Tuesday, July 28, 2009

" WE PAY FOR OUR LECTURER"




Semalam, saya sempat berbual agak panjang dengan Syam yang baru seminggu pulang dari Korea. Kesempatan mengikuti program pertukaran pelajar di Korea memberikan satu pengalaman yang sangat berguna dan sukar dilupakan olehnya. Lalu, bertemankan segelas teh O ais, limau ais dan mi goreng mamak, perbualan kami memanjang dengan hal-hal yang amat mengujakan.



" Aku tak rasa menyesal ikut program ni. Kat sana, aku masuk kelas Globalization, Humanity & The Environment. Kau tau, minggu pertama kami menonton filem animasi Wall-E, minggu kedua kami menonton filem Blades Runner, lepas tu minggu Terakhir kami menonton The Wizard Of Oz



Kami diminta untuk cuba gabungkan nilai yang wujud dari 3 filem tu menerusi gambar dan gambar itu jugalah hasil projek akhir untuk kelas Globalization, Humanity & The Environment yang sememangnya sarat dengan perbincangan falsafah yang agak sukar dicapai dek akal fikirku yang masih ketandusan ilmu.

Aku masih ingat lagi, kata-kata sorang kawan aku. Budak Korea. Masa tu aku tanya dia, kenapa diorang suka berhujah dengan lecturer diorang. Kau tahu dia jawab apa? Dia kata "We Pay For Our Lecturer". Then aku tanya la dia maksud dia apa. Dia kata, diorang semua bayar yuran, jadi diorang berhak untuk dapat lebih daripada apa yang sepatutnya diorang dapat. Kalaulah lecturer tu punya falsafah, pemikiran, ideologi sama macam student, jadi apa bezanya antara student dengan lecturer?

Dia kata, seorang lecturer yang baik, perlu memberikan sesuatu yang tak pernah terjangkau dek akal fikiran pelajar-pelajarnya.Pembelajaran kat dalam kelas bukan lagi sekadar chalk and talk, power point, transparensi, tapi perlu lebih bersifat membina pemikiran. Bina kesedaran insan dalam cara yang lebih menyeronokkan. Exam-exam ni takde sangat. Lecturer yang baik kena tahu macamana nak rangsang pemikiran student. Sebab tu kalau kat sana, student gaduh dengan lecturer kat dalam kelas tu dah satu lumrah. Gaduh dalam konteks ilmiah, berdebat untuk menyebarkan ilmu. Fenomena macam tu ada kat mana-mana. Lecturer pulak tak pernah rasa diri dia hebat,banyak ilmu. Student pun tak rasa rendah diri untuk berdebat dan berhujah dengan lecturer, walaupun kadang-kadang benda tu benda simple je."

Saya terdiam apabila memikirkan fenomena tersebut. Hairan, kerana di luar negara, mahasiswa diajar untuk berdebat, berbahas dan sanggup bertekak kerana ilmu. Tetapi, kenapa tidak di sini? Sejujurnya, saya gemarkan suasana begini. Mahasiswa kreatif dan punyai keterampilan diri yang baik dalam proses menuntut ilmu. Tak salah berbahas kerana ilmu. Bukankah perdebatan antara ilmuan itu rahmat? Mudah-mudahan, fenomena mahasiswa beku, lesu dan kaku ini akan berubah juga suatu hari nanti, apabila pihak kerajaan tidak lagi melaksanakan exam oriented dalam sistem pendidikan. Sistem ini hanya akan membunuh anak bangsa kita. Selain itu, peranan guru dan pendidik (termasuk saya) juga perlu berubah. Jadilah lebih kreatif dan subjektif. Terokai segala kemungkinan peluang-peluang untuk menyampaikan ilmu yang ada, tanpa terlalu terikat dengan protokol purba yang entah apa-apa.

Syam: Aku suka pada kata-kata terakhir dalam filem The Wizard Of Oz (1939) :

“There is no place like home”

Monday, July 27, 2009

ANDAI ESOK CINTA INI MILIKMU

Baru-baru ini, dalam kesibukan saya menghadap timbunan tugasan (sebanyak 12 tugasan kesemuanya), saya semakin kurang masa untuk menulis puisi. Saya kini sibuk membuat draf awal tugasan, dan kertas kerja untuk Akademi Sastera yang bakal berlangsung dalam tempoh yang terdekat ini. Kerja membuat draf tugasan, saya selang selikan dengan pembacaan beberapa buah novel seperti Bedar Sukma Bisu, Manikam Kalbu &1515 (Akademi Sastera). Manuklon&Panggil Aku Melaju (Tugasan Sastera Bandingan), Ranjau Sepanjang Jalan (Kritikan Sastera Melayu) serta Himpunan buku-buku rujukan dan timbunan kertas kerja, sambil sesekali melegakan selirat di kepala dengan menikmati kisah cinta manis melalui novel Kak Nisah, Lentera Mustika.

Kelmarin juga, saya ada membeli 2 buah novel sebagai koleksi peribadi. Iaitu novel Ranjau Sepanjang Jalan (dihilangkan oleh adik jiran saya) serta Salina (sudah lama ingin memiliki buku ini). Nasib ternyata menyebelahi saya. Ketika berjalan-jalan di kedai Borders di Berjaya Times Square, saya terserempak dengan Pak Samad, dan langsung meminta beliau menurunkan tanda tangan beliau di novel Salina yang baharu saja saya beli.

Sejujurnya, saya kadangkala terasa penat dengan tugasan ini, namun saya sedar bahawa semua ini merupakan satu pengalaman yang sangat berharga kepada diri saya. Saya tidak pernah merungut, malah sebolehnya saya cuba membahagikan masa dengan sebaik-baiknya. Saya sedang cuba meladeni fenomena baru ini, dan sedang cuba untuk mencintainya. Andai kata esok saya sudah mula mencintainya, barangkali saya akan sedar betapa besar kurniaan Tuhan kepada saya.

