Thursday, April 9, 2009

SEDIKIT TENTANG 'TALENTIME'



Baru-baru ini, saya sempat meluangkan masa menonton buah tangan terbaru pengarah kontroversi Malaysia, siapa lagi kalau bukan Yasmin Ahmad. Filem yang berjudul 'Talentime' ini sememangnya amat saya tunggu-tunggu setelah kempunan menyaksikan filem 'Mualaf' yang disekat tayangannya sehingga hari ini oleh FINAS.

Menonton di panggung yang kosong (selain saya dan Honey, ada kira-kira lapan orang penonton saja yang memenuhi panggung itu)sememangnya membuatkan saya sedikit selesa, kerana keadaan seperti ini mampu membuatkan saya menangkap mesej tersirat yang cuba disampaikan oleh pengarah, sama seperti mana saya menonton filem 'Kala Malam Bulan Mengambang' karya Mamat Khalid sedikit waktu dahulu.

Filem Talentime mengisahkan sisi-sisi dimensi kehidupan manusia yang berbeza,lalu mencetus konflik dengan sendirinya. Kisah kehidupan tiga rakan yang terlibat dengan satu sesi uji bakat mencari bakat persembahan,pada saya cukup ramuan untuk menonjolkan mesej yang cuba disampaikan oleh Yasmin.



Saya memuji lakonan Pamela Chong sebagai Melur,dan Syafie Naswip sebagai Hafiz, dan sama sekali menidakkan bakat watak Mahesh. Chemistry yang dijelmakan oleh para pelakon ini cukup unik, ditambah dengan kehadiran watak cikgu Adibah oleh Adibah Noor dan penampilan pertama Jaclyn Victor sebagai kakak Mahesh.

Apa yang terkesan di hati saya adalah percintaan dua budaya yang menembungkan dinding sejarah yang lalu. lebih menyayat hati,semestinya babak Azean Irdawati bertarung dengan sakaratul maut (sempat makan buah strawberi).

Saya melihat filem ini dari sisi moraliti, liberalisasi dan keunikan jalan ceritanya. Sejak dahulu lagi saya gemarkan cerita 'orang-orang kecil' sebegini. Kisah yang tidak mengagungkan seseorang dengan kehebatan material semata-mata.




Kalau anda mahukan kelainan dalam filem-filem Melayu, tontonlah filem ini sekurang-kuranya untuk melepaskan tekanan di fikiran.Secara peribadi (mingkin ada yang setuju), saya oleh katakan filem ini mengkritik rancangan realiti TV yang menjadi trend diterbitkan oleh syarikat-syarikat penyiaran swasta.

No comments: