Saturday, August 29, 2009

SESEKALI PULANG KE KAMPUNG



SESEKALI PULANG KE KAMPUNG

Ssekali pulang ke kampung
akulah tualang yang mengusung
riuh dalam sepi dan permai kampung
saat rindu ini tidak lagi tertanggung
harapan keluarga tidak lagi terhitung
rintih kalbuku tidak lagi bisa berbohong.

Sesekali pulang ke kampung
nun jauh permatang sepi kurenung
redup mata ayah kutenung
kudus dakap bonda disusuli raung
suara kakak yang sakit kerongkong
memerikan abang yang kini berpoket kosong
dek helai ringgit yang terapung
dan kisah teman yang menggadai pekung-
semuanya tergabung
di pertemuan manis berempah murung.

Sesekali pulang ke mari
ada bauran rasa di diri
antara jeda ketenangan tak terperi
dan suntuk waktu kejap menggari.

ZULFAZLAN JUMRAH
Kuala Lumpur-Ayer Keroh-Johor Bahru
28 OGOS 2009
7 RAMADHAN 1430 H

Friday, August 21, 2009

RAMADHAN YANG KALI INI



Esok, semua umat Islam di dunia bakal menyambut ketibaan bulan Ramadhan al-Mubarak, bulan yang penuh dengan kerahmatan: satu dalam seribu bulan. Seperti biasa, dan seperti tahun-tahun yang sudah, saya cukup teruja untuk menjalani ibadah puasa, kerana waktu inilah saya mampu merehatkan sistem penghadaman saya daripada bekerja, lantaran sifat saya yang kuat makan.



Lewat kiriman SMS daripada teman-teman yang baru sempat saya teliti setelah usai menjawab soalan Ujian 1 bagi subjek Kokurikulum, ada banyak mesej ucapan bertemakan Ramadhan daripada mereka. Ada ucapan yang mengharukan, berbunga-bunga, berbetuk kartun, tulisan jawi, malah tidak kurang juga berpantun dan berpuisi.

Namun, satu kiriman SMS daripada seorang teman sekelas yang agak jarang sekali berhubung dengan saya sejak akhir-akhir ini sedikit mencuri pangkal ingat. Dalam SMSnya, beliau ingin meminta maaf atas segala kesilapan dan dosa yang pernah beliau lakukan terhadap saya. Aneh, kerana saya tak pernah rasa dikhianati atau disakiti oleh sesiapa pun selama ini. Adakah saya yang tidak beremosi, atau sebenarnya memang kesilapannya yang tidak saya sedari, itu tidak dapat saya ketahui sehingga kini.

Saya hanya mengatakan bahawa beliau tidak ada membuat sebarang salah dan silap kepada saya selama ini. Kami agak akrab suatu ketika dahulu, namun setelah beliau berumah tangga hubungan kami sudah tentu menjadi mustahil untuk semesra seperti dahulu. Maha Suci Allah, bukankah meminta dan memberikan kemaafan itu sebaik-baik sifat yang mulia?

Di kesempatan ini, saya juga ingin memohon ampun kepada para pengunjung blog NAKHODA BANGSA yang selama ini mengikuti tulisan-tulisan saya. Maaf, andai ada kata-kata atau entri yang disebutkan di blog ini sedikit menghiris rasa. Saya hanya hamba Allah yang bukan maksum untuk tidak menggarit dosa. Akhir kata, sempena Ramadhan yang kali ini, saya ingin mengucapkan "Selamat Menjalani Ibadah Puasa. Semoga Amalan Kita Sentiasa Diberkati."




RAMADHAN YANG KALI INI II

Yang meratib di sejadah resah
maka akulah;
bersama lafaz zikir yang basah
doa sarat puisi mahabbah
tatkala sujud berserah
meratib butir syahadah
di lantai keampunan Allah.

Aku seperti sang pidana yang terpasung
dalam penjara iman yang terkurung
meski telah kuserpih jendela nafsu
di jeriji jenang hayatku
tatkala zikirku tersedu di malam kelabu
dan sujudku rebah di sejadah doaku.

Akulah sang pidana yang diziarahi
Ramadhan yang kali ini
setelah bermusim nurani ini kontang
dalam telaga noda yang terjang
kehilangan timba di padang perang
antara renyai pahala yang kurang
dan hujan taubatku yang hilang.

Ramadhan yang kali ini
menitip purnama kala merindui
kini sumbu berkat ternyala kembali
di pancang likur rahmat sekali lagi
dalam selaman taman firdausi.