ANDAI ESOK CINTA INI MILIKMU
(Srikandi, terima kasih kerana memahami)


Andai esok cinta ini milikmu,
kau nyalakanlah suram duniaku
dengan lentera kasihmu
bersumbukan benang setiamu.

Andai esok cinta ini milikmu
kau perikanlah menjadi syair dan lagu
pada stanza yang pernah kita nyanyikan dulu
saat gemawan redup memayungku
dan mendung rindu itu telah berarak pilu
melarikan cinta kita jauh dari kalbu.

Andai esok cinta ini milikmu
akulah yang akan menjadi milikmu
pada setiap udara kasihmu
pada ulas senyum merekahmu
yang terhembus di nafas waktu.

Biarkan bumi bergegas berlari
dengan kesementaraan yang kita miliki
kita siap siaga bersama
menjalani waktu yang masih tersisa
kerana kasih adalah purnama kita
kerana cinta adalah mentari kita.

Srikandiku juwita,
Telah terlalu banyak yang telah kulupa
dan memoir kelmarin yang masih bernyala
aku kini mengerti membeda
yang kita sebenarnya tidak punyai apa-apa,
kecuali CINTA!


ZULFAZLAN JUMRAH
UPM, SERDANG

Wednesday, July 22, 2009

SATU PENGHARGAAN DI HSDT VII

Syukur, setelah hampir 4 tahun menerokai dunia sastera, tanggal 17 Julai 2009, saya menerima satu penghargaan yang tidak terhingga. Barangkali Hadiah Sastera Darul Ta'zim (HSDT) tidaklah segah Hadiah Sastera Perdana Malaysia atau Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU), kerana ia lebih tertumpu dan dikhaskan untuk warga Johor, namun sejujurnya ia tetap mempunyai signifikan, prestij dan nostalgianya yang tersendiri.

Saya bersyukur, setelah 4 tahun saya mengasah pena dan merangkak mencipta nama di dalam bidang ini, penghargaan ini sedikit sebanyak menyuntik semangat saya dan karyawan yang lain untuk terus melukiskan kebenaran atas nama perjuangan.

Syukur, setelah bertahun ini, dan kadangkala rasa pesimis menguasai diri dengan apa yang saya kerjakan ini, saya gembira kerana bakat saya sudah mula diperhatikan orang dan tanpa sedar ada mata yang sedang memerhatikan saya meneruskan langkah ini.

Saya cukup teruja untuk ke Majlis anjuran Yayasan Warisan Johor, DBP, dan PPJ itu. Perjalanan jauh dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru meski meletihkan(saya asyik tidur sepanjang perjalanan), namun saya sebenarnya cukup teruja dengan perjalanan ini walaupun keletihan mengendalikan satu program penulisan amat dirasai. Dalam keadaan tidur-tidur ayam, saya masih sempat mencuri-curi dengar perbualan En. Salleh Rahmat dan Abang Din di hadapan. Kami sempat singgah di Ayer Hitam untuk makan buah-buahan dan selepas itu meneruskan perjalanan ke JB.

Tiba di sana, kami ditempatkan di Hotel Puteri Pacific, dan saya mempelawa Nimoiz TY untuk bermalam di bilik saya pada malam itu.


Pemenang yang duduk sebaris dengan saya

Majlis bermula pada pukul 8 malam, dan apa yang lebih membuatkan saya rasa terharu ialah apabila saya menemui guru-guru saya ketika di sekolah menengah dan lebih menyentap raa ialah apabila saya bertemu dengan guru-guru puisi dan cerpen saya ketika saya mula mengorak langkah di bidang ini.


Rendra dan Abang Zaid khusyuk menonton teater Dogma


Saya sangat gembira apabila bertemu dengan En Rusdi (orang yang bertanggungjawab membawa saya ke Perkampungan Penulis Muda dan MPR), Cikgu Azhar dan Cikgu Rosli Bakir (Guru puisi saya), Cikgu Hamzah RS (menguruskan perjalanan saya ketika ke PErkampungan Penulis Muda peringkat Kebangsaan), Cikgu Hamzah Hamdan, Cikgu Zul Jemedar (mengajar karangan di sekolah rendah dan menengah), Cikgu Pozi dan Cikgu Zul Jaafar. Tidak lupa juga beberapa insan yang mengentalkan sumber inspirasi saya seperti WB Rendra, Serunai Fakir, Prof Hashim Ismail dan Dr. Mawar Shafei.


Di kanan saya pula, Dr. Mawar dan Pn. Zaharah Nawawi

Kesemua insan ini merupakan insan yang istimewa buat saya. Berjasa, dan sentiasa memberikan sokongan kepada saya selain sentiasa mengambil tahu perkembangan saya sebelum guru saya yang terkini seperti Cikgu Amir, Abang Din, Kak Rai, Dr. Naffi, Abang Zaid, Kak Nisah dan yang lain-lainnya.

Syukur, setelah 4 tahun saya mengasah pena, melarikkannya menjadi susunan aksara yang mempunyai kuasa. Penghargaan ini merupakan satu pendorong semangat yang cukup bermakna. Bukan wang ringgit yang saya pentingkan. Duit boleh habis pada kadar sekelip mata, tetapi pengalaman dan kenangan itu lebih manis dan indah daripada segala-galanya..

Saya akan terus mengangkat pena, mengasah minda dan sesekali menelusuri alur sastera yang berjungkir-balik arusnya. Saya percaya, ketekalan ini hadir daripada dorongan persekitaran yang banyak membantu. Guru, pensyarah, teman-teman MPR (kroni), teman-teman di luar negara dan 'Si Dia' yang istimewa yang sentiasa membugar perkebunan ilham saya.

