Thursday, April 2, 2009

PABILA MINGGU PEPERIKSAAN KEMBALI MENJELMA



Dua minggu dari sekarang,seluruh ceruk UPM akan dibungkus dengan selimut peperiksaan. Seperti biasa. satu fenomena yang klise, para pelajar akan berbungkam dengan nota peperiksaan, timbunan buku, soft copy power point (last minit baru minta daripada pensyarah) dan aneka nota kaki yang berselerak sana-sini.

Tetapi, berbeza dengan aku. Aku lebih selesa study sehari sebelum peperiksaan menjelang, berjaga sehingga subuh untuk menelaah, dan paginya awal-awal lagi aku sudah bersiap dan mengetuk daun pintu rakan-rakan yang masih berdengkur.

Peperiksaan padaku cukup mudah tafsirannya. Cuma satu penilaian untuk menguji tahap kefahaman yang tidak menyeluruh. Secara peribadi, padaku prinsip peperiksaan yang dijalankan di negara kita entah mengapa sejak dari darjah 1 tidak pernah mengujakan aku.

Barangkali aku terlalu radikal membuat tafsiran tentang peperiksaan. Apatah lagi peperiksaan yang kebanyakannya berbentuk objektif (A, B, C,D)yang boleh dipenuhkan ruang jawapan kalau pun tidak memahami dan mengetahui jawapannya.

Aku lebih tertarik dengan peperiksaan yang lebih berbentuk amali, on hand, atau konsep peperiksaan yang menguji kefahaman pelajar untuk mengolah dan merencanakan idea tanpa diikat dengan sesuatu pun. Mungkin frasa yang tepat adalah peperiksaan yang memberikan kebebasan kepada pelajar mengemukakan apa pun pandangan berbentuk peribadi terhadap apa yang dipelajari mereka selama satu semester.




Saat ini, aku teringat perbualanku dengan seorang rakan yang belajar di Shieffield University tentang penilaian akhir semesternya bagi subjek sejarah. Menurutnya, semua pelajar di kelasnya diberikan kebebasan sepenuhnya oleh pensyarah mereka untuk membuat satu pembentangan berkaitan apa juga sejarah yang terdapat di dunia ini sekreatif yang mungkin.



Ia boleh terjadi dalam bentuk penceritaan disusuli gambar-gambar bersejarah, sejarah hitam keluarga, sehelai pakaian moyang yang berperang ketika perang dunia kedua, beberapa keping duit syiling lama, sekeping lukisan plaster, secangkir cawan yang sompek yang pernah digunakan oleh Perdana Menteri Britain ketika kecil, sebiji guli pemberian seorang rakan lama ayahnya yang kini mengepalai Kementerian Pertahanan Britain, gelongsong peluru ketika perang Vietnam,atau apa sahaja.Bukankah itu cukup menarik? Konsep pembelajaran sudah lari daripada konsep menghafal fakta dan memuntahkannya di kertas jawapan.



Akan tetapi, inilah fenomena peperiksaan di Malaysia. Kita diajar untuk menghafal sesuatu, tetapi tidak diajar bagaimana menghayati sesuatu. Pembelajarah adalah proses rutin,tetapi sekiranya rutin itu tidak memberikan kesan kepada jiwa dan rasa insani apalah ertinya.

3 comments:

Azree Ariffin said...

salam.

Lan, cuba kau ambik kertas law... mungkin selari dgn apa yang kau maksudkan... hehe... tapi mmg merana kalau study sehari sebelum... huhu.

anang said...

lan,
u tak tau ke,sistem persekolahan di malaysia ini sendiri pun kalau diperhalusi, bukanlah melahirkan insan tapi melahirkan robot-robot yang boleh dikawal dengan 'jari'.bila u dah masuk sekolah untuk mengajar nanti, u jumpa lah dengan apa yang i cakap ni.konon je nak melahirkan insan yang seimbang dari segi JERI, tapi falsafah tu cuma tinggal atas kertas je..

Syarifah Zulikha al-Yahya said...

sLm, sy kurang minat subjek sejarah.

aGak membosankan.