ZULFAZLAN JUMRAH
UPM, Serdang.
21 Ogos 2009

Tuesday, August 18, 2009

SAYA HANYA MAHU MEMBENTANGKAN KERTAS KERJA

Lewat malam begini, ada beberapa perkara yang memberati fikiran saya untuk hari esok. Pertamanya, sudah pasti Program Realiti Akademi Sastera 2009 musim ke-2.Selain itu, saya juga turut bimbang dengan dua perkara lain iaitu ujian Pengujian & Penilaian dan Pembentangan Kritikan Sastera yang akan dilunasi oleh rakan-rakan tanpa kehadiran saya. Saya agak khuatir kerana hampir 80% daripada idea pembentangan itu adalah daripada saya, dan sekiranya terdapat apa-apa kekurangan, teman-teman pula yang perlu menjawabnya.

Ujian Pengujian&Penialaian juga tidak kurang membimbangkan saya. Saya hampir tidak membaca apa-apa pun,dan penundaan ujian ini bakal merencamkan jadual harian saya yang terpaksa dirombak setiap masa. Semuanya kerana pelbagai perkara yang berubah setiap masa. Hm, barangkali inilah dugaanNya kepada saya.

Saat ni, kantuk masih belum mahu memesrai saya, dan saya mengambil keputusan untuk menuliskan entri ini, walaupun besok pagi-pagi saya perlu bangun dan bergegas ke DBP bersama Afiqah. Saya tidak meletakkan apa-apa harapan yang menggunung, kerana saya mahu melenyapkan doktrin bahawa Akademi Sastera ini merupakan satu pertandingan. Saya tidak memandang langsung hadiah-hadiah yang bakal ditawarkan. Sekiranya saya terhenti setakat ini pun, saya puas kerana saya berkesempatan mempelajari serba sedikit tentang dunia kritikan yang hampir tidak pernah saya gauli, melainkan membaca beberapa kertas kerja secara santai.

Saya hanya mahu membentangkan kertas kerja. Tidak lebih dari itu yang mahu saya lakukan untuk khalayak esok. Kalah menang itu adat pertandingan. Apa yang saya harapkan selepas ini, saya terus dibimbing untuk mengkritik, dan saya akan terus belajar untuk menjadi seorang pengkritik. Lebih jauh dari itu, saya akan lebih berbesar hati sekiranya selepas program ini, saya diberikan peluang untuk menghasilkan makalah dan kertas kerja dan sesungguhnya saya amat teruja untuk melakukannya. Itu lebih bermakna buat diri saya.

Thursday, August 13, 2009

MEMASYARAKATKAN SENI DAN SASTERA

Hari ini, lewat bacaan saya di waktu senggang(setelah kelas hoki saya dibatalkan), saya membaca beberapa nota kuliah Dr Nik Rafidah Muhamad Affendi yang sempat saya salin daripada percakapannya di bilik kuliah minggu lepas tentang pertembungan pendapat dua tokoh sastera iaitu Pak Asraf dan Hamzah. pertembungan pendapat ini ialah berkaitan dengan gagasan mereka terhadap seni. Pak Asraf memegang gagasan bahawa seni itu milik masyarakat, manakala Hamzah pula tetap dengan pendirian bahawa seni itu adalah untuk seni.




Jika memperkatakan tentang hal ini, saya lebih bersetuju dengan Pak Asraf. Seni itu adalah milik masyarakat. Masyarakatlah yang sebenarnya mencorakkan seni dalam komunitinya, masyarakat jugalah yang bakal menentukan nilai seni itu di mata mereka.

Kualiti seni itu ditentukan sendiri oleh masyarakat, apabila mereka diberikan kuasa untuk mengadili sesebuah karya itu. Dalam konteks pembinaan hegemoni bangsa yang bertamadun, seni yang mampu menggugah ideologi masyarakat dan warga sesebuah negara seharusnya memainkan peranan penting dalam segenap aspek kehidupan. Perkara yang penting di sini ialah penerimaan masyarakat terhadap karya seni itu. Apakah ertinya kita menerbitkan beratus-ratus naskhah buku setahun, tetapi buku-buku itu tidak dibaca oleh masyarakat? Jika hal ini berlaku, di manakah ketepatan konsep itu tadi?