Doakan saya terus ampuh merentangi gelora ini untuk kesekian kalinya dan kalau saya jatuh, tolong bangunkan saya. Kalau saya terlalu mendongak, tolong nasihatkan saya untuk tunduk semula...

Gambar-gambar lain:


En Salleh dan Abang Din sempat 'trim' rambut





Jalan-jalan di JB


Singgah di Tanjung Pelepas untuk makan Sea Food

Cerpen HAMPARAN KUDUS DI WELLINGTON HALL

MENTARI pagi mencacang, memanah lapis kulit pada kadar kepanasan yang suam-suam. Saifuddin menadah sinaran tipis itu, sambil sempat mencuri pandang wajah Muhaymin yang kemerah-merahan. Barangkali juga menahan malu di hadapan tujuh ratus lapan puluh lima pelajar Wellington College yang segak berbaris lurus. Di sebelahnya, Dzulkarnain, anak Ustaz Amir dari Kedah, turut tertunduk malu.

“Kami tempatkan kamu semua di sini supaya kamu semua belajar bagaimana mahu menjadi sehebat RW Watkinson, pakar bedah yang ternama di Britain, mengikuti jejak kejayaan ahli falsafah yang mampu melaras teori kemanusiaan seperti datuk bandar kita, Senator James Wellington yang juga tokoh pemikir yang menjadi pengasas kolej kita ini, atau setidak-tidaknya menjadi manusia yang tahu apa yang dimaksudkan dengan peraturan.” agak menusuk bicara Profesor Madam Rice, sambil butirnya seperti menahan gelegak kemarahan yang meluap-luap.

“Kami tidak mahu ada antara kamu yang menimbulkan keadaan yang huru-hara dengan mengadakan demonstrasi dan perhimpunan haram berbaur perkauman dan keagamaan. Segala-galanya telah jelas termaktub di sini dan kamu harus mematuhinya. Kita ada The Principle Law of Wellington yang menjadi pegangan kita semua. Kita ada The Order of Wellington Dicipline yang harus diikuti meliputi tujuh fasa mengenai lima disiplin kehidupan di Wellington College, iaitu salah satu daripadanya melarang kamu semua mengadakan perhimpunan haram di dalam kolej. Jadi saya tidak nampak sebab mengapa ada antara kamu yang cuba mencabar kedua-dua peraturan tersebut.

Mencabar The Principle Law of Wellington dan The Order of Wellington Dicipline samalah juga seperti mencabar kedudukan kami semua sebagai pensyarah, pengasuh dan saya sebagai pemangku presiden di sini. Mencabarnya samalah seperti kamu memperlekehkan kami seterusnya menjadi sebahagian daripada kebencian kami terhadap sesiapa saja yang cuba mengubah tradisi peraturan turun-temurun ini. Untuk pengetahuan semua warga Wellington College, mereka bertiga merupakan penuntut kolej ini yang telah menjadi penganjur kepada satu perhimpunan haram berbau perkauman. Mereka bersama ratusan pelajar beragama Islam yang lain telah berdemonstrasi di hadapan Wellington Hall untuk menuntut pihak kolej supaya menurut kehendak mereka. Inikah tujuan kamu datang ke sini?” tegas saja nada Profesor Madam Rice kali ini.

Saifuddin, Muhaymin dan Dzulkarnain mahu menggagau, tetapi tidak terdaya kerana suara mereka seperti tersepit di peti kerongkong. Dalam kesenyapan pelajar kolej yang berpangkalan di London itu, bagai ada petir yang memanah hati mereka ketika ini. Cukup panas dengan hamburan maki bicara Profesor Madam Rice tadi. Pantai jiwa mereka berhempas buih amarah, hampir-hampir saja melanggar perahu iman yang kukuh tertambat. Darah muda tersirap panas, tetapi cepat-cepat disabarkan sekeping hati itu kerana mereka tahu mereka berada di pihak yang benar dan dengan izin-Nya, jihad perjuangan ini akan dipermudahkan nanti. Bukankah Allah itu Maha Penolong?

“Penolong? Maaf, aku tak boleh jadi penolong kau untuk perjumpaan kali ni. Kau tak ingat ke bagaimana Profesor Madam Rice malukan kita di depan budak-budak tu? Malu aku, kau tahu! Merah muka aku, sebaik melihat Julia Granger tersengih-sengih pada aku semalam,” bentak Muhaymin keras, sambil wajah gadis kacukan Irish-Britain berwayang di indera fikir.

“Min, kau malu ke takut?” tanya Saifuddin, mengharap jawapan yang jujur. Dia mengesat peluh yang mula merintik di dahi, sambil mengipas wajah dengan kopiah putih lusuh yang menjadi pakaian rutinnya sejak mula mendaftar di sini setahun yang lalu.

“Dua-dua. Malu ada, takut pun ada. Kau tak ingat amaran Madam Rice semalam? Sesiapa yang cuba mencabar The Principle Law of Wellington dan The Order of Wellington Dicipline samalah juga seperti mencabar mereka, samalah juga seperti cari mati, kau tahu. Mereka helang, sedangkan kita si pipit. Bila-bila masa saja helang yang gagah itu boleh mencakar dan membunuh pipit seperti kita, Din,” balas Muhaymin sambil cuba bermain bahasa. Dia tidak sanggup menanggung malu sekali lagi, apatah lagi rasa sakit tiga das rotan yang ditadahnya semalam masih bersisa.

“ Jadi, kau tak dapat membantu aku? Min, bulan Ramadan dah makin hampir. Aku bukan nak minta kau tolong aku buat perkara yang memakan diri. Perjumpaan kita pada kali ini akan dibuat di luar Wellington College, iaitu pada hari yang sama majlis pecah tanah pembinaan Gereja Katolik Wellington di dalam kolej kita. Pada hari tu, aku yakin yang semua pelajar dan tenaga pengajar di Wellington College akan berpusu-pusu ke sana untuk melihat sendiri Presiden, Senator James Wellington melakukan upacara itu. Nah, ketika itulah kita adakan perjumpaan kita di luar sebentar.

