Saturday, January 10, 2009

SEJAMBAK PUISI YANG SARAT ERTI

Hari ini, sebuah puisiku yang bertajuk KERANDA BAHASA telah disiarkan di Berita Harian. Sejurus itu, ada beberapa SMS yang masuk ke telefon bimbitku untuk memaklumkan tentang penyiaran sajakku itu. namun, SMS daripada seorang kenalanku di Johor bernama Aizuddin ternyata cukup terkesan SMSnya berbunyi begini.
"Tahniah, sajak yang memukau. Antara yang terbaik yang pernah aku baca. Teruskan berusaha untuk memperjuangkan bahasa Melayu selagi terdaya. Aku nak kau jadi macam pensyarah kau Shamsudin Othman tu."

Aizuddin (aku panggil dia Din saja) merupakan antara rakan baikku di Johor. Kami tinggal setaman, ke sekolah bersama-sama, pernah memukul junior bersama-sama, bersengkang mata membaiki komputer bersama-sama, dan pengalaman yang paling aku tak boleh lupa dengannya ialah apabila kami pernah menolak motornya yang bocor dari Kota Tinggi ke Bandar Tenggara daripada lewat malam sehingga awal pagi.

Ada juga SMS yang bertanya siapa itu Shamsudin Othman, dan kenapa aku tujukan sajakku itu kepadanya. Jawapannya mudah saja. Beliau adalah pensyarah di kelasku, aku mengenalinya ketika aku masih di Semester 1 di UPM, dan barangkali aku memilihnya kerana kami akrab bersama, dan sering berbincang mengenai banyak perkara.

Padaku, dialah antara pejuang bahasa yang tekal memperjuangkan kedaulatan bahasa Melayu, meski barangkali ada orang yang meremehkan usahanya. Namun, saban hari di kelas, ketika makan dan minum bersama, atau di mana-mana saja, dia tidak putus-putus memperjuangkan tentang kedaulatan bahasa termasuk di blog TANAH NURANInya..

di sini, aku turunkan kembali puisiku itu untuk tatapan pelawat yang sedang membaca:

KERANDA BAHASA
(Percakapan Kepada Shamsudin Othman)

Saudara,
lolong kita barangkali tak pernah menyapa
cuping telinga mereka
yang tuli pada gendang peradaban bangsa.

Jihad kita barangkali saudara,
selintas gesit kelibat cuma
pada sepasang mata mereka
yang rabun pada citra keagungan ibunda.

Di sini saudara,
setelah bertahun kita membebat luka
dan bertahun juga kita berendam air mata
sengsara
apakah akhirnya perlu kita
mengusung keranda bahasa
di dalamnya sejasad maruah terdera
dipenuhi oleh setiap luka kita?

Saudara,
adakah akhirnya nanti
kita harus menguburkan keranda ini
meski masih adanya bulan dan mentari
terbit di langit maruah sebidang tanah pertiwi?

Saudara,
adakah harus kita tanamkan keranda ini
saat daulat ini menuntut dijunjung tinggi
dan setelah menadah hujan derita ini
adakah kita membiar sama sekali
semudah petikan jari
mereka menisankan keranda ini
tanpa bacaan talkin di sisi?

ZULFAZLAN JUMRAH
Putrajaya
(Berita Harian, 10 Januari 2009)

3 comments:

Azhar Salleh said...

Salam Zul,
Cikgu ucapkan tahniah atas penyiaran sajak itu. Sajak yang memang memikat dan menarik sekali untuk diperkatakan. Teruskan usaha Zul untuk memartabatkan BM, kerana jikalau kita tidak bersuara, siapa lagi yg boleh diharapkan? Tahniah sekali lagi. Cikgu menunggu karya seterusnya...

Anonymous said...

salam

'pernah memukul junior bersama-sama..' jgn buli sudah..

saja lompat-lompat blog..

wassalam

wakarchie said...

wah!
sungguh terkesan skali.

tahniah sahabat..