Hari ini, kita dapat melihat bahawa remaja-remaja kita lebih gemar membaca karya-karya ringan dan menjauhi buku-buku sastera yang berat. Adakah karya sastera yang dihasilkan oleh penulis kita terlalu tinggi langgam bahasa dan aspek naratifnya? Perkara ini perlu dijawab sendiri oleh para penulis sastera. Saya tertarik dengan satu kenyataan seorang rakan sekelas (untuk pengetahuan, dia juga mengambil jurusan Bahasa Melayu sama seperti saya) yang mengatakan karya sastera kita pada hari ini merupakan karya yang sangat berat dan sukar difahami. Peliknya, gadis ini meminati karya-karya Hamka, Pramoedya, Pak Habib, WS Rendra, Chairil Anuar,Suparto Brata, Taufik Ismail,sehinggakan sanggup memesannya dari seberang. Akan tetapi, gadis ini mengeluh apabila diminta membuat kajian terhadap novel Dilema Ranting Senja karya Siti Zainon Ismail, hampir pitam membaca Bedar Sukma Bisu karya Faisal Tehrani, dan menguap apabila membaca empat halaman novel Mahabbah karya Shahnon Ahmad.

Saya kembali tertanya-tanya, adakah karya penulis kita terlalu berat? Atau remaja kita pada hari ini semakin malas hendak berfikir? Jika hal ini berterusan, apakah yang akan berlaku dalam tempoh 50 tahun akan datang? Adakah sastera Melayu akan berkubur dan buku-buku sastera Melayu tidak akan diterbitkan lagi kerana tidak ada orang yang mahu membacanya lagi?

Seringkali juga saya menerima dorongan daripada rakan-rakan saya supaya beralih daripada menulis karya-karya sastera (puisi,cerpen dan novel) dan mula menulis novel-novel cinta asyik masyuk yang kini berlambak di pasaran. MEreka katakan kepada saya, remaja pada hari ini gemarkan karya-karya sedemikian. Dan katanya, untuk apa menulis sesuatu yang ramai orang tak faham? Saya memikirkan hal ini berkali-kali. Apa sudah jadi dengan remaja pada hari ini? Benar, mereka telah memasyarakatkan buku dan karya seni, tetapi karya yang menjadi santapan mereka bukanlah karya sastera, tetapi novel-novel popular dan cintan remaja.



Buat kesekian kalinya, saya berfikir lagi. Fenomena sangat rumit. MAsyarakat mahu memasyrakatkan seni, tetapi bukan dalam konteks karya sastera. Penulis sastera pada mereka hanyalah golongan 'seni untuk seni' yang menulis karya sastera untuk menonjolkan kehebatan mereka memutar-belitkan bahasa yang memeningkan kepala mereka. Jadi, persoalannya sekarang, adakah karya sastera kita pada hari ini terlalu berat sehinggakan ia tidak dapat memesrai golongan majoriti pembaca remaja yang bakal menjadi tulang belakang negara? Atau, adakah penulis perlu berubah mengikut selera pembaca, demi memasyarakatkan seni dan sastera agar ia tidak pupus ditelan zaman?

Tuesday, August 11, 2009

AKHIRNYA DIMASYHURKAN JUGA SN KE-10



Kira-kira setahun yang lalu, ketika saya dan Kak Rai sedang duduk menikmati makan tengahari bersama-sama (dia selalu belanja saya nasi kukus ayam rempah), dia pernah meluahkan betapa payahnya kerajaan hendak menganugerahkan gelaran Sasterawan Negara (SN))kepada sasterawan-sasterawan yang ada di Malaysia.
" Malaysia boleh keluarkan beratus-ratus orang Datuk dalam setahun, tapi sampai la ni SN kita baru ada 9 orang." lebih kurang begitulah katanya, sebab saya pun dah tak berapa ingat.

Kini, setelah 9 orang sasterawan (Keris Mas, Usman Awang, Shahnon Ahmad, A. Samad Said, Arenawati, Noordin Hassan, Muhammad Haji Salleh, Abdullah Hussain dan S. Othman Kelantan) warga sastera tanah air menerima seorang lagi SN sebagai SN yang ke-10 iaitu Dato' Anwar Ridhwan.

Selepas hampir 7 tahun, setelah 4 orang SN meninggal dunia, 3 daripada mereka sedang berada dalam keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan (kecuali Pak Samad dan Muhammad Hj Salleh sahaja yang masih larat ke sana ke mari), barulah kita menerima SN yang baru.(Terima kasih kepada Kak Nisah kerana memaklumkan kepada saya melalui SMS petang tadi)

Syukur, kerana ia akhirnya berjaya juga dilaksanakan (barangkali ia juga bermotifkan politik?). Sebagai penulis kerdil, saya turut tumpang gembira dengan perkhabaran ini kerana saya pernah sekali berguru dengannya dahulu dalam genre novel. Dalam bengkel yang hanya diadakan selama 3 hari itu,kami sempat berkongsi pendapat tentang kubah masjid dan signifikannya dengan titik simetri lutut, tapak tangan dan dahi ketika kita sedang bersujud dalam solat.