Aku sudah mengumpulkan dua belas Muslimah dari Blok Stamford. Dzulkarnain yang jalankan tugas ni. Dia berhubung dengan mereka melalui satu surat yang diberikankan secara rahsia dari satu lubang tembok di Wellington’s Theme Park. Selain itu, turut menyertai kita ialah lima Muslim’s High Council yang didatangkan khas daripada Perikatan Mahasiswa Islam Malaysia-London dan untuk tugasan kau, aku cuma nak kau menjadi penolong aku memberi penerangan kepada mereka tentang usaha kita kali ini. Aku mahu pada perjumpaan kita nanti, mereka betul-betul faham dengan tujuan kita mengadakan memorandum ini. Kalau perlu dan keadaan mendesak, mungkin kita akan mengadakan rundingan dengan Duta Malaysia di London. Sebenarnya lebih kepada aduan kerana kepentingan dan kebajikan kita seperti terabai di sini. Kau tahu bukan permohonan kita menggunakan Wellington Hall untuk Solat Tarawih pada bulan Ramadan nanti ditolak bulat-bulat oleh Profesor Madam Rice minggu lepas? Jadi, perjumpaan ini lebih kepada satu usaha untuk menghantar memorandum kepada pihak kolej. Presiden Perikatan Mahasiswa Malaysia-London, Tun Asyraf Budiman Tun Jamil sendiri mahu membantu jihad kita kali ini. Wellington Hall perlu didapatkan, agar lapan puluh enam pelajar Islam di Wellington College dapat menunaikan solat Tarawikh secara berjemaah.

Muhaymin terdiam, seperti berfikir sejenak. Benar, permohonan mereka untuk menggunakan Wellington Hall untuk solat Tarawih secara berjemaah telah ditolak bulat-bulat oleh Profesor Madam Rice. Inilah yang dinamakan prejudis yang bersifat sekularisme. Alasan pihak pentadbiran, mereka khuatir kalau-kalau aktiviti solat Tarawih itu menjadi markas pertemuan antara pelajar Wellington College dan alim ulama agama Islam luar yang mampu menimbulkan keadaan huru-hara kelak. Mereka bimbang pertemuan itu akan memulakan bibit-bibit pertentangan berbentuk liberalisme jika penggunaan Wellington Hall itu diluluskan. Pihak pentadbiran juga bimbang kalau-kalau pertemuan itu adalah satu pertemuan yang sengaja dirancang untuk mengalirkan idealisme berbaur keganasan.

“Bagaimana? Kau boleh membantu aku, bukan? Inilah saja jihad kita untuk agama suci kita ini. Memang sukar, lebih-lebih lagi sejak peristiwa serangan World Trade Centre (WTC) pada 11 September, agama Islam telah dicop sebagai agama yang melahirkan pengganas, malah dunia kian memandang serong kepada umat Islam seperti kita kerana mereka merasakan Islamlah agama yang menghancurkan dunia, sedangkan tidak. Islam adalah agama yang suci, sejahtera dan lunas-lunas Islam itu sendiri menjamin kesejahteraan di dunia dan di akhirat buat umat sejagat. Islam itu mengandungi fleksibiliti yang mengacu moraliti. Dalam apa juga situasi pun, Islam tetap relevan dari aspek hukum-hakam dan pelaksanaannya kerana inilah janji Allah di dalam al-Quran. Pihak luar, terutamanya Barat saja yang sengaja mencipta propaganda buruk supaya dunia membenci Islam. Jadi, untuk memperbetulkan tanggapan dunia kepada kita, kita perlu berusaha mengikis tanggapan serong itu. Bagaimana? Inilah waktunya. Berjihad!” lantang suara Saifuddin melontarkan pandangan. Bersungguh-sungguh memujuk Dia juga tahu, Madam Rice sendiri telah termakan hasutan Dr Frederick Fineberg, seorang yang berfahaman sekularisme dan anti-Islam. Jadi, jihad ini pastinya bertambah sukar.

“Baiklah, demi agama yang suci ini, aku setuju. Apa pun yang berlaku, kita harus percaya, Allah sentiasa berada bersama-sama dengan kita,” balas Muhaymin dengan wajah yang riang. Saifuddin di sebelah tersenyum lebar.

11 September 2007/29 Syaaban 1428 H

“BENAR, memorandum ini lebih kepada satu jihad kami untuk menuntut kebajikan dan hak kebebasan beragama kami dan mengamalkannya di Wellington College. Kami telah berusaha untuk mendapatkannya termasuk melalui pelbagai prosedur dan prasyarat yang ketat, namun pihak kolej tetap tidak dapat meluluskannya.” Yakin saja nada Muhaymin menuturkan bicara lewat pertemuan dengan Duta Malaysia, Datuk Syed Aidid Syed Nasir. Dzulkarnain dan Sifuddin di sebelah menyokong dengan anggukkan yang hampir serentak.

“Masalah begini agak sukar sebenarnya kerana ia melibatkan kuasa kolej swasta yang agak terbatas bidang kuasanya dengan kerajaan Britain. Di Britain pihak kerajaan jarang masuk campur dengan perkara-perkara yang bersangkutan dengan pihak swasta.” Balas Datuk Syed Aidid perlahan. Pen Parker emas dipusing-pusingkan di jari. Sekejap ke kanan, sekejap ke kiri.

“Jadi, Datuk tak dapat membantu kami?” tegas Dzulkarnain menjaring rawan persoalan.

