang sebenarnya. Ia hanya perkara remeh dan melecehkan. Mencantas bonsai sehingga cantik lalu kita sendiri cemburu dengan hasil bonsai kita itu adalah perkara yang pelik. Ia sangat tegar. Apa yang lebih penting sebenarnya adalah bagaimana kita memelihara generasinya sebaiknya. Mencantas bonsai demi mewujudkan kecantikan memang bagus. Akan tetapi, pernahkah kita terfikir lumrah alam? Mengapa tidak kita biarkan pokok itu membesar, menjalani fitrah-Nya sebagai hidupan? Mengapa perlu dicantas-cantas, menjadi cantik, dan seterusnya ia menjadi bahan cemburu kita pula?" kata guru tersebut panjang lebar.
Wanita itu tertunduk. Sedarlah dia bahawa dia sudah melanggar fitrah duniawi. Mengapa perlu dicantas-cantas bonsai itu? Mengapa tidak biarkan saja bonsai itu membesar, berdahan dan seterusnya berbunga di dalam pasu di halaman rumahnya? Bukankah itu lebih baik?