Monday, July 13, 2009

DEA, SEORANG GADIS LAVENDER



Lewat pertemuan dengannya malam tadi, bagaikan ada rasa pilu yang tercipta.

" Nah, ole-ole untuk kau. Aku tau kau suka bunga Lavender. Bunga ini aku beli di Cameron semalam. Amoi yang jual bunga tu kata tahan 5 tahun bunga ni. Sebab dah diawetkan. Entah, aku pun tak tau.Lan, besok pagi-pagi aku dah kena bertolak balik Sabah. Barangkali susah untuk kita berjumpa lagi, melainkan kau minta untuk posting mengajar ke sana nanti. Kau simpanlah bunga ini. Tanda kenangan dari aku. Selama 3 tahun aku bekerja di sini, kau antara orang yang rapat dengan aku. Thanks lan."

Kata-kata Dea agak menusuk kalbu. Aku akui, aku mungkin antara orang yang agak rapat dengannya. Kami kenal ketika sama-sama terlibat dengan satu program Rakan Muda. Dan bermula dari situ, kami sentiasa berhubung dan aku menjadi pendengar kisah hidup dan permasalahannya laksana sang laskar yang setia.




" Thanks Lan sebab sudi jadi kawan aku. Walaupun kita jarang berjumpa, tapi aku gembira sebab pernah ada kawan macam kau. Kalaulah aku belum ada kekasih, aku tak akan lepaskan kau."

Aku tergelak besar, sambil merenung matanya. mencari kalau-kalau ada sinar kejujuran yang terbias daripada kenyataannya itu.

" Betul? Kalau macam tu, kita tunggu dan lihat. Biarkan hati, takdir dan masa yang menentukan segala-galanya. Siapalah kita untuk mencabar, kan? Tapi, jangan pulak kita lupa yang takdir itu jugak sebenarnya ada di dalam tangan kita. Mengiringi setiap usaha-usaha kita." Kataku kepadanya. Jambangan bunga Lavender berwarna ungu masih kemas digenggam di ruas jemari. Sesekali aroma harumnya menyelinap ke indera hidu.

" Betul. Kita mempunyai sedikit kuasa untuk merubah takdir. Begitu juga dengan kau. Ubahlah takdir cinta kau. Dunia bukan hanya untuk orang bercinta, hidup ini pula bukanlah hanya untuk berduka lara. Bukalah hatimu untuk cinta. Cinta yang tulus dan sejati, tiada tandingannya."

" Cinta? Cinta itu menyakitkan, Dea. Cinta itu sejalur penderitaan yang lara. Cinta padaku, tidak lebih dari permainan perasaan manusia. Mencintai, dan kemudian dilukai. Sampai bila aku perlu menguatkan hati untuk segala kesengsaraan ini?"

" Lan, kau terlalu prejudis."

"Tidak Dea. Ini gerabak pengalamanku. bermain dengan cinta yang satu. terpedaya dengan pujuk rayu dan mainan lafaz rindu. Kau pun tahu bukan segala kisah cintaku?"

" Ya, aku tahu, sepertimana yang pernah kau ceritakan kepadaku. Seperti mana pada setiap puisi-puisi cinta laramu yang sering kau bacakan kepadaku. Tapi kau lupa, hidup ini bukan hanya kerana cinta kepada manusia. Cinta kepada Dia adalah cinta yang lebih sempurna. Mengasyikkan dan menggugah rasa. Tulus, dan takkan pernah ada batasannya."

Aku terdiam. Benar, saat kita bahagia, kita sering melupakanNya. Dan mengapa pula di saat hiba kita baru kita mencarinya? Tuhan, Maha SuciMu, aku sebenarnya sudah terlalu lama melupakanMu. Meletakkan cinta terhadap manusia itu lebih agung daripada jiwa yang mencintaiMu. Maha Suci Kau Yang Maha Penyayang, berikan aku kekuatan untuk melawan rasa yang bergelodak di jiwa.

" Lan, bukalah hati untuk mencintai dan dicintai. Meski mencintai dan dicintai kembali adalah satu perkara yang jarang-jarang terjadi, tapi aku yakin kau tetap akan menemui cinta sejati. Di mana? Ia ada di dalam hati."

Aku terkesima. Saat Dea melambaikan tangannya ke arahku, aku masih kaku membisu.

Cintaku, adalah rasa tulus yang satu!
Cintaku, adalah sekeping jiwa yang merindu!
Cintaku, adalah burung yang terbang bebas di langit yang biru!
Cintaku, adalah gemawan yang merintikkan hujan dan salju!
Cintaku, adalah antara aku, Dia dan takdirku!

4 comments:

Anang said...

Salam takzim dari anang..
fazlan,
dapatkan sebuah CITA-CITA sebelum mendapatkan sebuah CINTA kerana CITA-CITA lebih berharga daripada sebuah CINTA yang merosak jiwa..

Wahyu Budiwa Rendra said...

salam sukses zul.
insya-Allah nanti bertemu; dengan cinta dan kita - di persada. tahniah!

ainunl.muaiyanah said...

lan.. lavender itu bunga cinta saya. Bunga yang saya jatuh hati dengannya bertahun tahun dahulu..

bunga yang dikarangd engan warna cinta saya warna duka.


aduh.. wanginya bunga itu buat saya jadi kasmaran

.: S.A.Y.A :. said...

Assalamualaikum lan...
Lan...cinta redha Ilahi hanyalah cinta setelah kamu lafazkan ijab dan kabul...
Sesungguhnya, itulah cinta kerana Ilahi..
Mencintai setelah terikat dengan ikatan yang suci...
Cinta sebelum menikahi, banyaknya bersalut kepura-puraan, melalaikan dan membuatkan kita lupa dgn-Nya, ibarat lembu dicucuk hidung (kita menurut segala kehendak hati demi cinta manusiawi), maka terjebaklah kita dalam zina hati (sungguh, zina ht yg terlalu sukar utk kita hindari)...
Lan...kuatkan hati...
Ketika hati kamu gundah antara kecintaan hatimu dan redha tuhanmu, mengertilah...
Sesungguhnya apa yg diredhai-Nya pastinya yg terbaik utk diri kamu. Lan, jika kamu meninggalkan sesuatu yg kamu cintai hanya kerana Allah, pasti Dia akn menggantikan utk kamu sesuatu yg jauh lebih baik...
Lan, kalau ada kesempatan, cubalah dengar dan hayati lagu "Kuserah Cinta-Inteam"...
Moga kamu sentiasa dirahmati...
X perlu bersedih kerana cinta dunia... =)