“Bukan tidak boleh, tapi saya tak boleh berjanji yang perkara ini akan berjaya. Saya hanya boleh menghubungi pihak Wellington College dan meminta mereka membuat pertimbangan semula. Situasi agak rumit kerana ia melibatkan kerenah birokrasi yang sukar melainkan ia mendapat izin peribadi daripada pengasas Wellington College yang juga datuk bandar di sini, Senator James Wellington. Apa pun, saya mencadangkan kamu balik semula ke kolej dan cuba berunding dengan mereka sekali lagi. Siapa tahu, kalau-kalau kali ini akan berjaya?” balas Datuk Syed Aidid lancar sambil memandang raut wajah mereka bertiga yang membias keresahan.

Majlis pecah tanah pembinaan Gereja Katolik Wellington berjalan dengan meriah. Dari jauh, sorak-sorai mereka tertembus jelas sehingga ke Blok Birch, menandakan upacara itu selamat disempurnakan oleh pengasas Wellington College yang juga datuk bandar di sini, Senator James Wellington. Dan entah apa gerangannya, tiba-tiba suara itu bertukar menjadi satu jeritan raksasa berbunyi panik.

“Kaki Tuan Wellington mengalami masalah kekejangan. Beliau tidak mampu bergerak, seperti terkena kejutan urat saraf secara tiba-tiba,” jeritan Micheal Bernard, warga Nigeria yang sebaya dengan mereka yang menerpa secara tiba-tiba mencuri perhatian mereka.

Saifuddin, Muhaymin dan Dzulkarnanin lantas mendapatkan kelompok manusia yang panik itu. Suasana hingar tiba-tiba. Tuan Wellington terjelepuk duduk di tanah. Suit kot warna putih miliknya kotor akibat terpalit tanah merah yang masih lembap. Saifuddin lantas mendapatkan Tuan Wellington. Dia memapah Tuan Wellington berdiri tegak, mengambil posisi seperti orang yang sedang qiyam selepas takbiratulihram, kemudian, dia meletakkan posisi Tuan Wellington seperti sedang rukuk. Dia tahu, kedudukan itu adalah untuk melancarkan pengaliran darah daripada pembuluh darah yang terdapat di pelipat kaki. Ini memudahkan darah mengalir ke bawah kaki apabila refleksinya menjadi lebih lancar. Akhir sekali, dia meletakdudukkan badan Tuan Wellington seperti orang yang sedang duduk di antara dua sujud kerana dia tahu cara itu akan dapat menegangkan urat-urat kaki dan melancarkan pengaliran darah daripada bahagian paha ke kaki.

Ajaib! Sebaik sahaja Saifuddin selesai melakukan ketiga-tiga perkara asas dalam solat itu, Tuan Wellington mampu berdiri semula. Barangkali rasa kebas sedikit kerana darah sudah mula mengalir ke pembuluh darah. Semua yang ada terpegun dengan langkah pantas anak muda yang mengambil jurusan falsafah itu menyelamatkan keadaan. Cukup pantas dan Tuan Wellington sudah mampu berdiri sebelum sempat pemandunya sampai membawa kereta mewahnya ke perkarangan Wellington College itu untuk dikirimkan ke hospital.

“Terima kasih, anak. Kamu telah berjasa kepada saya. Nama kamu siapa?” soal Tuan Wellington ramah. Ada ukir senyum yang mengulas di bibir merekahnya.

“Saya Saifuddin, pelajar jurusan Falsafah dan Tamadun Manusia,” balasnya pendek. Ada rasa gementar yang bersarang di benak dan jika diturutkan rasa hati, mahu saja terus membangkitkan soal Wellington Hall di sini, tetapi suasananya kurang sesuai.

“Saifuddin, kamu telah menyelamatkan saya. Maka, mengikut teori hukum karmanya, saya perlu membalas jasa baik kamu. Katakanlah, apa saja permintaan kamu yang boleh saya tunaikan. Jika mampu, saya akan tunaikannya. Anggaplah ia sebagai membalas jasa,” balas Tuan Wellington santun. Tunak mata Saifuddin menjalari Dzulkarnain dan Muhaymin di sebelah, sebelum hinggap pada wajah Profesor Madam Rica dan Dr Frederick Fineberg yang berona merah padam tertunduk.

“Kelulusan untuk kami menggunakan Wellington Hall.” Pendek sahaja jawapan Saifuddin dan disertai dengan anggukan berserta senyuman Tuan Wellington. Dzulkarnain dan Muhaymin tersenyum lebar.

13 September 2007/1 Ramadan 1428 H

“ALLAH tidak akan berikan ujian kepada hambanya jika ujian itu tidak mampu kita kendalikan. Percayalah dengan iktikad yang kuat bahawa dialah yang berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu,” kata Saifuddin mengakhiri tazkirahnya pada malam pertama bulan Ramadan kali ini. Alhamdulillah, akhirnya perjuangan mereka untuk menggunakan Wellington Hall bagi tujuan solat Tarawih secara berjemaah pada bulan Ramadan kali ini, direstui Ilahi akhirnya dan sewaktu dia menghamparkan sejadah di atas lantai Wellington Hall yang sudah berusia 40 tahun itu, bagaikan terbias kudus, satu kebesaran Ilahi ke atas kemenangan jihad yang cukup bermakna ini!

Thursday, July 16, 2009

BUKU TERBAHARU DI DALAM KOLEKSI SAYA

Beberapa hari yang lalu, saya ada pergi ke Dewan Bahasa bersama-sama dengan dua orang rakan saya. Sejujurnya, kedatangan saya pada kali ini lebih kepada usaha untuk mencari buku-buku yang perlu saya miliki demi melengkapkan tugasan kuliah. Sebelum tiba lagi, saya sudah berangan-angan untuk memiliki dua buah buku bertajuk PANGGIL AKU MELAJU dan MANUKLON kedua-duanya karya RAHMAT HAROUN HASHIM. Saya tidak gusar dengan Panggil Aku Melaju kerana saya percaya buku itu masih banyak di DBP kerana ia diterbitkan pada tahun 2008, tetapi saya risaukan buku Manuklon kerana sangat yakin bahawa buku terbitan tahun 1991 itu tidak lagi dijual di DBP, tetapi tetap yakin barangkali ia termasuk dalam bahagian buku yang dijual secara pukal di sudut tepi DBP.

