Sunday, April 19, 2009

"MENGAPA SAYA MENULIS?"


Timbunan buku-buku, fail dan segala macam khazanah ilmu untuk disimpan di stor


Dua kotak daripadanya penuh dengan buku-buku, nota dan segala macam benda bernama kertas

Lewat pagi tadi, setelah meratapi kekalahan Manchester United di tangan Everton menerusi sepakan penalti pada aksi separuh akhir Piala FA Inggeris, saya sibuk mengemaskan segala macam timbunan fail, kertas-kertas, nota, buku-buku, rencana-rencana yang saya potong juga longgokan beberapa jenis majalah.

Inilah rutinnya, setiap kali penghujung semester berakhir. Setiap pelajar dikehendaki mengemaskan barang-barang peribadi untuk dimasukkan ke dalam stor sempena cuti semester yang berakhir. Lalu, tidak semena-mena, saya menemui sekeping buku nota kecil yang selama-lama ini saya cari. apa tidaknya, buku nota kecil itu menjadi saksi pembabitan awal saya di dalam bidang penulisan. Buku itu telah saya bawa ke Perhimpunan Minggu Penulis Rmaja 2006 (MPR 2006) dan ada sesuatu yang sangat berharga yang telah saya catatkan di dalam buku kecil itu.

Seingat saya pada satu sesi suai kenal para peserta MPR 2006, kami ditanya oleh Kak Nisah dan Kak Rai, atas tujuan apa kami menulis? Kami diminta oleh mereka untuk mencatatkan sebab-sebab utama kami menulis. lalu, saya pun dengan spontan menulis pada buku catatan kecil itu.


1. BERKONGSI PEMIKIRAN DENGAN ORANG LAIN (PEMBACA)

2. MENGKRITIK DIMENSI KEHIDUPAN

3. MEMERIAHKAN DUNIA KESUSATERAAN TANAH AIR

Jika diperhatikan, tidak ada pun saya catatkan sebab saya menulis adalah untuk mendapatkan wang ringgit. Sememangnya saya tidak nafikan, wang ringgit penting untuk kita meneruskan kehidupan, tetapi pada saya nawaitu kita itu yang lebih penting.

Saya memilih untuk menulis secara sederhana, tidak terlalu radikal mengkritik, tidak terlalu rigid menempelak, bersedrhana dalam usaha memasarkan diri (teringat kata Cikgu Amiruddin Ali, "Zul, penulis juga macam artis, kita perlu memasarkan diri kita",), tidak pernah berbangga sekiranya falsafah dan pemikiran saya diterima oleh editor(saya kurang gemar menggunakan perkataan "disiarkan") serta terlalu berhati-hati menyusun derap langkah di dalam bidang ini.

Saya teringat kata-kata abang Pat semalam. "Writing is worst job". Ya, saya akui jika ia adalah membincangkan dalam konteks sebuah negara bernama Malaysia. Namun, menulis juga pada saya bukan sekadar menulis bahan-bahan sastera saja. Semalam juga, di Pesta Buku Kuala Lmpur (sengaja saya buang perkataan "Antarabangsa"), saya sempat berkenalan dengan Nizam Zakaria, seorang penulis skrip yang prolifik. Saat itu juga, saya dan Fairuz mula terfikir untuk belajar menulis skrip drama daripada beliau. Lalu, saya beranggapan bahawa menulis selain bahan-bahan sastera seperti skrip juga tidak salah, malah ia juga sangat bertepatan dengan prinsip saya sendiri iaitu MENULIS UNTUK BERKONGSI PEMIKIRAN DENGAN KHALAYAK.

Inilah dunia yang saya ceburi, dunia yang saya cintai, dunia yang sangat saya sayangi. Ketika hati ini menanggung lara akibat seraut cinta yang dilukai, dunia ini tidak pernah mengecewakan saya walaupun sekali. Doakan saya terus kuat untuk menulis, menulis dan terus menulis. Dorongan penulis-penulis mapan, teman-teman seperjuangan yang mengepung saya sama ada di MPR atau di sisi saya yang pada hakikatnya banyak membantu memperkayakan pengalaman menulis saya, selain keluarga yang tidak pernah 'seiring', tetapi sentiasa 'melihat' saya meneruskan langkah ini.


KUTULISKAN HURUF-HURUF HIDUP
(Kencana, kalaulah mereka mengerti kelukaan ini)

Telah kupilih selembar kertas pengalaman
untuk kutuliskan huruf-huruf perjuangan
meski dakwat hati ini tertumpah di meja kenangan
tak setitis pun mencontengkan keriangan.

Huruf hidup ini bukan hanya serawa aksara
yang berbaris laksana laskar yang setia
tapi dalam stanza yang hilang perenggannya
dalam metafora yang basi segarnya
mahu pun puisi hilang ideologinya
huruf hidup ini mengajarkan kita
membaca sejuta nurani manusia
berbeda di lorong hanyir pancaroba serba.

Saudara,
mari kita tuliskan huruf-huruf hidup
pada selayar tabir jiwa memberontak memercup
meski dihujung perenggan kita kehilangan
sekisah cerita buruan pengalaman
berpuing pada segurun salju perasaan.


ZULFAZLAN JUMRAH
CENTRAL MARKET,
KUALA LUMPUR.

2 comments:

Sham al-Johori said...

tahniah fazlan,
antara puisi terbaik awak yang sedang saya perhatikan.
teruskan dengan nuansa jujur dalam membina/mencari jati diri.

Rusdi Abd Rahman said...

Zulfazlan,
1. Saya sering juga melawat dan membaca blog NAKHODA BANGSA ini. Ketika entri tentang pementasan teater anda tempoh hari berhajat untuk utus komen tapi tak sempat... Apa kata teater itu diusajhakan pementasannya di DBPWS? (Boleh dibawa bincang jika bersesuaian)
2. Kesempatan ini, untuk entri ini... teruskan menulis kerana bakat anda memang terserlah sejak mengenali anda ketika anda masih di sekolah menengah. TERUSKAN MENULIS!

Sekian.