Buat SN Dato Anwar Ridhwan, sekalung tahniah saya ucapkan. Barangkali, ada yang melahirkan rasa tidak puas hati, ada juga yang tumpang bangga kerana perkara yang jarang-jarang terjadi sebegini, akhirnya telah terjadi. Semoga, dunia sastera tanah air semakin meriah pada masa akan datang.

Thursday, August 6, 2009

"SI BURUNG MERAK" WS RENDRA YANG SUDAH TERBANG PULANG KE KAYANGAN



Kira-kira dua minggu yang lalu, saya ada menerima satu emel daripada teman saya di Indonesia, Juwie yang dikirimkannya dari Jakarta. Dalam kiriman emel itu Juwie menceritakan kepada saya bahawa dia baru sahaja menyertai rombongan ayahnya melawat WS Rendra yang sedang dirawat di hospital akibat komplikasi jantung.

Namun, pada awal pagi hari ini, ketika saya berhasrat untuk santai memeriksa emel, saya menerima satu emel daripada Juwie yang kini berada di Rotterdam yang memaklumkan kepada saya bahawa WS Rendra telah meninggal dunia lewat malam tadi. Sejujurnya, saya tidak membesar dengan karya-karya WS Rendra, malah hanya beberapa cerpen dan eseinya sahaja yang pernah saya baca. Namun, saya akui, WS Rendra sememangnya seorang penyair/budayawwan yang sangat diminati di Indonesia, termasuklah rakan saya yang seorang ini. Mereka sekeluarga terlalu memuja WS Rendra.

Di dalam emelnya juga, dia ada menyelitkan serangkap sajak Rendra yang pernah dibacakan oleh Rendra secara spontan dalam satu majlis Lumba Puisi di sekolahnya. Lebih manis, Juwie ada menerima hadiah daripada budayawan itu kerana memenangi pertandingan Lomba Puisi.
Berikut merupakan sajak Rendra yang dibacakan secara spontan di majlis tersebut:

Kangen
Kau tak akan mengerti,
bagaimana kesepianku
menghadapi kemerdekaan tanpa cinta
kau tak akan mengerti
segala lukaku

Karena cinta
telah sembunyikan pisaunya
membayangkan wajahmu
adalah siksa


Menurut Juwie lagi, dia sempat mengingat kata-kata Rendra ketika diminta berpidato tentang Lomba Puisi itu. Kata Rendra:
"Di usia muda anak-anak ini, yang tidak lagi bisa ngerti hiruk-pikuk Jakarta, dan jatuh bangkit hidup, saya tidak menyangka apresiasi sastranya demikian kuat. Ini adalah indikator bahwa sastra bisa menjadi medium untuk membangun peradaban, khasnya untuk anak-anak muda kita dengan satu bahasa, iaitu bahasa Indonesia"

Demikianlah seorang budayawan, WS Rendra. Tidak sekadar tekal mengaungkan sastera dan bahasanya, tetapi dia juga seorang pencetus pemikiran dan pembinaan benteng peradaban bangsanya melalui pemikiran-pemikirannya. Buat Allahyarham, Al-Fatihah.

* Beberapa gambar yang turut Juwie berikan kepada saya iaitu :
1. Gambarnya ketika menerima hadiah daripada Rendra
2. Gambarnya ketika mengikuti satu demonstrasi di hadapan Gedung DPRD (Juwie, 2 dari kanan)
3. Kumpulan Cerpen "Ia Sudah Bertualang" milik Juwie terbitan VS Nusantara pada 1963

Gambar 1



Gambar 2



Gambar 3

Monday, August 3, 2009

4 OGOS YANG MAMPIR SEKALI LAGI



4 Ogos datang lagi. Seperti tahun-tahun yang sudah sejak 7 tahun yang lalu, ulangtahun kelahiran saya kali ini disambut dengan cara yang sangat sederhana. Jika 7 tahun dulu, ketika saya di tingkatan 4 (tahun 2002) di Sek Men Teknik Batu Pahat, saya menyambut ulangtahun kelahiran saya dengan ‘fly’ ke bandar Batu Pahat, berpeleseran di BP walk sehingga dinihari bersama teman-teman dan teman wanita di sisi, memecah kesepian kota dengan berlumba motor dengan rakan-rakan pada jam 3 pagi, sambil sesekali mengacah lori penghantar surat khabar dengan ‘cilokan’ yang memperjudikan nyawa sendiri.