Namun, sebaik sahaja tiba, segala telahan saya itu benar. Menurut pekerja di kedai itu, buku Manuklon itu sudah lama habis. Dan dengan hati yang sedikit terkilan, saya merayau-rayau untuk melihat-lihat kalau-kalau ada buku yang menarik perhatian saya selain buku Panggil Aku Melaju yang seharusnya saya kaji untuk menyiapkan tugasan Sastera Bandingan saya di bawah seliaan Dr. Kamariah Kamaruddin.




Akhirnya, selain membeli buku Panggil Aku Melaju, saya tertarik untuk membeli tiga naskhah buku lagi. Buku Catatan Dari Laut tulisan Dzulkarnain Ithnain yang juga guru novel saya ketika di Perkampungan Penulis Muda dahulu menarik perhatian saya. Hal ini kerana, novel itu seingat saya merupakan novel pertama yang ditunjukkan oleh beliau selain novel Tragedi 4 Disember (Novel KOMSAS Tingkatan 1) dan novel Nostalgia Padang yang pernah ditunjukkan kepada saya kira-kira empat tahun lalu.




Buku ketiga ialah novel Redang karya Malim Ghozali PK, yang sememangnya saya ingin miliki. Saya tertarik dengan penceritaan saudara Shamsudin Othman dan Aelynorlyana yang begitu gigih dan beria-ia menceritakan jalur kisah dari novel tersebut, dan kerana itu barangkali saya cukup teruja untuk memilikinya.




Naskhah keempat yang saya beli ialah buku proses kratif Kuras-Kuras Kreatif tulisan Ustaz Azizi Abdullah yang saya beli buat kali kedua setelah naskhah pertama yang siap bertanda tangan penulisnya dihilangkan oleh senior saya yang mengaku, mahu mengasah bakat penulisan, tetapi sehingga ke hari ini tidak pernah menulis pun walau sebaris puisi.




Setelah ralit memesrai satu rak ke satu rak, saya akhirnya mengambil keputusan untuk ke Jalan TAR untuk mencari naskhah Manuklon itu kalau-kalau masih ada. Tempat pertama yang saya tuju sudah pastilah Pustaka Mukmin, kerana di situlah saya menemui novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur dahulu, ketika naskhah itu tidak ditemui di DBP. Tiba di sana, kami sekali lagi kecewa kerana menurut pekerjanya, buku itu sudah tidak lagi dijual di sini. Namun, pekerja itu berjanji akan menghubungi saya sekiranya dia berjaya mendapatkan buku itu.



Saya menghabiskan masa kira-kira sejam di situ membelek-belek buku di situ, terutamanya buku berkaitan pedagogi dan kurikulum sekolah. Tanpa sedar, saya hanya mempunyai dua semester (tak sampai setahun) lagi untukl bergelar guru. Setelah penat membelek, akhirnya buku Pedagogi Untuk Kursus Diploma Perguruan memikat hati saya. Saya sukakan buku ini kerana ia mudah, mesra pembaca dan tidak berkhutbah dengan teks yang berjela yang memeningkan kepala saya.

Sebaik pulang, saya masih lagi diulit rasa resah kerana saya perlu juga mendapatkan novel Manuklon itu dalam minggu ini juga supaya jadual susunan tugasan saya tidak terganggu. Lalu, dengan nasihat Kak Rai, saya mengiklankan hasrat saya itu di blog MPR, dengan harapan ada rakan-rakan yang dapat membantu setelah Kak Rai, Kak Nisah dan Abang Din memaklumkan bahawa mereka tidak mempunyai naskhah itu.
Dia berjanji akan mengirimkan saya naskhah itu melalui pos laju. Terima kasih Nissa, atas pertolongan ini. Saya amat menghargainya.

Wednesday, July 15, 2009

ซุลฟัสลัน จุมเราะห์




I
Entah mengapa, sejak tiga empat hari ini, saya diserbu rasa cinta. Entah rasa cinta yang baru hendak bermula, atau dibelenggu kenangan cinta pahit yang lama, atau barangkali juga hanya rasa cinta yang terbit daripada mainan perasaan semata-mata.
Maka, dari situ mulalah tercipta bait-bait aksara pujangga yang terlahir dari segesit rasa di jiwa.

Saya sendiri tidak faham mengapa. Bukan tidak ada kerja yang perlu saya lakukan daripada terus melayani perasaaan ini. Jika diikutkan, saya seharusnya bimbang dengan longgokan tugasan yang genap 12 buah kesemuanya pada hari ini yang perlu saya jadualkan giliran pelaksanaannya. Sementelah, hujung minggu ini saya kira sayang amat sibuk kerana saya bakal menyertai Akademi Sastera anjuran DBP pada kali kedua ini.

Saya tidak terlalu mengharap, tetapi tidak juga mudah berputus asa, kerana itu bukanlah semngat insan yang berhati waja. Apa yang saya mampu katakan, saya kini hanya bersedia setakat yang mampu, sedayanya akan memberikan persembahan yang termampu, dan yang lebih penting pada saya ialah proses penggalian ilmu itu.

Saya bukan seorang kritikus, yang mampu mengkritik himpunan karya penulis yang jauh lebih mapan daripada saya. Istilah kritikan tidak pernah mekar di hati saya, dan sedayanya saya cuba mengasinginya. Pada saya ia lebih kepada satu perkongsian pendapat terhadap sesuatu karya. Perkongsian dalam konteks penerimaan ideologi dan memandang karya tersebut sebagai sesuatu yang mebanggakan dan mampu membina masyarakat. Pada saya, biarlah karya itu tidak sebagus mana, tetapi jika ia memberi kesan yang besar terhadap pembacanya, ia jauh lebih hebat daripada segala-galanya.

Saya sama sekali menolak karya yang terklalu serius, terlalu berat, membosankan dengan khutbah yang seperti sengaja diberatkan seni berbahasanya, dan sukar difahami oleh khalayak majoriti (barangkali ada yang memahaminya, namun barangkali juga ia terlalu sedikit jumlahnya).

Saya memegang prinsip penyair idola saya T.Alias Tain yang percaya bahawa kesederhanaan adalah takah yang paling sempurna.


II
Sebentar tadi, lewat kiriman emel dari seorang rakan saya di Thailand, Mardhiah sedikit merenggut saya keluar daripada terjahan rasa cinta yang entah mengapa amat meruntun hati.



Sebaik sahaja mendapat emelnya, saya lantas melayangkan ingatan saya pada lewat pertemuan kami di Sukida Resort dalam satu program santai anjuran PENA dan saya dijemput oleh abang SM Zakir untuk menyertainya. Ketika itu, saya bersama beberapa orang rakan saya turut menyertai kem tersebut. Kem yang santai amat, menjelmakan ukhwah budaya antara dua negara yang mempunyai sejasad jati diri yang sama meski terpelanting dek pagar geografi politik yang berbeza.

Saya masih ingat, di kem tersebut saya ada belajar sedikit tentang bahasa Thai, dan belajar juga bagaimana mahu menulis nama saya di dalam tulisan Thai.ซุลฟัสลัน จุมเราะห์

Sungguh, amat aneh, canggung, tetapi saya gembira kerana saya mampu belajar cara menulis tulisan terbut walau herotnya mengundang tawa mereka. Balasannya, saya mengajar mereka bagaimana mahu menulis nama mereka dengan menggunakan tulisan khat jawi yang sangat mengujakan mereka.




Indah, jika mengenang kembali saat indah itu kerana ia takkan mungkin dapat berulang kembali. Kini, hanya emel dan alam maya yang menghubungkan kami, lalu menyimpul ikatan ukhwah ini.

Buat Mardhiah,Noch, Lah dan yang lain-lain, kalian tetap di dalam hati.

Chan Ca Kit Teng Te!

Monday, July 13, 2009

DEA, SEORANG GADIS LAVENDER



Lewat pertemuan dengannya malam tadi, bagaikan ada rasa pilu yang tercipta.

" Nah, ole-ole untuk kau. Aku tau kau suka bunga Lavender. Bunga ini aku beli di Cameron semalam. Amoi yang jual bunga tu kata tahan 5 tahun bunga ni. Sebab dah diawetkan. Entah, aku pun tak tau.Lan, besok pagi-pagi aku dah kena bertolak balik Sabah. Barangkali susah untuk kita berjumpa lagi, melainkan kau minta untuk posting mengajar ke sana nanti. Kau simpanlah bunga ini. Tanda kenangan dari aku. Selama 3 tahun aku bekerja di sini, kau antara orang yang rapat dengan aku. Thanks lan."

Kata-kata Dea agak menusuk kalbu. Aku akui, aku mungkin antara orang yang agak rapat dengannya. Kami kenal ketika sama-sama terlibat dengan satu program Rakan Muda. Dan bermula dari situ, kami sentiasa berhubung dan aku menjadi pendengar kisah hidup dan permasalahannya laksana sang laskar yang setia.




" Thanks Lan sebab sudi jadi kawan aku. Walaupun kita jarang berjumpa, tapi aku gembira sebab pernah ada kawan macam kau. Kalaulah aku belum ada kekasih, aku tak akan lepaskan kau."

Aku tergelak besar, sambil merenung matanya. mencari kalau-kalau ada sinar kejujuran yang terbias daripada kenyataannya itu.

" Betul? Kalau macam tu, kita tunggu dan lihat. Biarkan hati, takdir dan masa yang menentukan segala-galanya. Siapalah kita untuk mencabar, kan? Tapi, jangan pulak kita lupa yang takdir itu jugak sebenarnya ada di dalam tangan kita. Mengiringi setiap usaha-usaha kita." Kataku kepadanya. Jambangan bunga Lavender berwarna ungu masih kemas digenggam di ruas jemari. Sesekali aroma harumnya menyelinap ke indera hidu.

" Betul. Kita mempunyai sedikit kuasa untuk merubah takdir. Begitu juga dengan kau. Ubahlah takdir cinta kau. Dunia bukan hanya untuk orang bercinta, hidup ini pula bukanlah hanya untuk berduka lara. Bukalah hatimu untuk cinta. Cinta yang tulus dan sejati, tiada tandingannya."

" Cinta? Cinta itu menyakitkan, Dea. Cinta itu sejalur penderitaan yang lara. Cinta padaku, tidak lebih dari permainan perasaan manusia. Mencintai, dan kemudian dilukai. Sampai bila aku perlu menguatkan hati untuk segala kesengsaraan ini?"

" Lan, kau terlalu prejudis."

"Tidak Dea. Ini gerabak pengalamanku. bermain dengan cinta yang satu. terpedaya dengan pujuk rayu dan mainan lafaz rindu. Kau pun tahu bukan segala kisah cintaku?"

" Ya, aku tahu, sepertimana yang pernah kau ceritakan kepadaku. Seperti mana pada setiap puisi-puisi cinta laramu yang sering kau bacakan kepadaku. Tapi kau lupa, hidup ini bukan hanya kerana cinta kepada manusia. Cinta kepada Dia adalah cinta yang lebih sempurna. Mengasyikkan dan menggugah rasa. Tulus, dan takkan pernah ada batasannya."