Syukur, setelah 7 tahun, saya tidak lagi jahil mengembarai hidup ini. Saya kian terasuh untuk meluhurkan manusiawi dan memaknakan insani. Dan untuk sambutan pada kali ini, ia cukup sederhana dan manis sekali. Lebih kurang jam 8 malam (3 Ogos), saya didatangi oleh anak saudara saya yang berusia 11 tahun yang mahu menyambut hari lahir bersama-sama saya. Ira yang lahir pada 31 Julai 1998, telah bersusah payah membuat kek hari lahirnya sendiri semata-mata mahu menyambutnya bersama-sama dengan saya pada hari tersebut. Kemudian, kami sekeluarga mengadakan satu majlis doa selamat secara kecil-kecilan, dengan juadah mi goreng Portugis, masak lemak labu dan pucuk manis, telur dadar dan ikan merah yang digoreng membuka selera kami.terlalu simple, tidak ada parti-parti besar, sparkling, atau juadah-juadah eksotik yang terhidang. Saya gemarkan suasana seperti ini. Saya menjadi lebih akrab dengan keluarga, dan kami sempat berbual mengenai hasrat abang yang mahu membeli sebuah kereta baru, ayah yang menceritakan tentang pokok-pokok pisang yang sudah mula membesar, manakala mak dan kakak mengusik saya bahawa sudah sampai masanya saya mencari calon menantu.






Saya hanya tertawa dengan rasa bahagia yang sempurna. Tuhan, betapa manis saat-saat ini, dan alangkah indahnya jika ia mampu berulang pada setiap hari.
Selepas makan dan sama-sama menonton drama sci-fi Bionik, saya keluar bersama-sama rakan ke warung berdekatan. Seperti biasa, agenda perbualan kami terarah dengan cerita di kampus masing-masing, teman wanita masing-masing, bola sepak Inggeris, dan sesekali mengumpat teman-teman yang tiada di sisi. Tepat jam 11.30 malam, saya pulang ke rumah yang sudah pun bergelap. Saya sempat berbual kosong dengan ayah, sambil menonton filem Pendekar Bujang Lapok di kaca televisyen. Sesudah itu, menjelang pukul 12 malam, saya menerima panggilan daripada ‘si dia’ yang mendedikasikan ucapan Selamat Hari Lahir buat saya. Sejurus itu, bertalu-talu kiriman SMS yang masuk ke telefon bimbit saya termasuk kiriman SMS daripada Meriam As-Sagor, teman saya dari Iran, Sameer yang sedang bercuti di rumah saudara angkat di Subang dan teman dari Chiang Mai, Palm Nanoo yang sanggup bersengkang mata semata-mata mahu mengucapkan Selamat Hari Lahir buat saya.




Subuh saya pada pagi 4 Ogos dikejutkan dengan pelukan tiga orang anak saudara saya yang kebetulan bermalam di rumah saya pada malam tersebt. Sambil memeluk dan menindih saya, mereka mengucapkan “ Selamat Hari Jadi cik Duan. Bangun-bangun, semayang Subuh.” kepada saya. Tuhan, betapa manis ucapan sebegini. Betapa bahagia nikmat kasih sayang yang telah Kau beri, yang selama ini kadangkala tidak pernah saya ambil peduli. Hari ini saya menggenggam erti kasih yang sejati. Tanpa ibu bapa, keluarga, teman-teman di sisi, manakan bisa saya mengatur setiap derap langkah ini. Tuhanku, rahmatilah perjalanan saya ini, dan sungguh sayakian mengerti kini, kadangkala betapa besarnya nikmat kurniaanNya yang kerap kita kufuri.


SAAT USIA MENYAPAKU

Saat waktu memanggilku agar mendakapnya
aku berpaling daripada rangkulan usia
dan berjalan meniti jambatan-jambatan angka
menyeberangi sungai pengalaman di permatang masa.

Saat usia menyapaku
yang angkuh berjalan di lantai pedomanku
meretak pada cempera seribu
melewati lopak-lopak dosa silamku
terserpih di jubin pendirianku.

Usiaku adalah takah pertimbanganku
adil di dacing kudus kalbuku
menipu saat egois memberatiku.

ZULFAZLAN JUMRAH
Kulai, Johor
4 Ogos 2009