Aku terdiam. Benar, saat kita bahagia, kita sering melupakanNya. Dan mengapa pula di saat hiba kita baru kita mencarinya? Tuhan, Maha SuciMu, aku sebenarnya sudah terlalu lama melupakanMu. Meletakkan cinta terhadap manusia itu lebih agung daripada jiwa yang mencintaiMu. Maha Suci Kau Yang Maha Penyayang, berikan aku kekuatan untuk melawan rasa yang bergelodak di jiwa.

" Lan, bukalah hati untuk mencintai dan dicintai. Meski mencintai dan dicintai kembali adalah satu perkara yang jarang-jarang terjadi, tapi aku yakin kau tetap akan menemui cinta sejati. Di mana? Ia ada di dalam hati."

Aku terkesima. Saat Dea melambaikan tangannya ke arahku, aku masih kaku membisu.

Cintaku, adalah rasa tulus yang satu!
Cintaku, adalah sekeping jiwa yang merindu!
Cintaku, adalah burung yang terbang bebas di langit yang biru!
Cintaku, adalah gemawan yang merintikkan hujan dan salju!
Cintaku, adalah antara aku, Dia dan takdirku!

Thursday, July 9, 2009

SETELAH BERTAHUN MEMBEBAT LUKA



Tidak ada yang lebih menggembirakan hati saya selain mendengar keputusan Kabinet Malaysia bahawa PPSMI akan dimansuhkan menjelang 2012. Meski ada banyak suara-suara sumbang yang mempertikaikan pendirian ini, dengan pelbagai hujah (antaranya barangkali wujud lagi pelbagai 'agenda' untuk menghidupkan kembali PPSMI, tetapi pada saya, kita perlu mengambil langkah 'tungggu dan lihat' sejauh mana keseriusan kerajaan mengatasi masalah ini.

Dalam satu perbualan santai bersama seorang rakan di kafe fakulti, saya sempat berseloroh, bahawa selepas ini saya barangkali boleh mengambil alih tugas mengajar subjek matematik di sekolah, kerana saya sememangnya menguasai subjek itu dengan baik ketika ia masih lagi diajar di dalam bahasa Melayu 7 tahun lalu ketika saya di tingkatan 4.

Sementara itu, sebaik sahaja berita pemansuhan PPSMI ini diuar-uarkan, saya menerima satu kiriman SMS daripada adik rakan saya yang kini menuntut di UTM Skudai yang meminta saya meminjamkan nota-nota Kejuruteraan Awam saya kepadanya.

Sebagai seorang pelajar yang terdidik dengan ilmu kejuruteraan Awam ketika di tingkatan 4 dan , saya tidak menafikan bahawa saya masih mampu mengingati apa yang pernah saya pelajari dahulu (di dalam Bahasa Melayu). Antara pelajaran yang masih meninggalkan kesan sudah pastilah ketika membuat eksperimen kericihan tanah, ujian Proba Mackintosh, dan semestinya pengukuran topografi tanah yang berlandaskan hukum geografi.

Menurut satu sumber dalaman di pihak Kementrian Pelajaran, pemansuhan PPSMI berkuatkuasa 2012 yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, mampu menjimatkan kos sebanyak RM40 juta setahun. Kos itu adalah elaun tambahan atau Bayaran Insentif Subjek Penting (BISP) yang diberikan kepada guru-guru yang mengajar subjek Sains dan Matematik berdasarkan kelulusan iaitu lima peratus tambahan daripada gaji untuk guru berkelulusan ijazah manakala 10 peratus pula untuk mereka berkelulusan diploma.

Tidakkah perkara ini satu rahmat? Dan alangkah baiknya jika 6 tahun dahulu ia dimansuhkan. Saya mengerti, terlalu banyak luka dan derita yang terbebat di sanubari kita, dan sebagai insan yang ditakdirkan untuk menyuburkan rasa cinta dan setia saya terhadap bahasa dan bangsa saya, saya gembira pada hari ini, kerana setelah bertahun membebat luka, berhenti juga darah ini akhirnya. Harapan saya, semoga luka ini tidak ditoreh kembali, dan jangan biarkan kita membebatnya sekali lagi.



SELEMBAR PEMBALUT LUKA
(Abang Din,
simpankan pembalut luka itu,
kerana esok barangkali saya memerlukannya)

Luka ini tidak pernah terlihat garisnya
kerana terbebat ia di lipatan lara
kerana terbungkus ia di ikatan derita

Saudara,
Terima kasih kerana memberikan aku
selembar pembalut lukamu
untuk kubaluti hatiku
meski darah yang menitis ini bertukar biru
dan parut ini bertukar kelabu
dan tujuh petala pelangi itu
seperti membiaskan keresahanku.

Selembar pembalut luka,
hari ini kubuka balutannya
dan kuberikan kepada kau lilitannya
kerana esok barangkali di waktu senja
parutku akan kembali terluka
dan aku akan menangis memintanya.

ZULFAZLAN JUMRAH
UPM, SERDANG.

Friday, July 3, 2009

CINTA YANG HADIR SEKALI LAGI

CINTA YANG HADIR SEKALI LAGI
(Juwie, terlalu banyak air matamu tumpah waktu itu)


Aku menggenggam seraut cinta
yang hadirnya dalam pelukan percaya
sedang diri dilamun mimpi tiada bangkitnya
dan hati ini sesungguhnya telah lama lena.

Cinta yang hadir sekali lagi ini
seperti sang srikandi yang tidak muncul lagi
dalam tujuh petala pelangi
meninggalkan aku sang pencari erti
segugus cinta abadi.

Sayang,
andai ini lukisan takdirnya
biarkan aku derita
seumur usia menantikan sang bidadari cinta
membawakan khabar rindu di syurga
lalu menghadiahkanku sepasang sayap bahagia.

ZULFAZLAN JUMRAH
Kamar Nilam Fansuri.